Bab 2

Romance Series 2585

SERENA menopang dagunya. Dia duduk diam di lantai, menatap dua helai gaun pengantin yang dipamerkan kemas pada sebuah patung di hadapan matanya. Dua gaun itu ialah hasil karyanya sendiri. Gaun-gaun yang sepatutnya dia kenakan pada hari paling bahagia dalam hidupnya.

Seharusnya, hari ini dia tersenyum terharu. Bahagia kerana salah satu impian besarnya tercapai. Dia berjaya mereka bentuk dan menjahit sendiri gaun perkahwinannya.

Tetapi semuanya berubah.

Malapetaka datang tanpa sebarang amaran. Dan kini, yang tersisa hanyalah luka serta kecewa yang menggumpal dalam dada.

Serena memandang kedua-dua gaun itu dengan pandangan kosong. Satu untuk akad nikah, sebuah kebaya moden. Satu lagi, gaun untuk majlis resepsi.

Kedua-duanya mempunyai rekaan yang indah, dipenuhi perincian renda serta manik yang dia kerjakan berhari-hari dengan tangannya sendiri.

Dan buat pertama kalinya, dia ingin mengoyakkan semuanya. Mengguntingnya hingga tidak berbentuk. Lalu menghapuskan semua harapan yang pernah dia sematkan pada setiap jahitan itu.

Setitik air mata jatuh pada wajahnya, lalu disusuli titisan-titisan lain yang mengalir tanpa henti. Serena menangis dalam diam. Tiada suara lain selain esakannya yang perlahan memenuhi ruang yang sepi. Dia benar-benar sendiri, dan keliru harus melakukan apa.

Perkahwinan ini sudah diumumkan. Kad undangan sudah dihantar. Tinggal menunggu hari majlis sahaja nanti walaupun masih berbaki dua bulan.

Jadi sekarang, apa yang harus dia lakukan?

Bayangan wajah keluarganya melintas dalam benaknya. Wajah bahagia yang terpancar saat mengetahui anak mereka akan berkahwin pada usia 29 tahun. Mereka begitu bangga dan sangat menantikan hari itu.

Dan Serena... tidak sanggup membayangkan dirinya harus mematahkan harapan itu dengan satu khabar yang menyakitkan.

“Ya Allah... apa yang harus aku lakukan?” bisiknya. Suara itu perlahan, tetapi penuh luka. “Sekali ini saja, tunjukkan kuasa-Mu... berikan aku petunjuk.”

Dia menenggelamkan wajah ke lututnya dan menangis lagi. Seolah-olah mahu tenggelam sepenuhnya dalam kesedihan yang tidak tahu di mana penghujungnya.

“Sorry.”

Suara berat itu kedengaran serentak dengan pintu yang terbuka dari luar.

Sosok tinggi dengan sut kasual, wajah tegas dan dingin, muncul dari balik pintu. Taufiq Elias berdiri di ambang bilik, kelihatan langsung tidak terganggu dengan pemandangan Serena yang terduduk di lantai.

Serena mendongak, dan tatapan mereka bertemu.

Saat itu juga, dia menyesali satu perkara. Kenapa tadi dia terlupa mengunci pintu?

Untuk seketika, tiada siapa yang bersuara. Mereka hanya diam. Lalu Taufiq berdehem perlahan sebelum membuka mulut.

“Aunty Melur minta saya ambil baju,” ucapnya datar, tanpa sedikit pun nada simpati.

Serena tergesa-gesa menghapuskan air matanya dengan tangan. Gerakannya kasar, seolah-olah dengan begitu dia mampu menghapuskan luka yang turut melekat di pipinya. Dia bangkit perlahan lalu berjalan menuju ke sofa.

Di situ, tiga garment bag hitam terletak kemas. Masing-masing berisi busana milik keluarga Iskandar. Serena mengambil salah satunya tanpa berkata apa-apa, lalu menghulurkannya kepada Taufiq.

Keluarga Datuk Iskandar memang pelanggan lama di butik milik Keluarga Serena. Bahkan untuk hari penting Serena dan Shah Hakimi, mereka turut mempercayakan pakaian mereka kepada butik ini.

“Ini, Encik Taufiq.” Serena menyerahkan garment bag itu tanpa menatap wajah Taufiq. Pandangannya tertunduk, tangannya terhulur dengan gerakan perlahan.

Taufiq menerimanya cepat. Dia tidak bertanya apa-apa, dan tidak menanggapi apa pun yang mungkin terbaca pada raut wajah Serena. Dia hanya mengambilnya, lalu berbalik.

“Terima kasih,” ucapnya ringkas sebelum melangkah pergi.

Serena tetap diam. Hanya ketika Taufiq benar-benar membelakanginya, barulah dia mengangkat wajah. Dan saat pandangannya tertumbuk pada tubuh tegap lelaki itu, Serena terpaku. Matanya menatap dalam, entah kerana mahu atau sekadar mencari rehat daripada sesak yang tadi menghimpit dadanya.

Lalu...

Sebuah fikiran gila tiba-tiba melintas dalam benaknya. Begitu cepat dan tidak terduga, tetapi cukup kuat untuk membuat nafasnya tertahan sesaat.

Taufiq sendiri berbalik dengan tenang. Di hadapannya, Abang Oli, pemandu keluarga Datuk Iskandar, sudah berdiri siap, bersedia menerima garment bag yang tadi diberikan Serena.

“Sini, tuan. Biar saya saja yang bawa,” ucap Abang Oli sopan.

Taufiq mengangguk kecil, lalu menyerahkan barang itu tanpa sepatah kata.

Anak lelaki pertama Datuk Iskandar itu melangkah keluar dari butik dengan langkah tegap dan tenang. Lelaki berusia 35 tahun itu dikenalisebagai peribadi yang dingin dan hampir tidak berperasaan. Senyumannya yang dahulu hangat dan mudah muncul, kini telah lama hilang, pergi bersama orang yang paling dicintainya, Ariana.

Gadis yang lima tahun dengannya itu terpaksa bersabung nyawa akibat komplikasi penyakit kanser hati yang selama ini diam-diam dideritainya.

Sejak hari itu, dunia Taufiq berubah kelabu. Tiada lagi tawa riang, tatapan penuh kasih, atau kelembutan dalam sikapnya. Semuanya terganti dengan kesunyian yang pekat. Dingin yang mengendap dalam setiap geraknya, dan sikap datar yang memagari hatinya daripada sesiapa pun yang cuba masuk.

Taufiq kemudian masuk ke tempat duduk penumpang bahagian belakang dengan tenang. Gerakannya kemas dan teratur, seperti biasa. Dia duduk bersandar, memejamkan mata sejenak, dan cuba mengabaikan segalanya.

Namun, satu perkara tetap mengusik fikirannya.

Meskipun wajahnya tidak menunjukkan sebarang ekspresi, ada kerutan samar di dahinya, tanda bahawa fikirannya belum sepenuhnya tenang.

Raut wajah Serena kembali muncul dalam benaknya.

Tatapan kosongnya. Esakan perlahan yang tertahan. Cara dia tergesa-gesa menghapuskan air mata, seolah-olah sedang menyembunyikan sesuatu yang terlalu sukar untuk dikongsikan.

Taufiq menarik nafas perlahan.

Bagaimana mungkin seseorang yang akan berkahwin menangis dengan kesedihan seperti itu?

Mungkinkah ada sesuatu yang tidak kena?

Dan meskipun itu bukan urusannya, sebahagian kecil daripada dirinya tetap terusik oleh pemandangan tadi.

Taufiq menoleh sekali lagi ke arah butik, lalu menghembuskan nafas kasar. Selagi tiada hal mencurigakan yang dia dengar, bermakna semuanya baik-baik sahaja.

Tangisan Serena tadi mungkin hanya luahan menjelang perkahwinan. Begitulah fikirnya. Dia pun memalingkan wajah kembali dan membiarkan kereta beransur pergi.

Sementara itu, Serena berdiri di balik cermin ruangannya. Dia menatap kereta Taufiq yang perlahan-lahan menjauh, seolah-olah sedang memikirkan sesuatu yang sangat besar.

Serena menarik nafas dalam-dalam, lalu menghembuskannya perlahan.

Kemudian, sebuah senyuman samar muncul di sudut bibirnya. Bukan senyuman bahagia, melainkan sebuah keputusan. Sebuah keyakinan yang mendadak hadir di tengah kekusutan.

Idea yang muncul dalam benaknya sebentar tadi mungkin gila. Tetapi jauh lebih masuk akal daripada tetap berkahwin dengan lelaki pengkhianat seperti Shah Hakimi.

Serena akhirnya melangkah keluar dari ruangannya dengan langkah perlahan. Di sofa berhampiran meja reka bentuk, sedang duduk Anisah, sepupu sekali gus sahabat baiknya. Wanita itu selalu ada untuknya, lebih-lebih lagi selepas bercerai dengan suami yang curang, dan kini membesarkan seorang anak perempuan berusia tiga tahun.

Anisah mendongak, dan pandangannya langsung tertuju pada wajah Serena.

“Mata kau kenapa?” tanyanya perlahan.

Anisah memang peka. Terlalu peka untuk dibohongi. Wajah sembap Serena jelas menyimpan sesuatu yang lebih daripada sekadar penat.

“Boleh aku tanya?”

Anisah mengangguk. Dia mengetepikan sketchbook dan pensel yang tadi digunakannya untuk melakar pola rekaan, lalu menatap Serena penuh perhatian. Dia tahu, sepupunya sedang menyimpan sesuatu yang besar.

“Apa yang kau rasa... bila tahu Danial curang?”

Pertanyaan itu membuat senyuman Anisa pudar. Tatapannya berubah pahit, tetapi dia tidak mengelak.

“Macam nak tolak dia kat gaung,” jawabnya separuh bergurau, namun nadanya mengandungi luka yang nyata.

Serena diam sejenak. “Sakit tak?”

“Pedih.”

Anisah mengangguk perlahan. “Kau akan rasa jatuh, hancur, dan insecure. Orang yang kau cinta boleh dengan mudah berpaling, dan kau mula mempersoalkan diri sendiri. Apa kurang aku? Apa salah aku? Dan itu rasanya sakit.”

Tangan Serena mengepal di sisi tubuhnya.

Begitulah yang dia rasakan.

Luka itu nyata. Dan kini, dia tahu, bukan hanya dirinya yang pernah mengalaminya.

“So... kau rasa, lebih baik diabaikan atau dicurangi sebagai seorang isteri?”

Kening Anisah berkerut. Dia belum sepenuhnya mengerti arah pertanyaan itu, tetapi tetap menjawab setelah sunyi beberapa ketika.

“Lebih baik diabaikan, kemudian tuntut cerai kalau sikap dia terus macam itu. Daripada tahu suami kita bermain gila dengan perempuan lain. Lebih-lebih lagi kalau dorang sampai dah sekatil.” Nada Anisah tegas.

Serena menunduk, menghela nafas panjang.

Pertanyaan yang sejak tadi berputar dalam kepalanya akhirnya terjawab.

Lebih baik tidak dicintai daripada dikhianati.

Dan kini, dia tahu apa yang harus dia lakukan.

“Thanks, Nica. Aku masuk bilik aku dulu.”

Anisah hanya mengangguk, meskipun ada tanda tanya pada wajahnya.

Serena akhirnya kembali ke ruangannya. Langkahnya perlahan tetapi pasti. Tiada lagi esakan dan air mata.

Dia berhenti tepat di hadapan dua gaun pengantin yang tergantung anggun di situ. Kedua-duanya masih berdiri tegak, seperti sedang menanti saat Serena akan mengenakannya.

Serena menatap gaun-gaun itu dalam-dalam.

Tangannya menyentuh ringan hujung renda yang dahulu dia jahit dengan penuh harapan. Kini, harapan itu tidak lagi sama. Tetapi tekadnya justeru semakin kuat.

“Aku akan tetap memakai gaun ini pada hari kahwin aku,” ucapnya mantap.

Tujuannya kali ini bukan lagi Shah Hakimi. Tetapi seseorang yang akan membuat keputusan ini menjadi lebih daripada sekadar pelarian.

Mungkin sememangnya jodohnya adalah lelaki itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience