Series
2585
SERENA memandang wajahnya di hadapan cermin. Dia sedang cuba meyakinkan hati untuk keputusan besar yang bakal diambil. Setelah berfikir dan memuhasabah dirinya dan sebelum semua ini pergi lebih jauh dia perlu fikir sedalam-dalamnya.
Lebih baik berkahwin dengan lelaki yang dingin daripada lelaki yang curang.
Dia memejamkan mata, menarik nafas dalam, lalu menghembuskannya perlahan. Hanya tinggal lebih kurang 49 hari lagi sahaja mereka bakal disatukan. Ya, dia menghitung hari untuk menamatkan zaman bujangnya. Namun ternyata status itu sedang mentertawakannya.
Perlahan dia menghembus nafasnya dan keluar dari bilik mereka akan bertemu dengan keluarga Datuk Iskandar untuk perbincangan terakhir perkahwinan dan makan malam bersama sebuah keluarga.
Semua seperti biasa tersenyum manis dan bahagia hanya Serena saja yang menahan rasa.
Langit kelihatan mendung malam itu. Beberapa minit kemudian, gerimis mula turun. Tidak lebat, tetapi cukup untuk membuatkan malam itu sedikit sayu dan mencerminkan jiwanya ketika ini.
Dari balik pintu utama, suara riuh kedengaran jelas. Sama seperti di rumahnya, kemungkinan besar keluarga besar Datuk Iskandar sudah berkumpul di dalam.
Dengan tangan sedikit menggigil, Serena melangkah perlahan bersama dengan umi dan babanya.
Sebaik daun pintu terbuka, tawa yang tadi bergema terus lenyap dan terus menyambut kedatangan mereka sekeluarga.
“Sayang?” Shah Hakimi muncul dari arah dapur. Dia terpaku melihat Serena yang manis walaupun wajahnya sedikit pucat. Namun tetap cantik.
Serena tidak menyahut. Dia menyapu seluruh ruangan dengan renungan biasa. Menatap satu per satu wajah yang hadir di situ.
Taufiq Elias juga ada di situ. Lelaki yang pernah ditolaknya sepuluh tahun yang lepas. Ya, Taufiq Elias adalah abang kepada Shah Hakimi cuma mereka berlainan emak. Hanya bapa yang sama.
Semua masih berborak sambil ketawa mesra. Serena sudah tidak mampu menanggung rasa ini lagi. “Saya… saya nak batalkan pernikahan dengan Shah.”
Sebaris ayat itu padat dan sangat jelas masuk ke telinga sesiapa yang ada di situ.
Shah Hakimi terkejut dan refleks melangkah mendekat. “Sayang, you kenapa? Tak kelakar eh.”
Namun Serena segera mengangkat tangan, menghentikan langkah lelaki itu. “I datang ke sini bukan untuk datang makan atau apa, Shah.”
Datin Melur, mama Shah Hakimi juga merupakan emak tiri kepada Taufiq Elia bangun dari sofa. Wajahnya tegang meskipun dia berusaha untuk tetap tenang.
“Serena, sayang... kalau ada masalah, kita bincangkan baik-baik, ya? Jangan terburu-buru macam ini. Kenapa ni?”
Serena menatapnya dengan sopan, tetapi sorot matanya teguh.
“Sorry, aunty. Tapi keputusan saya muktamad.”
Wajah Serena kelihatan memerah kerana marah. Emosi yang ditahannya sejak tadi akhirnya meledak dalam bentuk keputusan yang mengejutkan semua orang.
Puan Sarimah dan Encik Jamal memandang anak mereka dengan pandangan terkejut dan Puan Sarimah cuba menenangkan anak perempuannya itu. Adakah anak gadisnya ini tertekan sehingga berkata begini?
“Sayang…”
Serena menggeleng hiba.
Datuk Iskandar, kepala keluarga itu, ikut berdiri. Sosok berwibawa itu berjalan perlahan mendekati bakal menantunya.
“Kita bincangkan semuanya baik-baik, nak,” ujarnya lembut tetapi tegas. “Ni mesti stress sangat ni.”
Datin Melur memegang sebelah tangan Serena dan sebelah lagi dipegang oleh Puan Sarimah. Mereka membawa Serena duduk di sofa terlebih dahulu.
“Kita duduk dulu, ya, sayang.”
Serena mengangguk perlahan, mengikuti langkah Datin Melur menuju ke sofa dan duduk di sisinya.
Sementara itu, Shah Hakimi mula kelihatan gelisah. Hanya tinggal selangkah lagi dia boleh menikahi Serena, tetapi pernyataan tadi menghentam semua impiannya.
Taufiq Elias turut beralih ke sofa. Sebagai anak tertua, dia merasakan perlu hadir ketika semuanya dibicarakan. Dia mahu tahu tentang semua yang berlaku dalam keluarga ini walaupun mamanya bukan lagi isteri kepada papanya.
Kesunyian yang mencengkam berlangsung hampir lima belas minit.
“Rena, apa semua ini?” Suara Encik Jamal memecah keheningan.
Dia masih berdiri, menatap satu per satu wajah yang ada di ruangan itu, seolah-olah menuntut penjelasan.
“Duduk dulu, Jamal. Kita bincangkan perkara ini baik-baik,” ujar Datuk Iskandar.
Lalu Datuk Iskandar menarik nafas perlahan sebelum akhirnya membuka suara.
“Apa sebenarnya yang berlaku?” Suara Datuk Iskandar kedengaran tegas. Kini dia Serena yang sedang tertunduk.
Akhirnya Serena mengangkat wajah. Tatapannya bertemu dengan Datuk Iskandar dan memandang raut wajah ayahnya. Wajah yang biasanya tenang itu kini memancarkan kekecewaan yang tidak dapat disembunyikan.
Tanpa berkata sepatah kata pun, Serena mengambil telefon pintarnya. Jari-jemarinya bergerak pantas menekan skrin. Beberapa ketika kemudian, bunyi notifikasi kedengaran hampir serentak daripada telefon semua orang di ruangan itu.
“Itu sebabnya dan Rena memang tak boleh nak cakap apa lagi,” ucap Serena, tenang tetapi dingin.
Masing-masing mencapai telefon mereka. Tidak memerlukan masa yang lama. Dalam beberapa saat, ekspresi mereka berubah.
Rahang Datuk Iskandar mengeras. Matanya menatap tajam skrin telefon. Wajah Datin Melur pula membeku. Shah Hakimi sendiri yang masih berdiri, terus kelihatan pucat lesi.
Semua bukti yang Serena miliki telah dihantar kepada semua orang di situ. Tentang video wanita itu. Lalu video Shah Hakimi dan wanita tersebut. Dan yang terakhir, semua tangkapan skrin perbualan mereka berdua.
“Shah Hakimi!”
Jeritan Datuk Iskandar bergema di seluruh ruangan. Dia bangkit daripada duduknya, dan tanpa sebarang amaran, satu tumbukan mendarat tepat di rahang Shah Hakimi. Tubuh lelaki itu terhuyung ke lantai. Datin Melur tergesa-gesa berdiri dan menahan suaminya.
“Sudah, bang. Sudah.”
“Kamu main gila ya, Shah Hakimi! Gila!”
Suara Datuk Iskandar masih membahana, penuh kemarahan, kecewa, dan malu yang bercampur menjadi satu.
Serena memejamkan mata. Air mata akhirnya mengalir perlahan di pipinya. Buat pertama kalinya, beban yang selama ini dipikulnya terasa sedikit lebih ringan. Dia tidak bersendirian lagi.
Puan Sarimah terus memeluk anaknya. Tangisnya pecah, penuh sesal dan haru.
“Bila Rena dapat tahu ni...” bisiknya lirih di sela tangisan.
Taufiq Elias menoleh kepada Serena. Akhirnya dia faham. Inilah alasan tangisan Serena waktu itu. Dan ternyata, semuanya memang tidak baik-baik saja. Hatinya merasakan sesuatu, namun lebih baik dia melihat sehingga habis drama ini.
“Saya setuju Serena tak nak teruskan,” ucap Encik Jamal dingin.
Matanya menajam ke arah Shah Hakimi yang masih terduduk di lantai sambil memegang sudut bibirnya.
“Lebih baik anak saya tak kahwin, daripada terus hidup dengan lelaki curang macam ni.”
Dada Datuk Iskandar masih turun naik. Andai Datin Melur tidak menahan tubuhnya, mungkin wajah Shah Hakimi sudah hancur teruk.
“Saya setuju,” sampuk Datuk Iskandar, suaranya berat.
Dia menatap Serena dengan sesal yang tidak mampu disembunyikan.
“Rena layak dapat lelaki yang jauh lebih baik, nak.”
“Tapi pa... Shah boleh jelaskan semua ini.” Akhirnya Shah Hakimi membuka suara.
“Apa lagi?!” bentak Datuk Iskandar. Suaranya masih sarat emosi.
Shah Hakimi menunduk dengan nafas turun naik. Suasana ruang tamu terasa menyesakkan. Semua mata menatapnya dengan kemarahan dan kekecewaan.
“Shah tak pernah berniat nak sakitkan Rena,” ucapnya perlahan, namun masih jelas kedengaran. “Video itu... video lama. Sebelum Shah ada dengan Rena lagi. Shah memang setia dengan Rena. Ada orang nak jatuhkan Shah.”
“Alasan yang langsung tak masuk akal,” suara Encik Jamal kedengaran tajam. “Jadinya, Shah pernah ada hubungan dengan perempuan lain sampai atas katil? Dan, nak dapatkan perempuan baik pulak lepas tu?”
Shah Hakimi cuba bangkit. Wajahnya semakin pucat.
“Shah cintakan Rena. Sungguh-sungguh. Inikan aib sebab tu Shah tak pernah bagitahu sesiapa mahupun Rena.”
“Aib, kamu kata?” sahut Datuk Iskandar tajam. “Main perempuan di belakang bakal isteri kamu dan berharap dia tak akan tahu seumur hidup?”
Datin Melur yang sejak tadi diam akhirnya bersuara.
“Shah Hakimi... Mama tak habis fikir. Kenapa kamu sebodoh ini?”
“Shah tahu Shah buat salah.” Suara Shah Hakimi mula pecah, dan dia menatap Serena. “Sayang, I minta maaf... tolong beri I peluang untuk jelaskan semuanya dari awal. Tolong...”
Tetapi Serena tidak menjawab. Tatapannya kosong. Air matanya sudah tidak menitis lagi, tetapi luka itu terlalu dalam untuk diubati hanya dengan kata maaf.
Tidak lama kemudian, Serena tertawa hambar.
Shah Hakimi masih cuba berdalih, mengaku bahawa semuanya berlaku sebelum mereka bertunang.
Padahal jelas, Serena melihatnya dengan mata kepalanya sendiri seminggu yang lalu.
“Cepat betul hilang ingatan. Bukan last week baru datang rumah dia ke? Siap berpeluk lagi. Lepas tu nak cakap kejadian ni sebelum kita bersama?” ucap Serena tenang, tetapi matanya menyimpan luka yang dalam.
“Sa... sayang...” Shah Hakimi tergagap.
Serena menatapnya tajam.
“You boleh bohong kepada sesiapa pun. Tapi bukan dengan I, Shah.”
Semua yang ada di situ hanya membiarkan Serena dan Shah saling berbalas.
Serena masih duduk tenang di sofa, tetapi jelas bahawa dia sedang memaksa dirinya untuk tetap kuat. Dia mendongak, menatap Shah Hakimi tepat-tepat.
“I cuma minta jujur je dengan I. Tapi you pilih untuk tipu I. I fikir tak bertunang ni tak adalah ujian tapi ternyata salah. Ini ujian untuk I sebab terlalu nak sangat kahwin. I dah lalui dengan tiga lelaki dan semuanya tak berguna.”
Shah Hakimi berjalan perlahan ke arah Serena.
“I... I menyesal, sayang. Kita mula dari awal lagi, ya? I akan berubah. I janji, sayang.”
Serena tersenyum kecil.
Bukan senyuman bahagia. Tetapi senyuman seorang perempuan yang baru sahaja menyedari betapa murah harga dirinya di mata seseorang yang katanya mencintainya.
“I tak perlukan lelaki yang nak berubah dulu supaya layak untuk I. Seharusnya you dah berubah sebelum datang kat umi dan abah untuk meminta I menjadi pendamping hidup you.”
Shah Hakimi terdiam. Matanya mula basah.
“Mulai sekarang,” ucap Serena dengan suara mantap, “kita selesai, Shah.”
Shah Hakimi menggeleng cepat.
“Tak, sayang. I minta maaf. I akan baiki semuanya. I nak jadi suami you.”
Suaranya bergetar. Dia berlutut di hadapan Serena, cuba bersimpuh. Namun gadis itu terus menjauh.
Serena lalu mengangkat wajah. Pandangannya beralih daripada Datuk Iskandar kepada Datin Melur, lalu berhenti pada Taufiq Elias. Dia tetap akan teruskan niatnya, dia seorang yang bercita-cita tinggi dan impian harus dicapai walau siapapun bakal suaminya itu nanti.
Jadi dia memilih lebih baik tidak dicintai daripada dicurangi.
“Rena… Rena takkan batalkan majlis tu cuma Rena tak nak kahwin dengan Shah,” katanya perlahan tetapi yakin. “Dan Rena tahu benda ni macam kerja gila dan permintaan tak masuk akal. Dengan apa yang jadi ni Rena nak kahwin dengan Taufiq.”
Taufiq Elias terkejut. Mata mereka bertemu, dan dalam sorot mata Taufiq Elias, Serena dapat membaca seribu persoalan yang belum sempat terucap.
Tetapi dia tidak memberi ruang untuk bantahan.
“Kalau Taufiq tak nak, Rena tekad nak bawa semua ni ke media.”
Tarikan nafas Serena kedengaran kasar.
Share this novel