Rate

BAB 3

Romance Completed 248356

AIN merenung kosong ke arah secawan nescafe yang masih berasap dihadapannya.

Hidupnya seakan mimpi apabila bahagia yang selama ini dinikmati, tiba-tiba bertukar menjadi ombak besar. Dia ditelan rakus tanpa sebarang amaran. Sayap kebahagiaannya terhakis gara-gara dibadai ombak besar.

Terasa baru semalam dia bergelak ketawa bersama Umar menikmati kisah hidup berumah tangga namun segalanya sudah hilang dan berubah kelam. Dia sendiri tidak tahu dimana bahagianya bersembunyi pergi.

Larut dengan perasaan yang berkecamuk, Ain tersentak saat bahunya diusap lembut. Kepalanya menoleh memandang gerangan yang datang secara tiba-tiba itu. Senyuman hambar diukirkan. Membuang rasa dihati.

"Ain fikirkan apa itu?" soal wanita separuh abad itu, Puan Azizah. Ibu kepada Ain Marsyitah.

"Mak.. Ain tak fikirkan apa-apa pun," dalih Ain.

"Ain fikirkan Umar ke?" tebak Puan Azizah.

"Entahlah mak.. Ain rasa macam mimpi. Susah untuk Ain terima semua ni," jujur Ain sayu.

"Mak faham perasaan Ain. Tapi semuanya dah jadi kan? Ain pun dah sah bercerai dengan Umar.." keluhan berat dilepaskan oleh wanita tua itu.

Dia sendiri masih terkejut apabila mendengarkan tentang perceraian satu-satunya anak tunggalnya ini. Sebagai ibu dia juga merasakan kesakitan itu. Malah dia juga telah meletakkan harapan yang tinggi buat Umar Ali saat dia menyerahkan anaknya kepada lelaki itu.

Mungkin ini adalah suratan takdir. Siapa kita sebagai manusia mahu menolak aturan takdir yang sudah ditetapkan. Sebagai manusia kita seharusnya belajar mencintai jalan takdir sendiri.

"Ain cuma terkilan. Dimana silap Ain sebagai seorang isteri? Kalau betul Ain bukan isteri yang baik, bimbing Ain, tegur Ain. Bukan buat Ain macam ni. Dia curang dengan perempuan lain Ain masih boleh terima lagi. Tapi berzina dengan perempuan lain, Ain betul-betul rasa hati Ain ni dah remuk. Apa Ain nak jawab dengan anak-anak kalau anak-anak tahu ayah dorang tak seperti yang dorang harapkan?" luah Ain sayu. Air mata kembali merembes mengalir di pipinya.

"Ain.. Mak faham hati Ain hancur dengan apa yang Umar dah buat pada Ain. Tapi Ain kena ingat, semua ni adalah ujian buat Ain. Ain kena belajar untuk kuat hadapi jalan ujian yang dah Allah aturkan untuk Ain dan anak-anak Ain.."

"Ain kena tahu sedetik pun yang bernama ujian tu takkan lenyap dalam hidup kita sebagai seorang manusia ni. Cuma ia hadir dalam dua bentuk kesenangan atau kesusahan. Sama juga kebahagiaan atau penderitaan. Ain kena sabar dan belajar untuk redha dengan aturan takdir ni. Ajar hati Ain untuk terima laluan hidup ni dengan tenang. Ain kena yakin apa yang jadi ni pasti akan ada kebaikan untuk Ain. Mukmin sejati tu saat dia di uji dia akan sabar, saat diberikan nikmat dia akan bersyukur.." panjang lebar Puan Azizah menasihati.

"Tapi Ain tak kuat mak.. Ain tak tahu macam mana nak nak lalui semua ni seorang diri," lirih Ain berkata.

"Ain.. Ain tak berseorangan sayang. Ain masih ada mak, ada ayah. Yang paling penting Ain ada anak-anak. Anak-anak Ain sangat memerlukan Ain. Kalau Ain sendiri rapuh, macam mana dengan dorang. Ain nak ke dorang sama-sama hancur macam Ain?" lembut Puan Azizah menyoal.

"Tak... Ain tak nak anak-anak Ain rasa apa yang Ain rasa.. Sakit sangat rasa tu mak," ucap Ain sayu.

"Perceraian bukan penamat dalam kehidupan Ain. Tapi permulaan, permulaan untuk Ain bangkit dan terus kuat untuk hadapi hari-hari seterusnya. Mak harap apa yang dah jadi ni, Ain belajar sesuatu. Belajar untuk kenal warna dunia yang sebenar," nasihat Puan Azizah.

"Terima kasih mak, terima kasih sebab sentiasa ada disamping Ain terutama saat Ain dah hampir hancur macam ni," tubuh Puan Azizah didakap erat. Sungguh dia amat sayangkan wanita itu.

"Mak akan sentiasa ada disamping Ain walau apa pun jadi.. Mak sayang anak mak ni," pelukan Ain dibalas erat.

KEPALA dijengulkan ke dalam bilik anak perempuannya, Ayra Shafinaz. Terlihat Ayra yang sedang termenung jauh memandang ke arah permandangan di balkoni bilik gadis itu. Perlahan-lahan Ain masuk.

"Ayra.. Tengok apa tu?" sapa Ain. Dilabuhkan duduk bersebelahan si anak gadis.

"Ibu..." senyuman hambar diberikan kepada ibu tercintanya.

"Kenapa ni sayang?" soal Ain prihatin.

"Ayra... Ayra rindukan ayah. Ibu bila ayah nak balik sini?" soal Ayra polos.

Tersentak Ain saat disoal sebegitu oleh Ayra.

"Ayah sibuk sayang. Nanti kalau ayah dah tak sibuk nanti ayah balik lah sini," jawab Ain lembut.

Ain faham benar jika mengapa Ayra saat merindui lelaki itu. Hubungan mereka berdua sangat rapat. Bahkan Ayra terlalu rapat dengan Umar berbanding dirinya sendiri.

"Sebelum ni kalau ayah outstation tak penah lama macam ni. Ayra dah kira ibu, dah nak dekat 6 bulan ayah tak balik sini. Ayah dah tak sayangkan kita ke ibu?" soal Ayra sebak. Matanya jelas berkaca menahan daripada empangannya pecah berderai.

Benar kata Ayra, sudah 6 bulan sejak perceraian antara Ain dan Umar berlaku, namun sekali pun tidak pernah lelaki itu munculkan dirinya di rumah banglo ini. Bahagiakah lelaki itu dengan keluarga barunya sehingga anak-anak mereka sendiri sudah dilupakan oleh lelaki itu. Jadi tidak mustahil mengapa Ayra sudah mulai merindui lelaki kesayangannya itu.

"Siapa cakap ayah tak sayang? Ayah tak balik sebab ayah cari duit untuk Ayra, untuk adik-adik. Nanti bila semua kerja-kerja ayah dah siap mesti ayah akan balik jumpa Ayra.." jawab Ain lembut.

Hati kecilnya mula sebak memikirkan soal anak-anaknya. Bukan hanya Ayra malah Khalid dan Khalish sudah mula bertanya soal si ayah. Sampai ke hari ini anak-anaknya masih belum tahu soal perceraian dia dan Umar.

Bukan niatnya untuk menyembunyikan hal itu namun apabila memikirkan kondisi anak-anaknya yang masih kecil dia jadi tidak tegar. Dia risau sekiranya anak-anaknya turut hancur seperti yang telah dilalui oleh Ain sendiri.

"Tapi bila bu? Kenapa tiap kali Ayra call atau WhatsApp tak penah ayah jawab atau balas..?" soal Ayra tidak puas hati.

"Ayah kerja luar kawasan. Dekat tempat ayah selalu takde line telefon sayang. Sebab tu ayah tak boleh nak balas atau jawab panggilan Ayra," tipu Ain.

"Ayra rindu ayah ibu..." ucap Ayra sebak.

"Ibu tahu.. Ayra doa je banyak-banyak pada Allah supaya ayah cepat balik ya sayang," ujar Ain lembut. Tubuh kecil Ayra ditarik dan dipeluk erat.

Entah mengapa muncul perasaan kesal kepada Umar. Benar hubungan dia dan Umar sudah pun terputus, tapi mengapa lelaki itu turut mulai mengabaikan anak-anak mereka yang sangat memerlukan lelaki itu. Sungguh seorang Umar Ali benar-benar sudah berubah.

SETELAH memastikan ketiga-tiga anaknya sudah melelapkan mata, Ain melangkah masuk ke dalam bilik tidurnya. Bilik yang dulunya pernah dikongsi bersama-sama dengan seorang lelaki.

Bilik yang terlalu sarat dengan memori bahagia mereka berdua.

Punggung dilabuhkan ditepi birai katil. Wajah yang menunduk diraup kasar. Nafas lemah dihela perlahan-lahan. Beberapa ketika Ain menoleh memandang ke arah bantal yang selalu digunakan oleh Umar seketika dahulu.

Tangan meraba sesuatu dibawah bantal tersebut. Sehelai kemeja berwarna putih ditarik keluar dari bawah bantal itu. Kemeja milik Umar Ali.

Dibawa kemeja itu ke dalam dakapannya. Dipeluk seeratnya kemeja itu jelas seperti dia sedang memeluk lelaki itu. Sejak 6 bulan lalu, kemeja itulah yang menemani malamnya. Melepaskan segala rindu yang kian bersarang hampir setiap hari.

Mungkin mulut mampu berkata dia benci akan lelaki itu, namun hati tidak mampu untuk menipu. Rasa sakit akibat kecewa dan rasa cinta dan sayang menjalar menjadi satu. Sudah puas dia cuba buang namun dia sendiri tidak tahu bila semuanya akan benar-benar padam rasa cinta itu.

Lima belas tahun bukan sesuatu tempoh yang mudah untuk dilupakan. Mungkin seumur hidup dia perlukan waktu untuk benar-benar membuang lelaki itu dari dalam hatinya. Dia sendiri tidak pasti.

"Ain rindukan abang..."

Ain cuba berlagak kuat apabila berhadapan dengan orang luar dan anak-anaknya, tapi tiada seorang pun tahu hampir setiap malam dia akan ditemani oleh air mata. Air mata kerinduan, air mata kekecewaan. Kadang kala air mata ini yang akan menemaninya sehingga dia dibawa ke alam mimpi.

"Kenapa abang kejam dengan Ain..? Kenapa sampai saat ni Ain masih cintakan abang..?" desis Ain sendirian.

Ain rapuh. Jiwanya bagaikan direntap. Hatinya hancur berkecai sehingga sukar untuk dicantumkan kembali. Ain semakin sebak apabila memikirkan nasibnya. Selama ini kasih sayangnya buat lelaki itu ikhlas tapi tidak disangka kecurangan yang dibalas oleh Umar Ali untuk dirinya.

Jumaat 29.01.2021
1.47PM

Jangan lupa follow kak KM dekat Instagram @kasturimadu

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience