Rate

BAB 2

Romance Completed 248335

FLASHBACK

NASI goreng yang masih panas diletakkan diatas meja. Air milo suam dituangkan ke dalam cawan. Setelah selesai menghidang Ain melangkahkan kaki menuju ke arah ruang tamu rumah mereka. Mata mengerling ke arah anak-anaknya yang sedang leka menonton rancangan animasi di kaca televisyen.

"Ayra, Khalid, Khalish dahlah tu tengok tv. Jom kita sarapan dulu," ajak Ain lembut.

"Alaa.. Kejap lagi lah ibu.. Khalish nak tengok kartun ni dulu," rengek si bongsu Umar Khalish yang kini sudah pun berusia 5 tahun.

"Iyalah ibu.. Kejap lagi kami makan lah. Khalid pun tak lapar lagi ni," sahut si abang. Umar Khalid anak keduanya yang berusia 10 tahun.

"Khalid, Khalish kamu berdua jangan nak mengada.. Jangan sampai ibu tutup tv tu nanti," tegas Ain.

"Khalid, Khalish jomlah.. Ibu ajak makan tu kan. Tak kesian ke ibu dah penat-penat masak korang pulak buat perangai tak nak makan," celah si kakak Ayra Shafinaz.

Mendegus kasar dua beradik itu. Dengan perasaan sebal mereka bangun dan berlalu ke arah meja makan bersama si kakak. Menggeleng kepala Ain melihatkan telatah keras kepala anak-anaknya itu.

Tidak menunggu lama, Ain segera menyusul anak-anaknya untuk sama-sama bersarapan pagi. Hujung minggu adalah waktu yang paling bermakna buat Ain. Kerana waktu sebegini dia cuma mahu menghabiskan waktu bersama-sama keluarga.

Bergelar seorang ibu yang berkerjaya bukan mudah untuk Ain. Ain bernasib baik kerana mempunyai suami sebaik Umar Ali. Lelaki itu bahkan tidak lokek untuk membahagikan tugasan setiap hari mereka. Ain benar-benar bersyukur kerana diberikan jodoh lelaki sebaik Umar Ali.

"Lepas makan ni, ibu nak korang semua naik atas, mandi. Khalid kamu mandikan Khalish elok-elok. Jangan main air," tegas Ain menitipkan pesanan.

"Baik ibu," sahut ketiga-tiga permata hatinya itu.

Keadaan jeda seketika sebelum Ayra mula bersuara memecahkan kesunyian.

"Ibu bila ayah nak balik?" soal Ayra.

Ayra Shafinaz anak sulung dan merupakan satu-satunya anak perempuan Ain dan Umar. Ayra kini sudah pun menyinjak usia 13 tahun. Serasa waktu berjalan dengan begitu pantas.

"Ayah cakap hari ni dia balik. Kejap lagi sampailah tu," jawab Ain.

"Yeah... Tak sabar nak jumpa ayah," sorak Ayra gembira.

"Yeah.. Boleh ajak ayah pegi jalan-jalan," sahut Khalish pula.

"Boleh tapi dengan satu syarat.." ujar Ain.

"Apa dia ibu?" soal Khalid pula.

"Lepas makan ni, ibu nak korang pegi naik atas kemas katil korang. Lepas tu pegi mandi," tegas Ain berkata.

"Okay.." sahut ketiga-tiga beradik itu serentak.

Tersungging senyuman manis dibibir Ain melihat gelagat anak-anaknya yang kian membesar.

Selesai sahaja sesi bersarapan pagi bersama-sama, laju Ain masuk semula ke ruangan dapur untuk membersihkan pinggan dan mangkuk. Sudah beberapa hari dia menguruskan anak-anaknya sendirian dek kerana suaminya, Umar terpaksa bekerja ke luar daerah kerana menguruskan perniagaannya yang semakin berkembang maju.

Usai sahaja berkemas dibahagian dapur, kaki dibawa menuju ke arah ruang tamu rumah itu. Menggeleng kepalanya saat melihat ruang tamu itu sudah seperti tongkang pecah. Ain mengeluh kasar, faham benar dengan perangai anak-anaknya yang masih dalam proses pembesaran itu.

Pasti ibu-ibu yang mempunyai anak juga akan mengalami nasib yang sama sepertinya. Tidak mahu menunggu lama bantal-bantal yang berselerak diatas lantai diambil dan diletakkan kembali ke tempat asalnya.

Selesai sahaja berkemas dibahagian ruang tamu, tiba-tiba telinganya menyapa bunyi deruman enjin kereta yang masuk ke halaman rumah itu. Terbit senyuman manis dibibirnya. Sudah pasti suami kesayangannya sudah pulang.

Laju Ain berlari anak ke arah sebuah cermin hiasan yang berada di ruang tamu. Penampilannya dirapikan sebaik mungkin, rambut panjangnya diikat kemas menjadi seperti ekor kuda. Setelah memastikan penampilannya kemas, laju dia menuju ke arah pintu utama. Menyambut kepulangan suami tercinta, Umar Ali.

Ain berdiri kaku dihadapan muka pintu apabila terpandangkan Umar Ali yang keluar daripada perut kereta sambil menggendong sesuatu di tangan sasa lelaki itu. Dahi sudah berkerut pelik. Wajah lelaki itu yang kelihatan sugul semakin membuatkan Ain tertanya-tanya.

"As... Assalamualaikum..." ucap Umar Ali perlahan.

"Waalaikumusalam.." jawab Ain. Tangan Umar dikucup mesra.

"Anak-anak mana?" soal Umar gugup.

"Ada dekat atas. Abang anak siapa yang abang bawak balik ni?" soal Ain penasaran.

Umar mengeluh kasar. Soalan Ain dibiarkan sepi. Dia melangkahkan kakinya menuju ke arah ruang tamu rumah mereka. Bayi yang masih merah itu diletakkan penuh berhati-hati diatas sofa empuk.

Ain yang sedari tadi memerhatikan Umar sekali lagi menyoal.

"Abang.. Ain tanya ni, anak siapa yang abang bawak balik ni?" soal Ain curiga.

Umar menundukkan kepalanya seketika. Wajah diraup kasar. Cuba mencari sedikit kekuatan. Sudah sampai masanya dia berlaku jujur dengan wanita ini. Namun dia masih tidak mempunyai sebarang kekuatan untuk menuturkan kebenaran yang pasti akan membuatkan wanita itu hancur.

"Abang..? Anak siapa yang abang bawak balik ni?" soal Ain lagi.

Mata mengerling ke arah bayi yang sedang lena di atas sofa empuk itu. Dada menahan debaran saat terpandangkan wajah bayi itu yang begitu mirip sekali dengan wajah kacak Umar Ali.

Setelah puas diasak beberapa kali oleh Ain, akhirnya Umar mula membuka mulutnya.

"Anak abang.." jawab Umar senafas.

Berdetak hebat irama jantung Ain saat mendengarkan apa yang barusan dikatakan oleh Umar.

"Ha.. Ha.. Ha.. Apa abang merepek ni. Tak kelakar lah," terhambur ketawa hambar Ain saat itu.

"Abang tak main-main Ain. Ini memang anak abang," ucap Umar senada.

Terasa kaku tubuh Ain saat itu. Mata laju merenung tajam ke arah Umar.

"Apa abang cakap?" soal Ain lagi.

"Ini anak abang, anak abang dengan Suriyani," ulang Umar.

"Suriyani..? Siapa Suriyani?" soal Ain. Turun naik nafasnya menahan segala rasa yang mula menjadi satu.

"Suriyani... Dia..." gagap Umar.

"Siapa Suriyani..?!"

"Suriyani tu kekasih abang..." jawab Umar senada. Nafas berat dihela. Wajah diraup kasar.

Terduduk Ain saat mendengarkan kata-kata yang keluar daripada mulut Umar. Berderau darahnya saat itu. Serasa dunianya kelam seketika.

Suara bingit anak-anaknya yang baru sahaja turun ke ruang tamu tidak dihiraukan. Otaknya masih cuba mencerna situasi yang sedang dia hadapi saat ini.

"Yeah.. Ayah dah balik," sorak Khalish. Laju si kecil mendakap tubuh sasa milik Umar.

"Ayah.. Jom keluar, kami semua dah siap-siap. Kami tunggu ayah je," ajak Khalid pula.

"Eh..ada baby la..." laju Ayra mendekati bayi yang diletakkan diatas sofa empuk di ruang tamu itu.

"Comelnya," bulat mata Khalish memandang bayi kecil itu.

"Ayah baby siapa ni?" soal Khalid pula.

"Ni adik korang semua," jawab Umar selamba.

Berdesing telinga Ain saat mendengarkan apa yang dikatakan oleh Umar. Lantang dia bersuara.

"Ayra, Khalid, Khalish pegi naik atas sekarang," jerit Ain.

"Tapi..."

"Ibu cakap pegi naik atas sekarang..!" jerkah Ain kuat.

Mencicit lari anak-anaknya berlari anak masuk ke bilik masing-masing. Tahu benar sikap tegas Ain Marsyitah.

Hilang saja kelibat anak-anaknya segera dia menyoal Umar. Mata mencerlung tajam ke arah Umar Ali.

"Siapa Suriyani?" soal Ain tidak puas hati. Sudah terang lagi bersuluh wanita yang disebut oleh Umar langsung tidak dikenali Ain.

"Dia salah seorang pekerja abang," jujur Umar.

Ain segera bangun dan berdiri dihadapan Umar yang semakin menundukkan wajahnya.

"Merangkap kekasih gelap abang?" soal Ain sinis.

"Abang minta maaf. Abang tak sangka akan jadi macam ni," ucap Umar bersalah.

"Kenapa abang? Kenapa? Kenapa abang curang dengan Ain? Kenapa? Apa kurangnya Ain?" soal Ain bertalu-talu. Air mata yang ditahan akhirnya pecah jua mengalir laju membasahi pipinya.

"Ain.. Abang minta maaf.. Abang tahu abang salah. Maafkan abang Ain.." rayu Umar. Dia juga kini sudah berdiri dihadapan Ain. Tangan sasanya naik memegang bahu si isteri.

"Jangan sentuh Ain..." keras Ain berkata. Tangan sasa Umar di tepis kasar.

"Selama ni Ain percayakan abang. Tapi ni yang abang balas pada Ain.. Kenapa abang..?! Ain ni bukan isteri yang baik ke sampaikan sanggup abang buat Ain macam ni?"

"Abang minta maaf Ain... Ain tak salah, abang yang salah dalam hal ni. Malah Ain adalah sebaik-baiknya seorang isteri. Abang kalah.. Kalah dengan nafsu abang sendiri," ucap Umar kesal. Tubuh Ain didakap erat. Air mata lelakinya jatuh jua saat melihatkan kerapuhan Ain Marsyitah, isterinya itu.

"Tergamak abang buat macam ni dekat Ain. Apa salah Ain.. Sanggup abang curang dengan perempuan lain..!" jerit Ain sebak. Semakin dia cuba merungkaikan pelukan daripada Umar semakin erat lelaki itu memeluknya.

Jiwanya hancur. Hatinya lunyai kerana lelaki itu. Umar Ali.

"Abang minta maaf...." ucap Umar lagi.

MATA merenung kosong ke arah dinding putih yang berada dihadapannya. Tiada lagi air mata yang mengalir dipipinya. Bunyi pintu yang sudah ditutup langsung tidak menarik perhatiannya kali ini. Tahu benar Ain siapakah gerangan yang sudah masuk ke kamar beradu dia dan Umar. Pasti lelaki itu.

Nafas dihela sedikit berat. Hatinya sudah tidak berupaya untuk terus bertahan menghadapi kenyataan yang cukup pahit ini. Lebih pahit daripada rasa hempedu bumi.

"Saya nak bercerai," ujar Ain memecahkan kesunyian.

Membuntang mata Umar. Laju dia menoleh memandang Ain dengan pandangan tidak percaya.

"Ain sedar tak apa yang Ain cakapkan ni?" soal Umar tidak percaya.

"Saya sedar. Saya nak bercerai dengan awak," jawab Ain lagi.

Tersentak Umar saat mendengarkan panggilan yang dituturkan oleh Ain kepadanya.

"Berdosa Ain.. Berdosa seorang isteri minta cerai pada suaminya. Bergegar tiang Arash.." ujar Umar tegas.

"Dosa saya, awak sedar? Tapi dosa awak? Ada awak sedar? Jangan cakap soal dosa dan pahala kalau awak sendiri pun berzina dekat luar sana," ucap Ain keras.

"Ain...!" jerkah Umar tanpa sedar.

"Kenapa? Apa yang saya cakapkan ni tak betul? Tak boleh terima?" soal Ain sinis.

Rasa hormat sudah hilang buat lelaki itu, malah diganti dengan perasaan jijik. Jijik dengan perbuatan lelaki itu yang tidak mengenal halal dan haram. Benar apa yang selalu dia dengar, sudah ada yang halal masih mencari yang haram demi kepuasan nafsu serakah.

"Abang takkan ceraikan Ain walau apa pun jadi," ucap Umar lembut.

"Suka atau tidak saya tetap nak bercerai. Saya dah tak boleh nak duduk sebumbung dengan awak. Dengan anak luar nikah awak tu," turun naik dadanya menghamburkan amarah yang semakin membuak-buak.

"Ain.. Dia tak salah. Abang yang salah dalam hal ni. Please bagi abang peluang betulkan keadaan ni balik," pujuk Umar.

"Apa yang awak harapkan daripada saya Umar? Cuba kalau saya yang curang dengan awak. Saya mengandungkan anak lelaki lain dan bawa kepada awak supaya awak menerima dia dengan hati yang terbuka. Adakah awak akan menerima segala pengkhianatan yang saya lakukan pada awak?" soal Ain sebak.

"Ain.. Abang minta maaf. Abang betul-betul menyesal dengan apa yang dah jadi. Please bagi abang peluang betulkan keadaan ni semula," Umar masih tidak berputus asa untuk memujuk Ain.

"Kesalahan yang awak dah lakukan bukan mudah untuk dimaafkan Umar. Walau ambil seribu tahun sekali pun belum tentu dapat dimaafkan. Saya bukan sebaik nabi yang mudah untuk memaafkan orang lain dengan mudah. Saya cukup terluka. Luka yang awak berikan cukup sukar untuk diubati.."

"Okay abang akan bagi Ain masa untuk terima keadaan ni. Tapi tolong abang tak nak sampai kita bercerai. Abang sayangkan Ain. Abang ikhlas cintakan Ain," luah Umar.

"Cinta? Sayang? Kalau cinta awak takkan mudah duakan saya dengan perempuan lain. Kalau awak dah tak sayangkan saya sekali pun fikir soal anak-anak awak. Apa jadi dengan dorang kalau dorang tahu ayah yang selama ni dorang sanjung rupa-rupanya sama je macam lelaki buaya dekat luar sana. Berzina dengan perempuan lain," ucap Ain kesal.

"Please Ain.. Jangan buat abang macam ni," rayu Umar sebak.

"Mungkin ni semua berpunca daripada saya sendiri. Saya yang gagal sebenarnya. Gagal dalam perkahwinan saya sendiri. Sampaikan suami sendiri curang dengan perempuan lain pun saya tak sedar. Saya terlalu bahagia dengan dunia kayangan yang diciptakan sampaikan buta dengan keadaan disekeliling saya," air mata yang ingin menitis dilap kasar.

Remuk hati Umar saat Ain mula menyalahkan dirinya sendiri.

"Bukan salah Ain. Abang yang salah. Abang leka dengan dunia. Abang alpa saat ada godaan datang. Abang sendiri tak berusaha untuk tepis godaan tu. Abang tewas. Tewas dengan permainan dunia."

Umar benar-benar kesal. Kesal kerana terlalu mengikut hawa nafsu sehinggakan tegar mencari wanita lain, sedangkan jelas-jelas Ain sudah cukup sempurna. Seorang isteri yang halal untuknya.

Umar mengakui Ain Marsyitah adalah seorang isteri dan ibu yang sentiasa mahukan yang terbaik untuk mereka sekeluarga. Tidak pernah dia mendengarkan wanita itu mengeluh walau sekali.

Dia beruntung kerana memiliki wanita sehebat Ain Marsyitah. Namun luka yang digoreskan dihati wanita itu umpama sudah tiada penawarnya.

Khamis 28.01.2021
12.08 PM

Ok ke tak tu...?? Jangan lupa follow kak KM @kasturimadu

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience