Perpustakaan itu memang senyap apalagi di jam sebegini. Semua tekun membaca buku. Dia meletakkan buku-buku yang dipilihnya tadi di atas meja panjang itu. Earphone diambil lalu dipasang di telinga. Kerusi itu ditarik perlahan, senyap. Tidak mahu menganggu orang lain.
Buku rujukan Biologi dipilih untuk ditelaah. Lagu Perfect nyanyian Ed Sheeran mula berkumandang di telinga. Kepalanya digoyang mengikut rentak lagu tersebut. Buku Biology yang berada di hadapannya itu dipandang. ‘Bosan pulak nak baca sorang-sorang ni,’ getus hatinya. Telefon bimbit Corby II diambil dari dalam kocek lalu tekun menaip sesuatu. Selesai.
Dia menyelak buku rujukan itu sekadar melihat sekali imbas. Mencari isi-isi penting. Mana tahu kalau-kalau keluar dalam kertas, dapat jugak dia jawab. Lama juga dia menyelak buku itu. Dapatlah sikit-sikit isi penting.
“Aida.”
Aida segera menalakan matanya pada empunya suara. “Fiya, datang pun kau!” Semua mata memandang Aida. Aida tersengih lalu mengangkat tangan sebagai tanda minta maaf.
“Senyap sikitlah… Orang nak baca pun tak senang,” Fiya mula mengomel. Aida hanya tersengih.
“Belajar jom!” Aida menalakan matanya pada Fiya yang kini sudah duduk di hadapannya. Fiya mengangguk tanda setuju. Dia membuka beg lalu mengeluarkan buku latihan.
“Kau bawa tu je?” suara Aida perlahan tapi agak menekan. Fiya dengan muka selamba hanya mengangguk. Aida tersenyum lalu menggeleng.
“Pukul…” Aida melihat jam tangannya, “… dua nanti kita keluar. Temankan aku pergi beli barang sikit. Boleh?” Fiya menjeling rakannya itu. Dia mengangguk. “Okay.”
“KAU dah sedia belum exam Bio ni?” Fiya yang sedang leka membelek-belek novel terus memandang Aida yang sudah berdekatan dengannya.
“Kau dah siap cari barang kau ke?” dia tidak menghiraukan soalan Aida. Aida hanya menunjuk kertas glossy yang berada di tangannya.
“Itu je?” Fiya bertanya. Aida hanya mengangguk.
“Aku bayar dulu. Lepas tu kita pergi makan? Aku lapar…”
“MAN… JA!”
Aida berlalu pergi ke kaunter bayaran. Fiya menggeleng. ‘Apa-apa jelah kawan aku seorang ni,’ getus hatinya.
Share this novel