Terlalu lama dia tidak mendengar khabar Abang Irfan. Kali terakhir dia jumpa sewaktu Abang Irfan datang melawat ayah. Rindu ke, Fiya? Fiya hanya menggeleng. Takkan nak rindu pula…
Sesi persekolahan 2012 sudah pun bermula. Tahun untuk dia mengambil SPM. Pada hari pertama persekolahan sahaja, banyak tips-tips yang diberikan oleh guru matapelajaran. Tak menang tangan juga dengan kerja sekolah yang berlambak bak Gunung Kinabalu itu. Fiya pun tahu, tahun ini dia mengambil SPM. Mana boleh sambil lewa lagi dalam pelajaran. Sewaktu Tingkatan 4 dulu pun, abangnya tidak habis-habis menyuruhnya belajar. Bak kata pelajar Tingkatan 4, tahun bulan madu. Tapi bagi dia, tak ada madunya. Pahit yang banyak. Tingkatan 5 ini, lagi bertambah pahitnya.
“Sejak bila kau suka termenung memanjang ni? Cuba cerita dekat aku sikit,” Syafiq yang berada di sebelahnya tiba-tiba bertanya.
Fiya tersentak. “Kau ni bagi salam boleh tak?”
“Sorry… haa, dari tadi kau menung apa?”
“Menung apanya? Mana ada,” terus Fiya menalakan matanya ke arah buku teks Sejarah untuk dibaca. Mata di buku teks, hati di tempat lain.
“Gebang…” Syafiq pun terus pergi ke tempat duduknya. Fiya menggeleng. Bising je mulut, macam perempuan.
* * *
LAGU Rain Over Me – Marc Anthony berkumandang menandakan ada panggilan masuk. Cepat-cepat dia berlari ke arah telefon bimbitnya yang berada di atas katil. Aida…
“Assalamualaikum…” Aida memberi salam sebagai kata pendahuluan.
“Waalaikumussalam… nak apa?”
Kedengaran suara di sana seperti tersengih. “Sabtu esok teman aku pergi Popular. Ayah aku suruh beli buku rujukan sendiri. Kau pun tahukan, aku ni mana pandai nak pilih buku-buku ni. Boleh eh?”
“Esok? Nanti aku tanya ibu aku. Kalau boleh, aku call kau.”
“OKAY! Bye… terima kasih kawan.”
“Sa…” panggilan di sana sudah dimatikan. Baru nak jawab, dah mati. Nasib baik kawan aku sendiri.
Share this novel