PENING, lelah dan penat. Tidak tahu di mana hendak memulakan kisah kecil ini. Kepalaku dilentokkan di atas meja kayu, sementara menunggu guru seterusnya masuk ke kelas. Dua sahabat di sebelah sibuk membincangkan kerja sekolah, berbeza dengan aku yang tidak sihat. Jika ada katil di kelas ini, sudah lama aku berbaring melegakan diri.
Lebih memeningkan, apabila seorang lelaki yang telah lama aku menyimpan perasaan kepadanya, kini tiada lagi di mata. Begitulah realiti 'crush' yang bermaksud cinta sebelah pihak, dipendam di dalam hati dan malu untuk meluahkan.
Hakikatnya, lelaki itu sudah meninggal. Meninggalkan sekolah ini. Bukan meninggal dunia dan dikebumikan di dalam kubur, melainkan dia sudah berpindah ke sekolah baharu, mungkin kerana masalah keluarga.
Namanya Firdaus. Di dalam diam, aku telah menyimpan perasaan terhadapnya. Tidak pernah aku merapati mahupun bercadang untuk bercinta, kerana ia haram di dalam hukum Islam. Tiada guna aku bersekolah agama setiap hari Isnin hingga Jumaat, jika tidak dipraktikkan di alam realiti.
Secara jujurnya, Firdaus juga menyukai seseorang di dalam diam, iaitu kawan sekelasku, Sufiah. Langsung tiada perasaan cemburu mahupun sakit hati, dek perasaanku hanya kerana kecomelannya dan tidak berhasrat untuk lebih daripada itu, atau nama lainnya PERKAHWINAN. Tidak sama sekali.
"Zureen, bangun! Cikgu, Zureen!"
Aku tersedar dari mimpi, saat namaku dipetik oleh Aulia, sang sahabat sejati. Ya, nama aku ialah Zureen Maisara binti Alias, tujuh belas tahun. Tahun ini, aku bakal menduduki satu ujian yang besar, bakal menentukan kerjayaku nanti.
'Crush' aku kepada Firdaus, sekadar cinta monyet zaman sekolah. Dan kini, dia sudah pergi dibawa masa, hanya kenangan menjadi saksi. Yang sudah berlalu pergi, biarlah.
Hanya memori yang berlalu sepi. Sebenarnya jauh di sudut hati, jauh sekali aku kecewa dan terluka, sebaliknya hanya perasaan biasa.
Imbasan ini, hanya untuk mengingati kembali detik-detik malang tersebut. Aku terima dengan hati yang redha dan terbuka. Kerana kisah ini, bukan sahaja tentang dia, malah pelbagai orang lagi akan bertemu denganku nanti. Apabila dewasa.
Imbas kembali.
MATAHARI terik memancar bumi. Setelah mendapat kebenaran guru, aku melangkah laju ingin ke tandas yang berada di tingkat bawah. Sebelum itu, sempat juga aku mengerling sekali ke arah papan tanda kelasku yang bernama '5 Firdaus'.
Nama dia. Bukan tiada nama lain untuk memberi nama kelas, nama ini diambil daripada nama-nama syurga. Selain Firdaus, ada juga yang bernama Makwa, Khuldi, Darussalam, Adnin dan Naim.
Setiap anak tangga dituruni dengan berhati-hati, tidak mahu pelajar lelaki mendengari setiap langkahku. Tandas di tingkat bawah sebaris dengan kelas-kelas pelajar lelaki tingkatan lima yang menempatkan Firdaus dan mereka yang lain. Maklumlah, sekolah kami tidak mencampurkan kelas lelaki dan perempuan. Ikhtilat katanya.
Lima Makwa.
5 Makwa. Ejaannya bermula dengan abjad M, kemudiannya A, K, W dan akhir sekali A. Diakhiri dengan abjad pertama dalam susunan 26 huruf dan bukan yang kelima. Mudah katanya, MAKWA dan bukan MAKWE.
Kelas pelajar diasingkan mengikut jantina, hairan juga tandas perempuan dibina di tepi kelas lelaki. Ya, bangunan sekolah ini merupakan bangunan lama, dan pelajar semakn meningkat saban tahun. Kelas sudah sempit dan tidak cukup, pihak sekolah hanya sambung-menyambung bangunan, seperti lego.
Sempat mataku melirik ke arah seorang pelajar lelaki, kemas rambutnya ditutup dengan songkok hitam. Sedang aku memerhatikannya, tanpa sedar dia 'perasan' akan kewujudan aku di sini. Kakiku bergerak pantas meninggalkan kawasan tersebut. Sudahlah di dalamnya ada seorang ustaz paling garang di sekolah, atau lebih terkenal sebagai guru disiplin. Jika dia menyedari aku mencuri-curi pandang pelajar lelaki, pasti aku akan dikenakan tindakan disiplin.
Ekor mataku memerhati dari jauh, ustaz yang tadinya sedang mengajar di dalam kelas, kini melangkah keluar bersama rotan panjangnya dan buku. Setelah ustaz bergerak jauh beberapa meter, ada sekumpulan pelajar lelaki turut keluar dari bilik kelas tersebut. Itu biasa, bagi sesetengah pelajar lelaki.
Tandas menjadi destinasiku. Masa inilah, aku perlu mengambil kesempatan untuk mencuri-curi pandang si dia, namun aku perlu menyelesaikan diri terlebih dahulu. Selesai sahaja, aku keluar dari tandas dengan kaki kanan. Tidak mahu berlama-lama di tempat syaitan.
Langkahku terhenti sebaik sahaja menyedari encik 'crush' sedang berbual dengan beberapa rakannya di hadapan mata. Agak jauh, namun cukup untuk membuatkan hati kecil ini berdebar-debar, menahan gemuruh yang terbuku.
"Aku kan... sebenarnya..."
Dari jauh, aku cuba membuka telinga seluasnya dan mendengar kata-kata dia. Tidak mahu berlama-lama, langsung sahaja aku mendaki anak tangga, kembali ke kelas. Risau sekiranya terkantoi nanti.
Hati kecilku masih curiga, apakah sebenarnya yang ingin dikatakan si dia? Sejak tadi, aku berasa tidak sedap hati, seperti ingin tahu juga perbualan mereka. Terasa sesuatu yang buruk bakal terjadi.
Dan kisah ini berakhir di sini. Dua minggu berlalu dan aku masih meneruskan hidup seperti biasa, sehingga aku terlupa akan perkara itu.
Sejak awal pagi, aku mencari kelibat Firdaus di tempat biasa, a.k.a port lepak mereka. Selalunya, mereka ada sahaj setiap pagi, minum dan berbual di sini sebelum waktu kelas. Berbeza dengan hari ini, tiada. Pelajar lain yang memonopoli port lepak tersebut.
Kelibatnya hilang dari pandangan mata. Kali terakhir aku melihatnya, minggu lalu. Firasat hatiku kuat berkata, dia tidak akan muncul kembali.
Tidak, itu hanya firasat hati.
Lebih baik aku mencari jalan lain, dengan bertanya rakannya. Hendak bertanya secara direct, malu pula. Jatuhlah air muka wanita melayu terakhir, suka-suka bertegur sapa dengan lelaki. Tidak apa, aku sentiasa merancang dua pelan. Jika pelan pertama tidak mampu dilakukan, pasti ada yang kedua menjadi pertolongan.
Pelan kedua itu, ialah dengan menggunakan perantaraan. Seperti yang aku katakan tadi, aku merupakan seorang senior di sekolah ini. Al-maklumlah, tahun terakhir berkepompong di alam persekolahan. Tahun depan, tiada lagi.
Satu kelibat bertubuh kecil melintasi mataku. Aku mula tersenyum lebar, tahu apa yang hendak dilakukan kepada dia. Bukan aku mahu membulinya, sebaliknya mahu meminta pertolongan kecil.
"Balqis!" namanya dipanggil. Aku melakukan isyarat tangan memanggilnya menghampiri aku. Junior bukan sebarang junior, sebaliknya dia ialah adik kepada kawan Firdaus.
Hehe, bijak tak saya?
"Ya akak, kenapa panggil?" soalnya sopan, menghormati aku sebagai senior.
"Tolong akak boleh?" Wajah paling comel di dunia ditunjukkan kepada Balqis, mengharapkan sesuatu. "Tolong..."
***
Keesokan harinya.
Berita daripada Balqis sudah sampai ke telingaku. Jelas sekali setiap perkataan yang aku dengari ketika diucapkan si adik kepada kawan Firdaus.
Dia sudah berpindah.
Riaksiku agak kecewa, namun sebentar sahaja. Tidak perlu berlama-lama, dia bukanlah sesiapa. Bukan ada hubungan yang sah.
Tamat imbas kembali.
HARI INI.
Hakikat yang aku perlu terima dengan hati yang redha. Tanpa disangka sesiapa, perasaan 'crush' aku kepadanya hanya bertahan selama tiga bulan sahaja.
Dia yang pernah menakluki sang hati, kini tidak lagi berdiri di sini. Rancangan Tuhan, tiada siapa yang menjangka.
Aku menghampiri Sufiah, pelajar perempuan yang sedikit rendah, pernah disukai oleh Firdaus. Hendak tahu juga, apa riaksi Sufiah apabila Firdaus sudah tiada.
"Suf, kau tahu tak Firdaus 5 Makwa tu, dah pindah? Tak rindu dia ke?" usikku sambil ketawa kecil. Manalah tahu, jika Sufiah menyimpan hati di dalam diam. Hati manusia, tidak dapat dibaca.
"Tak, aku tak rindu pun. Aku tak pernah sukakan dia," jawabnya. Sempoi. Sufiah menunjukkan barisan giginya yang tersusun cantik. Manis. Manalah tidak lelaki terjatuh hati?
Ternyata, Sufiah tidak pernah membuka hati kepada Firdaus. Biarlah, buat apa aku mahu menjaga tepi kain orang lain, silap-silap dosa pula yang mendapat. Aku fikir, aku masih mempunyai peluang, sebaliknya takdit tertulis Firdaus pergi dahulu meninggalkan sekolah ini.
Kini, aku sunyi. Nasib baiklah ada dua sahabat menjadi teman, Aulia dan Dilla.
Kisah ini, bermula di sini. Bukan lagi tentang si dia yang telah pergi, tetapi tentang kisah hidupku yang akan datang.
Mungkin, setahun lagi.
Mungkin, dua tahun lagi.
Mungkin juga, sepuluh tahun lagi.
Masih ramai manusia yang aku akan temui, bermula esok dan hari-hari seterusnya. Tentang Firdaus, aku perlu melenyapkannya dari fikiran, sebelum ia memusnahkan diri sendiri.
Percayalah, bunga itu bukan sekuntum.
Share this novel