BEBOLA mataku sejak tadi memerhati sahaja sekujur tubuh yang sedang bersama kumpulan kesayangannya, kumpulan lapan. Ini tidak boleh jadi, sutaz sepatutnya berada bersama kumpulan kami, bukan kumpulan tersebut!
"Ini tidak boleh jadi..." gumam aku. Perasaan cemburu semakin menebal, melihat seronoknya Dilla dan sembilan ahli yang lain bersama dengan ustaz tersebut. Seringkali aku tertanya-tanya, mengapa bukan aku?
Asyik-asyik, dia mahu dengan kumpulan lapannya sahaja. Macamlah tiada kumpulan lain. Masih ada tujuh kumpulan lain, tidak mahu diusik olehnya. Apalah yang istimewa di dalam kumpulan itu, sehingga membuatkan ustaz tersebut berkepit dengan mereka sahaja?
Baiklah, daripada aku tertanya-tanya tentang itu, lebih baik aku bertanya kepada diri sendiri, apa tujuan aku cemburu?
Aku terdiam. Aku meyakini sepenuh hati, ini bukanlah sebuah cinta. Bukan.
Jangan pernah terjatuh cinta dengan seorang guru, sama ada guru praktikal atau sebaliknya. Mereka juga mempunyai kehidupan masing-masing, bukan sahaja dengan sekolah dan murid.
Dan, percayalah.
Jika dia dilahirkan kacak sebegini, pasti ramai rebutan. Bukan mudah untuk aku ingin berebut dengan ratusan manusia lain yang merebutnya.
*****
DUA minggu selepas perkhemahan itu. Kejadian bersejarah itu telah lama berlalu. Jika kejadian itu perlu diletakkan tajuk, akan aku letak 'cemburu' sebagai tajuknya.
Aku harus melupakannya. Dua sahabatku pun tidak lagi mengesyaki apa-apa tentang aku dan ustaz tersebut.
Jika mahu diikutkan, apalah sangat yang perlu aku cemburu dengan pilihannya tempoh hari. Itu ialah haknya. Mungkin, kumpulan lapan itu mempunyai keistimewaan, tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
"Zureen, termenung jauh ke?"
"Aku panggil banyak kali, tak jawab pun."
Aku tersedak dan terkejut. Sejak kebelakangan ini, seringkali aku termenung jauh. Aku bertekad, aku tidak akan bercinta lagi, walaupun namanya sekadar 'crush'.
Tahun ini, tahun yang penting buatku. Tahun ini, bakal menentukan di masa hadapan kelak. Aku tidak mahu lagi mengejar cinta monyet ini. Cukuplah perasaan 'crush' tersebut memusnahkan diriku. Belum masanya, untuk aku bercinta.
"Sorry. Aku tak dengar tadi." Nada suaraku hanya dibiarkan perlahan, sekadar dapat didengari mereka berdua. Kecekalan aku perlu dikembalikan. Tidak mungkin hanya kerana cemburu yang tidak ada tujuan itu, memusnahkan hidupku.
"Kenapa kau ni suka termenung semenjak dua menjak ni? Pelik betullah kami tengok kau. Lagi hairan, bila kau termenung sambil tersenyum-senyum sendiri. Macam orang ANGAU." Aulia ketawa kecil. Perkataan 'angau' itu ditekan.
Ya, Aulia juga perasan akan perubahan pelikku.
"Angau? Aku ni, pelik sangatkah?" soalku hairan. Kepala yang tidak gatal digaru. Jika benarlah aku 'angau', maka dengan siapa?
"Taklah pelik sangat. Tapi, angau kau sekarang lagi teruk daripada angau kau dengan Firdaus hari tu." Aulia ketawa lagi. Nasib baiklah Dilla ke tandas, tidakmendengari perkataan Firdaus tersebut. Bimbang menimbulkan fitnah.
"Macam mana... kau boleh tahu tentang Firdaus?" Nada suaraku semakin diperlahankan, tidak mahu seisi kelas mendengarinya. "Oh ya, barulah ingat. Hari itu ada beritahu, kan?"
"Iyalah. Macam mana boleh lupa? Angau eh?" Ayat daripada Aulia, menusuk kalbuku. Berkali-kali disebut perkataan angau itu, ibarat menikam pisau ke jantungku. Begitu dalam.
"Alahai, kau pun tahu, aku tak suka siapa-siapa selain Firdaus. Malas aku, nak memikirkan pasal crush-crush ni. Nanti tahun depan, suka hatilah nak bercinta ke, nak tunang ke, nak kahwin ke, asal jangan buat dosa, sudah." jawabku seloroh. Dengan nasihat dua inci aku hamburkan, biar topik ini dimatikan.
"Memanglah. Aku cuma hairan. H-A-I-R-A-N. Selalu senyum seorang-seorang, macam ada yang tak kena. Aku bukan apa, takut kau jadi orang gila je. Nak aku bawa ke tanjung rambutan?"
Aulia dan aku diam sebentar.
"Lagi satu... asal kau nampak Ustaz Imran je, kau macam..." Belum sempat Aulia menghabiskan sisa-sisa perkataannya, terlebih dahulu aku menutup mulutnya, sebaik sahaja melihat Dilla datang.
Dua minggu Aulia tidak membuka topik ini, kini muncul kembali. Aku fikir, aku akan melarikan diri dengan mudah, sebaliknya ini yang terjadi. Tetapi, ternyata tidak.
"Kau orang ni, kenapa?" soal Dilla hairan melihat adegan kami berdua. Aulia dan aku.
"Err, tak ada apalah."
Kami tidak mahu memberi tahu Dilla yang bermulut celopar itu. Jika tidak, habis satu sekolah diberitahunya. Padahal, ia hanya sekadar andaian, belum lagi disahihkan.
"Kau orang berdua, ada sembunyikan sesuatu ke?" Dilla mula mengesyaki sesuatu antara kami. Aksinya berjalan mengelilingi kami, seolah-olah pengawas yang ingin membuat spot check.
Kami berdua masih diam membisu. Hanya anggota tubuh yang bergerak, manakala mulut masih kaku.
Setelah beberapa saat, barulah Aulia berani bersuara. "Kami main, tadi."
Nasib baiklah, Aulia bijak dalam menutup rahsia. Sudah lama kami berkawan, Aulia pun sudah tahu perangai Dilla, si mulut tempayan.
*****
JAM di dinding ditenung sebentar, melihat angka yang ditunjukkan jarumnya. Sebelas pagi, kini waktu matematik. Kerja sekolah yang diberikan semalam, nasib baiklah sempat disiapkan malam semalam. Bertungkus lumus aku lakukannya sehingga tidur lewat, tidak tahulah jika cikgu datang mahupun tidak hari ini.
"Assalamualaikum semua, Cikgu Mariam suruh siapkan latihan yang cikgu bagi semalam, siapa yang tak siap lagi!" Suara Aimy, si ketua kelas bergema di sekeliling kelas.
"Waalaikumussalam, cik Aimy cantik." Beberapa orang ahli kelas menjawab.
Aku dan Aulia tidak tahu mahu membuat apa. Kami berdua sudah siap latihan yang diberikan semalam. Biarpun amat susah, aku meminta Kak Zehra mengajarku.
"Aimy, sekarang tak ada cikgu ganti ke?" tanya seorang murid kelas kami kepada Aimy. Kebiasaannya, ada guru yang akan menggantikan waktu guru mengajar tidak hadir atau tidak masuk ke kelas.
"Entah." Bahu gadis tinggi itu diangkat tanda tidak tahu. Yang penting, dia sidah menyampaikan amanah daripada Cikgu Mariam, meminta murid-murid menyiapkan latihan semalam.
Tup tap tup tap.
Derapan tapak kasut menerpa ruangan pendengaranku. Ia bukanlah kasut tumit tinggi milik Cikgu Mariam, tetapi ianya bunyi sepatu.
Sepatu.
Tup tap tup tap.
Bunyi itu masih tidak berhenti. Seisi kelas yang riuh dengan suara pelajar perempuan kini sepi. Bunyi itu semakin hampir, menghampiri aku dan yang lain. Bauan minyak attar mula menusuk hidungku, menandakan tubuh lelaki itu semakin hampir.
Figura lelaki yang berketinggian sederhana itu muncul di muka pintu. Yang pasti, ia bukanlah murid.
Dia...
Tidak perlu cakap pun, rasanya sudah dapat ditebak oleh akal fikiran. Lelaki berusia awal 20-an, berbaju batik berlengan panjang. Wajahnya yang berkacukan Cina, membuatkan ramai pelajar perempuan membayangkan sebagai suami.
Jangan kata dia yang menggantikan waktu Cikgu Mariam hari ini, please no!
Jantungku berdegup kencang. Aku cuba untuk bertenang, namun ianya agak payah ketika ini. Nasiblah sang jantung duduknya di dalam tubuh, tidak dapat dilihat manusia lain oleh mata kasar, bahkam juga diri sendiri. Jika mereka dapat melihat jantung aku yang semakin berdegup kencang, pasti aku difitnah lagi.
"Assalamualaikum banat, ini kelas 5 Firdaus ya?" Dia memandang papan tanda kelas, memastikan kelas yang ingin dimasukinya benar.
Tidak, jangan cakap...
"Saya menggantikan waktu Cikgu Mariam hari ini." Sekulum senyuman lekat di bibir merahnya. Kulit wajahnya bersih daripada sebarang kotoran, menandakan dia sangat menjaga kebersihan.
Flawless.
"First time, saya masuk kelas perempuan. Selama ini, saya hanya masuk kelas lelaki sahaja." Ustaz Imran melangkah penuh sopan ke dalam lantai kelas, namun masih mengekalkan kemacoannya.
"Ohh begitu. Masuklah ustaz, jangan malu-malu kucing. Kami bukan nak mengurat ustaz pun." Aimy membalas penuh ramah. Dialah yang paling ramah dan tidak kekok untuk berbual dengan sesiapa, bahkan orang yang baru dikenalinya. Jika sekadar ustaz muda yang tidak jauh beza umur ini, apalah sangat.
"Ramahnya kamu. Terima kasih. Saya pun ramah juga tau." Ustaz mengambil tempat berhadapan dengan Aimy. Dari jauh ekor mataku memandang, terasa mereka sangat dekat. DEKAT.
Usah ditanya tentang sejauh mana perasaan cemburuku. Ia kembali lagi, malah lebih teruk dari sebelum ini. Ada sahaja yang tidak kena di mataku. Entahlah, malas untuk aku bercerita, biarlah Allah yang Maha Mengetahui segalanya yang masih terbuku jauh di sudut hati.
"Terima kasih ustaz. Mak saya pesan, kena jadi ramah. Jangan malu-malu, barulah ramai kawan." Mata mereka saling bertemu.
Tidak, tidak, tidak.
Aku menggeleng pantas. Kertas dan pen dicapai, aku menyibukkan diri supaya tidak lagi melihat 'adegan' mesra tersebut. Namun, aku masih senyap-senyap melirik ke arah mereka, hendak tahu juga apa yang mereka lakukan.
Memanglah, adegan mesra itu sekadar 'mesra' seorang murid kepada gurunya, ada batas dan tidak berlebihan. Aku juga mahukan layanan itu. Aku juga mahukan perhatian, mahukan crush sendiri sedar akan kewujudan aku di sini.
Aku sedari, ustaz ini agak berbeza daripada guru lain. Dia lain daripada yang lain. Dia sebegitu mesra dengan anak muridnya, tidak kira sesiapa sekalipun. Mungkin kerana faktor umur, mudah berhadapan dengan murid-murid yang lebih kurang seusia dengannya.
Ustaz berjalan mengelilingi kelas sambil tersenyum mesra. Senyuman dia, tepat menusuk ke kalbu. Tanpa aku sedari, ada mata-mata nakal yang sedang memerhati aku, dari jauh.
Dia berjalan ke setiap sudut kelas. Ditatap satu persatu wajah ahli kelas ini dengan penuh teliti, mungkin ada seorang layak dijadikan calon isteri.
Tup tap tup tap.
Bunyi sepatu kedengaran jelas daripada belakang. Tidak sesekali aku mahu menoleh, memusing atau menghadap ke belakang. Aku tahu, tubuhnya semakin hampir dan menghampiri aku.
Pen dicapai. Aku mula menconteng kertas, agar dapat mengurangkan ketakutan yang semakin membara.
Dia berhenti. Benar-benar di bahagian kiriku. Aku cuba menutup mata, tidak mahu melihat dia. Langsung.
"Bukalah mata. Kenapa, awak takut dengan saya ke?"
Zap!
Darah menyerbu wajahku. Dunia ini, seakan terhenti. Jarum jam yang terletak di dinding masih berputar seperti biasa, namun aku sahaja yang kaku.
Yang paling penting, hanya aku seorang merasakannya.
"Muka awak ni... macam pernah nampak."
Dia mengurut dagunya.
'Pergilah, syuh-syuh.' monolog aku di dalam hati. Tadi, beria sangat mahukan perhatiannya. Sudah dapat, tidak mahu pula. Manusia ini, tidak pernah bersyukur.
"Boleh... saya tanya nama awak?" Suara garau itu menerjah telingaku, sekali lagi. Dia, meminta namaku. Tidak nampakkah tanda nama yang aku pakaikan di tudung sekarang?
"Zu... Zureen."
Senyumanku mati. Bersama debaran yang menggila.
"Nama penuh?"
"Zureen Maisara binti Alias."
"Awak ni..." katanya terhenti. Aku diperhati dari belakang, lama. "Awak, orang yang dah lama saya cari. Zureen."
Hah? Kenapa pula? Mengapa dia cari aku? Kenal pun tidak. Ish, pelik-pelik sahajalah dia ini. Jangan kata, dia hanya bermain-main dengan aku. Memang mahu makan penampar agaknya.
"Awak tahu tak saya siapa? Dan... awak tahu tak awak siapa kepada saya?"
"Tak..." Debaran semakin menggila. Oh Tuhan, jelaskan maksud sebenar yang ingin disampaikannya. Tidak sedikit pun aku memahami isi tersiratnya, bersama dengan bahasa kiasan yang pelik.
"Awaklah a..."
"Assalamualaikum." Seorang guru wanita berkasut tumit tinggi berdiri di hadapan pintu kelas. Melihat situasi itu, Ustaz Imran terus meninggalkan aku. Fuh, aku melepaskan nafas lega. Tidak perlu lagi untuk berhadapan soalan-soalan bekunya, boleh naik darah tinggi dibuatnya.
"Waalaikumussalam."
Namun, aku masih tertanya-tanya akan apa yang ingin disampaikan ustaz tersebut sebenarnya. Apakah maksud dia, 'awak tahu tak saya siapa'? Macamlah aku pernah bertemu dengannya, sebelum ini.
Jika aku perhatikan wajahnya dari jarak yang dekat, jelas sekali kelihatan iras-iras wajah mama. Mungkinkah dia, mempunyai hubungan jauh dengan keluargaku?
Mungkin tidak, mungkin ya.
Eh, jangan perasan sangatlah. Tidak, tidak mungkin. Di dunia ini ada tujuh orang yang mempunyai wajah yang sama. Biasalah, jika ada sedikit iras-iras.
Hah! Misteri dah start. Agak-agaknya, siapa Zureen dan Ustaz Imran? Kalau nak spoilers, boleh baca YES MEMANG AKU STALKER. Cerita yang sama, cuma dengan tatabahasa yang agak ke laut. Btw, asyik update SC je, Hana akan update BS juga.
Share this novel