PETANG Jumaat. Petang ini, bukanlah petang yang biasa-biasa sahaja. Kata Aulia, petang ini merupakan petang yang istimewa.
Tidak perlu diarahkan lagi, aku dan beberapa murid lain beratur mengikut kumpulan masing-masing. Aku ditempatkan di dalam kumpulan 1, Aulia kumpulan 3 dan Dilla kumpulan 8, yang terakhir.
"Sudah beratur ikut kumpulan masing-masing?" Seorang lelaki berbadan tegap berdiri di hadapan kami, mungkin fasilitator jemputan pihak sekolah. Buat bulatan, yang penting jangan sentuh tangan lelaki dan perempuan. Kami akan edarkan pen dan kertas mahjong. Pilih nama kumpulan dan lukis logo kumpulan anda di kertas mahjong. Oh ya, nama kumpulan mestilah NAMA BUNGA."
Cukup ringkas tetapi dipenuhi maklumat.
Kumpulan kami membentuk bulatan. Semua ahli bersepakat untuk melantik Muhammad Ghadafi sebagai ketua. Setelah itu, kami bersetuju untuk menamakan kumpulan kami 'Kumpulan Ros'.
Mudah sahaja logo yang dilukis, sekuntum bunga ros yang bercabang tiga dan berduri, memberi makna setiap ahlinya perkasa menghadapi segala cabaran dan rintangan. Setelah siap melukis, bolehlah kami menjenguk ahli kumpulan lain.
Ekor mataku memerhati sahaja kumpulan terakhir yang membentuk bulatan di hujung dewan. Kumpulan 8, yang menempatkan Dilla dan sembilan ahli yang lain. Masing-masing daripada mereka buntu untuk menamakan kumpulan mereka dengan bunga apa, memandangkan nama-nama ringkas seperti ros, orkid, matahari dan raya sudah diambil kumpulan lain.
Tiba-tiba, ada manusia yang berhati mulia datang ke arah mereka. Gerangan itu segak berbaju melayu hijau muda, hanya kurang satu aksesori pada tubuhnya, iaitu sampin. Ya, maklumlah hari ini merupakan hari Jumaat, para lelaki perlu ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
Dia ialah...
Ialah...
"Ustaz, ustaz ada idea tak?" tanya seorang ahli kumpulan tersebut. Jelas telingaku mendengar, biarpun dari jauh. Dia meminta idea daripada Ustaz praktikal tersebut.
Ustaz Imran. Yang dikatakan kacak oleh ramai penghuni sekolah. Dengan usia yang masih muda dan berkemungkinan besar masih bujang, relevanlah dia sangat segak.
"Banyak bunga dalam dunia ni, selain ros, matahari, raya, mawar, melur semua tu. Yang hangpa minum dalam air kotak tu, bunga apa?"
"Bunga... eh bunga apa ye ustaz?" Dari jauh, aku perhati sahaja sepuluh orang ahli kumpulan tersebut menghadap Ustaz Imran, termasuk sahabatku Dilla.
"Bunga KEKWA."
Argh!
Aku menjerit di dalam hati. Wahai Tuhan, mengapa aku berperasaan begini? Aku menghembus nafas berat, cuba untuk menenangkan diri yang sedang resah ketika ini. Mengapa kumpulan itu menjadi perhatian, sedangkan bukan kumpulan satu yang berada di sini?
Ustaz Imran, bukan sahaja telah memberi idea yang 'bernas' kepada kumpulan tersebut, malah melukiskan sekali logo untuk mereka. Lukisan itu, tentulah lebih cantik dan kemas daripada lukisan seorang murid. Eh, cemburunya! Beruntunglah Dilla dan ahli kumpulan tersebut!
Jauh di sudut hati, aku masih berharap agar 'dia' ke mari ke kumpulan ini pula, menjenguk kami. Berdebar-debar menanti, seperti menanti keputusan SPM pula.
Ya, dia datang.
Dia datang.
Perasaan gemuruhku cuba dikawal. Tidak mahu terlalu 'over', nanti ada yang perasan pula perangai pelikku.
Apa yang aku selalu harapkan, tidak semestinya tertakdir indah. Kini aku sedar, ustaz tersebut bukanlah menuju ke kumpulan kami. Dia hanya lalu di koridor tepi.
'What? Lalu je?' monolog aku di dalam hati. Tidak berpuas hati dengan apa yang terjadi, hati kecil ini masih berharap dia datang ke sini dan membantu kami.
Harapan yang diletak tinggi, kini punah. Dia yang aku harapkan menuju ke kumpulan satu, rupanya pergi ke kumpulan tiga yang berdekatan dengan kumpulan kami. Mengapalah, dia hanya menerjah kumpulan dua sahabatku, tetapi tidak diriku sendiri?
Inikah yang dinamakan cemburu? Aku juga perlukan perhatian ustaz itu, untuk membantu kami. Bukan kerana rupa parasnya, tetapi... entahlah.
Sebentar.
Perlukah aku cemburu? Untuk apakah perasaan tersebut? Jika aku dengan guru-guru lain, tidak pernah lagi berperasaan begini. Berbeza dengan ustaz tersebut, mudah sahaja menarik perhatianku biarpun masih belum mengenalinya.
Itu tidak penting. Aku tetap cemburukan mereka. Perhatian yang sepatutnya menjadi milikku, kini menjadi milik mereka. Jangan kata, benar kata-kata Aulia dan Dilla tempoh hari. Aku sudah dilamun cinta agaknya?
Cinta atau yang lebih tepat 'crush' kepada seorang guru? Zureen Maisara, anda biar betul. Aku tidak akan meletakkan sebarang harapan, nanti diri sendiri pula yang dilanda tsunami kecewa. Aku tidak akan tahu, apa yang terbuku di hatinya. Manalah tahu sudah bertunang ke, berbini ke, tidakkah aku juga yang kecewa?
*****
SINAR bulan yang memantulkan cahaya matahari yang tidak kelihatan menerangkan kelamnya malam. Semua perserta kem telah dikumpulkan di sebuah tempat, iaitu surau sekolah bagi menunaikan solat fardu maghrib. Beberapa minit sebelum masuknya waktu solat tersebut, diisi dengan bacaan zikir.
Tirai berwarna mustard yang memisahkan jemaah lelaki dan perempuan diselak. Akhirnya, dapat juga kami sebagai jemaah perempuan melihat bahagian hadapan.
A
llahu Akbar, Allahu Akbar.
Azan berkumandang, menandakan telah masuknya waktu solat fardu yang perlu kami tunaikan. Usai tamat laungan azan, laju sahaja kami bangkit menunaikan solat.
"Rapatkan saf!"
Suara garau itu datangnya daripada barisan jemaah lelaki di hadapan. Tidak tahu milik siapa, memandangkan dia dilindungi oleh barisan pelajar lelaki. Namun suara itu, amat aku kenali.
Tetapi, siapa?
Siapakah gerangan pemilik suara garau yang menyedapkan gegendang telinga ini?
Usai solat, kami didengarkan dengan taklimat ringkas pula. Semua peserta dibenarkan duduk, kami di belakang ini dapatlah melihat sang manusia yang sedang berdiri di hadapan sekali. Ternyata, gerangan yang aku tertanya-tanya sebentar tadi, ialah Ustaz Imran.
Dia lagi. Lagi dan lagi.
Dilla yang berada di sebelah menepuk bahuku lembut, sambil berbisik sesuatu. "Suka ke, future husband kau yang imamkan solat?"
Dilla ketawa nakal.
Apakah? Future husband? Sebentar. Aku tidak ada teman lelaki, tunang ataupun crush sekalipun.
"Siapa future husband aku? Setahu aku, aku masih single but not available. Tak ada boyfriend-boyfriend ni." balasku yakin.
Siapa agaknya? Firdaus, tidak mungkin. Sudah lama tidak kulihat gerangan Firdaus di sekolah ini. Kali terakhir pun, semasa di tangga beberapa bulan lalu. Lagipun, tidak ada sesiapa yang tahu akan perasaanku kepada Firdaus.
"Kau buat-buat lupa pula. Ustaz Imranlah, yang paling hensem kat sekolah ni."
What? Ustaz Imran?
Siapa kata, dia merupakan future husband aku pula. Ish, tidak tepat ini!
Patutlah, bacaan ayat-ayat suci Al-Quran di dalam solat sebentar tadi merdu belaka, rupanya diimamkan oleh seorang ustaz yang mahir. Siapalah yang dapat menjadi bidadari kepada ustaz ini, tentu tersangat beruntung. Memang sempurna, layak sangat untuk menjadi future husband aku.
Bayangkan, dia menjadi imam solat kami berdua. Hanya kami berdua. Dia di hadapan dan aku di belakang.
Pergh! Sukar untuk aku bayangkan.
Eh, apa aku merepek ini? Bukankah aku sepatutnya fokus akan takzirah yang disampaikan? Sudah ke mana-mana pula fikiranku ketika ini. Bukan sekadar sampai ke bulan ataupun planet Marikh, malah sehingga ke alam lain pula.
Tanpa aku sedar, tamat sudah takzirah pendek yang disampaikan oleh seorang ustaz lain. Ini bukan bermakna sudah tamat. Masih ada satu lagi takzirah pendek yang akan disampaikan oleh Ustaz Hamid, atau nama lainnya 'ustaz paling garang di abad ini'.
Kali ini, semua pelajar terdiam dan tidak membunyikan suara kerana takut. Masing-masing fokus akan takzirah yang disampaikan, biarpun ada yang mengantuk dan hampir terlelap.
Dalam fokus, masih ada seorang lelaki yang berani berjalan di sekitar kawasan surau. Dia sangat berani, berjalan di tepi jemaah lain untuk mencari pintu keluar. Figura itu, selamba sahaja dan tidak dimarahi Ustaz Hamid.
'Eh ustaz, nak ke mana tu?' tanyaku di dalam hati. Dia terus melangkah keluar daripada surau, meninggalkan kawasan surau. Tidak dapat lagi aku melihat tubuh kurus dan kecil molek itu, dia telah pergi.
Beberapa minit kemudian, dia kembali lagi. Pintu paling hadapan untuk memasuki ruangan surau terbuka, seorang insan berbaju t-shirt hitam masuk melaluinya. Nasiblah tubuhnya kecil, mudah untuk dia menyelit masuk.
Yang menjadi perhatianku, ialah pakaiannya. Aku tidak kisah ustaz mahu memakai pakaian apa sekalipun, namun pakaiannya kali ini benar-benar membuatkan aku ingin ketawa lucu.
I LOVE MELAKA.
Aksara yang terdapat pada baju tersebut dibaca dengan mata kasar. Menyempat sahaja beliau menukar baju. Baju itu, seperti baju mandi pantai pula.
Bukankah lebih segak jika ustaz memakai baju melayu hijau tadi, barulah serupa warna denganku. Al-maklumlah, aku sedang memakai baju rumah sukan berwarna hijau.
Kisah ini, tidak berakhir di sini. Aku memerhati sahaja ustaz daripada jauh, berharap dia akan menyedari aku biarpun agak mustahil.
Share this novel