Kata-kata abah aku langsung tak ambil kisah. Dari tempoh itu, aku pernah
tidak pulang ke kampung hampir lapan bulan. Sehinggalah aku dilamar
seseorang lima bulan lepas.
“Abah, kawan yang kakak beritahu hari tu nak datang rumah hujung minggu
ni,” ujarku dalam corong telefon.
“Takpe. Suruh dia datang. Boleh abah kenal-kenal dengan dia.”
Hari yang dikatakan tiba. Alhamdulillah. Penerimaan abah dan emakku
begitu baik. Masing-masing tampak selesa ketika berbual. Terbit juga
rasa bimbang dalam hati. Ye la aku orang kampung. Dia nun jauh dari
bandar besar sana.
“Hujung tahun, saya datang merisik. Boleh?” kata lelaki itu kepada abahku.
“Boleh. Kita buat yang mana baik.”
Hujung tahun tiba. Lelaki itu datang berdua sahaja dengan sahabatnya.
“Mak dengan ayah kirim salam. Tak dapat datang sekali. Tak sihat…” ada
nada bimbang pada suara itu.
“Oh, takpe. Kita bincang yang mana ada ye?” kata abah lagi.
Aku turut berada di ruangan perbincangan itu. Daripada urusan jumlah
wang hantaran, mas kahwin, bilangan dulang dan hari pertunangan
ditentukan saat itu juga. Aku terkesima dengan tindakkan abah. Kenapa
cepat sangat nak tetapkan tarikh? Nasib baik aku dan dia tidak kisah
“Takpe ke, pak cik letak tarikh siap-siap ni?” abah bertanya sendiri.
“Takpe. Kalau elok untuk pak cik, elok la untuk pihak saya.”
Tak ada masalah nampaknya bagi kedua-dua pihak. Aku dan dia akur sahaja.
Tetapi dalam hati masih bersarang dengan rasa pelik. Argh! Mungkin abah
teruja dengan ikatan yang akan diadakan nanti. Anak sulung. Perempuan
pula tu. Mungkin sesuatu yang sangat beerti baginya.
Persiapan pertunangan aku dilakukan oleh adik bongsuku di kampung. Aku
hanya pantau dari jauh. Maklumlah, aku di Kuala Lumpur. Mereka di Pulau
Pinang. Mana mungkin untuk aku ulang-alik setiap minggu. Jadi, adikku
yang arif perihal ini mengambil alih tugasku.
“Hidung abah berdarah sebelum abah pergi masjid subuh tadi,” luah emak
dalam corong telefon.
“Abah tak sihat ke?” aku mulai cuak.
“Tak. Mungkin cuaca panas sekarang ni. Air kurang la tu…”
“Hope abah tak ada apa-apa. Mak, macamana? Ada apa-apa masalah?”
Hanya ini yang mampu aku bantu buat masa sekarang. Tanya apa yang tidak
cukup, terutama dari segi wang.
“Tak ada. Cuma ada perubahan awal pagi sebelum majlis tu. Abah minta
kita buat majlis tahlil.”
“Takpe la kalau itu yang abah cakapkan. Kakak ikutkan aje,” itu yang ada
dalam hati aku.
Urusan kenduri ini, aku tidak pandai. Biarlah orang tua yang uruskan.
“Kakak balik bila?” tanya emak.
“Hari khamis, mak. Kenapa?”
“Kakak, kejap. Abah nak cakap dengan kakak.”
Share this novel