“Pak lang minta saya gantikan tempat dia dalam urusan pertunangan ni.
Saya ada tanya, kenapa tak cakap sendiri. Inikan anak pak lang. Pak lang
cakap, takut tak sempat. Rupanya dia tahu… dia tak sempat untuk semua
ni. Saya terus menangis bila dengar apa yang pak lang cakap masa tu. Tak
sangka, pak lang betul-betul pergi.”
Kata imam kampung yang menggantikan tempat arwah abah.
“Pak lang datang rumah saya… serahkan segala perkara yang dah dijanjikan
dengan pihak lelaki. Jumlah wang hantaran dan mas kahwin pun dia dah
tulis dan serahkan pada saya. Saya tolak, mak lang. Saya tak sanggup
bila dengar pak lang cakap macam tu! Tapi, dia merayu sambil menangis.”
Emak mengelap air matanya. Dia tidak tahu langsung tentang hal ini. Aku
sudah terperosok di sudut dinding. Sedihnya, hanya ALLAH yang tahu.
Sepanjang berlangsungnya majlis itu, aku kuatkan hati dengan tersenyum
sahaja. Bagaikan tiada apa yang berlaku. Tiada air mata yang tumpah.
Tiada kesedihan yang dipaparkan. Bahkan bidikan cahaya kamera dari
saudara-mara masih ada. Sehinggalah tiba waktu maghrib, saat orang ramai
mula berkurangan.
Maghribku kali ini lama di atas sejadah. Lama kerana aku begitu hiba dan
sedih dengan kehilangan yang mengejutkan ini.
Siapa sangka, di sebalik kegembiraan yang sangat kami nantikan beberapa
tahun kebelakangan ini, ALLAH sudah siapkan dengan satu ujian hebat buat
hati kami sehari sebelumnya. 24 jam sebelum aku menjadi tunangan orang,
wali utamaku dijemput oleh Maha Pemilik!
Susah untuk aku menggapai kata reda yang betul-betul datang dari hati.
Abah aku meninggal dunia, saat aku ingin gembirakan hatinya dengan
ikatan yang satu ini.
Akhirnya ALLAH tenangkan hati aku jua. Redaku di atas pemergiannya
selepas melihat cara dia dijemput oleh Pemilik Abadi.
Abah dipilih oleh ALLAH untuk bertemu dengan-Nya pada hari jumaat,
ketika dia masih menunaikan solat sunat jumaat, saat rakaat keduanya
masih berbaki dan rebahnya di atas rumah ALLAH. Dia masih dengan wuduk.
Dia masih berjubah bersih. Apa lagi yang menghalang aku untuk tidak
menerima kehilangan ini?
“Maha suci ALLAH yang menghidup dan mematikan hamba-Nya. Tempatkan arwah
abahku di dalam syurga-Mu yang paling tinggi dan jauhkan dia daripada
bahang api neraka-Mu Ya ALLAH!”
Baru aku faham maksud arwah abah saat ingin habiskan masa denganku. Saat
dia menetapkan sendiri tarikh pertunanganku. Saat dia menetap sendiri
mas kahwin dan hantaran buat adik lelakiku. Yang pasti, aku terpaksa
menelan rasa menyesal yang pernah arwah abah soal hari itu!
‘Kakak minta maaf, sebab tak balik awal… macam yang abah minta. Kakak
minta maaf… sebab tak jamah roti canai yang abah beli tu. Kakak minta
maaf bah… sebab gagal senangkan hati abah… sepanjang abah ada dengan
kakak. Ampunkan kakak, bah…’
Share this novel