Hari ini hari jumaat. Bermakna esok aku akan ditunangkan. Semuanya atas
izin ALLAH juga. Abah, emak dan adik lelakiku sudah keluar ke pasar dari
awal pagi lagi. Membeli barang untuk dimasak esok hari. Pulang dari
pasar, abah menghulurkan sebungkus roti canai kepadaku.
“Abah beli roti canai untuk kakak dengan adik. Makan la.”
“Kejap lagi kakak makan.”
Sementara menunggu waktu solat jumaat, abah sempat melelapkan mata
sebelum dikejutkan oleh adik bongsuku. Dia meminta adikku menggosok
pakaian solatnya. Sepasang jubah putih dan serban yang sama rona.
“Kacaknya abah adik!”
Telingaku terdengar ayat yang keluar dari bibir adikku. Dia memuji
abahku yang ketika itu sudah lengkap berpakaian sunnah. Abahku tergelak
sendiri. Memang abah tampak lain hari ini. Mungkin putih pakaian itu
menaikkan seri wajahnya yang sudah basah dengan wuduk.
“Adik, pukul 2 kita keluar kejap nak? Cari tudung.”
Aku mengajak adikku untuk mencari tudung untuk dipakai esok. Adikku
ikutkan sahaja. Khutbah jumaat mula kedengaran dibacakan. Aku sudah
bersiap untuk solat zohor. Hampir pukul 2.15, ada seseorang melaung nama
emak. Sekelip mata, suara itu lenyap. Kemudian telefon bimbitku berdering.
“Kakak, ada mana?” tanya adikku yang masih berada di USM.
“Rumah. Kenapa?”
“Kakak… orang masjid telefon. Abah dah takde…”
Aku disapa rasa lain!
“Benda tak kelakar tau!” aku cuba sedarkan dia.
“Siapa buat kelakar? Kakak pergi masjid sekarang. Achik on the way balik…”
Tut! Talian mati. Aku juga terus mati akal. Aku tak buang masa lagi,
lalu terus melaung memanggil adikku. Enjin kereta dihidupkan dan ketika
itu, baru aku sedar ketiadaan emak di laman rumah. Adikku sudah terdiam
bila aku khabarkan berita ini.
Aku tahu, dia turut sama tidak percaya. Mana mungkin! Esok aku akan
ditunangkan! Benda ini tak boleh jadi! Tak boleh. Tak boleh jadi! Abah
tak boleh mati! Dadaku sudah berdetak sakan apabila kedengaran siren
ambulans melintas di hadapan mata, menuju ke arah yang aku ingin tuju!
Pedal minyak ditekan kuat, melajukan putaran tayar kereta.
Tiba di perkarangan masjid, aku kuatkan diri untuk melangkah masuk.
Dalam hati berdoa agar apa yang disampaikan tadi cuma salah faham.
Tiba-tiba sahaja di satu sudut atas masjid, orang ramai berpusu-pusu
seperti mengerumun sesuatu. Sekumpulan jemaah tahfiz anak muda yang
berpakaian putih turut sama di situ.
“Bismillahirrahmanirrahim!” perlahan aku memberi salam sebaik kaki
melangkah masuk ke dalam masjid.
Hanya aku mendengar salam itu, kerana debar jiwaku sudah menelan segala
kudrat suara yang ada. Mataku dijatuhkan ke lantai. Tidak berani
mengangkat wajah… bimbang apa yang aku harapkan, tersasar!
Share this novel