BAB 3

Romance Completed 505

Ayah kulihat melepaskan keluhan yang berat. Kemudian memandang sayu
wajahku, dan pandangannya beralih pula pada wajah ibu. Wajah itu
ditenung penuh kasih sayang.

“Abang sayangkan Ina, juga Laila dan abang tak sanggup menceraikan Ina.”

“Kalau sayangkan saya kenapa abang sanggup bermain cinta dengan
perempuan lain?. Rela menyewa rumah lain, tinggalkan kami anak beranak.
Sanggup pula menyuruh saya menerima perempuan itu dalam hidup kami. Itu
ke ertinya sayang dan cinta bagi abang?!” luah ibu. Ibu mula menangis
teresak-esak. Dan ayah, tanpa sepatah kata terus bangun dan berlalu,
tidak kembali lagi.

Dan aku makin membenci ayah. Sedaya upaya aku cuba melupakan ayah dan
berusaha membahagiakan ibu. Aku kesian melihat ibu. Semakin hari
wajahnya semakin suram walaupun layanan dan kasih sayangnya padaku makin
bertambah.

Namun ketika aku hampir berjaya menghapuskan bayangan ayah, tiba-tiba
tanpa diduga, ayah muncul di depan pintu rumahku bersama ‘kakak jahat’.
Aku terpaku. Dan aku lebih terpaku apabila ku lihat ibu bersalaman
dengan ‘kakak jahat’ dan memeluk ayah dengan mesra. Malah ibu sempat
menegur aku agar bersalaman dan menyambut kepulangan ayah. Aku keliru.

Dan aku makin keliru bila ibu mengatakan yang ayah dan ‘kakak jahat akan
tinggal bersama kami sampai bila-bila. Aku cuba bertanya pada ibu
kenapa. Ibu memberi jawaban yang dia telah memaafkan ayah dan sanggup
menerima ‘kakak jahat’ sebagai ibu yang kedua bagiku. Dia tidak mahu
berdendam lagi dan inginkan hanya yang terbaik untukku.

Yang terbaik untukku? Pernahkah mereka tanya aku apa yang terbaik
untukku? Apa yang aku inginkan? Inilah masalah dengan orang dewasa.
Mereka ‘rasa’ apa yang terbaik untukku, tanpa ingin mengetahui dan
mengambil kira apa yang aku rasa sebenarnya. Aku benci semua!.

Mereka tidak mempedulikan perasaan kekeliruanku ini. Walaubagaimanapun
aku dapat merasai yang ibu, ayah juga ‘kakak jahat berusaha mengambil
berat akan diriku juga berusaha untuk menggembirakan aku. Dan aku tetap
dengan perasaan dinginku terhadap semua. Aku mula memberontak.

Tidak sampai seminggu kami tinggal bersama, ibu tiba-tiba jatuh tidak
sedarkan diri. Aku menangis tanpa henti. Ku tahu tentu ibu menahan
perasaan, hatinya tentu remuk hingga menyebabkan dirinya sakit. Amarah
ku mula memuncak.

“Ini semua salah ayah dan perempuan ni. Ayah yang menyebabkan ibu sakit.
Perempuan perampas ni yang buatkan ibu sakit. Laila benci! Berambus
semua!” jeritku ketika kami berada di ruang menunggu, saat ibu dirawat
di bilik kecemasan. Nasib baik hanya kami sahaja yang berada di situ,
kalau tidak tentu ‘drama’ kami akan menjadi tumpuan.

Ayah datang mendekati. Aku menjauhkan diri. ‘Kakak jahat’ pula cuba
memelukku tapi ku tepis kasar.

“Laila, ayah tahu Laila bencikan kami. Ayah sebolehnya tidak mahu kakak
Ruhaya tinggal bersama kita tapi ini semua adalah kehendak ibu” ayah
berkata lembut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience