BAB 2

Fantasy Series 814

Malam itu langit kelihatan gelap tanpa cahaya bulan dan bintang yang dilindungi awan tebal. Cahaya lampu kereta yang aku pandu menyuluh jalan yang aku lalui membelah keheningan malam.

Melalui jalan kampung berseorangan memang agak sunyi dan menakutkan. Bertemankan suara penyampai radio yang memainkan lagu yang merdu serta mengasyikkan, melekakanku seketika dan mengurangkan rasa sunyi yang bersarang di hati.

Angin sepoi-sepoi bahasa meniup lembut daun-daun kering yang jatuh berguguran di sepanjang jalan. Terasa dingin malam mulai meresap ke dalam tubuhku. "Mungkin akan hujan sebentar lagi." Aku bermonolog sendirian.

Jam di tangan menunjukkan hampir pukul satu pagi. Terasa jauh pula perjalanan untuk ke rumah orang tuaku malam ini.

Mata pula seakan tidak bermaya, letih akibat memandu terlalu lama dari Kuala Lumpur ke kampung halamanku di Kedah.

Selepas habis kerja, aku terus bergegas pulang ke Kedah apabila mendapat berita Zakwan, sepupu dan sahabat baikku sejak bangku sekolah mengalami kemalangan jalan raya.

Sewaktu hendak pergi ke dusun durian milik keluarganya di hujung kampung, sebuah lori tanah dari arah yang berlawanan tanpa disangka-sangka telah terbabas dan memasuki jalan yang bertentangan dengannya.

Syukur Zakwan selamat, cuma cedera ringan sahaja. Tetapi motorsikal yang ditungganginya rosak agak teruk, mujur majikan pemandu lori tersebut akan menanggung semua kerugian dan kos perubatan.

Namun itu semua bukan masalahnya, cuma apa yang dikatakan Zakwan sebentar tadi agak merunsingkanku dan tidak masuk akal. Kata-katanya masih terngiang-ngiang di telingaku.

"Betul Daus, apa yang aku lihat tadi bukannya rekaan aku!" bentak Zakwan.

"Aku lihat cahaya yang terang terbang dan selamatkan aku daripada dilanggar lori. Cuba kau fikir motorsikal aku rosak dengan teruk tapi aku cuma cedera ringan saja. Agak mustahil dan tak masuk akal aku akan selamat jika dilanggar begitu," jelas Zakwan lagi.

"Cahaya apa kau merepek ini Wan, mungkin hantu kut?" selorohku.

"Ish...! Kau ini Daus, siang-siang mana ada hantu," bantah Zakwan.

"Wan ini mungkin kepala dia terhantuk, itu yang dia nampak yang bukan-bukan itu Firdaus," balas makcikku selamba sambil menghidangkan air teh bersama sepinggan mi goreng.

"Mak ini, saya cerita betullah. Saya masih sedar semasa cahaya itu selamatkan saya," rajuk Zakwan.

"Makanlah mi goreng itu Firdaus, jangan kamu layan sangat dengan si Wan ini. Susahkan kamu saja datang jauh-jauh dari Kuala Lumpur semata-mata nak lihat keadaan Zakwan," sapa pakcikku bersama sepuntung rokok daun yang separuh sudah dihisap di tangannya.

"Tak ada apalah pakcik, lagipun saya memang dah ambil cuti selama seminggu. Dah lama saya tak balik melawat keluarga di kampung sejak sibuk bekerja di Kuala Lumpur," jawabku sambil meneguk air teh suam-suam kuku buatan makcik.

"Baguslah Firdaus, walau sesibuk mana pun kita bekerja, jangan sekali-kali kita lupa ayah dan emak yang berada di kampung. Mesti datang ziarah dan bertanya khabar selalu. Bukan wang ringgit yang diminta mereka, tapi kehadiran dan kasih sayang anak-anak," nasihat pakcik kepadaku. Aku mengangguk bersetuju dengan pendapat pakcikku.

Asyik bersembang sedar tidak sedar masa pantas berlalu. Selesai bersalaman dengan pakcik, makcik dan Zakwan, aku terus memandu pulang memandangkan hari sudah jauh lewat malam.

"Tapi cahaya apa yang dilihat Zakwan pagi tadi? Mungkin alat ketenteraan yang digunakan untuk mengintip atau menyelamatkan manusia. Mungkin juga makhluk asing, wujudkah makhluk asing di alam semesta ini? Ahhh...! Mustahil," ujarku sendirian.

Aku memecut laju, hanya mahu cepat sampai ke rumah dan berehat. Angin semakin galak menolak pokok-pokok dan mematahkan ranting-ranting kering di sisi jalan, seperti memberitahuku ribut bersama hujan lebat kian menghampiri.

Jauh di ruang angkasa Bumi, kelihatan sebuah objek sebesar sebuah kereta sedang terbang melepasi bulan dan menghampiri Bumi. Geseran permukaan objek dengan udara Bumi menyebabkannya terbakar ketika memasuki lapisan atmosfera Bumi.

Objek tersebut menjunam ke Bumi dengan kelajuan yang tinggi melalui beberapa buah negara sebelum akhirnya ia menuju ke Negara Malaysia.

Beberapa buah satelit pengintip negara-negara maju telah mengesan pergerakan objek tersebut, namun dianggap sebagai batu meteorit yang tidak berbahaya dan akan hancur di ruang udara Malaysia.

Keretaku meluncur laju menghampiri rumah orang tuaku, aku memperlahankan kenderaan ketika memasuki halaman rumah. Ayah dan emak mungkin sudah lama tidur, cuma lampu di ruang tamu dan halaman rumah sahaja dibiarkan terpasang.

Sebelum hendak pulang ke kampung, aku sudah memberitahu kedua orang tuaku supaya tidak perlu menunggu kepulanganku. Memandangkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kedah memakan masa yang agak panjang dan aku mungkin akan sampai lewat ke rumah.

Aku menggunakan kunci tambahan ketika hendak masuk ke dalam rumah, tidak perluku mengejutkan kedua orang tuaku untuk membuka pintu.

"Nampaknya semua dah tidur di bilik masing-masing. Ahhh...! Letihnya, nasib baik esok aku cuti," bebelku sendirian ketika melabuhkan punggung di atas kusyen empuk mengurangkan rasa sengal-sengal di seluruh tubuh badan.

Kedua orang tuaku tinggal bersama dengan seorang adik perempuanku yang masih menunggu keputusan SPM. Hanya kami dua orang adik beradik sahaja di dalam keluarga yang sederhana ini. Sekurang-kurangnya buat masa sekarang adikku Nurul Najihah dapat menemani mereka.

Suasana di kampung sungguh mendamaikan, di belakang rumahku terdapat sawah padi seluas mata memandang. Deruan angin sawah padi yang menyegarkan setiap pagi memberikan ketenangan dan keasyikan kepada sesiapa sahaja yang merasainya.

Setelah membersihkan diri dan menyalin pakaian bersih, aku menunaikan Solat Aisyak. Usai solat, aku menadah tangan memanjatkan doa ke hadrat Ilahi.

"Sejuknya malam ini, best kalau dapat tidur dan rehatkan badan sejuk-sejuk begini," fikirku sendirian sambil menarik selimut membungkus seluruh tubuh badan.

Angin agak kuat di luar rumah, rintik-rintik hujan mulai turun. Katak saling bersahut-sahutan memanggil hujan, bagaikan sedang bernyanyi dan berpesta sesama mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience