Series
814
"Dong... Boom... Dong...!" Bunyi kuat di luar rumah mengejutkan kami semua, entah berapa lamaku melelapkan mata pun aku tidak pasti.
"Bunyi apa itu? Kuatnya," rungut Zakwan.
Tidak semena-mena seluruh kawasan menjadi gelap. Lampu di sekeliling bandar bawah tanah langsung tidak berfungsi.
"Dong... Boom... Dong...!" Bunyi kuat tadi kedengaran semula, seakan mesin sedang dihidupkan. Beberapa minit kemudian baharulah lampu bawah tanah bercahaya seperti sedia kala.
"Bunyi itu datang daripada mesin janakuasa mineral tenaga. Walaupun kami telah gali banyak mineral tenaga bawah tanah, namun masalah kekurangan tenaga masih juga tak dapat diatasi. Seperti ada sesuatu yang tak kena, alasan mereka tetap sama iaitu kami menggunakan tenaga yang banyak saban tahun," jawab Zoufy curiga.
Kami bertiga berbincang sesama kami mengenai rancangan kami yang seterusnya. Akhirnya kami semua sependapat untuk berjumpa dengan datuk Bandar Korakuri.
Zoufy ingin menyerahkan semua data kemusnahan Planet Taqris kepada datuk bandar itu, berharap beliau dapat menghentikan segera galian mineral tenaga di Bandar Korakuri dan juga di bandar-bandar yang lain.
Keutamaan kami sekarang ialah menyelamatkan Planet Taqris. Setelah semuanya selesai baharulah kami akan memperbaiki kapal angkasa Zoufy dan pulang semula ke Bumi.
"Saya akan cuba meyakinkan mereka. Sekurang-kurangnya apabila saya dapat ubah keadaan pada masa ini, ayah saya tak perlu bersusah payah dikeji dan dipanggil gila pada masa hadapan," beritahu Zoufy.
Pakcik Rokai menjemput kami bertiga untuk bersarapan bersama. Jika diikutkan, masa sebenar ketika ini ialah sepuluh pagi. Tetapi keadaan di sini pada waktu siang dan malam adalah sama sahaja, yang membezakan siang dan malam ialah jam yang mereka gunakan. Tetapi jam mereka sangat aneh dan sukar untukku dan Zakwan baca.
Kami semua berbual dengan mesra, bermacam-macam cerita yang kami bualkan. Aku lihat Zoufy kelihatan sangat gembira apabila dapat bersama dengan keluarganya.
Setelah bersarapan, kami semua bersiap untuk menemui datuk Bandar Korakuri. Galian mineral tenaga Planet Taqris perlu dihentikan segera.
"Ada sesuatu yang sangat penting perlu saya beritahu awak berdua. Sebenarnya kapal angkasa saya hanya dapat diaktifkan dengan satu kod rahsia," jelas Zoufy dengan wajah serius.
"Sesiapa yang ingin mencuri kapal angkasa saya takkan dapat mengaktifkannya selagi tak memasukkan kod rahsia itu. Sekurang-kurangnya kod itu dapat menghalang penjahat yang ingin menyalahgunakan kapal angkasa saya untuk tujuan yang tak baik," sambung Zoufy lagi.
Zoufy kemudian mengaktifkan alat penterjemah di pergelangan tangannya. Dalam beberapa saat kemudian imej hologram kapal angkasa Zoufy terpancar di hadapan kami.
Zoufy menunjukkan kepada kami bagaimana cara untuk memasukkan kod rahsia melalui imej hologram yang dipancarkan tadi.
Kami berdua mengambil masa yang agak lama untuk memahami dan mengingati cara memasukkan kod rahsia tersebut. Akhirnya setelah mencuba beberapa kali, aku dan Zakwan telah berjaya mengaktifkan kapal angkasa Zoufy.
Aku perasan Zoufy kelihatan sedih apabila meninggalkan rumah Pakcik Rokai, dia juga tidak pasti entah bila dia dapat berjumpa dan bersama datuk dan neneknya lagi.
Kami bertiga lantas berjalan kaki menuju ke rumah datuk Bandar Korakuri yang tersergam indah di tengah bandar.
Share this novel