BAB10

Fantasy Series 814

Sebelum kami pulang ke rumah, aku membawa Zoufy ke bandar untuk membeli beberapa helai pakaian baharu untuknya.

Aku juga memerlukan pakaian baharu memandangkan pakaian yang aku pakai sebelum ini telah dikoyakkan untuk membalut kaki Zakwan.

Zoufy kelihatan terpegun apabila melihat bertapa ramainya manusia di pusat membeli-belah. Dia berjalan tanpa henti dengan wajah gembira, mencuba setiap perkara baharu yang ditemuinya. Terlupa seketika masalah yang dihadapinya selama ini.

Pada masa yang sama, tanpa kami semua sedari kami telah diekori oleh beberapa individu yang mencurigakan, berpakaian kot kemas serba hitam.

Apabila sampai ke rumah, aku memperkenalkan Zoufy kepada ayah, emak dan adik. Keluargaku sangat teruja apabila dapat berjumpa dengan Zoufy, mungkin gembira bertemu dengan tetamu perempuan yang tidak pernahku bawa sebelum ini.

"Ok la Daus sekarang pun dah senja, aku balik dulu. Nanti apa-apa beritahu aku ya," tutur Zakwan ketika menaiki basikal milik ayahnya.

Buah petai telah dipunggah dan dibahagi sama rata di antara kami berdua. Tayar basikal Zakwan mengempis sedikit menahan berat Zakwan dan juga buah petai yang dibawanya.

"Wan esok jangan lupa pula, aku akan bawa Zoufy datang ke bengkel di rumah kau untuk melihat keadaan kapal angkasanya. Harap kita dapat membantunya apa yang termampu," beritahuku kepada Zakwan.

"Yalah Daus, esok jangan datang awal sangat nanti aku tak bangun lagi," seloroh Zakwan.

Malam itu emak menyediakan makanan lebih sedikit daripada biasa. Gulai ikan termenung, ayam goreng, ulam jantung pisang dan sambal udang petai yang dikaitku tengah hari tadi bersama Zakwan.

Pada mulanya Zoufy sedikit malu mungkin kurang biasa dengan makanan Bumi. Tetapi apabila sudah merasa masakan emak, habis dua pinggan penuh nasi Zoufy makan.

"Malam ini Zoufy tidur bersama dengan Adik Najihah ya," sapa emak ketika menghulurkan selimut dan bantal kepada Zoufy.

"Terima kasih makcik, saya minta maaf jika mengganggu pakcik dan makcik sekeluarga," ucap Zoufy sedikit malu.

"Tak ada apa yang mengganggunya, lagipun bukan selalu ada tetamu yang datang ke rumah makcik," jawab emak.

"Betul itu kak Zoufy, sekurang-kurangnya bolehlah teman saya tidur malam ini," celah Adik Najihah pula.

Kedinginan dan kesunyian malam sungguh terasa, tiada langsung bunyi cengkerik pada malam itu. Sukar untukku lelapkan mata kerana memikirkan perkara yang berlaku siang tadi.

Kapal angkasa Zoufy yang dikecilkan dengan sistem paduan mudah alih secara tiba-tiba berkelip-kelip dengan sendiri. Zoufy tersenyum dengan apa yang dilihatnya.

Pada keesokan harinya, aku dan Zoufy bersiap awal untuk ke bengkel di rumah Zakwan. Aku lihat Zoufy memakai pakaiannya semula yang telah dibersihkan semalam. Pakaian yang dibelikan sebelum ini pula disimpan kemas bersama, mungkin sebagai kenangan ketika berada di Bumi.

"Firdaus malam tadi tenaga saya dah penuh, saya perlu meneruskan semula misi saya. Bertapa saya hargai dan berterima kasih pada keluarga awak, awak dan juga Zakwan sebab banyak membantu saya," ucap Zoufy ketika kami sedang bersarapan bersama.

"Sama-sama Zoufy, terima kasih juga sebab sudi menjadi sahabat kami. Saya doakan misi awak nanti akan berjaya dan seterusnya dapat mengubah nasib planet awak," ujarku.

Zoufy bersalaman dengan ayah, emak dan Adik Najihah sebelum kami bergerak meninggalkan rumah. Emak sempat menyediakan bekal makanan untuknya.

Zoufy kelihatan terharu dengan layanan yang diberikan. Tanpa dia sedari air mata jernih telah mengalir di pipinya.

"Keluarga awak banyak mengingatkan saya kepada keluarga saya Firdaus. Dah lama saya tak rasa kasih sayang sebuah keluarga," luah Zoufy.

Kami berdua menaiki kereta untuk ke rumah Zakwan. Setelah sampai kami terus ke bengkelnya di belakang rumah.

"Ehh...! Selamat pagi Daus dan Zoufy. Daus awal pagi tadi kau telefon aku beritahu supaya halang Zoufy daripada balik ke masa lalu untuk ke planetnya. Aku hairan kenapa kau berikan arahan seperti itu?" rungut Zakwan kepadaku.

"Kau bermimpi kut Wan, aku tak ingat pula aku ada telefon kau awal pagi tadi," kataku kehairanan.

"Tapi betullah Daus, kau ada telefon aku awal pagi tadi. Cuma masa kau telefon itu agak terputus-putus dan tak berapa nak jelas," balas Zakwan.

"Aku tak telefon kaulah Wan, aku tahulah kau rindukan aku tapi takkan sampai membawa sehingga ke mimpi," selorohku geli hati melihat gelagat Zakwan.

"Agaknyalah Daus, lagipun masa itu aku masih mengelamun lagi," jawab Zakwan sambil tersengih.

"Itulah kau Wan, lain kali bila nak tidur basuh kaki dulu," nasihatku kepada Zakwan.

"Yalah Daus, kalau macam itu tak apalah. Selamat datang ke bengkel saya Zoufy, harap apa yang ada di sini dapat membantu awak," ucap Zakwan.

"Wah...! Macam-macam ada di dalam bengkel awak Zakwan, kawasannya juga sangat luas dan kemas," puji Zoufy.

"Saya suka kemaskan barang selepas menggunakannya Zoufy. Semua peralatan saya simpan dan susun secara teratur supaya mudah saya cari apabila nak guna. Selalunya saya gunakan bengkel ini untuk mencipta mesin bagi kegunaan dusun durian saya," jelas Zakwan bangga dengan bengkelnya.

Zoufy mengaktifkan kapal angkasanya, beberapa saat kemudian bag bimbitnya mulai membesar dan berubah bentuk menjadi sebuah kenderaan sebesar kereta.

Kami berdua sangat teruja melihat teknologi makhluk asing yang sangat maju dan mengagumkan di hadapan kami sekarang.

Bentuknya sama seperti sebiji telur ayam. Cuma yang berbezanya, ia sangat besar serta terdapat dua sayap di kiri dan kanan.

Apabila diaktifkan ia terus terapung dari permukaan tanah tanpa sebarang tayar di bawahnya. Kapal angkasa Zoufy berwarna ungu dan mempunyai lampu yang berkelip-kelip di sekelilingnya.

Enjinnya menghasilkan bunyi yang sangat unik, tidak terlalu kuat dan tidak juga terlalu perlahan. Seperti bunyi kibasan burung sedang mengibas sayapnya.

Zoufy membawa kami berdua masuk melihat di dalam kapal angkasanya. Sistem kawalannya sungguh canggih melebihi teknologi yang pernahku lihat selama ini.

Zoufy lantas menekan beberapa bentuk butang, tidak semena-mena terpancar imej hologram di hadapan kami. Imej hologram tersebut menunjukkan keadaan di luar kapal angkasa dengan sangat jelas.

Tarikh dan masa juga terpampar padanya. Terdapat banyak tulisan yang tidakku fahami, mungkin bahasa Planet Taqris. Zoufy kemudian menetapkan masa sepuluh tahun sebelum kemusnahan Planet Taqris seperti rancangannya sebelum ini.

Keadaan di sekeliling kami secara tiba-tiba berubah menjadi cerah dan bersinar-sinar seperti seekor sotong di dalam lautan.

Kapal angkasa Zoufy agak sempit dan hanya terdapat sebuah tempat duduk sahaja. Zoufy beritahu kami kapal angkasanya memang dicipta bagi memuatkan satu penumpang.

Semua reka bentuk kapal angkasa Zoufy adalah mengikut kepada pelan data kapal angkasa yang diberikan oleh penduduk planet yang lebih maju itu.

Sebab itu kapal angkasa Zoufy dan ayahnya dibina secara berasingan. Tetapi jika kami berhimpit di dalamnya, ia mungkin dapat memuatkan tiga penumpang lagi.

Aku dan Zakwan hanya mampu melihat Zoufy memperbaiki kapal angkasanya, teknologinya terlalu canggih untuk kami fahami.

Tetapi Zoufy juga tidak mampu untuk memperbaiki bahagian-bahagian penting, hanya ayahnya sahaja yang tahu sepenuhnya berkenaan kapal angkasa itu.

"Nampaknya tak bolehlah kita berjalan-jalan mengelilingi kampung lagi selepas ini Zoufy," luah Zakwan.

"Mungkin apabila kita berjumpa lagi Zakwan. Walaupun kita berkenalan hanya seketika, tapi awak berdua sungguh baik dengan saya. Terima kasih atas segalanya," ucap Zoufy.

Tiba-tiba kami bertiga terdengar pintu bengkel Zakwan diketuk dengan kuat dari luar, bunyi seakan ada orang cuba untuk merempuh masuk.

"Wan...! Pakcik dan makcik cari kau ka?" soalku kehairanan.

"Ehh...! Peliknya, ayah dengan emak aku baru saja keluar pergi ke pasar tadi. Takkan dah balik kut," jawab Zakwan.

"Buka pintu cepat, kalau tak kami pecahkan pintu ini," laung satu suara dari luar bengkel Zakwan.

"Daus ini bukan ayah dengan emak aku, kau lihat CCTV yang aku pasang di luar rumah. Ada dua orang berpakaian kot hitam sedang merempuh pintu bengkel, mereka bawa senjatalah Daus," kata Zakwan terkejut dengan apa yang dilihatnya.

Aku dan Zoufy lantas melihat pada paparan monitor CCTV tersebut. Memang betul apa yang dikatakan Zakwan, mereka memegang sesuatu seakan senjata yang sangat canggih.

"Kalau tak salah saya, mereka ini adalah Ajen Gazer. Mereka penduduk Planet Taqris, saya pernah terserempak dengan mereka sebelum planet saya musnah," jelas Zoufy terkesima dengan apa yang dilihatnya.

"Mana mungkin, betulkah Zoufy? Mustahil penduduk Planet Taqris yang sudah tiada dapat hidup semula dan berada di sini," soalku tidak percaya.

"Saya betul-betul pasti Firdaus, mereka adalah Ajen Gazer pembunuh upahan Planet Taqris. Mereka sangat berbahaya dan sanggup membunuh sesiapa saja demi tugas mereka," jawab Zoufy dengan wajah serius.

"Awak berdua cepat masuk ke dalam kapal angkasa saya, kita perlu pergi dari sini dengan segera," jerit Zoufy.

"Tapi kita tak buat apa-apa kesalahan, mereka mungkin hanya mahu berjumpa dengan awak Zoufy," sangka Zakwan.

"Boommmmm...!" Pintu bengkel Zakwan tiba-tiba diletupkan sehingga hancur berkecai. Bom asap juga dilempar ke dalam bengkel.

"Jangan hidu asap itu," larang Zoufy.

Kami berdua terkejut dan panik, tidak sempat untuk berbuat apa-apa. Mata dan kerongkongku terasa pedih dan sakit. Asap memenuhi bengkel Zakwan menyebabkan kami semakin sukar untuk bernafas.

Mujur Zoufy berjaya menarik kami berdua masuk ke dalam kapal angkasanya. Ajen Gazer itu tanpa teragak-agak terus melepaskan beberapa das tembakan laser ke arah kami.

Tembakan tersebut tepat mengenai kapal angkasa Zoufy, berlaku litar pintas dan letupan kecil di sana sini. Sistem serta badan kapal angkasa mengalami kerosakan serius.

Situasi sekarang sangat mencemaskan, kami bertiga berada dalam keadaan bahaya. Bila-bila masa sahaja kapal angkasa Zoufy boleh meletup dengan serangan Ajen Gazer itu. Aku hanya mampu berdoa agar kami semua selamat.

Tidak semena-mena salah satu daripada ajen tersebut rebah, dia telah ditembak. Ada seseorang sedang membantu kami dari luar bengkel, berlaku tembak-menembak di antara mereka. Pancaran laser bersimpang-siur di dalam bengkel Zakwan.

"Kapal angkasa saya telah rosak dengan teruk, tenaganya juga dah bocor. Saya terpaksa mengaktifkan sistem pemindahan jisim ke planet saya dan komponen merentas masa serta-merta. Saya tak mampu memperbaiki kapal angkasa ini seorang diri jika ia rosak dengan lebih teruk, saya perlu merentas masa dan berjumpa dengan ayah saya untuk memperbaikinya. Harap awak berdua dapat bertahan." Terdengar samar-samar suara Zoufy, semakin lama suaranya semakin perlahan antara dengar dan tidak.

Aku melihat Zakwan sudah tidak sedarkan diri lagi. Mataku terasa sangat berat, pandanganku juga semakin kabur. Bom asap yang mereka gunakan seperti mengandungi ubat tidur.

Tidak semena-mena kapal angkasa Zoufy memancarkan cahaya terang berwarna biru, ia terus terbang melepasi bumbung bengkel Zakwan tanpa merosakkannya. Seperti ia meresap melalui bumbung tersebut tanpa sebarang masalah.

Beberapa saat kemudian berlaku gegaran yang agak kuat. Keadaan di sekelilingku terus berubah, kelihatan memanjang akibat kelajuan yang sangat tinggi. Tekanan graviti yang tinggi menyebabkan seluruh tubuh badanku terasa seperti sedang ditindih oleh sebiji batu besar.

Aku dapat melihat pada paparan imej hologram, kami sudah melepasi orbit Bumi. Pemandangan dari atas ruang angkasa Bumi sungguh menakjubkan.

Satu pancaran laser memancar daripada kapal angkasa Zoufy, membuka sebuah pintu gerbang dimensi. Kapal angkasa Zoufy kemudian terus terbang melepasinya. Ruang angkasa seakan berubah, di sebalik pintu gerbang itu terdapat banyak serpihan batu yang bertebaran di sana sini. Semuanya besar-besar belaka.

Zoufy sedaya upaya mengelak daripada terlanggar serpihan batu tersebut, rupa-rupanya di hadapan kami terdapat sebuah lohong hitam bersaiz raksasa. Lohong hitam itu menyedut apa sahaja yang berada di laluannya, nyaris kapal angkasa Zoufy juga hampir disedut sama.

Tiba-tiba suasana di sekelilingku menjadi sungguh cerah dan menyilaukan. Tubuh badanku terasa seperti sedang berpusing-pusing dan berpintal-pintal.

Tebaran serpihan batu di ruang angkasa kelihatan bergerak ke arah lohong hitam dan bercantum semula menjadi sebuah planet yang sangat besar .

Aku dapat rasakan kami sedang merentas masa ke masa lalu sebelum kemusnahan planet itu. Apa yang aku lihat sekarang sungguh menakjubkan, semuanya berlaku dalam beberapa minit sahaja.

Litar pintas yang berlaku menyebabkan sebahagian kapal angkasa Zoufy terbakar, asap memenuhi setiap ruang kapal angkasa.

Sistem amaran berbunyi dengan kuat dan membingitkan telinga. Kepalaku terasa sangat sakit dan berdenyut-denyut sebelum akhirnya semuanya menjadi gelap dan sunyi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience