Series
814
Semua barang sudah dikemaskan, Aku dan Zakwan bersedia untuk pulang. Zoufy pula masih lagi tetap dengan pendiriannya.
"Jadi selepas ini kita tak dapat berjumpa lagilah ya Zoufy," luah Zakwan.
"Saya perlukan sedikit masa lagi sebelum saya dapat menggunakan kapal angkasa saya semula. Semua tenaganya telah digunakan semasa ia terbang merentas galaksi untuk ke planet awak. Mujur cahaya Matahari di sini dapat mengecas tenaganya. Saya harap awak berdua tak kisah jika saya tinggal di sini buat sementara waktu," ujar Zoufy.
"Apa kata sementara menunggu tenaga kapal angkasa awak penuh semula, kami bawa awak melawat dan jalan-jalan di seluruh kawasan kampung. Sekurang-kurangnya nanti awak ada kenangan manis apabila berada di Bumi," cadangku.
Zoufy seperti tertarik dengan cadanganku. Keindahan serta ketenangan suasana di kampung mampu menarik hati sesiapa sahaja yang melihat dan merasainya.
"Bagus cadangan Daus tu. Rumah kami juga sentiasa terbuka untuk awak Zoufy. Setidaknya awak boleh berehat di tempat yang lebih selesa dan bersih," sokong Zakwan.
Zoufy kelihatan serba salah sama ada mahu mengikut kami ataupun tidak. "Tapi jika boleh saya tak nak menyusahkan awak berdua dengan masalah saya."
"Tiada apa yang susahnya, malah kami sangat berbesar hati jika dapat bantu awak Zoufy, sebab awak bagaikan tetamu bagi penduduk Bumi," ujarku.
"Betul tu. Lagipun awak dah bantu merawat kaki saya tadi, apa kata sekarang giliran kami pula untuk bantu awak," celah Zakwan.
"Ya kah, terima kasih awak berdua," ucap Zoufy terharu.
"Apa yang ditunggu lagi jomlah...!" laung Zakwan penuh semangat.
"Tunggu sekejap." Zoufy berlari ke dalam gua semula, beberapa saat kemudian dia kembali bersama sebuah bag bimbit di tangan.
"Inilah kapal angkasa saya. Saya datang ke planet awak dengan kapal angkasa ini," tunjuk Zoufy.
"Kapal angkasa sebegini kecil, mana boleh memuatkan penumpang Zoufy," balas Zakwan kehairanan sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Aku juga hairan apabila melihat kapal angkasa Zoufy hanya sebesar sebuah bag bimbit. Seekor kucing pun tidak muat untuk dimasukkan ke dalam bag itu, inikan pula hendak memasukkan seseorang ke dalamnya.
"Saya telah kecilkan kapal angkasa saya menggunakan sistem paduan mudah alih supaya ia mudah dibawa ke mana saja," beritahu Zoufy.
"Hebatnya, kapal angkasa yang dapat memuatkan penumpang menjadi sebegini kecil," ujar Zakwan.
Aku dan Zakwan sangat kagum dengan apa yang ditunjukkan Zoufy.
Zoufy beritahu kami, teknologi sistem paduan mudah alih memang sudah ada di planetnya. Mereka menggunakan teknologi itu untuk memindahkan barang yang besar dengan mudah.
"Ada sedikit kerosakan pada kapal angkasa saya ketika ia terhempas tempoh hari. Saya tak dapat kawal kapal angkasa saya setelah melalui orbit Bumi, tenaganya dah habis masa itu," terang Zoufy sambil menunjukkan kesan terbakar pada bag bimbitnya.
"Jika ada apa-apa kerosakan yang nak diperbaiki, datanglah ke bengkel saya nanti. Bengkel saya ada bermacam-macam jenis alatan yang mungkin boleh digunakan untuk memperbaiki kapal angkasa awak," ajak Zakwan.
"Ok juga tu Wan. Tapi sekarang dah agak lewat petang. Apa kata aku bawa Zoufy ke rumah aku dulu, esok pagi kami berdua akan ke bengkel rumah kau Wan," cadangku.
Kami bertiga bergerak merentas hutan dengan berhati-hati memandangkan jalan yang dilalui agak licin dan berbecak.
Akhirnya kami semua sampai ke kereta setelah satu jam lebih berjalan kaki, setiap barang yang dibawa disimpan kemas di dalam bonet belakang kereta.
Aku lantas membuka pintu kereta dan mempelawa Zoufy naik. "Ini pula adalah kenderaan penduduk Bumi. Mungkin tak secanggih kenderaan di planet awak, tapi agak selesa."
Sepanjang perjalanan kami, Zoufy banyak bercerita tentang planetnya yang jauh berbeza dengan Bumi. Penduduk di Planet Taqris telah menggunakan semua hasil planet mereka dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan akibat yang akan berlaku.
Dahulu planetnya juga mempunyai pelbagai jenis haiwan dan tumbuhan yang hidup dengan banyak. Tetapi akibat kerakusan dan sikap tamak yang menguasai diri, semuanya dimusnahkan demi untuk kesenangan yang sementara.
Sikap tamak penduduknya telah menghancurkan diri mereka sendiri. Sumber teras tenaga Planet Taqris telah habis digunakan menyebabkan Planet Taqris berhenti berputar di orbitnya, lalu ia meletup di ruang angkasa dan membinasakan segalanya.
"Saya tak tahu bagaimana awak dapat merawat kaki saya sebelum ini Zoufy. Saya sangat berterima kasih dengan bantuan awak. Entah apa yang akan jadi kepada saya kalau awak tak bantu saya," ucap Zakwan.
"Sama-sama Zakwan, saya lihat awak berada dalam kesusahan ketika itu jadi saya hulurkan bantuan. Lagipun penduduk di planet saya dapat merawat kecederaan ringan. Cuma proses penyembuhan itu menggunakan banyak tenaga kami," jawab Zoufy.
"Owhhh...! Patutlah awak kelihatan lemah setelah merawat kaki saya. Saya minta maaf sebab menyusahkan awak," luah Zakwan dengan perasaan bersalah.
"Tak ada apalah Zakwan, dah jadi tanggungjawab saya. Setakat merawat kaki awak takkan membunuh saya," seloroh Zoufy.
"Ermmm... Saya hairan bagaimana awak dapat bertutur dalam bahasa yang sama dengan kami? Saya ingatkan bahasa di Planet Taqris sangat berbeza," soalku pula.
"Alat di pergelangan tangan saya ini membantu saya bertutur dalam bahasa awak. Alat ini berfungsi sebagai alat penterjemah. Asalkan saya dapat merakam suara penduduk planet itu terlebih dulu, barulah alat ini berfungsi dengan rakaman suara tadi," jelas Zoufy sambil menunjukkan alat yang dimaksudkannya.
Pengalaman yang pelik namun menarik sedang berlaku dalam hidupku, berjumpa dengan penduduk terakhir Planet Taqris. Sesuatu yang tidak mungkin dapatku lupakan selama-lamanya.
Share this novel