Chapter 49

Romance Completed 16120

MARYA

KALAU hendak ditangiskan pun, memang tiada gunanya. Benda sudah berlaku. Sudah terjadi. Sudah jelas yang Mazrin tidak mencintainya. Sudah termaktub yang Elda adalah pilihannya. Tetapi air-matanya tetap mengalir. Tidak dapat berhenti dan dia tidak dapat menahannya daripada terus turun.

Apabila diangkatkan kepalanya, dia terpandang cermin di hadapannya. Matanya merah. Semerah hidungnya. Wajahnya suram. Luka yang diberikan oleh Mazrin terlalu pedih untuk diterima.

Kenapa aku tersilap tafsir? Cetus hatinya terluka. Tetapi salah Mazrin tetapi ada. Dia terlalu memberikan perhatian kepada diriku. Sehingga membuatkan aku menyangka dia mencintai. Sebenarnya tidak.

Air-matanya mengalir lagi. Betapa malunya apabila dirinya menjadi tontonan ramai di majlis pertunangan Mazrin tempoh hari. Ketika mata mengitari ruang tamu itu, dia perasan yang perhatian semua orang tertumpu kepadanya. Pandangan yang sinis dan senyuman yang mengejek dirinya. Ketika itu terlihat Danish. Ingin sahaja dia mendapatkan Danish, ingin menangis di dada lelaki itu. Tetapi hasratnya pudar apabila melihatkan tangan Danish menggenggam erat tangan Airini.

Danish…

Nama dan wajah lelaki itu terbayang. Inikah balasan terhadap aku? Balasan kerana menyakitkan hatinya secara sedar. Aku sengaja menghampakan harapan hatinya. Tetapi kemudiannya aku pula yang dihampakan. Bahkan luka yang aku terima lebih dalam lagi.

Air-matanya kian laju.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience