Chapter 28

Romance Completed 16120

DANISH

PULANG daripada ekspedisi berakit, aku pergi ke restoran Mak Ngah. Walaupun pasti yang Marya tiada di sana, aku tidak kisah. Aku pergi bukan semata-mata hendak menemuinya. Mak Ngah sendiri sudah rapat denganku. Dan aku sudah dianggap sebagai anaknya sendiri.

“Marya nak pindah esok. Dia dah beli kondo,” perlahan sahaja Mak Ngah memberitahunya.

Aku terhenti daripada menyuap nasi goreng terhenti, memandang wajah Mak Ngah. Terkejut juga aku mendengarkan khabar itu. Sedikit pun Marya tidak memberitahu aku hal itu ketika aku menelefonnya semalam.

“Kenapa nak pindah?” soalku.

“Katanya nak belajar hidup berdikari,” beritahu Mak Ngah sambil tersenyum tawar.

Aku pasti yang dia berasa terkilan apabila Marya tiba-tiba sahaja memberitahu yang dia sudah membeli sebuah kediaman sendiri dan akan berpindah pergi dari rumahnya. Mungkin juga dia terasa hati apabila gadis itu mengenepikannya di dalam membuat keputusan. Entah-entah, orang tuanya pun tidak dibawa berbincang, fikirku.

Aku kembali menyuap nasi goreng kegemaranku.

Kenapa nak pindah? Elok-elok dia tinggal dengan makciknya, tiba-tiba sahaja hendak berpindah pergi. Yalah, dia model yang sedang popular. Tentulah jatuh statusnya apabila tinggal di kawasan Kampung Pasir tu. Ah! Dia dah besar. Dah tahu apa yang dia buat. Dan aku tidak ada kuasa untuk masuk campur di dalam setiap urusan hidupnya.

Dalam pada itu, aku teringatkan papa Airini. Entah apa mimpinya orang tua itu mahu menemuiku tempoh hari. Sewaktu Shahril mengatakan yang Datuk Malik mahu bertemu denganku, aku sudah mula menggelabah. Apa yang orang tua itu hendak? Tambah buatkan aku berasa tidak sedap hati ialah dia mengaturkan pertemuan itu di rumah Airini.

Ni macam nak menilik bakal menantu, usik Shahril kepadaku.

Cuma usikan tetapi cukup membuatkan aku tidak senang duduk.

Aku mengajak Shahril menemaniku pergi bersama ke rumah Airini dan Sarika. Awalnya aku menyangka yang papa Airini, Datuk Malik itu adalah seseorang yang sukar didekati dan memilih orang untuk bergaul rapat. Tetapi sangkaanku meleset. Datuk Malik sendiri yang menyambut kedatangan aku di muka pintu. Mempelawa masuk, kemudiannya duduk dan berbual mesra dengan aku.

Aku menggigil juga apabila disoal dengan pelbagai soalan oleh Datuk Malik. Lama-kelamaan, aku mula berasa selesa dengannya. Shahril tidak turut serta di dalam perbualan kami, sebaliknya pergi ke dapur untuk menolong Sarika dan Airini memasak.

Hantu betul, aku menyumpahnya di dalam hati.

“Sudah lama kerja di Tiara Transportation tu?” soal Datuk Malik. Terus mengorek maklumat akan latar belakangku.

“Baru beberapa bulan, Datuk,” jawabku hormat.

“Just call me uncle, Danish,” ujar Datuk Malik, tersenyum.

Agaknya dia sedar yang aku agak menggelabah apabila berhadapan dengannya. Orang tua ini tidak sombong, fikirku membuat tanggapan terhadap ayah Airini itu. Kerana itu, aku menyenanginya. Sedikit pun dia tidak angkuh dengan harta dan darjat yang dimilikinya.

Sesekali aku menjeling ke arah Airini yang sedang menyusun pinggan-pinggan di atas meja makan berdekatan ruang tamu itu. Penampilan Airini agak ringkas. Rambut yang selalu diikat dengan gaya ekor kuda dilepaskan. Membuatkan wajahnya kelihatan lebih muda, lebih menarik. Aku sukakan penampilan Airini seperti itu.

Banyak benar dia memasak untuk malam itu. Bau makanan yang dihidangkannya cukup membangkitkan rasa laparku. Hebat juga dia. Boleh jadi calon isteri yang baik.
Ketika aku memuji masakannya, wajahnya kelihatan memerah. Aku bukan mengutuk, aku ikhlas memuji ni, desis hatiku apabila melihatkan perubahan wajahnya.Dia seolah-olah tahu apakah makanan kegemaranku. Terkejut juga aku melihatkan kurma ayam dan sambil tumis udang di atas meja.

Apabila diingatkan kembali, aku terasa seperti pernah menemui papanya itu. Tetapi di mana?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience