Chapter 3

Romance Completed 16129

AIRINI

JALAN raya di Bangsar agak sesak menjelang petang. Tetapi kesesakan itu tidaklah teruk sangat sampai kenderaan tersadai tidak dapat bergerak langsung. Sarika memandu dengan perlahan, mengekori kereta lain di hadapan. Aku yang duduk di sebelahnya hanya mendiamkan diri, membiarkan dia memandu dengan sepenuh tumpuan. Kereta Honda kesayanganku sudah aku hantarkan ke bengkel Mr. Frankie selepas balik kerja tadi. Lusa baru dijangka siap. Sehingga lusa jugalah, aku terpaksa menumpang Sarika untuk ke tempat kerja.

Aku teringatkan anak muda yang bernama Danish Khalil itu. Parasnya menjelma di ruang mata. Dia boleh dikategorikan sebagai kacak. Dagunya tirus. Berkulit warna buah ciku masak. Dahinya luas, menggambarkan kepintaran. Matanya jernih. Berbadan tegap seperti ahli sukan. Tinggi lampai orangnya. Hampir setinggi Shahril.
Rambutnya ikal hitam, agak panjang sedikit. Matanya sehitam rambutnya, jelas mempamerkan segala perasaan di hati. Rasa-rasanya umurnya baru di awal usia dua puluhan.

Aku terasa seperti dihempap batu apabila Jiji memberitahu yang anak muda itu bukannya datang untuk temuduga itu. Dia sebenarnya datang untuk menemui abang angkatnya, Shahril. Malu benar hatiku ketika mengetahui hal itu.

Okay. Aku akui itu silap aku juga. Terburu-buru hendak melampiaskan geram tanpa menyelidik situasi terlebih dahulu.

“Masih teringatkan kejadian tadi?” soal Sarika dengan tiba-tiba.

Aku hanya mengangkat bahu, tidak bersuara apa-apa. Tetapi Sarika tersenyum lebar, tanda dia tahu apa yang difikirkan olehku.

Ketika tiba di rumah tadi, Sarika ada menegurku. Memberitahu yang aku tidak seceria selalu. Tidak banyak bercakap. Memang sepanjang hari ini, aku sentiasa teringatkan kejadian aku tersilap menemuduga itu. Encik Ghazi ada juga menegur tadi, memberitahu yang wajahku mencuka sepanjang masa. Membuatkan staf yang lain tidak berani bertegur sapa denganku. Patutlah masing-masing mengelakkan diri daripada bertembung denganku. Masing-masing sudah masak dengan perangaiku.

Aku, Airini dikenali mereka sebagai seseorang yang tegas dan komited dengan kerja. Sikap aku di pejabat jelas diketahui ramai. Ramai yang mengatakan sukar untuk melihat aku bergurau senda dengan mana-mana teman sekerja. Agaknya kerana itu, apabila melihat wajahku yang mencuka, ramai yang tidak berani menegur. Lebih-lebih lagi Jiji. Sentiasa hendak mengelakkan diri daripada bertembung dengan aku. Takut kalau-kalau dengan tidak semena-mena aku menyemburnya disebabkan kejadian itu.

Sarika memandu menghala ke arah Lucky Garden, memberhentikan keretanya di hadapan baris-baris kedai yang berderetan.

“Strudels?” aku meneka. Mataku melihat ke arah bangunan kafe yang sinonim dengan warna merah bata itu.

Dia menganggukkan kepala sambil mematikan enjin kereta.

Strudels menjadi tempat kami semua lepak-lepak sambil minum petang. Kami… aku, Sarika dan Shahril. Kadang-kadang Jiji dan Illa turut bersama-sama kami bertiga.
Kafe itu dianggap sebagai tempat kami bertukar cerita, berkongsi masalah, malah menjadi tempat mesyuarat secara tidak rasmi.

Aku dan Sarika sama-sama berjalan ke arah kafe itu, melangkah masuk ke dalam kafe itu. Ternampak Shahril menggamit kami berdua. Bersama-sama dengannya ialah anak muda yang bernama Danish itu. Penampilan Danish agak berbeza dengan pagi tadi. Kali ini, anak muda itu kelihatan lebih kemas, sekalipun hanya memakai baju T dan berjeans lusuh. Pagi tadi, nampak macam samseng saja. Kami sama-sama melangkah ke arah lelaki berdua itu.

“Lama menunggu?” Sarika bertanya sambil menarik kerusi dan melabuhkan duduk di hadapan Shahril.

“Baru saja sampai,” jawab Shahril.

Oleh kerana Sarika mengambil tempat duduk di hadapan Shahril, aku terpaksa mengambil tempat duduk yang berhadapan dengan Danish. Sempat aku melemparkan pandangan tajam ke arah anak muda itu. Dia kelihatan serba-salah untuk memberikan senyuman kepadaku.

“Tak nak kenalkan aku dengan kawan kau ni ke?” tanya Sarika yang masih belum mengenali Danish.

“Adik angkat aku, Danish Khalil,” beritahu Shahril sambil menepuk-nepuk bahu Danish.

“Oh! Yang…” Sarika nampaknya mengingati cerita aku tadi.

Aku perasan yang matanya menjeling ke arahku. Pasti dia sudah mengerti mengapa wajah aku mencuka sahaja apabila terlihat Danish tadi. Inilah rupanya orang yang aku tersilap menemuduga pada pagi tadi.

“Danish, ini Sarika Mahendra dari Jabatan Operasi Perniagaan. Yang ini, Airini Malik, dari Jabatan Perkhidmatan,” Shahril memperkenalkan kedua-dua kami secara ringkas kepada adik angkatnya itu.

Danish tersenyum semanis mungkin, hanya menganggukkan kepalanya. Matanya lebih terarah kepada Sarika, tidak berani memandangku. Takut hendak bertembung pandang denganku barangkali. Dan pasti dia tidak menyangka yang Sarika adalah gadis keturunan Punjabi. Raut wajah temanku itu persis gadis Melayu.

“Berapa umur?” Sarika bertanyakan latar belakang anak muda itu.

Aku memilih untuk membatukan diri. Biarlah dia beranggapan yang aku ni sombong orangnya. Sakit hatiku disebabkan kejadian tadi masih lagi terasa. Aku masih teringat wajah selambanya pada pagi tadi. Dia kelihatan cuba mengawal tawanya. Pura-pura tidak nampak akan rona merah di wajahku dek kerana malu yang membuak-buak di hati. Dan ketika dia dan Shahril keluar dari bilikku, telingaku sempat menangkap derai tawa mereka berdua. Geramnya hati ketika itu hanya Tuhan yang tahu.

“24 tahun,” Shahril menjawab bagi pihak Danish. Tepat sangkaanku pagi tadi.

“Dah kerja ke belum?” Sarika cuba beramah-mesra dengan anak muda itu.

Aku tidak mengendahkan mereka. Pantas sahaja meninggalkan mereka, bergerak ke kaunter hidangan.

“Dalam proses mencari kerja,” jawapan Danish terdengar ke telingaku.

“So, masih menganggur lagilah ni. Awak nak cari kerja yang macam mana?” Sarika bertanya lagi.

“Apa-apa sajalah. Untuk sekarang ni, saya tak memilih sangat. Asalkan ada kekosongan, saya terima,” jawab Danish.

Dalam keadaan dirinya tidak mempunyai sebarang pengalaman, pasti dia tidak mahu memilih-milih pekerjaan. Ambil dahulu sebarang peluang yang ada, kemudian baru mencari kedudukan yang lebih baik. Itu juga yang aku pelajari dahulu. Dan Alhamdullilah, dalam usia yang masih muda aku sudah mampu menarik nafas lega. Lega kerana mempunyai kerja yang stabil dan sejumlah pendapatan yang mampu memberikan kesenangan kepadaku. Walau tidak mewah, aku bersyukur.

“Begitu…” terdengar Sarika. “Kalau tak silap I, Rini ada cakap yang Jabatan TQM & RD ada satu kekosongan. Katanya, Encik Azmi telah memberikan notis berhenti kerja berkuat-kuasa minggu ni. Apa kata kalau si Danish ni cuba memohon untuk bekerja di situ?”

Adui! Lemah jiwaku mendengarkan Sarika bercakap sebegitu.

“Elok jugalah tu. Cuba you tanyakan Rini pasal hal ni,” terdengar pula Shahril bersuara.
Aku kembali duduk bersama mereka, membawakan bersama sepotong kek dan secawan teh panas. Duduk dengan selamba seolah-olah tidak terdengar perbualan mereka tadi, lantas menikmati hidangan itu. Tidak mempedulikan mereka yang lain. Teh yang berbau harum dihirup. Segar rasanya.

Perasan juga yang Shahril memberikan isyarat mata kepada Sarika. Pasti menyuruhnya bertanyakan kekosongan jawatan yang mereka perbualkan tadi. Danish sedang merenungku. Redup pandangannya. Seperti terkandung harapan di dalamnya. Sepertinya aku pernah melihat redup pandangan seumpama ini dahulu? Tetapi di mana? siapa? Ingatanku kelam.

Sarika berdehem perlahan, tanda mahukan semua orang memberikan perhatian kepadanya. Sebenarnya dia hanya mahu aku yang memberikan perhatian. Mataku melirik pandang ke arahnya.

“Kenapa?” soalku dengan mulut yang penuh dengan kek.

“Mengenai kekosongan jawatan yang ditingalkan oleh Encik Azmi tu...”

“Aku dah bincang dengan Encik Ghazi dan kami bersetuju untuk lantik pembantu Encik Azmi bagi menggantikan kekosongan itu,” pintasku sambil menjeling ke arah Sarika, kemudian beralih ke arah Danish. Redup matanya menjadi layu.

“Jadi, Illa yang mengambil-alih sebagai pengurus jabatan tu? Siapa pula yang ganti tempat Illa?” Shahril pula bertanya.

“Kosong. Kenapa? Kau nak adik angkat kau ni gantikan tempat Illa?” soalku serius.

“Kalau boleh,” angguk Shahril, mengharap.

“Ada pengalaman bekerja?” soalan aku terarah kepada Danish. Tadi aku tidak menemuduganya. Jadi, untuk kesempatan ini, biar dia bersoal-jawab dengan aku semula.
Mataku memandang tepat ke arah Danish. Dia hanya menggelengkan kepala.

“Masalahnya ialah saya lebih suka ambil orang yang dah ada pengalaman bekerja. Tak perlu buang masa dan duit untuk melatih semula,” tuturku selamba.

“Macam mana nak dapatkan pengalaman bekerja, kalau tak diberi peluang bekerja,” Danish pula bersuara tegas.

Rupanya dia berani orangnya. Matanya tajam menikam ke wajahku. Bicaraku tadi telah menaikkan darah mudanya.

“Hai! Kena tegur sikit dah nak melenting,” balasku pantas. Menyembunyikan malu dan geram dek kata-katanya tadi. Tubuhku sandarkan ke kerusi, menatap roman tegang Danish.

“Awak dulu, semasa keluar universiti, ada pengalaman bekerja atau tidak? Tak ada kan. Sebab itu, awak sepatutnya sedar diri, berterima-kasih kepada syarikat yang sanggup membazirkan wang dan masa untuk menerima dan melatih awak bekerja. Janganlah seperti lupakan diri pula,” Danish seperti enggan mengalah. Lancang juga mulut dia, macam Shahril.

Shahril dan Sarika hanya memerhati dan mendengar. Bibir masing-masing menguntum senyuman. Agaknya mereka berkongsi pandangan… tidak mudah bagi aku hendak membuli Danish. Anak muda ini bersikap agresif.

“Kalau awak rasa yang saya tak berkelayakan untuk bekerja di situ, saya tak kisah. Mungkin rezeki saya tak ada di situ dan saya tak kecewa. Insya-Allah, saya boleh mendapatkan pengalaman kerja di tempat lain,” Danish menyindir halus.

Aku mengangkat kening. Pagi tadi, dia menelan sindiranku. Kali ini, aku pula yang kena menelan sindirannya. Tetapi aku masih boleh mengawal diri daripada melenting. Namun, hati terasa berbahang juga.

Mujur juga perbualan itu tamat di situ. Danish tidak mahu menyebut apa-apa lagi. Wajahnya masam sahaja. Pasti hatinya sebahang hatiku, terbakar dengan kata-kataku tadi. Seribu sumpahan pasti sedang bermain di hatinya.

Spontan aku tersenyum senang. Tanda menang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience