Chapter 30

Romance Completed 16120

MARYA

Marya duduk menghadap cermin, memerhati gincu yang teralit ke ke bibirnya. Dia kurang berpuas-hati dengan solekannya. Tetapi untuk mendapatkan jurusolek supaya memperbaiki mekapnya terasa payah pula. Rambutnya sedang didandan dan dia terpaksa menunggu sehingga selesai.

Malam itu, model-model dari Anita Agency ditawarkan untuk mengadakan pertunjukan fesyen di sebuah hotel. Marya diberitahu yang perekanya adalah anak kelahiran Malaysia yang kini sedang mencipta nama di London. Dan pertunjukan ini adalah pertunjukan pertamanya di negaranya sendiri.

Daripada desas-desus di kalangan model yang terlibat, dia mendapat tahu yang pereka itu akan membuat pemilihan model. Model terpilih akan ditawarkan tugasan memperaga koleksi pakaiannya di London sempena London Fashion Week.

Mesti ramai yang cuba untuk menonjolkan diri agar terpilih, fikirnya sambil memerhati wajahnya di cermin. Melalui biasan cermin itu, dia terlihat Mazrin. Lelaki itu sedang tekun menatap sebuah majalah. Tidak mempedulikan kesibukan persekitarannya.

Dia kasihankan Mazrin. Lelaki itu sentiasa bersusah-payah menemaninya ke mana sahaja. Kalau dia sibuk dengan penggambaran fesyen, Mazrin yang menghantarnya ke lokasi dan kemudian setia menunggunya sehingga selesai. Kalau dia terlibat dengan pertunjukan fesyen, lelaki setia menunggu di belakang pentas. Dan hatinya tersentuh dengan apa yang dilakukan oleh Mazrin itu.

Mazrin tidak seperti Danish. Sifat penyayangnya terserlah, sifat romantisnya menyentuh perasaan. Hati mana yang tidak gembira apabila Mazrin selalu bertanyakan pendapatnya jika hendak membuat sesuatu, selalu menegur jika dia melakukan sesuatu yang tidak disenanginya. Yang paling menyenangkannya, Mazrin selalu mengirimkan jambangan mawar merah kepadanya. Adakah dia melakukannya kerana cinta? Soalan itu muncul di hatinya. Kalau ya, akulah yang bertuah.

Elda mendekatinya.

“Kenapa?” dia bertanya bimbang apabila melihat temannya itu menekan-nekan perutnya. Dahi gadis itu berkerut.

“Perut I ni, tiba-tiba pula sakit,” jawab Elda sambil duduk di sisinya.

“Teruk ke?” dia menjangkaukan tangannya, menyentuh dahi Elda yang berpeluh. Terasa sejuk. Teruk nampaknya. “Dah makan ubat?” soalnya kepada gadis itu.

Elda hanya mengangguk lemah.

“Tak okay juga?” Marya bertanya lagi.

“Makin teruk jadinya adalah,” jawab Elda perlahan.

“Is there anything I can do to help you?”Marya bertanya.

“Can you take over my place?” pinta Elda. Saiznya dan Marya lebih kurang sama sahaja. Marya tidak menghadapi masalah untuk memakai fesyen yang diperuntukkan untuknya. Marya terdiam seketika, serba-salah. Tetapi melihat Elda sebegitu, timbul pula rasa simpati.

“Please,” Elda merayu.

Marya menelan liur, kemudian mengangguk perlahan-lahan. Mungkin ada ganjaran untuk pertolongan ini, fikirnya. Untuk itu, sesi Elda diambil-alihnya. Dia tidak terkejut apabila mendapati pakaian yang sepatutnya diperagakan oleh Elda agak seksi. Agaknya sebab ni dia dikenali ramai, fikirnya sinis. Terpaksa memakai juga walaupun dia berasa kurang selesa. Dan sepanjang pertunjukan itu, dia berusaha keras untuk cuba memberikan persembahan yang terbaik. Dia juga ingin terpilih sebagai model pilihan pereka yang terkenal itu.

Akhirnya semua model berbaris di atas pentas dan pereka muda itu muncul di atas pentas dengan diapit oleh dua orang model lain untuk penghormatan. Selesai semuanya, semua bergerak ke belakang pentas kembali. Dia terlihat Elda dan Mazrin sedang berbual. Hatinya bergetar cemburu. Mazrin yang melihatnya pantas mendekatinya.

“Bualkan apa dengan Elda tadi?” dia tidak dapat menahan diri daripada bertanya, sekaligus mempamerkan cemburunya.

“Cuma bertanya kenapa dia tak muncul memperaga dan kau mengambil-alih tempatnya tadi,” jawab Mazrin.

Marya terdiam, menjeling ke arah Elda yang sedang berbual sesuatu dengan Miss Nita.

“Jom balik!” ajak Mazrin.

Dia mengangguk sahaja. Pantas sahaja dia mengambil barangannya, kemudiannya memeluk erat tangan Mazrin dan beredar pergi dari situ. Dia tidak mempedulikan Elda walaupun perasan yang gadis itu menjelingnya.

Mulai detik itu, dia berasakan yang dia perlu mengawasi Elda.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience