BAB 5

Romance Completed 1514

Hujung minggu yang dinantikan pun tiba. Zuleyka Iman bangun awal seperti biasa. Hari ini dia akan menemani ibu ke majlis keramaian sahabat ibunya. Sepasang baju kurung bermanik rona putih pemberian ibu disarungkan ke badan.

“Cantiknya anak ibu.”

Puan Emma masuk ke bilik ketika Zuleyka Iman sedang mempersiapkan diri. Zuleyka Iman membalas senyuman ibunya dari pantulan figura di cermin. Selendang satin berwarna turquoise dililitkan ke kepala. Sekali lagi gaya Hana Tajima menjadi pilihannya. Puan Emma tetap setia memerhatikan si puteri melengkapkan penampilan diri.

“Ibu, kenapa kita ke masjid? Kenapa tak ke rumah pengantin terus?”

Zuleyka Iman menyoal apabila mereka tiba di perkarangan masjid. Puan Emma dan Encik Lutfi saling berpandangan lalu berbalas senyuman.

“Mari sayang.”

Puan Emma menghulurkan tangan kepada Zuleyka Iman. Si puteri lantas menyambut lalu mereka beriringan masuk ke dalam masjid.

Di pintu masjid, ramai tetamu yang sudah tiba dan apa yang menghairankan Zuleyka Iman, kebanyakan tetamu yang hadir adalah saudara-mara ayah dan beberapa kenalan ibunya.

‘Eh, macam nak datang majlis akad nikah aku pulak.’

Zuleyka Iman ketawa kecil.

‘Tak mungkinlah. Dia dah setuju nak batalkan pertunangan kami.’

“Zu!”

Zuleyka Iman menoleh sebaik mendengar namanya dipanggil.

“Kau buat apa kat sini?”

Zahra Abiat tersengih sendiri.

“Kebetulan aku kenal juga dengan pengantin perempuan ni.”

Zuleyka Iman hanya mengangguk tanpa minat. Dia tahu yang Zahra Abiat sememangnya ramai kenalan.

“Jom, masuk dalam.”

Zahra segera memimpin tangannya masuk ke dalam.

Mata Zuleyka Iman membulat sebaik melihat Harith Ziad sedang duduk bersila di hadapan tok kadi lengkap dengan baju Melayu rona putih dan bersamping.

‘Mungkin dia juga kenal dengan pengantin lelaki.’

Zuleyka Iman berkata sendiri. Wajah pemuda itu diamati sekali lagi. Rambutnya panjang menutupi telinga dan hampir mencecah bahu. Songkok yang dipakai tidak menampakkan rambut hadapan pemuda itu namun Zuleyka masih ingat, rambut hadapan pemuda itu juga panjang hingga menutupi sebahagian matanya.

“Pengantin perempuan dah bersedia?”

Suara tok kadi bertanya mematikan niat Zuleyka Iman untuk terus menganalisa. Dia mencari kelibat pengantin perempuan yang dimaksudkan.

‘Perasaan aku sahaja atau memang semua orang tengah perhatikan aku?’

Puan Emma menghampiri Zuleyka Iman lalu memimpinnya ke hadapan. Zuleyka merenung ibunya tanpa mampu berkata-kata. Ayahnya juga dilihat sedang duduk bersila di sebelah tok kadi. Zuleyka Iman mencengkam tangan ibunya.

Puan Emma tersenyum.

“Ibu, apa semua ni?”

Zuleyka Iman mula rasa tidak sedap hati. Pandangan semua mata kini beralih kepadanya. Sekilas dia menjeling Harith Ziad yang sedang bersila di hadapan tok kadi.

“Puteri, inikan majlis nikah puteri.”

Sebaris ayat yang dikeluarkan oleh ibu itu sudah mampu membuatkan darah merah menyerbu ke wajah Zuleyka Iman. Kepalanya dirasakan berpinar-pinar. Zuleyka Iman menggeleng laju. Perhatian tetamu kepadanya sudah tidak diendahkan lagi.

“Ibu jangan bergurau tau. Semalam ibu cakap nak pergi kenduri sahabat ibu saja kan?”

Puan Emma tersenyum lalu mencapai tangan Zuleyka Iman.

“Memanglah nak pergi kenduri anak sahabat ibu. Anak sababat ibu dan anak kesayangan ibu.”

Puan Emma menjelaskan. Zuleyka Iman menggeleng lagi. Matanya mencari kelibat Zahra Abiat.

“Boleh kita teruskan?”

Tok kadi bersuara sekali lagi. Zuleyka Iman menjeling ke arah Harith Ziad.

“Kita perlu berbincang.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience