BAB 11

Romance Completed 1514

Malam itu ummi dan walid pulang ke kampung atas urusan keluarga. Zuleyka termangu sendiri. Sejak peristiwa petang tadi, Harith bertindak mogok tidak mahu bercakap dengannya. Sejak tadi suaminya mengurung diri di bilik bacaan.

Zuleyka Iman membuka pintu bilik bacaan dan melihat si suami sedang khusyuk membaca. Kehadirannya langsung tidak dipedulikan. Zuleyka menghidangkan susu panas di atas meja.

“Awak, saya minta maaf kalau peristiwa petang tadi buat awak marah. Saya…”

“Awak tak nampak yang saya sedang membaca?”

Harith memotong ayatnya sebelum sempat Zuleyka menghabiskan bicara. Buku bacaan diletakkan di atas meja lalu Harith beredar keluar bilik. Zuleyka pantas menangkap lengan suaminya. Wajah Harith yang berpaling dari memandang wajahnya membuatkan Zuleyka melepaskan semula pegangan tangan. Harith beredar keluar dari bilik bacaan.

Zuleyka terasa hati. Air mata yang cuba ditahan sejak tadi akhirnya mengalir juga. Sejak tiga bulan menikahi pemuda itu, tidak pernah sekalipun Harith melayannya sedemikian. Walaupun pernikahan mereka atas dasar aturan keluarga, tidak pernah dia rasa dilayan seperti orang asing seperti ketika ini.

Zuleyka melangkah masuk ke bilik tidur. Harith tiada di situ, dia mendengar deruman enjin kereta lalu menjenguk ke luar balkoni. Kelihatan kereta suaminya meninggalkan perkarangan rumah. Zuleyka menarik nafas panjang menahan sebak. Langkah di atur ke meja solek. Kertas dicapai lalu dilarikan pen membentuk coretan di atasnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience