BAB 12

Romance Completed 1514

Harith pulang ke rumah agak lewat pada malam itu. Lama dia menenangkan diri di surau berdekatan. Pulang ke rumah, dia diserbu tanda tanya sebaik melihat keadaan rumah yang berselerakan. Tombol pintu rumahnya jelas sudah dikumpil.

“Ya Allah, isteri aku.”

Harith segera berlari ke bilik mencari kelibat Zuleyka Iman. Nafasnya turun naik, dia keluar masuk dari sebuah bilik ke bilik yang lain. Semua bilik kelihatan berselerak kerana diselongkar namun Harith masih tidak menjumpai kelibat isterinya.

“Ya Allah, kau Yang Maha Mengetahui, kau peliharalah keselamatan isteriku.”

Harith duduk di birai katil. Pandangannya menyelinap ke seluruh ruang bilik. Almari isterinya turut diselongkar. Harith bangun menuju ke meja solek, gambar Zuleyka dicapai dan dibawa ke dada. Pandangannya jatuh pada sehelai coretan kertas tulisan tangan isterinya.

Assalammualaikum suamiku Harith Ziad,

Awak,

Tiada lafaz kata yang terindah selain lafaz akad yang awak terima dari babah,

Tiada janji yang paling bermakna selain janji yang awak akan memimpin saya ke syurga-Nya.

Tiada hal terbaik dalam hidup saya selain ditakdirkan jodoh dengan seorang Harith Ziad.

Awak,

Awak bukan yang pertama di hati saya, namun saya mengharapkan awak menjadi yang terakhir.

Ya Rabb Tuhan Yang Maha Memelihara hati, kau yang memelihara hatiku, kau yang mencambahkan rasa sayang ini kepada suamiku, kau yang mentakdirkan aku mencintai suamiku dan kau juga yang menjagakan cinta ini, andai apa yang aku rasakan ini benar Ya Rabb, berikanlah ketenangan di hati suamiku saat dia melihatku, kau hilangkanlah perasaan yang boleh menjauhkan hati kami dan kau berikanlah kami kerukunan rumahtangga yang sakinah, mawaddah dan warahmah. Tiada lebih yang aku pinta selain dari keredhaan dan keberkatanMu.

Harith menyimpan semula coretan itu di atas meja solek isterinya. Gambar Zuleyka ditatap sekali lagi, dia rindu. Sungguh dia rindu dan terseksa menahan amarah terhadap isterinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience