BAB 6

Family Completed 5480

Kalish Saifullah hanya tersenyum. Tidak mengiakan juga tidak menafikan. Tidak pasti.

Entah kenapa ada satu rasa yang bertandang di laman hati. Rasa yang bertamu dengan tiba-tiba. Tanpa undangan namun tetap memberi kesan yang mendalam. Meninggalkan jejak yang tak terhapuskan. Rindu. Sakit.

Sakit rindu.

“MAK CIK, kenapa biarkan Saif kerja.”

“La… biarlah… aku ni pun bukannya orang kaya macam kamu. Duduk goyang kaki pun boleh makan.” Nek Nab menjawab malas sambil tangannya bekerja menyusun asam gelugur di atas dulang. Terik mentari mungkin membantu mengeringkan asam keping itu dengan cepat. Untung-untung boleh dijual buat menambah pendapatan.

“Tapi dia budak lagi Mak Cik. Baru lima belas tahun. Sepatutnya umur macam ni dia duduk di sekolah, belajar.” Ainin membantah tegas dalam lembut. Cuba berkompromi dengan mengawal emosi dalam tutur kata agar tiada hati yang terguris. Tambahan pula, Nek Nab sudah seperti ibu sendiri.

Nek Nab megeluh kecil. “Alah… kalau pergi sekolah pun bukannya boleh pandai.”

“Mak Cik! Sampai hati Mak Cik cakap macam tu. Saya hantar dia ke sini dengan harapan ada orang yang akan

jaga dia. Sayang dia. Kalau tahu macam ni…” Ainin mati kata. Dia buntu. Adakah percaturannya silap?

“Kalau macam tu… kau ambik balik budak tu. Duduk sini pun menyusahkan aku je. Aku ni nak tanggung diri

sendiri pun kais pagi makan pagi. Kau bawak pulak budak tu buat tambah beban dan kau harap aku boleh tatang dia macam anak raja?” Nek Nab bersuara keras.

“Kalau saya mampu jaga dia… saya takkan harap pada orang lain… Dia bukan beban. Tapi amanah…” kendur suara Ainin bernada sebak.

“Aku Nampak Sofia dalam diri dia… aku tak boleh…” Mak Nab menangis lagi. Dalam sendu yang kian menjadi-jadi.

Luka yang hampir sembuh bagai disiram cuka. Pedihnya… peritnya tak akan pernah mampu diterjemahkan melalui kata-kata. Tiada bahasa yang mampu menggambarkan penderitaan jiwanya. Hidup bersulam sengsara yang tidak mampu dia kongsikan dengan sesiapa.

Pernahkah ada sesiapa memahami? Atau paling tidak cuba menyelami naluri seorang ibu yang kehilangan satu-satunya permata hatinya? Seorang isteri yang hilang tempat bergantung? Hilang teman begurau senda, hilang sahabat meluahkan rasa?

Mereka tidak faham dan tidak akan mampu untuk faham.

“Mak Cik tak redha…”

“Tak mudah!” Nek Nab memotong laju. Sesiapa sahaja yang berada di tempatnya pasti akan memahami situasinya. Pasti tidak akan mempersoal kenapa? “Sampai sekarang lelaki jahanam tu masih bebas. Anak aku tak dapat pembelaan.” Dia masih mencuba bersuara dalam sedu sedan yang berlagu pilu.

“Mak Cik macam tak yakin yang adanya hari kebangkitan…” Ainin masih cuba memujuk.

Dendam bukan senjata tetapi racun. Dendam bukan menjadikan kita kuat tapi akan menambah kesakitan. Sesungguhnya kemaafan itulah yang menjadi penawar pada hati yang sakit oleh dendam tanpa penyudah.

“Aku yakin…”

“Kalau betul yakin, percaya pada Allah. Setiap kezaliman akan Dia balas dengan azab-Nya. Dia Maha Adil.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience