BAB 8

Family Completed 5480

“Kalau macam tu pergi masuk bilik siap-siap nanti kejap lagi kita pergi jumpa nenek.”

KAKI Kalish Saifullah melekat pada tanah di halaman sebuah rumah papan yang sunyi. Kakinya terpaku pada lantai bumi. Teragak-agak untuk mendaki tangga yang terletak elok. Fikirannya menerawang memikirkan penerimaan nenek akan kehadirannya yang tidak dialu-alukan.

“Assalamu’alaikum…” Ibu fauziah memanggil.

“Wa’alaikumussalam…” nenek yang baru muncul di balik pintu terpaku melihat Kalish Saifullah yang berdiri di depan tangga.

Bagaikan mimpi.

Kaki tuanya dibawa melangkah menuruni tangga lantas spontan tubuh Kalish Saifullah dipeluk kejap bersama linangan air mata.

Kasih yang terbias tak mampu dia nafi. Rindu yang menggunung tak mampu dia sangkal.

Kalish Saifullah yang terkejut dengan apa yang berlaku dengan perlahan membalas pelukan nenek.

‘Betul kata Abang Zaf… Allah akan makbulkan doa semua orang.’

ZAFRI menjejaki Kalish Saifullah di tapak pembinaan. Sudah jenuh ayahnya menasihati Kalish Saifullah supaya jangan bekerja sebaliknya pergi ke sekolah tetapi Kalish Saifullah tetap berdegil. Kehadiran Zafri hanya salah satu ikhtiar dengan harapan Kalish Saifullah akan lembut hati untuk menerima kata nasihatnya.

“A… if… Nnak… aga… nek…”

“Tapi Saif kena sekolah. Belajar rajin-rajin lepas tu boleh kerja yang bagus-bagus boleh jaga nenek.” Zafri masih

tidak jemu memujuk. Demi masa depan kalish Saifullah.

Sayang rasanya andai usia muda dihabiskan dengan bekerja sedangkan dia masih perlu bersekolah. Menuntut ilmu Allah yang terlalu luas. Kalau pun dia tidak mampu menjejakkan kaki ke menara gading seperti insan lain namun sekurang-kurangnya dia punya bekalan ilmu. Ilmu dalam kemahiran. Yang nanti boleh dia gunakan pada masa akan datang.

Kalish Saifullah menggeleng laju.

“Nek… nnak… gi.. Mme… kah…” dia menjawab polos.

“Nanti kalau Saif dah kerja yang bagus-bagus bolehlah bawa nenek pergi Mekah.”

Diam mengisi ruang waktu. Lama begitu.

“Kerja ni penat Saif. Saif muda lagi…” belum pun sempat Zafir menghabiskan ayat dia dikejutkan dengan jeritan dari

arah atas yang melaung namanya. Dia mendongak memandang ke atas. Sebongkah bata terjatuh dari tingkat enam betul-betul berada di atas kepalanya dan sejurus kemudian dia rasakan badannya ringan melayang.

MAJLIS tahlil hari yang ke tujuh semalam. Pemergiannya amat dirasai. Sungguh. Sunyi segenap ruang rumah. Sepi menemani setiap saat yang dilalui. Baru kini dia fahami erti pada kata; kita akan hanya menghargai sesuatu setelah kehilangannya.

Kehadiran Lebai Imran sekeluarga yang setiap hari menemani Nek Nab sedikit sebanyak merawat kesedihan.

“Siapa punya ni Lebai?” Nek Nab bertanya sambil menyambut huluran surat dari Lebai Imran.

“Kau punya la Nab…”

“Tapi duit aku rasanya tak sampai separuh pun macam mana pulak dapat panggilan ni.” Nek Nab mengerutkan kening berfikir. Kalau diikutkan memang lagi sepuluh tahun pun belum tentu cukup duit untuk dia kumpul.

“Rezeki kita ni tak siapa tahu Nab…” Lebai Imran sekadar berkias.

Zafri mengangguk mengiakan. Terhutang nyawa dengan Kalish Saifullah, seorang budak lelaki yang serba

kekurangan di mata manusia namun mulia pada pandangan Allah. Apalah sangat balasan duit buat warisnya kalau hendak dibandingkan dengan pengorbanan yang dia lakukan.

“A… if… nnak… kkum… pul… du… it… bbawa… nek… gi… Mme… kah…” ayat itu masih terngiang-ngiang di telinganya hingga kini. Namun apakan daya hajatnya tidak kesampaian. Apatah lagi hajatnya ingin mendoakan kesembuhan uminya semasa di Masjidil Haram nanti tidak sempat tertunai.

Bibir mata basah digenangi air hangat. Kalaupun tidak mampu membuatkan insan itu gembira sekurang-kurangnya dia cuba melaksanakan impiannya yang tidak sempat dicapai.

“Dia jemput pada masa dan ketika yang sepatutnya. Tak cepat, tak lambat. Pada masa yang tepat, bila kita sudah siap. Tiba masa kalau Dia izin sampailah…” suara Lebai Imran kembali bergema menerbangkan segenap kata yang mengasak minda. Sesungguhnya begitulah kitaran hidup kita di dunia, pergi dan kembali kepada Sang Pencipta, bezanya masing-masing punya suratan takdir tersendiri dalam melewati kehidupan di dunia ini dan bagaimana kita menunaikan tanggungjawab kita sebagai seorang khalifah di dunia ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience