BAB 1

Family Completed 5480

Panahan sang mentari mengganas di atas kepala. Tiupan angin langsung tidak dapat ditebak arahnya. Kalish Saifullah mendongak memandang langit biru dilitupi awan nipis. Subhanallah… bibir menutur perlahan tanpa lontaran bunyi. Peluh yang merenek di pipi dilap menggunakan tuala kecil yang tergantung elok di tengkuk. Dadanya berombak perlahan. Lelah yang terbuku dipendam damai.

Bata yang seterusnya dicapai lalu diletakkan di atas campuran simen dan pasir halus yang telah siap ditampal di atas deretan bata. Tugasnya diteruskan meski penat. Kerja-kerja disambung meski lelah kian memuncak.

Satu perjuangan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Berjuang demi diri, demi Ilahi.

“Hidup ini indah bila adanya ujian… meski ujian itu payah…”

Kata-kata Umi terngiang-ngiang di telinga. Satu mutiara kata yang dia sematkan kemas di dada. Menjadi kata azimat yang membakar semangat agar dia tidak rebah menyerah pada bisikan takdir yang menjengah. Benar hidup ini untuk perjuangan dan mati adalah pasti untuk kehidupan yang abadi.

Titisan peluh di belikat yang membasahkan baju putih lusuhnya dapat dia rasai. Kendati kepalanya terasa berpinar-pinar tetap dia teruskan demi sesuap nasi juga mimpi yang sempat dia anyam.

“Hidup bukan sekadar untuk ketawa tetapi lebih dari itu. Untuk kita pelajari apa itu syukur. Untuk kita hargai apa itu nikmat. Untuk kita renungi apa itu hikmah.” Kata-kata nasihat Lebai Imran pula mengetuk kotak ingatan.

“Kehidupan ini untuk kita bersabar dengan kekurangan dan bersyukur dengan kelebihan…” ayat memujuk Abang Zafir pula berlagu di minda.

Dia tidak sempurna. Bukan seperti insan lain yang punya paras yang elok juga minda pintar yang mampu dibanggakan. Dia hanyalah seorang anak yang tidak didamba. Seorang cucu yang tidak diingini. Hidupnya ibarat melukut di tepi gantang. Hadirnya hanyalah bebanan. Keberadaannya hanyalah kesulitan.

Merayu demi secebis kasih yang tertimbus oleh benci yang menggunung. Melutut demi sayang senipis benang yang terbenam di tasik prejudis. Sungguh menuntut tabah yang bukan sekelumit.

MASA terus berjeda. Kebisuan Ainin mengusutkan fikiran. Kalish Saifullah menghampiri uminya lantas duduk bersila berhadapan dengannya. Tangan Ainin dicapai lalu digenggam kemas mengharapkan simpati meskipun kasihnya sudah berbelah bahagi. Dia hanya meminta belas kalau pun umi tidak lagi mahu peduli rasa di hati, tidak lagi sudi menghulur kasih.

“A… if… sa… yang umi…” Kalish Saifullah bertutur dengan penuh kepayahan. Butir bicaranya tidak jelas di pendengaran namun seorang umi pasti saja mengerti setiap lenggok kata seorang anak yang dijaga selama hampir lima belas tahun.

Ainin merenung anak teruna dihadapannya dengan pandangan redup. Lemah lumpuh semangatnya mengenangkan nasib yang mungkin menimpa anak ini kelak setelah dia pergi menyahut panggilan Ilahi. Bukan tidak peduli. Bukan tidak sudi menyayangi sebaliknya terlalu mengasihi.

Tangannya dibawa ke pipi Kalish Saifullah. “Umi pun sayang Saif…” Berat hati melepaskan namun apalah daya kudrat seorang manusia yang tidak akan pernah mampu melawan kehendak takdir. Tuntutan kehidupan…

Kalish Saifullah menggeleng-gelengkan kepala berkali-kali tanda dia memang tidak rela. Dia bukan sesiapa. Dia tidak terdaya. Tapi dia juga punya jiwa.

Bukan pintanya dilahirkan ke dunia sebagai insan tidak berdaya yang hanya menambah beban pada manusia. Tidak jua dia harap dilonggokkan harta seluas lautan demi meneruskan kehidupan. Tidak pernah sekali dia minta ditatang bagai putera raja. Dia hanya menagih secebis kasih pada yang sudi menghulurkan.

Nasib diri dia hanya mampu serah pada Ilahi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience