BAB 1

Drama Series 1317

Selesai solat subuh, Hafiz terus bersiap. Hari ini dia mahu pulang ke kampung halaman. Tepat jam tujuh pagi, dia sudah berada di bawah untuk memanaskan enjin kereta.

"Betul ke kau nak balik kampung sorang ni?" Tanya Arieff yang bersandar di muka pintu rumah banglo orang tuanya.

"Betul. Lagipun aku tak nak susahkan kau. Kau mesti banyak kerja nak selesaikan dekat pejabat tu. Maklumlah CEO." Jawab Hafiz.

"Sebab aku CEO la aku bebas nak masuk ke tak pejabat tu. Tak ada siapa berani cakap apa-apa." Balas Arieff. Sebenarnya dia risaukan Hafiz.

"Aku balik sendiri, kau pergi kerja. Jangan risau, aku okey jer." Hafiz tetap berkeras mahu pulang sendiri.

"Iyelah, tapi kau bermalam dekat kampung ke?"

"Tak pasti lagi. Mungkin petang nanti aku balik KL semula."

"Tak apa la. Hati-hati drive. Kalau ada apa-apa nanti terus call aku okey?" Pesan Arieff.

"Baik boss! Aku gerak dulu." Hafiz mengangkat tabik hormat sebelum melangkah masuk ke dalam perut kereta.

Arieff hanya mengangguk. Pandangannya menghantar kereta Honda Civic milik Hafiz meluncur keluar dari pagar rumah. Jauh di sudut hati, dia berdoa semoga Hafiz selamat pergi dan balik.

Kereta dipandu Hafiz bergerak tenang meninggalkan hiruk pikuk kota. Sepanjang perjalanan, matanya disajikan dengan pemandangan hijau bukit-bukit membuatkan dia berasa tenang sahaja.

Bukit, sawah dan rumah-rumah kampung mula kelihatan. Hafiz terasa jantungnya semakin laju berdegup sebaik kereta yang dipandunya menyelusuri jalan kecil yang berbatu. Jalan yang selalu dia lalui ketika kecil.

Hafiz memilih untuk singgah ke rumah arwah ibunya dahulu. Dari kejauhan dia sudah nampak rumah kayu yang masih tegak berdiri. Dadanya semakin sesak. Rindu. Itulah apa yang dia rasakan saat itu.

Hafiz memakir kereta di laman rumah. Di balik cermin, Hafiz melihat laman rumah sangat bersih seolah baru disapu. Dahinya sedikit berkerut. Tertanya-tanya siapa yang menjaga rumah arwah ibunya itu.

Tubuhnya dibawa keluar dari perut kereta. Langkah kakinya perlahan mendekati tangga rumah yang masih terlihat kukuh. Rumah yang sarat dengan memori dia dan arwah ibunya.

Hafiz memandang lama rumah yang masih gah berdiri. Rumah itu terlihat baru. Catnya tidak luntur. Langsung tidak di makan waktu walaupun sudah tiga tahun dia tidak menjejakkan kaki ke situ.

Hafiz bergerak ke arah pasu bunga yang ada di tepi tangga. Pasu itu ditolak sedikit. Bibirnya tersenyum melihat kunci rumah masih di tempat yang sama. Arwah ibunya la yang mengajar dia meletakkan kunci rumah di situ.

Kini Hafiz berdiri kaku di ruang tamu rumah. Dia memandang setiap sudut di ruang tamu itu. Setiap inci membawa kenangan. Rasanya seperti baru kelmarin dia melihat ibunya duduk di ruang tamu itu menanti dia pulang dari sekolah untuk makan tengahari bersama.

"Assalamualaikum!" Suara seseorang yang memberi salam di hadapan rumah menarik perhatian Hafiz dari terus merenung segenap ruang tamu rumah itu.

"Waalaikumussalam." Jawab Hafiz. Hafiz terus berdiri di muka pintu untuk melihat siapa yang memberi salam.

Terlihat seorang lelaki tua berdiri di hujung anak tangga. Wajahnya sedikit berkerut dimamah usia. Tetapi mata bersinar penuh emosi.

"Anak ni, Hafiz ke?" Tanya Pakcik itu. Suaranya sedikit bergetar.

"Iye saya." Jawab Hafiz lembut. Dia menatap wajah Pakcik itu untuk mengecam siapa Pakcik itu.

"Ya Allah Hafiz! Lamanya kamu hilang nak? Kamu pergi mana? Kamu tahu tak kami semua risaukan kamu?" Hafiz terkedu sebaik melihat air mata yang laju mengalir di pipi tua Pakcik itu.

"Hafiz tak ingat Pakcik ke? Ni, Pakcik Mail." Pakcik itu memperkenalkan dirinya. Suaranya sedikit serak.

Ketika itulah baru Hafiz mengecam Pakcik itu. Pakcik Mail, salah seorang jiran yang begitu baik dengan dia dan ibunya dulu. Pakcik Mail banyak membantu dia dan arwah ibunya.

"Ya Allah maafkan Hafiz sebab tak kenal Pakcik tadi. Pakcik sihat?" Bergegas Hafiz turun anak tangga. Tangan dihulur untuk bersalam tetapi Pakcik Mail terus memeluk erat tubuh Hafiz.

"Alhamdulillah Pakcik sihat. Kamu apa khabar nak? Syukur Alhamdulillah akhirnya Allah makbul doa Pakcik. Setiap hari Pakcik doa semoga suatu hari nanti kamu balik kampung ni. Kami semua risaukan kamu. Selepas kematian ibu kamu, kamu menghilang begitu saja." Pakcik Mail terus mengusap lembut belakang Hafiz. Hafiz berasa sedikit sebak mendengar kata-kata Pakcik Mail.

"Maaf Pakcik. Masa tu Hafiz sakit sangat. Hafiz tak dapat terima apa yang berlaku waktu tu. Sebab tu Hafiz pilih menghilang bawa diri jauh untuk mengubat luka Hafiz sendiri." Balas Hafiz. Mengingatkan kembali kejadian itu, hatinya terasa pedih.

"Tak apa la, Pakcik faham. Sekarang ni Pakcik lega sangat tengok kamu baik-baik saja. Nanti kamu singgah rumah Pakcik ye? Banyak benda Pakcik nak tanya kamu. Makcik kamu tu pun mesti rindu sangat dekat kamu."

"InshaAllah Pakcik. Nanti Hafiz singgah. Hafiz nak tengok rumah arwah ibu ni sekejap. Lama sangat Hafiz tak balik sini."

"Haa iyelah. Kalau macam tu, Pakcik balik dulu. Nak bagitahu makcik kamu tu untuk masak siap-siap. Nanti kita makan sekali." Wajah tua itu terlihat sangat gembira di mata Hafiz. Tidak sangka masih ada yang peduli tentang kehilangannya.

"Iye Pakcik, Hafiz datang."

Pakcik Mail mengangguk. Wajahnya penuh rasa lega. Dia kemudian berlalu menaiki motosikal tuanya. Walaupun kelihatan buruk tetapi enjin tua itu masih gagah membawa tuannya pergi.

*
* *
* *

Petang itu selepas selesai menjamu selera di rumah Pakcik Mail, dia terus meminta diri. Dia mahu ke kubur arwah ibunya dulu sebelum bergerak pulang ke KL. Hari juga sudah petang.

Setelah beberapa minit memandu, kereta berhenti di tanah perkuburan yang terletak di hujung kampung. Dia keluar dari kereta sambil membawa sebotol air mineral dan bunga yang sempat dia petik di halaman rumah arwah ibunya tadi.

Dia berjalan menyusuri lorong kecil menuju ke arah pusara arwah ibunya. Dia ingat di mana. Semakin dekat dengan pusara itu, semakin sesak dadanya. Pandangan menjadi kelabu disebabkan air mata yang berkumpul di tubir mata.

Matanya tertancap pada batu nisan putih yang tertulis "Siti Humairah Bin Abdullah." Air mata yang ditahan akhirnya gugur menyentuh pipi. Perlahan Hafiz duduk di sisi pusara itu.

"Assalamualaikum, ibu..." Bergetar suara Hafiz menahan sebak. Batu nisan putih itu disentuh lembut. Air matanya semakin laju mengalir.

"Ibu, anak ibu datang ni. Maafkan anak ibu sebab hari ni baru datang melawat ibu." Tangisan Hafiz pecah. Buat beberapa minit, Hafiz hanya terdiam melepas tangisannya yang terasa menyesakkan dada.

"Ibu, Hafiz rindu ibu. Rindu sangat-sangat. Kenapa ibu tinggalkan Hafiz sendiri? Hafiz lemah sangat tanpa ibu. Ibu jer penguat semangat Hafiz..." Hafiz menyeka air matanya dengan hujung jari. Suaranya sudah serak akibat menangis.

"Ibu tahu tak, Miya pun tinggalkan Hafiz. Dulu Hafiz selalu cerita pasal Miya dekat ibu setiap kali Hafiz balik kampung. Miya tinggalkan Hafiz pada hari yang sama ibu tinggalkan Hafiz. Waktu tu, Hafiz rasa dunia Hafiz gelap sangat ibu. Dada Hafiz terasa sakit sampai Hafiz tidak tahu macam mana nak gambarkan sakit tu." Hafiz berhenti sejenak. Dia menatap lama batu nisan arwah ibunya itu.

"Sekarang dah lima tahun berlalu. Hafiz cuba buang bayangan Miya tapi makin Hafiz cuba, makin kuat rasa tu. Senyuman dia, suara dia selalu bermain dalam fikiran Hafiz. Hafiz tak tahu sampai bila Hafiz kena tanggung perasaan yang cukup melemahkan Hafiz ni." Angin petang terus berhembus lembut. Hafiz berasa semakin tenang.

"Ibu, maafkan Hafiz sebab tak datang melawat ibu. Tapi percayalah, setiap sujud Hafiz, Hafiz selalu doakan ibu. Tidak pernah sekali pun Hafiz lupakan ibu. Ibu tetap dalam hati Hafiz."

Dia menuang air di atas pusara. Bunga yang dibawa tadi diletakkan di hujung batu nisan. Sekali lagi Hafiz merenung lama pusara itu. Hatinya terasa berat untuk meninggalkan.

"Ibu, Hafiz balik dulu. Hafiz janji lepas ni Hafiz akan selalu datang melawat ibu." Perlahan Hafiz bangkit berdiri. Lututnya terasa lemah, tetapi dia tetap kuatkan untuk melangkah kaki.

Sempat Hafiz melawat pusara arwah ayahnya. Kata ibu, ayahnya meninggal sewaktu dia baru berumur tiga bulan di sebabkan lemas. Kata ibunya juga, ayahnya dulu seorang nelayan.

Sebelum bergerak meninggalkan tanah perkuburan itu, Hafiz terserempak dengan Mak Jah. Mak Jah jiran yang paling dekat dengan rumahnya dahulu. Sama seperti reaksi Pakcik Mail, begitu reaksi Mak Jah.

Hafiz terpaksa menolak ajakan Mak Jah untuk singgah di rumahnya. Hari sudah lewat, dia bimbang akan lambat sampai ke KL. Arieff pasti merisaukan keadaannya. Tetapi Hafiz tetap meninggalkan janji dia akan selalu pulang ke kampung itu membuatkan Mak Jah berasa lebih lega.

Jika prolog hanya memperkenalkan cerita, maka Bab 1 akan mula memperkenalkan luka, harapan, dan takdir yang tidak pernah dijangka. Selamat membaca. ?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience