BAB 2

Drama Series 1317

Sudah sebulan Hafiz berada di Malaysia. Dia juga sudah mula bekerja di syarikat Arieff. Arieff yang menawarkan kepadanya dan dia setuju sahaja. Tidak perlu dia pening kepala fikir mahu mencari kerja di mana.

Jari jemari Hafiz ligat menari-nari di atas papan kekunci. Matanya langsung tidak lepas dari skrin laptop. Fikirannya cuba dipaksa untuk fokus pada kerja walaupun fikirannya mula terganggu sejak beberapa minit lalu.

"Damn!" Hafiz menghentak kuat tangannya atas papan kekunci. Dia betul-betul tidak dapat fokus. Nafas dalam ditarik lalu ditahan buat beberapa saat sebelum dilepaskan.

Hafiz memusingkan tubuhnya menghadap ke luar bilik. Seketika dia terpegun melihat hujan lebat yang turun membasahi bumi. Dia langsung tidak sedar sudah berapa lama hujan itu turun. Patutlah sejuknya terasa mencengkam hingga ke tulang hitam.

Sekilas Hafiz melirik jam di laptopnya. Sudah pukul 11 malam. Dia betul-betul tenggelam dalam kerjanya. Kalau bukan disebabkan fikirannya tiba-tiba terganggu oleh satu nama, mungkin saja dia tidak sedar akan masa yang terus berjalan.

"Miya Qharissa..." Sebaris nama itu terus bermain di fikiran Hafiz. Nama yang tidak pernah luput dari kotak ingatannya walaupun hanya sesaat.

"Muhammad Hafiz!" Suara keras Arieff yang tiba-tiba menyebut nama penuhnya membuatkan Hafiz terkejut.

"Hah?" Pantas Hafiz menghadap ke arah Arieff yang sudah berdiri di sisi meja kerjanya.

"Kenapa kau tak tidur lagi? Dah lewat ni." Tanya Arieff. Wajahnya jelas menunjukkan riak risau.

"Arrr, aku tengah siapkan kerja ni." Jawab Hafiz. Bibirnya tersenyum tipis.

"Kerja tu esok pun boleh buat. Kau pergilah tidur." Pujuk Arieff lembut.

"Lepas aku siapkan kerja ni, aku tidurlah. Lagipun aku okey je la."

"Yelah. Alang-alang tu kan, aku nak tanya sesuatu boleh?" Arieff menyandarkan tubuhnya pada dinding. Tangannya pula naik bersilang di dada.

"Tanya la." Jawab Hafiz. Sambil-sambil itu jari jemarinya kembali bergerak menekan-nekan papan kekunci.

"Ada sesuatu berlaku tengah hari tadi?" Tangan Hafiz berhenti bergerak. Dia cuba mencerna pertanyaan Arieff.

"Maksud kau? Apa yang jadi?" Tanya Hafiz semula tidak faham.

"Aku dengar kau berkasar dengan seorang perempuan waktu lunch tadi?" Mendengarkan itu, pantas Hafiz menggeleng.

"Aku tak sengaja la. Perempuan tu datang entah dari mana tiba-tiba cakap suka aku. Bila aku tolak, dia cuba peluk aku. Sebab itu aku tertolak dia sampai jatuh." Jelas Hafiz.

"Tapi terlalu kasar la bro..." Arieff menggeleng kepala.

"Dia bukan Miya Qharissa jadi untuk apa aku berlembut?" Balas Hafiz lancar.

Seketika Arieff terdiam mendengar sebaris nama itu. Sudah lama dia tidak mendengar nama itu meniti di bibir Hafiz. Fikirnya Hafiz sudah melupakan nama itu, ternyata tidak.

"Fiz, kau masih nantikan dia?" Perlahan suara Arieff bertanya. Dia merenung wajah Hafiz dari sisi. Hanya segaris senyuman terukir di bibir lelaki itu.

"Sampai bila Fiz? Sampai bila kau nak tunggu dia? Dah lima tahun berlalu. Bukan masa yang singkat. Kau sepatutnya dah lupakan dia." Arieff sedikit kecewa.

"Mungkin sampai aku dilahirkan semula dan dia ditakdirkan untuk aku." Jawab Hafiz tenang.

"Kau gila Fiz?!" Suara Arieff sedikit meninggi.

"Kau lupa ke yang aku memang gila Rieff?" Kali ini Hafiz memandang Arieff. Senyuman perih terukir di bibirnya.

"Tak, bukan itu yang aku maksudkan. Aku minta maaf. Aku cuma nak kau lupakan dia. Untuk apa lagi kau simpan dia dalam hati kau? Sudah lima tahun berlalu. Mungkin saja dia pun dah berkahwin dan mempunyai anak." Arieff kembali mengendurkan suaranya.

"Kau nak tahu Rieff? Kalau saja melupakan semudah yang kau katakan, sudah lama aku lupakan dia. Kau ingat aku nak ke jadi macam ni? Terseksa dengan perasaan sendiri. Aku cuba Rieff, aku cuba lupakan dia. Tapi setiap kali aku paksa hati aku untuk lupakan dia, kau tak tahu betapa sakitnya hati aku. Setiap kali aku cuba buang nama dia, saat itu la wajah dia, senyuman dia terus bermain di kepala aku seolah dia tidak mahu aku melupakannya." Mata Hafiz mula berkaca. Bila-bila masa sahaja air jernih yang bertakung itu akan jatuh menyentuh pipi.

"Tapi kau tetap kena lupakan dia Fiz. Aku takut penantian kau ini hanya terus melukakan kau." Hanya itu yang Arieff risaukan.

Dia takut kalau kejadian lima tahun lalu terulang. Waktu tu, Hafiz seorang yang hilang akal kewarasan. Setiap hari menangis memanggil ibunya dan Miya. Berkurung di dalam bilik. Tidak mahu makan. Waktu itu Hafiz seperti mayat hidup.

"Aku hanya perlukan sedikit masa sahaja lagi. Kalau kali ini Allah masih tidak mempertemukan kami, aku akan lupakan." Kata Hafiz walaupun dia tak tahu sejauh mana kata-katanya itu.

"Itulah sahabat aku. Aku cuma nak tengok kau bahagia. Aku nak tengok senyuman kau yang dulu. Aku nak kau tahu, aku selalu di belakang kau. Kau dah aku anggap seperti adik kandung aku sendiri." Arieff menepuk lembut bahu Hafiz.

"Terima kasih Rieff sebab kau faham aku." Ucap Hafiz terharu.

"Dah la, kau pergilah tidur. Dah lewat sangat ni." Arah Arieff.

"Aku akan tidur selepas siapakan kerja ni. Kau pergilah tidur dulu."

"Kalau kau dah cakap macam tu, aku masuk tidur dulu la. Kau jangan sampai berjaga sampai pagi esok pula." Hafiz hanya mengangguk perlahan.

Arieff tersenyum tipis sebelum melangkah keluar dari bilik Hafiz. Pintu bilik itu ditutup rapat. Hafiz terus melepaskan nafas berat yang berasa tersekat di dada sejak tadi. Kepalanya dijatuhkan ke atas meja kerja.

"Ya Allah, aku ingin mengikhlaskan dia. Tolong jangan hadirkan lagi rasa rindu terhadapnya." Bisik hati Hafiz bersama linangan air mata.

Miya Qharissa, seorang gadis yang berjaya membuatnya hampir gila. Tidak! Bukan hampir tetapi sememangnya dia gila. Arieff sekeluarga la yang banyak memberi dia semangat dahulu. Dua tahun dia terpuruk sehinggalah dia mula berasa sedikit membaik dan memilih untuk pergi ke luar negara bagi mengubati luka.

"Tuhan, maafkan hamba-Mu yang satu ini. Aku sepatutnya lebih mencintai-Mu bukan hamba-Mu. Aku juga sepatutnya berdamai dengan takdir-Mu bukannya menyalahkan-Mu." Bisik hati kecil Hafiz lagi.

Hafiz mengusap lembut dadanya yang berasa sakit. Malam itu, sekali lagi Hafiz jatuh dalam kegelapan. Bunyi hujan yang masih lebat bersatu dengan tangisan Hafiz.

*
* *
* *

FLASHBACK - 5 TAHUN LALU

"Arieff cepatlah, aku dah lewat ni!" Terdengar jeritan Hafiz di depan pintu utama kondo.

Arieff yang baru keluar dari biliknya berjalan santai ke arah Hafiz yang kelihatan sudah siap. Hafiz yang melihat lagak gaya Arieff yang berjalan seolah sedang buat cat walk menjeling tajam.

"Kenapa kau tak siap lagi? Aku dah lewat la nak pergi kelas." Hafiz memandang Arieff dari atas hingga bawah.

"Yang kau gelabah sangat ni kenapa? Rilek la. Macam kau tak biasa pergi kelas lewat sebelum ni." Kata Arieff santai.

"Hari ni hari pertama bermula semester akhir. Aku tak boleh lewat." Balas Hafiz geram. Arieff mencebik bibir.

"Nah, pergi sendiri." Kata Arieff seraya menghulurkan kunci kereta yang ada di tangannya kepada Hafiz.

"Kau tak kerja ke hari ni?" Tanya Hafiz. Sebelah keningnya diangkat. Lelaki itu tiba-tiba sahaja suruh dia pergi sendiri.

"Kerja." Jawab Arieff sepatah.

"Habistu macam mana kau nak pergi kerja kalau aku bawak kereta?" Tanya Hafiz lagi.

"Kereta aku la." Jawab Arieff tenang.

"Habistu ni?" Hafiz tunduk memandang kunci kereta yang masih di tangan Arieff. Tiba-tiba dia terdiam. Arieff tersengih melihat wajah Hafiz terkejut.

"Ni bukan kunci kereta kau, kunci kereta siapa ni?" Hafiz memandang wajah Arieff.

"Kereta kau la." Semakin lebar Arieff tersengih.

"Kau bergurau Rieff?" Hafiz masih tak percaya.

"Aku beli kereta untuk kau. Nanti senang kau nak ke mana-mana kau boleh pergi sendiri. Tak perlu pinjam kereta aku atau tak perlu naik grab dah. Lagipun kau sekarang tengah sibuk banyak projek kan?" Terang Arieff. Hafiz memasang wajah tidak senang.

"Aku tak nak la Rieff. Kau dan keluarga kau dah banyak berjasa untuk aku. Aku tak nak terhutang budi pasal kereta ni pulak." Lembut Hafiz menolak.

"Aku pernah cakap kat kau, kalau aku bagi ambil dan aku tak minta untuk kau terhutang budi. Hak aku, hak kau dan hak kau tetap kekal hak kau." Tegas Arieff.

"Tak nak Rieff. Kau simpan la."

"Tadi kau cakap dah lewat kan? Dah pergi cepat. Kereta aku parking betul-betul sebelah kereta aku." Arieff meletakkan kunci kereta itu ke dalam tangan Hafiz. Pintu kondo dibuka dan tubuh Hafiz ditolak keluar.

"Weyhh aku tak nak la." Hafiz cuba memulangkan kunci itu tetapi Arieff menolak.

"Hati-hati drive!" Cepat-cepat Arieff menutup rapat pintu kondo itu.

Hafiz memandu perlahan kereta baru yang dibeli Arieff untuknya. Hatinya bercampur baur. Sesungguhnya umur dia dan Arieff berbeza dua tahun. Tetapi mereka bersahabat seolah mereka seumuran dan Arieff juga tidak kisah tentang itu.

Dia mengenali Arieff ketika Arieff sudah berada di semester akhir. Selepas sebulan berkawan, Arieff terus menawarkan dia untuk tinggal bersamanya. Kehadiran dia juga diterima baik oleh orang tua Arieff.

Tiga tahun mereka bersama, Hafiz mengetahui sedikit demi sedikit latar belakang Arieff. Arieff adalah anak tunggal. Kedua ibubapanya seorang yang bekerjaya. Dari kecil sampailah besar Arieff hanya dibesarkan oleh orang gaji.

Berkat dari orang tuanya, Arieff punya segalanya. Tetapi bagi Arieff itu tetap tidak cukup kerana yang dia mahukan sesungguhnya adalah masa dan perhatian ibu bapanya. Oleh itu, kehadiran Hafiz sedikit mengubah hidupnya. Dia ada teman bercerita dan bergurau atau lebih tepat dia seolah ada seorang adik yang selalu dia impikan sejak kecil.

Di sebalik setiap pertemuan, pasti ada kisah yang menanti untuk diceritakan. Selamat membaca Bab 2. Semoga setiap helaian membuatkan kalian terus ingin mengetahui pengakhirannya. ?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience