BAB 3

Drama Series 1317

Bunyi bising memenuhi ruang kelas. Disebabkan hari itu merupakan hari pertama semester akhir bermula, suasana jadi meriah. Ada yang duduk berbual rancak, ada yang sibuk membelek buku catatan, dan ada juga yang hanya tersenyum memerhati kawan-kawan yang tak berubah perangainya sejak semester pertama dulu.

Hafiz melangkah masuk sambil memikul beg sandangnya. Matanya terus menyapu seluruh ruang kelas mencari kelibat seseorang, atau lebih tepat, mencari Miya. Dia yakin gadis itu sudah sampai. Miya sentiasa datang awal, tak pernah berubah sejak dulu.

Bibirnya terukir senyum tipis apabila pandangannya jatuh pada Miya yang duduk di barisan tengah. Gadis itu sedang menunduk, menatap buku di hadapannya. Langsung tidak terganggu dengan suasana kelas yang riuh rendah.

Hafiz berjalan perlahan ke arah Miya. Sengaja dia berdiri di sisi gadis itu tanpa menyapa ingin tahu apa yang membuat Miya begitu khusyuk. Miya pula langsung tidak perasan akan kehadiran Hafiz di sebelahnya.

“Ehem!” Hafiz berdehem perlahan, sekadar mahu menarik perhatian Miya.

Pantas Miya mendongak. Pandangannya disambut dengan senyuman manis dari Hafiz. Namun hanya beberapa saat, dia kembali menunduk, pura-pura sibuk dengan buku catatannya.

“Good morning, my princess,” ucap Hafiz ceria sambil melabuhkan punggung di kerusi sebelah kanan Miya.

“Good morning too,” balas Miya santai, tapi nada suaranya tetap lembut.

“So how? Bangga tak? Saya tak lewat hari ni.” Hafiz berkata bangga sambil mengangkat kening.

“Ceh! Apa yang nak dibanggakan? Bukan ke setiap kali hari pertama semester baru, awak memang tak pernah lewat pun.” Miya menegakkan badan, sebelah keningnya terangkat nakal.

“Tapi kali ni saya janji, saya tak akan lewat lagi,” balas Hafiz yakin.

“Sebelum ni pun awak cakap benda sama, tapi akhirnya tetap juga lewat.” Miya mencebik kecil.

“Tapi kali ni betul-betul, Miya.” Hafiz menegakkan tubuh, mengangkat sebelah tangan seolah-olah mengangkat sumpah. “Saya bersumpah saya takkan lewat.”

“Kita tengok je nanti,” balas Miya malas, kembali memandang buku di hadapan.

“Okey… tapi kalau saya tepati janji saya tu, saya dapat apa?” Hafiz menjeling dari sisi, senyum nakal mula terukir.

“Hadiah… mungkin?” balas Miya acuh tak acuh.

“Cun! Hadiah apa tu?” Hafiz makin teruja, bersandar ke meja.

“Ermm… tunggu dan lihat nanti. Yang penting sekarang, tepati janji awak dulu.” Sekilas Miya memandang Hafiz.

“Okey, set!” Hafiz mengangkat ibu jari, puas hati dengan ‘perjanjian’ itu.

Miya menjeling sekilas ke arah Hafiz di sebelahnya yang sedang mengeluarkan buku nota dan rujukan. Senyuman di wajah lelaki itu tidak pernah hilang sejak tadi.

Hadiah? Miya terfikir hadiah apa yang patut dia berikan kepada Hafiz jika lelaki itu benar-benar menepati janjinya. Kata hadiah tadi keluar spotan dari mulutnya tanpa sempat dia berfikir lebih panjang lagi.

*
* *
* *

Sudah tiga puluh minit sejak kelas bermula. Masing-masing masih fokus mendengar dan mencatat poin penting yang diterangkan oleh lecturer di hadapan, kecuali Hafiz.

Beberapa kali Hafiz menukar posisi duduk. Sekejap tegak, sekejap bersandar. Tangannya pula ligat memutar-mutarkan pen di jari sementara matanya melilau memandang segenap ruang kelas.

Miya melirik ke arah Hafiz di sisinya. Melihat lelaki itu yang jelas kelihatan resah, dia sudah dapat mengagak Hafiz mula bosan. Miya menggeleng kecil. Memang tak berubah.

Dalam pada telinganya masih menangkap suara lecturer yang bergema di hadapan, tiba-tiba satu idea muncul di benaknya. Pantas Miya menunduk, menulis sesuatu di buku catatannya sebelum menolak buku itu perlahan ke arah Hafiz.

Hafiz memandang Miya dengan sebelah kening terangkat tinggi. Miya hanya memberi isyarat mata menyuruh Hafiz baca.

"Awak dah bosan ke?"

Senyuman kecil terus terukir di bibir Hafiz. Miya sangat memahami dirinya. Miya pula mengangkat kening dengan wajah serius yang dibuat-buat.

Tanpa berlengah, Hafiz menarik buku itu dan menulis balasan. Tulisan tangannya sedikit condong tetapi masih jelas. Beberapa saat kemudian buku itu ditolak semula ke arah Miya.

"Ya." Singkat dan padat.

Miya menggeleng kecil. Dia sudah menjangka. Bukan Hafiz kalau dia mampu fokus dari awal hingga akhir. Tanpa banyak soal, Miya menunduk menulis balasan di bawah jawapan itu sebelum menolak kembali buku tersebut.

"Sabar la, sikit jer lagi kelas nak habis."

Hafiz memebaca ayat itu lalu mengeluh kecil, sengaja dilebih-lebihkan. Pen di jarinya diputarkan sekali lagi sebelum dia menunduk dan menulis. Beberapa saat kemudian, buku itu ditolak semula ke arah Miya.

"Tak nak sabar. Saya nak keluar sekarang."

Pantas Miya memberi jelingan maut. Tanpa berlengah, dia mencapai pen dan menulis dengan sedikit tekanan.

"Jangan nak mengarut. Saya tampar jap lagi baru tahu!"

Terlepas tawa kecil Hafiz. Lucu dengan balasan itu dan wajah marah yang dibuat-buat oleh Miya. Tangannya terasa gatal mahu mencubit pipi gebu itu, namun ditahan.

"Ya Prince Romeo and Princess Juliet." Suara lecturer tiba-tiba memecah suasana antara mereka berdua.

Hafiz dan Miya sama-sama tersentak. Perlahan-lahan mereka mengangkat kepala. Seluruh kelas terasa seram sejuk.

"Ada sesuatu yang lawak ke tentang apa yang saya terangkan? Atau ada sesuatu yang lebih menarik yang kamu bincangkan dan ingin kongsikan dengan kami?" Sambung lecturer itu, nadanya tenang tetapi menyindir.

Beberapa pelajar mula memandang ke arah mereka. Ada yang tersenyum sinis. Ada yang tertawa kecil. Miya terus tunduk. Wajahnya terasa panas membahang.

"Maaf sir." Hafiz bangun berdiri, suaranya tenang walaupun semua mata tertumpu kepadanya. Lecturer itu memandang tajam.

"Saya tahu kamu berdua pelajar contoh di universiti ini. Semua pensyarah memuji kamu berdua." Dia berhenti seketika.

"Tapi ini bukan tiket untuk kamu berdua bercakap dalam kelas saya."

Tiba-tiba suasana kelas riuh dengan sorakan mengejek. Miya semakin menunduk. Sepanjang dia belajar, tidak pernah sekali pun dia ditegur sebegitu.

"Sekali lagi, kami minta maaf sir. Kami janji akan lebih fokus selepas ini."

Hafiz bersuara lagi, kali ini lebih serius. Langsung tidak peduli dengan pandangan dan bisikan pelajar lain. Beberapa saat sunyi. Kemudian lecturer itu menghela nafas.

"Baiklah, untuk kali ini saya maafkan. Duduk dan fokus." Hafiz mengangguk sebelum duduk semula.

Lecturer kembali menyambung penerangan yang terhenti tadi. Perlahan, Hafiz melirik ke arah Miya. Wajah gadis itu masih merah. Matanya tertumpu pada buku, tetapi jelas dia sedang menahan malu.

Setiap jawapan pasti akan membawa kepada persoalan yang baharu. Selamat datang ke Bab 3. Teruskan bersama Takdir Kita, kerana perjalanan ini baru sahaja bermula. ?✨

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience