BAB 7

Romance Completed 12322

Hari ini merupakan hari yang meletihkan bagi dirinya. Ditambah pula dengan badannya yang tidak berapa sihat akibat penangan Ikhwan malam tadi. Dia juga kurang bertegur sapa dengan rakan pejabatnya kerana dia benar-benar tidak larat untuk beramah mesra dengan orang lain pada hari ini. Aida juga cuba berborak dengannya tapi dia hanya membalas sepatah dua kata. Selebihnya dia hanya tersenyum.

Tepat pukul lima petang dia bergegas meninggalkan pejabat. Pandangan pelik yang Aida lontarkan padanya tidak diendahkan. Mungkin Aida hairan kerana dia jarang balik awal tapi hari ini dia merupakan orang pertama yang keluar dari pejabat.

Norisah duduk di bangku yang disediakan di tepi tasik sambil menikmati tiupan angin yang lembut menampar pipinya. Tasik di situ masih belum berubah. Keadaannya masih sama seperti empat tahun lepas dia datang ke situ bersama Syahrul. Yang berubah hanyalah hidupnya.

Fikirnya tadi dia mahu pulang kerana badannya tidak berapa sihat. Tubuhnya rasa membahang. Kepalanya juga berat tapi entah apa yang merasuk fikirannya untuk datang ke tasik ini. Adakah kerana kepulangan Syahrul menyebabkan dia ingin datang ke sini?

Matanya disajikan dengan panorama yang indah di mana sepasang suami isteri jalan sambil berpegangan tangan. Lelaki tersebut mendukung anak kecil mereka sambil tersenyum manis memandang si isteri. Norisah tersenyum sayu. Alangkah indahnya jika dirinya seperti mereka. Mempunyai suami yang menyayangi dirinya dan dikurniakan anak kecil hasil dari cinta mereka. Dengan hidupnya yang begini rasanya sampai bila-bila pun dia tidak akan mengecapi kebahagiaan tersebut.

Kadang-kadang dia rasa cemburu melihat kawan-kawannya yang bahagia sedangkan dia hari-hari berendam air mata akibat sikap panas baran Ikhwan. Setiap malamnya diselubungi ketakutan.

Norisah membaling seketul batu ke tengah tasik. Tasik yang tenang, berkocak akibat batu tersebut. Tiba-tiba ada beberapa ketul batu turut dilemparkan ke tengah tasik oleh orang di sebelahnya. Norisah menoleh. Dia tergamam.

“ Hai.”

Norisah mendengus.

“ Tak sangka dapat jumpa awak kat sini.” Syahrul sudah pun duduk di sebelah Norisah. Dia memandang Norisah yang sudah memalingkan mukanya. Tidak sudi untuk ditatap oleh sepasang matanya.

“ Awak buat apa kat sini?” Syahrul bertanya bila kata-katanya yang tadi tidak bersambut.

“ Saya nak balik.” Norisah menggigit bibir. Untuk apa dia memberitahu Syahrul yang dia mahu pulang. Syahrul sudah tiada kena mengena dengan dirinya lagi. Hubungan mereka sudah lama berakhir.

“ Duduk dulu Nor. Saya nak bersembang kejap dengan awak.” Syahrul menahan langkah Norisah. Dia tersenyum manis.

“ Saya tak nak.” Norisah menggeleng.

“ Please Nor. Sekejap pun jadi la.”

“ Awak nak apa lagi Syah? Kita dah tak ada apa-apa hubungan lagi.”

“ Tak boleh ke kita bersembang sebagai kawan?” Syahrul bersuara penuh mengharap. Biarpun mereka bukan lagi kekasih tapi tidak salah jika mereka berkawan.

“ Kawan?” Norisah tersenyum sinis.

“ Saat awak tinggalkan saya dulu saya dah kuburkan nama awak dari hati saya. Awak bukan lagi kekasih saya apatah lagi kawan. Tak akan ada istilah kawan di antara kita sebab saya dah tak nak ada apa-apa kaitan dengan awak lagi.” Tegas Norisah.

“ Awak buang saya Nor?”

Norisah terkedu. Dia agak tersentak dengan pertanyaan Syahrul. Hatinya pedih. Dia tak pernah buang Syahrul tapi Syahrul yang membuangnya dulu. Tahukah Syahrul yang dia begitu sayangkan Syahrul tapi Syahrul lebih rela biarkan dia keseorangan dalam mempertahankan cinta mereka.

“ Let me remind you Mr Syahrul. Bukan saya yang buang awak tapi awak yang buang saya dari hidup awak. Awak dah lupa atau awak nak saya ingatkan awak balik?” Norisah menekan suaranya. Geram bila dituduh sedemikian rupa.

“ Awak sendiri tahu kenapa saya buat macam tu. Saya lakukannya sebab…”

“ Sebab awak nak hadiahkan saya kebahagiaan kan?” Norisah memotong percakapan Syahrul. Dia tersenyum sayu. Balik-balik itu juga yang Syahrul utarakan. Semuanya demi kebahagiaan dirinya tapi Syahrul tahu ke dengan apa yang telah terjadi dalam hidupnya. Hidupnya sudah musnah. Hancur kerana tindakan Syahrul. Itu ke kebahagiaan yang Syahrul ingin hadiahkan kepadanya?

“ Saya sanggup lakukan apa saja demi kebahagiaan awak.”

“ Tapi awak tahu ke jika selama ini saya bahagia atau tidak dengan keputusan awak?” Norisah memandang tepat ke dalam mata Syahrul. Ada riak terkejut di muka lelaki itu.

“ Apa maksud awak Nor?” dahi Syahrul berkerut dengan pertanyaan Norisah. Adakah Norisah tidak bahagia selama ini? Adakah percaturannya selama ini silap?

Norisah senyap. Dia tiada hati untuk membalas. Lalu dia mengorak langkah ingin berlalu tapi pandangannya berbalam. Tubuhnya hampir terjatuh jika tidak ditahan oleh Syahrul. Dia menepis tangan Syahrul yang ingin membantunya berdiri tegak.

“ Don’t touch me!” jerkah Norisah. Dia memegang kepalanya yang semakin berat.

“ Awak tak sihat Nor. Badan awak panas.” Tegur Syahrul. Dia risau bukan kepalang bila lengan Norisah yang dipegangnya tadi panas membahang. Baru kini dia perasan yang muka Norisah pucat. Syahrul mengutuk dirinya. Kenapa dia tidak perasan yang sememangnya dari tadi Norisah tidak sihat?

Norisah tetap dengan degilnya. Dia tak nak dibantu oleh Syahrul. Dia cuba mengorak langkah dengan tubuhnya yang semakin lemah. Pandangannya gelap.

“ Nor!” Syahrul meluru ke arah Norisah yang sudah terbaring di tanah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience