BAB 2

Romance Completed 12322

“ Kenapa muka kau lebam-lebam ni?” Aida menyentuh muka Norisah. Terpamer riak kerisauan di wajah Aida. Patutlah Norisah cuti beberapa hari. Rupanya kawannya itu dalam kesakitan. Itu pun kesan lebam di wajah Norisah masih belum hilang sepenuhnya.

“ Jatuh tangga.” Tak perlulah dia ceritakan hal yang sebenar. Rasa seperti membuka pekung di dada sendiri. Malu jika Aida tahu yang Ikhwan memukulnya lagi. Rasanya sudah tak terbilang dengan jari Ikhwan telah menyakiti tubuh badannya.

“ Kau jangan nak tipu aku la. Ikhwan pukul kau lagi?” Aida mendengus. Dia nampak tidak puas hati. Sakit hati bila Norisah masih mengelak. Aida sangat yakin yang suami Norisah adalah penyebab kenapa muka wanita itu lebam-lebam. Itu yang dia nampak. Yang dia tak nampak?

“ Berapa kali aku nak cakap? Aku jatuh tangga, bukan Ikhwan yang pukul.” Norisah tunduk ke lantai. Tak sanggup menentang mata Aida. Takut pembohongannya terbongkar.

“ Kau tak payah nak kelentong aku. Aku tahu bezakan lebam jatuh tangga dan lebam kena pukul.” Kalaulah dia ada kuasa, mahu je dia lenyapkan Ikhwan dari muka bumi ini supaya lelaki itu tidak lagi dapat menyakiti Norisah. Hanya lelaki dayus je yang berani mengangkat tangan pada wanita! Ah, Ikhwan memang lelaki dayus!

Norisah terdiam.

“ Kenapa dia buat kau macam ni? Ni bukan kali pertama dia pukul kau. Dah banyak kali.”

“ Kitorang salah faham sikit.” Sikit ke Nor? Hati kecilnya bertanya. Dia tersenyum kecewa. Dia tak mampu lakukan apa-apa.

“ Sikit apa kalau macam ni? Dia dah melampau sangat la. Kau tak patut biarkan perkara ni macam ni. Kau patut laporkan pada pihak berkuasa.” Dari dulu lagi Aida menyarankan Norisah supaya melaporkan pada pihak berkuasa namun Norisah menolak. Tak sampai hati katanya. Norisah terlalu mengagungkan martabat suaminya itu.

Memang benar yang kita perlu menghormati seorang suami, jaga maruahnya tapi jika suami itu sendiri yang tidak tahu menghormati harga diri seorang wanita untuk apa lagi perlu hidup bersama. Siapa yang mampu bertahan kalau setiap hari dihadiahkan sepak dan terajang? Tapi Norisah masih lagi sanggup hidup bersama Ikhwan. Norisah bertahan begitu lama. Namun sehari pun dia tak pernah lihat wanita itu tersenyum bahagia sepanjang 4 tahun perkahwinan Norisah dan Ikhwan.

“ Dah la…hal kecil je. Buat apa nak besarkan.” Norisah bersuara perlahan. Dia sendiri tak tahu selama mana dia mampu bertahan. Kalau boleh dia juga ingin pergi dari hidup lelaki itu tapi dia mahu ke mana? Dia hanya ada Ikhwan dalam hidupnya semenjak kematian orang tuanya 3 tahun dulu.

“ Kau cakap hal kecil? Ni bukannya perkara kecil la Nor. Ni dah jadi kes dera tau. Aku tak sanggup tengok kau macam ni. Nak makan pun payah. Jalan pun terhencut-hencut. Ikhwan tu memang jantan tak guna! Lelaki dayus je yang berani angkat tangan kat perempuan.”

“ Walau apa pun dia tetap suami aku.”

Aida mengeluh. Lagi-lagi itu juga yang Norisah cakap. Ikhwan tak layak jadi suami kepada Norisah yang baik hati ni. Lelaki itu terlalu panas baran! Norisah berhak dapat yang lebih baik! Tiba-tiba seraut wajah terlayang di fikirannya.

“ Kalaulah Syahrul tak lepaskan kau…” Aida menekup mulut. Dia berharap bukan itu yang dia cakap tadi. Bagaimana dia boleh lupa yang Norisah tak mahu nama itu disebut di hadapannya lagi?

“ Jangan sebut nama tu lagi!” keras Norisah memberi amaran. Matanya tajam memandang muka Aida yang sudah rasa bersalah. Hati yang sakit bertambah sakit bila Aida menyebut sebaris nama itu. Kalau boleh dia tak nak mendengar nama itu lagi sepanjang hidupnya. Nama yang telah memberi kesan yang begitu besar dalam hidupnya.

“ Maaf…aku..aku tak sengaja.” Aida serba salah. Dia rasa bersalah yang bukan sedikit bila wajah Norisah sudah berubah tegang. Tiada senyuman di wajah itu. Yang ada hanyalah wajah yang penuh kelukaan.

“ Nor…aku minta maaf.” Aida bersuara sekali lagi bila Norisah hanya senyap. Dia tersentak bila Norisah tiba-tiba bangun mahu pergi. Dengan pantas dia capai lengan Norisah. Kaki wanita itu terpaku seketika.

“ Tak apa la. Aku pergi dulu. Esok kita jumpa lagi.” Norisah meleraikan pegangan Aida. Tubuhnya di bawa pergi dari situ.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience