BAB 9

Romance Completed 12322

Aida berdiri memeluk tubuh di tepi katil. Kasihan Norisah. Sampai demam temannya itu dikerjakan Ikhwan. Kalau dia mempunyai kuasa, pasti dia akan melenyapkan Ikhwan dari muka bumi ini supaya sinar bahagia kembali hadir di dalam hidup Norisah.

“ Kau masih sayang Nor?”

“ Nor masih lagi di hati aku walaupun bukan aku yang jadi suaminya. Tak ada wanita lain yang dapat mengambil tempat dia di hati aku. Aku mengaku sehingga ke saat ini aku masih sayangkannya.” Syahrul berterus terang. Apa yang diperkatakannya itu memang benar kerana sehingga ke hari ini dia masih sayangkan Norisah. Sudah puas dia kikis perasaan ini tapi dia tak mampu kerana rasa cintanya terhadap Norisah terlalu dalam sehinggakan perempuan lain yang muncul dalam hidupnya tak mampu mengganti tempat Norisah.

“ Kalau sayang kenapa kau lepaskan dia dulu?” Aida menyoal. Dia turut berasa marah dengan tindakan Syahrul yang mengambil keputusan tanpa mempedulikan perasaan Norisah.

“ Kau sendiri tahu yang parents Nor tak suka aku. Diorang lagi suka Ikhwan daripada aku. Takkan kau nak aku kahwin dengan Nor tanpa restu diorang? Lagipun aku sedar yang aku tak mampu memberi kemewahan untuk Nor sedangkan Ikhwan lebih dari mampu.” Syahrul tertunduk.

“ Kau tahu ke yang parents dia dah meninggal?”

Syahrul terkejut. Dia tak pernah tahu yang ibu bapa Norisah meninggal. Kenapa Ikhwan tidak memberitahunya pada pertemuan mereka hari itu?

“ Macam mana kau nak tahu sebab kau dah terbang ke luar negara. Kau dah tak ambil tahu pasal Nor. Kau tak pernah tahu penderitaan yang Nor alami.” Aida menyindir.

Dia mengusap tangan Norisah yang masih belum sedarkan diri. Biarlah Nor tidur dengan tenang seketika ini kerana dia pasti setelah dia menceritakan kebenaran kepada Syahrul, syahrul akan melakukan sesuatu. Sesuatu yang mungkin akan merubah hidup Norisah. Yang pasti, bukan lagi derita.

“ Nor menderita? Apa yang kau cakap ni? Nor bahagia dengan Ikhwan.” Ujar Syahrul.

“ Kenyataannya Nor tak bahagia!” bentak Aida. Kali ini dia perlu memberitahu Syahrul berkenaan kehidupan yang dilalui oleh Norisah setelah Syahrul meninggalkannya. Dia tak akan menyimpan lagi biarpun Norisah pernah menyuruhnya berjanji supaya tidak memberitahu kepada sesiapa. Jika dengan memberitahu Syahrul dapat menghilangkan derita yang Nor alami, dia lebih sanggup memungkiri janji tersbut.

“ Apa maksud kau? Nor tak bahagia dengan Ikhwan?” Tanya Syahrul penuh debaran. Mustahil Norisah tidak bahagia dengan Ikhwan. Ikhwan sangat cintakan Norisah. Jadi, tidak mungkin Norisah hidup menderita di samping Ikhwan.

“ Kau lakukan kesilapan besar bila kau buat keputusan tinggalkan Nor. Nor tak pernah bahagia dengan Ikhwan. Kau tahu apa yang Ikhwan dah buat pada Nor?”

Syahrul menggeleng kepala. Dia menanti dengan penuh minat akan kata-kata yang bakal keluar dari mulut Aida. Adakah Ikhwan penyebab kepada lebam-lebam di badan Norisah. Mungkin telahannya betul walaupun itu adalah perkara yang dia tidak mahu dengar. Jika benar, ternyata dia sudah lakukan satu kesilapan yang sangat besar kerana meninggalkan Norisah untuk lelaki seperti Ikhwan!

“ Setahun setelah pernikahan mereka, ibu bapa Nor kemalangan. Dia hilang tempat mengadu. Dia hanya ada seorang suami sebagai tempat bergantung dalam hidupnya tapi Ikhwan tak seperti yang diharapkan.” Aida mengeluh. Wajah Syahrul yang sudah berubah dia pandang lama sebelum menyambung kata.

“ Boleh dikatakan hari-hari Ikhwan pukul Nor! Dia seksa Nor. Dia maki Nor. Nor menderita tapi Nor masih lagi bersabar dengan perangai Ikhwan. Dia beri Ikhwan peluang untuk berubah tapi Ikhwan tak pernah hargai peluang yang Nor beri pada dia. Ikhwan kongkong Nor. Pantang nampak Nor bersembang dengan lelaki lain, mesti Nor akan dapat penangannya.”

Syahrul terkedu.

“ Itu ke lelaki yang kau harapkan untuk menjaga Nor? Lelaki yang kau sangka cintakan Nor setengah mati tapi lebih rela tengok Nor mati di tangannya?!” keras suara Aida. Air mata yang mengalir di pipinya diseka perlahan.

“ Kalau lah kau tak pergi dulu…mesti keadaan tak akan jadi macam ni. Nor tak akan hidup dalam penuh ketakutan.” Aida menahan sendu yang kian bermukin di dada. Cuba ditahan tangisnya dari pecah.

Syahrul tersandar lemah di dinding. Dia memandang Norisah yang masih lagi belum membuka mata. Sayu menggigit tangkai hatinya. Kalau tak disebabkan tindakannya dahulu, nasib Norisah tidak akan menjadi seperti ini. Dia adalah punca yang menyebabkan gerhana menjengah ke dalam hidup Norisah.

“ Aku tak sangka keadaan akan jadi macam ni. Sungguh, aku sayangkan Nor. Aku tak sanggup tengok dia terluka walaupun sedikit. Apa yang Ikhwan buat pada Nor memang tak pernah terlintas di fikiran aku. Aku ingat Ikhwan mampu bahagiakan Nor lebih dari aku tapi aku silap… Ikhwan hanya menambah derita buat Nor.” Hati lelakinya pedih dengan kebenaran yang terbongkar luas di depan matanya. Dia sudah lakukan kesilapan yang paling bodoh sekali di dalam hidupnya dengan mensia-siakan wanita sebaik Nor.

“ Kau nak tahu satu perkara? Sepanjang perkahwinannya dengan Ikhwan, aku tak pernah tengok Nor tersenyum bahagia. Mungkin dia tersenyum di depan semua orang tapi aku tahu…hati dia sakit…hati dia pedih dengan apa yang terjadi dalam rumah tangganya.” Sambung Aida lagi.

Syahrul berdiri tegak mengepal penumbuknya. Rahangnya diketap marah. Dia mempunyai perhitungan yang perlu dilangsaikan dengan Ikhwan. Dia perlu mengembalikan kebahagiaan Norisah walau dengan apa cara sekalipun!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience