BAB 1

Romance Completed 12322

“ Kau pergi jumpa jantan mana tadi???!!!” suara yang melengking kuat itu membuatkan Norisah tersentak. Dia terkejut bukan kepalang sehingga jatuh cawan yang berada di pegangannya. Belum sempat dia tunduk mengutip kaca yang pecah berderai di lantai tiba-tiba rambutnya dicengkam kuat oleh Ikhwan.

“ Aku tanya kau ni, kau pergi jumpa jantan mana tadi hah?!” sekali lagi suara itu dipekikkan ke telinga Norisah. Matanya terpejam sesaat. Hatinya begitu gentar bila wajah Ikhwan begitu bengis sekali. Wajah yang langsung tiada belas kasihan.

“ Itu…itu kawan saya. Saya terserempak dengan dia masa beli barang dapur tadi.” Norisah bersuara takut-takut. Risau kalau tangan Ikhwan pula yang hinggap ke mukanya.

“ Penipu! Kau jangan nak cuba tipu aku. Aku nampak apa yang korang buat tadi.” Semakin kuat cengkaman Ikhwan di kepala Norisah. Dia menyeringai. Kulit kepalanya rasa mahu tercabut. Norisah memegang lengan Ikhwan. Menghalang lelaki itu dari terus menarik rambutnya.

“ Saya tak tipu…kenapa awak suka tuduh saya yang bukan-bukan? Tak boleh ke awak percaya pada saya? Saya ni isteri awak.” Memang benar tadi dia terserempak dengan kawan lamanya. Mereka hanya berbual kosong namun dia tak sangka yang Ikhwan turut berada di situ. Sejak dulu lagi Ikhwan tidak pernah percaya dengan apa yang dia lakukan. Lelaki itu selalu berprasangka. Bagaimana lagi cara untuk buat Ikhwan percaya kepadanya? Cemburu lelaki itu begitu melampau sekali. Cemburu buta! Cemburu yang memakan dirinya.

“ Sebab kau isteri aku la aku tak percaya. Belakang aku kau layan jantan lain rupanya.” Kali ini Ikhwan mencengkam rahang Norisah. Kejap.

“ Saya tak pernah terfikir pun nak curang pada awak. Tak boleh ke kalau kali ni awak percaya pada saya?” air mata yang dari tadi Norisah tahan tumpah juga. Ikhwan memang kejam! Dia dilakukan seperti binatang. Boleh dipukul sesuka hati. Tidakkah Ikhwan tahu yang dia juga punyai perasaan. Dia juga tahu rasa sakit.

“ Kau perempuan yang tak boleh dipercayai ! Jangan ingat aku tak tahu yang kau ada hubungan dengan lelaki lain kat belakang aku! Perempuan tak guna!!!” pipi Norisah ditampar berkali-kali.

Dia tak mampu untuk melawan bila sekali lagi Ikhwan menggunakan kekasaran. Tubuhnya terdorong ke belakang. Dan tidak semena-mena kakinya terpijak kaca yang pecah tadi. Sakit! Norisah terjelopok ke lantai bila kakinya tak mampu lagi menampung tubuhnya. Kepala Norisah berdenyut-denyut akibat tamparan yang Ikhwan hadiahkan buatnya.

Ikhwan mencangkung di depan Norisah. Wajahnya begitu sinis sekali. Kepala Norisah ditunjal beberapa kali sebelum Ikhwan menyambung kata. “ Jangan harap kau boleh lepas dari aku. Sampai mati pun kau akan hidup dengan aku. Tanam apa yang aku cakap ni dalam kepala otak kau.” Kepala Norisah ditujah oleh Ikhwan dengan kasar sebelum pergi meninggalkan wanita itu keseorangan di dapur.

Norisah memegang kaki yang berdarah. Darah mengalir membasahi lantai dapur. Dia mengetap gigi menahan kesakitan.. Bibirnya terasa perit. Darah yang berada di tepi bibir dikesat dengan hujung lengan. Air mata dibiarkannya mengalir. Biarlah…air mata ini sudah tidak punya harga lagi. Begitu murah ianya keluar.

Sesungguhnya perkahwinan ini satu kesilapan! Tak pernah sehari pun dia bahagia menjadi isteri lelaki yang bernama Ikhwan. Hari-hari yang dilalui penuh derita. Dia diselubungi ketakutan yang bukan sedikit bila bersama Ikhwan. Sepatutnya seorang suami melindungi isterinya tapi hidup dia sebaliknya. Ikhwan begitu tegar sekali memukul dirinya tanpa belas. Rasa kasihan Ikhwan terhadapnya tak pernah ada. Tahukah Ikhwan yang dia juga mahu bahagia seperti wanita lain. Wanita yang bahagia di samping suaminya.

Luka di badannya ini hanya sedikit jika nak dibandingkan dengan luka yang sudah lama bernanah di hati. Norisah tersenyum pedih.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience