BAB 1 : 2006 - Terus Bertahan

Romance Completed 41706

HUJAN lebat membasahi bumi Kedah selebat-lebatnya, sama lebat dengan juraian air mata Wafa Irdina yang turut meraung sayu dari dalam bilik. Encik Maarof telah memerintahkan dirinya supaya dikurung di dalam bilik itu dan tidak dibenarkan keluar sehingga dibenarkan. Daun pintu bilik dihentak dengan kuat, bertalu-talu menggegarkan rumah dua tingkat itu. Mujur juga rumah kediaman mereka sedikit terasing dari jiran sekeliling, jika tidak tentu ada saja buah mulut yang tidak enak berlegar di seluruh kampung itu nanti. 

Wafa Irdina masih tidak mahu mengalah, tetap juga mengamuk di dalam biliknya. Ayah melampau! Ayah kejam! Ayah jahat! Bentak Wafa Irdina penuh kebencian namun tidak langsung terluah di mulutnya, dia tidak seberani itu mahu menjerit mengeji ayahnya. Lebih buruk padahnya jika dia turut sama bertindak melampaui batas kesabaran Encik Maarof. Letih membuang tenaga dari tadi, Wafa Irdina duduk di birai katilnya. Tunduk dengan bahu yang terhinjut-hinjut menahan esak tangis.

"Wafa rindu ibu, Wafa nak ibu…" rintih Wafa Irdina sayu. Sebak dadanya mengingati wajah Puan Che Nara yang sedang menahan sebak sewaktu Encik Maarof mengheretnya masuk ke dalam perut kereta untuk membawanya pulang ke Kedah. Ibunya tidak menghalang kerana itu adalah permintaan wanita itu sendiri yang menghubungi Encik Maarof untuk datang mengambilnya di Kuala Lumpur.

"Ibu minta maaf tak dapat hantar Wafa pergi MRSM sebab tu ibu call ayah suruh datang jemput. Nanti daftar MRSM pun Wafa pergi dengan ayah, ibu tak dapat pergi. Ibu minta maaf…" Pohon Puan Che Nara sewaktu mereka masih di dalam bilik sedang mengemas pakaian dan barang yang perlu dibawa untuk Wafa Irdina melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara Pendang, Kedah.

"Ibu ikut je la sekali… Kenapa ibu tak nak ikut?!" bentak Wafa Irdina kesal dengan keputusan yang dibuat ibunya tanpa pengetahuan dirinya. Bukannya ibu tak tahu yang dia sangat tidak selesa dengan ayah lebih-lebih lagi dengan keluarga ayahnya, keluarga dari isteri kedua Encik Maarof.

"Wafa tau, kan kenapa ibu tak boleh pergi ikut sekali? Nanti apa pulak kata Mama Dina…" pujuk Puan Che Nara selembut mungkin sambil menggenggam tangan anaknya.

"Lantak la dia! Siapa suruh dia kahwin dengan ayah!" jerit Wafa penuh kebencian. Ya, dia benci wanita yang digelar Mama Dina itu. Mama tiri, isteri kedua ayahnya yang dikahwini ketika dia berusia 9 tahun dan kemudian diusir keluar dari rumah mereka menyebabkan dia dan ibunya berhijrah ke bumi Kuala Lumpur.

"Janganlah macam tu sayang… Tak baik. Dia pun mama Wafa jugak sama macam ibu. Wafa kena hormat dia. Okay macam ni, ibu janji every holidays ibu akan jemput Wafa balik KL. Okay?" Puan Che Nara menyuakan jari kelingkingnya masih cuba membeli jiwa anaknya itu.

"Tapi Wafa tak nak duduk dengan ayah…" rengek Wafa Irdina, meraih simpati ibunya. Dia tidak selesa tinggal bersama mereka, di rumah yang sudah tiada seri keluarga baginya setelah diusir keluar tiga tahun lalu.

"Wafa tak duduk pun dengan dia orang tu, Wafa kan stay kat asrama MRSM. Ibu cuma minta ayah ambil lepas tu daftarkan Wafa je. Ibu tak sempat, ibu ada meeting conference hari Wafa daftar tu. Please sayang ikut ayah… Kesian ayah, lama tak jumpa Wafa. Wafa tak sayang ayah ke?" kali ini Che Puan Nara menggunakan pendekatan lain.

"Tak!" jawab Wafa Irdina kuat, yakin dan tegas. Memori tiga tahun lalu amat berbekas di ingatan dan hatinya, akibat itu dia nekad membenci Encik Maarof bin Haji Ghani.

Puan Che Nara menggigit hujung bibirnya, dia tersilap langkah. Dia sepatutnya sudah maklum anak keduanya itu amat kecewa dengan ayahnya tetapi dia tetap juga menyebut hal itu.

"Okay tak apa. Tapi Wafa boleh ikut ayah balik Kedah, kan? Wafa tak nak masuk MRSM tu ke? Wafa nak lepaskan peluang yang Wafa dah bekerja keras nak dapat tu? Hanya sebab tak nak ayah ambil, macam tu?" duga Puan Che Nara. 

Wafa Irdina terdiam. Terbayang usaha kerasnya sebelum menjalani peperiksaan UPSR, dia berhempas pulas dan berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai impiannya. Perlukah dia mengorbankan segala peluh keringatnya hanya kerana rasa tidak berpuas hati terhadap ayahnya?

"Ibu boleh tak buat rayuan tukar MRSM nanti?" suara Wafa Irdina manja, cuba memujuk ibunya. Puan Che Nara mengetap bibir.

"Nanti ibu cuba buat surat tapi ibu tak jamin lulus tau! Wafa sendiri tau kemasukan ke MRSM tu macam mana, bukan senang-senang." amaran diberikan ibunya itu hanya diangguk kecil oleh Wafa Irdina, dia tidak boleh berharap tetapi berdoa diluluskan.

"Dah siap semua?" tanya Encik Maarof yang secara tiba-tiba terpacul di muka pintu. Wafa Irdina dan Puan Che Nara berpaling serentak dan serta merta wajah cemberut yang Wafa Irdina pamerkan untuk tatapan ayahnya.

"Apalagi yang tak kena? Muka masam tu pasaipa?" tegur Encik Maarof dengan dahi berkerut memandang ke arah isterinya mahukan penjelasan. Puan Che Nara dipalu rasa debar, risau penerimaan suaminya berkenaan keengganan anak mereka pulang ke Kedah.

"Wafa nak tukar MRSM…" adu Puan Che Nara dengan wajah serba salah.

"Amboi, banyak cantik muka hang! Nak tukaq tu ingat senang?! Orang lain punya berebut nak masuk MRSM tu, hang nak demand tukar-tukar pulak dah! Kalah orang kerja kerajaan hang ni Wafa! Sudah, tak payah nak mengada sangat! Kemas semua cepat, ayah tak mau duduk sini lama-lama. Hang ingat perjalanan ke Kedah tu dekat?!" tempelak Encik Maarof sinis dan kuat.

Wafa Irdina menjeruk perasaan dengan respon ayahnya. Tentu begitulah balasan lelaki itu, tak akan pernah menyokong dirinya. Semua yang lelaki itu lakukan adalah demi kepentingan dirinya sendiri, demi jawatan yang dia idamkan. Wafa Irdina benci ayahnya disebabkan hal itu.

"Ibu… Wafa tak nak ikut ayah…" rengek Wafa Irdina apabila mereka sudah berada berhampiran dengan kereta Mercedes Benz milik Encik Maarof. Ayahnya ketika itu sedang memasukkan barang-barang milik Wafa Irdina ke dalam boot kereta.

"Wafa, janganlah macam ni sayang…" pujuk Puan Che Nara, sebak dengan kelakuan anak perempuannya itu.

"Mari!" tanpa amaran Encik Maarof merentap pergelangan tangan Wafa Irdina yang sedang memegang lengan ibunya.

Wafa Irdina tersentak, terkejut. Meronta-ronta dia minta dilepaskan oleh ayahnya namun lelaki itu tidak mengendahkan. Tetap juga dengan kasar mengheret lalu memaksa masuk ke dalam kereta meskipun Wafa Irdina sedang meraung memanggil-manggil ibunya yang hanya mampu melihat dengan air mata.

Kereta Mercedes Benz itu akhirnya terus memecut pergi meninggalkan rumah yang dia diami hanya berdua dengan ibunya. Tiada belas kasihan, tidak sempat memeluk cium dengan wanita itu. Bersalaman pun tidak sempat. Wafa benci ayah! Jerit Wafa dalam hati bersama sedunya.

*

*

*

PINTU bilik dibuka perlahan. Wafa Irdina dapat dengari seseorang sedang masuk ke dalam biliknya namun tidak kedengaran suara, kemudian wangian yang dia kenali menyusuk ke rongga hidung. Tahulah dia siapa yang menjenguk masuk ke dalam bilik itu. Wangian sama sejak tiga tahun lalu, wangian kegemaran wanita yang dia benci. Benci kerana telah merampas kebahagiaan keluarganya, merampas kebahagiaan ibunya sebagai isteri ayahnya. Merampas kebahagiaan dirinya yang masih kecil.

"Wafa, bangun. Mama ada buat makanan ni, mai makan. Wafa sampai siang tadi tak dan makan lagi, mai la kita pi makan." pujuk Puan Wardina lembut. Dia duduk di birai katil sambil mengelus perlahan bahu Wafa Irdina yang berpura-pura tidur.

Meskipun Puan Wardina cuba menggoncang perlahan tubuh anak itu, dia seperti sengaja mengeraskan tubuhnya. Enggan bangun. Tak hendak bersemuka dengan wanita itu. Puan Wardina senyap seketika sebelum satu keluhan lemah dilepaskan, kemudian Wafa Irdina dapat merasai pergerakan wanita itu yang bangun dari birai katil.

"Mama letak atas meja ni, nanti kalau Wafa lapaq pi la makan. Satgi dulang ni Wafa biaq ja situ, nanti mama masuk ambik naa…" pesan Puan Wardina sebelum dia keluar semula dari dalam bilik itu dan menutup pintu bilik rapat. Wafa Irdina berpaling dari pembaringannya melihat makanan di atas meja kecil di tepi pintu. Hilang wangian tadi berganti bau masakan enak membuatkan perut Wafa Irdina bergendang minta diisi. Dia menelan air liur, perlahan mengesot turun dari katil menuju ke meja di tepi pintu.

Ayam masak kicap kuah pekat dengan minyak. Wafa Irdina menelan air liur yang mulai kecur, masakan kegemarannya yang biasa dimasakkan oleh ibunya. Adakah ibunya yang memberi pesanan berkenaan makanan kegemarannya pada Mama Dina?

Wafa Irdina mencedok sedikit kuah pekat itu dengan sudu dan dirasai hujung lidah. Hmm… sedap! Puji Wafa Irdina dalam diam. Perutnya semakin berkeroncong setelah merasai masakan itu. Dia baru mahu menuang kuah kicap ke atas nasi tiba-tiba pintu bilik dibuka, Wafa Irdina menoleh dan pergerakannya mengeras. Matanya dan mata Puan Wardina bertembung, nampak wanita itu sedikit tersentak namun kemudian mengukir senyuman. Wafa Irdina tetap dengan wajah masamnya.

"Mama lupa nak bagi ayaq ni, haa nah! Sedap dak? Tadi ibu Wafa call bagitau Wafa suka ayam masak kicap, tu yang mama buatkan. Wafa makan naa, habis makan satgi pinggan tu biaq ja situ." ramah Puan Wardina menegur Wafa Irdina yang tidak memberi sebarang respon.

"Takpalah, mama tak kacau dah. Wafa makan tau!" seakan sedar ketidakselesaan anak itu kerana dia terlalu ramah, Puan Wardina segera mengundurkan diri dan menutup pintu. Risau anak itu memberontak lagi.

Satu dengusan kasar Wafa Irdina lepaskan sebaik pintu bilik ditutup. Seleranya mati. Bertentang mata dengan wanita itu membuatkan hatinya diserbu rasa benci. Senyuman manis keibuan wanita itu membuatkan dia semakin membencinya. Ibu lebih cantik dari dia, kenapa ayah tetap berkahwin lain? Ibu juga pandai masak, baik hati tetapi ayah tetap cari perempuan lain! Malah membuang ibu dan dirinya kerana lebih suka dengan wanita itu. Dan paling tidak dapat dia fahami, ibunya bersetuju keluarga mereka begitu. Wafa Irdina kesal, dia kembali melabuhkan punggungnya di birai katil.

Termangu berjam-jam di situ hingga dia berasa lapar kembali. Jam di dinding dia lihat, sudah 11 malam. Makanan tadi masih terbiar di atas meja, dia bangun dan terus saja mengangkat dulang itu lalu diletakkan di atas lantai. Dia duduk bersila mengadap makanannya dan dinikmati tanpa ragu-ragu, dia sudah membuat keputusan dan dia perlu terus bertahan. Dia tidak akan selamanya di situ, jika dia mahu lari dari aturan Encik Maarof maka dia perlu buktikan dirinya mampu.

Mampu dari segi menguruskan diri sendiri dan mampu mencapai kejayaan tanpa pertolongan ayahnya. Kali ini dia akan berusaha dan berhempas pulas demi membebaskan diri dari ayahnya. Wafa Irdina nekad, nasi disuap ke dalam mulut dan dikunyah penuh selera.

"Wafa dah makan?" tanya Encik Maarof yang baru pulang dari berjumpa rakan sekerjanya di luar. Jam di tangan dia kerling, 11.45 malam.

"Rasanya dia makan dah, Dina yang hantaq makanan dalam bilik. Bila dia daftar MRSM, bang?" 

"Ahad nak mai ni. Barang-barang dia tadi tak payah bawak keluaq semua sebab ada yang dia nak bawak pi nanti. Awat?" pesan Encik Maarof sambil membuka satu persatu butang baju kamejanya. Terasa melekit badannya akibat berpeluh di bawah matahari sepanjang hari.

"Dak, kesian dia duk terperap lama-lama dalam bilik nuu. Bagilah dia keluaq main sat… Abang pun toksah la keras sangat dengan dia. Abang dengan Wafiy takdak pulak macam tu…" tegur Puan Dina penuh berhemah, risau suaminya terasa.

"Biaq pi la kat dia! Wafa tu memang ketegaq sikit dari kecik, perangai manja suka memberontak. Perangai ikut ibu dia la tu! Wafiy tu sebab dia duk dengaq cakap abang, buat apa abang nak marah-marah ke dia pulak!" jawab Encik Maarof dengan nada sedikit tinggi. Puan Wardina melepaskan keluhan kecil.

"Yalah, ikut abang la. Dina cuma tak mau Wafa tu makin lama makin benci kita ja kalau abang duk berkeras sangat kat dia." Puan Wardina tiada niat lain. Dia cuba menasihati suaminya biarpun dia tahu hanya sia-sia, kerana suaminya bukanlah seorang yang mudah mendengar pendapat orang lain lebih-lebih lagi dirinya meskipun sebagai seorang isteri kedua.

"Aku ni nak yang terbaik untuk anak-anak aku! Selagi depa masih belum kahwin, selagi tu aku ada hak nak atoq hidup depa. Pasai aku ni pak depa, depa kalau rasa depa boleh hidup sorang-sorang… Haa, pi! Jangan cari aku dah lepaih tu!" lantang suara Encik Maarof memenuhi segenap ruang tamu luas itu. Sengaja dia kuatkan suaranya biar sampai ke pendengaran anak-anaknya. Puan Wardina mengetap bibir dengan kelantangan suara suaminya, bimbang mengganggu tidur anak bongsu mereka yang baru berusia tiga tahun.

"Dah la, bang. Aisya duk lena satgi terjaga pulak!" tegur Puan Wardina mengisyaratkan supaya suaminya merendahkan intonasi suaranya. Encik Maarof berdecit geram.

"Wafiy dengan Amran tidoq dakgi? Besok depa ada kelas tambahan, kan?" soal Encik Maarof bertanya hal dua anak lelaki mereka.

"Rasanya tidoq dah kot, nak pukui 12 dah. Saja cari pasai nak mangkit lewat esok. Abang kata nak pi hantaq, kan?"

"Haa takpalah. Besok lepaih hantaq depa aku nak pi jumpa Iskandar kat pejabat dia, ada benda nak sembang. Balik dari tu kita pi rumah dia pulak sebab ada kenduri tahlil 100 hari arwah mentua dia. Baju aku gosok dakgi semua?"

"Dah, gosok dah. Pi pukui berapa? Nak siap-siapkan budak-budak ni awai, satgi kelai bilik mandi."

"Pas Maghrib semua siap dah, aku tak mau tunggu!"

Novel ini adalah unlock chapter.. Empat bab awal boleh dibaca secara percuma.. Terima kasih sudi membaca karya saya yang ketiga v(^~^)v

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience