BAB 2 : 2009 - Pilih Kasih

Romance Completed 41706

MERCEDES BENZ milik Encik Maarof tiba di pekarangan MRSM Pendang tepat jam 12 tengah hari, matahari juga memancar terik di atas kepala. Wafa Irdina mengesat peluh yang merenik di dahinya dengan kain tuala 'Good Morning' yang diletakkan di leher, beg sandangnya ditarik dan disangkutkan ke bahu. Hatinya bengkak sebaik melihat isi dalam kereta itu penuh.

Ishhh… sibuk jelah semua nak ikut! Bentak hati Wafa Irdina dengan mimik muka sebal. Pintu kereta dibuka. Senyuman menyeringai Aisya menjadi tatapan pertama, beralih matanya pada Wafiy yang sibuk dengan game boynya dan di hujung sekali Amran, abang tiri mereka iaitu anak Mama Dina. Pemuda itu ikut sama menyeringai memperlihatkan barisan giginya yang sedikit senget.

"Masuk la lekaih! Lambat dah ni!" sergah Encik Maarof pada Wafa Irdina yang sedang mempamerkan wajah kelat.

"Aisya pi duduk sana la! Sempit!" marah Wafa Irdina pada adiknya, anak kecil itu menjuihkan bibir tetapi tetap juga beralih tempat duduk di atas Wafiy yang kemudian menyinggung Aisya ke riba Amran pula, matanya tidak lepas dengan alat permainan itu.

"Aisya mai duk kat ibu sini." panggil Puan Wardina pada anak bongsunya. Aisya menurut kata dengan seronok, cepat-cepat dia memanjat ruang tengah lompat ke riba mamanya.

"Tau anak ramai beli la kereta besar, nama je YB!" sindir Wafa Irdina perlahan. Rambut panjangnya yang ikal diikat dan sanggul tinggi, panas!

"Abang Am dah kerja nanti Abang Am beli kereta besaq, Wafa duduk depan dengan abang. Yang lain duduk belakang." sampuk Amran dengan sengihannya. Wafa Irdina mencebik.

"Hang toksah sibuk kerja lagi, Am! Habiskan diploma hang dulu. Hang ingat senang ka nak kerja gaji besaq kalau tak dak sijil? Ni ayah punya diploma pun orang duk persoal ori ka dak. Siapa punya kerja duk buat fitnah, tak dak modai lain!" Encik Maarof mula bercerita hal perjalanan politiknya. Wafa Irdina mendengus, benci dengan topik itu.

"Baik, ayah." sahut Amran patuh. Matanya bagaimanapun sempat melirik pada Wafa Irdina yang sudah membuang pandang ke luar tingkap. Sudah tiga tahun berlalu, sikap sombong anak remaja itu masih tebal tidak berubah.

"Wafiy!" kuat suara Encik Maarof memanggil Wafiy yang masih leka dengan game boy namun yang memberi respon adalah semua penumpang belakang yang masing-masing mengangkat kepala memandang ayah mereka.

"Ya, yah. Kenapa?" terpinga-pinga Wafiy menyahut. Dia lihat wajah Encik Maarof sudah menyinga, mungkin kerana leka tidak mendengar kata-kata ayahnya tadi. Dia menelan air liur.

"UPU keluaq keputusan bila?!" soal Encik Maarof dengan nada kuat seperti tadi, sedang menahan marah gayanya.

"Dalam minggu ni, yah. Awat, yah?" jawab Wafiy teragak-agak, dia sendiri tidak pasti sebenarnya tetapi dia jawab juga pertanyaan ayahnya. Takut jika dia menjawab tidak tahu, alamat jalan kaki dia balik ke rumah nanti.

"Hang isi universiti yang ayah habaq tu dak? Ka hang nak ikut kepala hang?" 

"Dak, yah! Wafiy isi macam yang ayah habaq haritu cuma yang pilihan keempat dengan lima tu Wafiy pilih U lain, kot-kot yang pertama tu tak lepaih…" takut-takut Wafiy menjawab soalan itu kerana dia sudah maklum yang ayahnya mahu dia memilih jurusan yang telah ditentukan oleh lelaki itu.

"Haa… tak apalah, jarang juga pilihan last tu dapat. Biasa bila results hang elok, yang pilihan awai tu tak pa dah." ujar Encik Maarof sedikit kendur suaranya mungkin mengingatkan keputusan SPM Wafiy baru-baru ini yang sangat membanggakan. Terutama sekali bila anaknya itu tercalon antara pelajar cemerlang SPM 2008. Tidak sia-sia usahanya memaksa anak sulungnya itu menyertai tuisyen di luar selain menghadiri kelas tambahan sekolah.

"Ya, yah." perlahan suara Wafiy mengangguk. Walaupun pilihan jurusan pembelajaran bukan dari segi minatnya, tetapi arahan ayahnya perlu dia patuhi. Jika tidak nanti malulah ayahnya dikata orang kerana dia tidak memiliki kewibawaan seperti lelaki itu yang menjadi ADUN di daerah mereka.

Sejak Encik Maarof dilantik rakyat untuk menjadi ADUN di daerah mereka duduk sejak 5 tahun lalu, keluarga mereka sentiasa menjadi perhatian. Maka disebabkan itulah Encik Maarof sangat menitikberatkan segala tindak-tanduk mereka supaya dijaga dan tidak melakukan perkara yang boleh menjadi buah mulut dan dijadikan bahan kejian dari parti lawan.

Memandangkan ketiga-tiga anaknya masing-masing cemerlang dalam pelajaran, Encik Maarof senantiasa memastikan mereka kekal begitu mengikut telunjuknya. Amran yang kini berusia 19 tahun walaupun cuma status anak tiri kepada Encik Maarof turut dilayan seperti anak kandung yang juga perlu menurut setiap arahan lelaki itu dan Amran juga tidak pernah membantah.

Berbeza dengan penerimaan Wafa Irdina. Jika bukan ibunya yang datang menjemput membawanya pulang ke Kuala Lumpur, Encik Maarof akan memerintah agar dia duduk berdiam diri di dalam rumah sahaja atau di dalam bilik. Wafa Irdina tidak dibenarkan keluar berliburan sendirian meskipun dengan kawan-kawannya. Disebabkan itulah Wafa Irdina kerap kali memberontak menunjukkan protes dan sengaja mencabar kesabaran Encik Maarof melainkan apabila ibunya datang mengambilnya. Mujur juga Puan Che Nara tidak pernah culas menjemput setiap kali waktu cuti sekolah seperti yang dijanjikan dulu. Cuma pada waktu hujung minggu untuk 'outing' ataupun cuti umum barulah Wafa Irdina terperuk di rumah Encik Maarof.

Mereka tiba di rumah 30 minit kemudian dan Wafa Irdina seakan tercari-cari sesuatu sebaik mereka tiba di perkarangan rumah mereka. Puan Wardina yang menyedari kelakuan gadis remaja itu cepat-cepat mencuit suaminya sambil menunjuk ke arah Wafa Irdina. Encik Maarof mendengus geram, tahu apa yang dicari anaknya itu.

"Minggu cuti ni Wafa tak balik KL, ibu hang kena outstation seminggu. Ibu hang suruh duduk dengan ayah." beritahu Encik Maarof selepas beberapa lama dia membiarkan Wafa Irdina tercari-cari.

"Apa?! Mana boleh! Ibu dah janji!" jerit Wafa Irdina tidak berpuas hati.

"Habis tu hang nak balik KL jugak?! Haa… pi lah! Aku hantaq hang naik bas satgi hang balik sendiri!" gertak Encik Maarof dengan dengusan kasar. Puan Wardina dilihat cuba menenangkan suaminya. Wafa Irdina menghentakkan kakinya ke tanah, meluahkan rasa tidak puas hatinya.

"Hang toksah duk buat perangai sangat boleh dak? Hang tu dah lah perempuan, perangai hang tu lebih dari abang-abang hang!" herdik Encik Maarof. Sakit hati dan mata melihat tantrum Wafa Irdina yang tidak pernah habis.

"Ayah tu yang tak pernah nak layan Wafa baik-baik! Kalau Abang Wafiy semua boleh! Abang Am tu bukan anak ayah pun ayah layan elok! Bila time Wafa semua tak boleh! Ayah yang pilih kasih! Kalau ayah benci sangat dengan Wafa baik Wafa tak payah hidup pun kat dunia ni!" jerit Wafa Irdina kuat dan nyaring. Hatinya terlalu terluka dengan sikap layanan ayahnya terhadap dirinya. Mengapa?

"Mulut hang jaga sikit Wafa! Jangan sampai ayah tampaq satgi!" tangan Encik Maarof yang sudah menunjukkan telapaknya hampir dihayun tinggi sekadar memberi amaran. Bagaimanapun, Puan Wardina segera menahan suaminya. Risau lelaki itu benar-benar melakukan hal itu dan memburukkan lagi situasi.

"Wafa, masuk dulu. Jangan cabaq ayah hang sangat…" tegur Puan Wardina yang sedang berdiri di antara kedua-dua beranak itu.

"Semua ni sebab mak cik! Kalau bukan mak cik yang rampas ayah dari ibu, benda ni semua tak jadi! Mak cik yang jahat rosakkan keluarga Wafa!" Wafa Irdina seperti sudah tidak mampu menahan rasa dendam dan kebenciannya lagi, dihambur tepat pada wajah wanita yang sedang cuba menyelamatkan dia dari amarah ayahnya.

"Hang kurang ajaq!" seraya itu satu tamparan kuat hinggap di pipi Wafa Irdina menyebabkan anak gadis itu terpelanting ke tanah.

"Abang!" jerit Puan Wardina lantas menerpa ke arah Wafa Irdina. Aisya yang ketakutan menyaksikan pertelingkahan itu segera lari ke arah Amran, Wafiy tercegat di tepi kereta tidak berani masuk campur. Dia tidak selantang atau seberani adiknya semata-mata mahu melawan ayah mereka.

*

*

*

KETIBAAN Pho Khan dengan Ya San bersama dua orang lagi ahli keluarga Puan Che Nara di rumah Encik Maarof disambut dengan suasana hambar dan tegang. Pho Khan dan Ya San adalah ibubapa kepada Puan Che Nara yang juga datuk dan nenek kepada Wafiy dan Wafa Irdina. Mereka tiba beberapa jam kemudian setelah dihubungi sendiri oleh Wafa Irdina selepas isu pertelingkahan antara dia dan ayahnya.

"Awat buat cucu kami macam ni, Maarof? Hang kalau tak mau kat depa, hang lepaih ja la. Aku dari dulu bagi ja hang lepaih depa bila hang nak kahwin satu lagi tapi hang kata hang boleh jaga dua-dua. Tapi sampai la ni anak aku lagi jauh dari kami, ni cucu aku pulak hang buat." tegur Pho Khan dengan loghat Kedah-Siam, kedengaran kecewa nadanya.

Ketika itu hanya ada mereka berlima di ruang tamu itu, Puan Wardina berada di dapur rumah tidak berani ikut campur. Dia hanya keluar sekadar menghantar minuman dan makanan untuk hidangan para tetamu. Anak-anak lain masing-masing berada di dalam bilik, juga tidak berani menunjukkan muka. Hanya Wafa Irdina yang sedang teresak-esak sedih di sisi Ya San, neneknya.

"Dia anak saya pak, saya yang bertanggung jawab ajaq dia. Perangai Wafa ni ketegaq macam mak dia, bukan saya tak cuba pujuk tapi depa dua-dua yang keras kepala!" bentak Encik Maarof, masih geram dengan tindakan Wafa Irdina yang berani menghubungi Pho Khan dan Ya San. Rasa tercabar egonya sebagai seorang bapa kepada anak itu.

"Begini la. Kami bawa balik Wafa gi Naka, nanti Loong dia hantaq balik gi MRSM lepaih habis cuti. Nara ada bagitau haritu kot-kot Wafa tak mau duduk sini masa cuti panjang." Kali ini Ya San pula mencelah, terasa juga hatinya apabila Encik Maarof secara terangan mengutuk anaknya di hadapan mereka berdua, ibubapa mertuanya.

"Ikut suka pak dengan mak ja la. Pi la bawak dia balik Naka. Jangan gatai nak balik sini pulak sudah!" keras nada Encik Maarof meskipun terpaksa mengalah. Jika diikutkan hatinya saat itu dia mahu mengheret anak gadisnya masuk ke bilik dan mengurungnya sepanjang cuti sekolah di situ. Biar dia tahu bagaimana rasa tidak dapat berhubung dengan dunia luar, tidak pandai beradab dengan orang tua!

Aku pun tak ingin nak balik rumah ni lagi! Jerit hati Wafa Irdina tetapi demi menghormati datuk dan neneknya, dia tidak berani meluahkan secara terangan cuma mimik mukanya saja yang herot-berot menzahirkan rasa hatinya saat itu.

“Wafiy mana? Wafiy, mai kut Pho ya tha Yai balik Naka. Wafa gi panggil abang.” suruh Pho Khan. Dia juga sudah tidak mahu berlama-lamaan di situ.

“Wafiy tak payah ikut! Mak bawak Wafa saja!” keras nada Encik Maarof menahan dan menghalang mereka dari memanggil dan membawa Wafiy sekali.

“Hang memang pilih kasih! Pasai tu anak hang yang ini suka melawan hang! Sudah, mari balik!” tinggi suara Pho Khan memarahi Encik Maarof. Situasi itu sudah membuktikan apa yang Wafa Irdina adukan pada mereka adalah benar belaka, ayah memilih kasih. Encik Maarof bagaimanapun tidak peduli. Baginya Wafa Irdina tetap anak perempuan yang satu hari nanti akan datang kembali mencarinya.

Pada pendapat Wafa Irdina pula berbeza, Encik Maarof kerap kali beranggap yang dia akan kembali pada ayahnya itu di masa depan namun setiap kali pun dia kembali bukan atas kerelaan hatinya sendiri. Dan Wafa Irdina masih lagi nekad tidak akan kembali atau mencari ayahnya selepas ini. Walaupun dia harus berhujan panas berteduh di bawah pokok, tidak akan sesekali dia menghubungi ayahnya lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience