BAB 3 : 2012 - Result SPM

Romance Completed 41706

ALHAMDULILLAH. Wafa Irdina bersyukur dalam hati sebaik menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia dari bekas guru kelasnya semasa di Tingkatan 5 dahulu, Cikgu Asyraf. Senyumannya lebar membalas sengihan guru muda itu. Wafa Irdina tahu lelaki itu mempunyai hati padanya tetapi dia buat tak endah, tetap saja menganggap lelaki itu sebagai guru yang mengajar dan tidak pernah melebihi batas dalam melayan mahu pun dalam pergaulan mereka.

“Wafa dah isi UPU, kan? Wafa minta kat mana? Kedah jugak?” tanya Cikgu Asyraf ingin tahu. Sedih juga hatinya kerana tidak akan dapat bersua muka dengan gadis sunti itu lagi selepas ini. Selama gadis itu tamat peperiksaan dulu pun dia sudah angau merindui keletah gadis lincah tetapi tegas itu.

“Tak ada maknanya, cikgu! Wafa nak balik KL, nak duduk dengan ibu Wafa. Kedah ni bosan tak ada apa!” jawab Wafa Irdina kuat dan yakin. Pada telinga yang mendengar, dia tidak peduli.

“Amboi… pi la balik KL sana kalau bosan sangat kat sini!” sahut seseorang nyaring membalas kenyataan Wafa Irdina tadi. Wafa Irdina bagaimanapun tidak terus menyahut sebaliknya menghamburkan ketawa besar.

“Ya, hang jangan lupa follow aku rapat tau!” balas Wafa Irdina setelah tawanya sirna. Kepalanya di teleng ke arah belakang, matanya mencari sepasang mata dari seseorang yang sedang berbaris selang dua orang di belakangnya. Mata mereka bertembung dan kemudian sama-sama ketawa. Erma Fatima merupakan satu-satunya rakan baik Wafa Irdina di sekolah itu. Hanya gadis itu saja yang berani dan tahan dengan sikap serta perangai Wafa Irdina yang tidak terjangka seperti bom jangka, bila-bila masa boleh 'meletup' jika tersilap langkah dalam pergaulan.

“Berapa A hang dapat? Mai tengok! Uishhh… Dasyat Wafa Irdina bin YB Haji Maarof! Straight A siot!” kuat suara Erma Fatima menyebut keputusan Wafa Irdina sekaligus menarik perhatian pelajar lain di situ.

“Tak heran pun, best student kan! Kalau dia straight F tu yang heran!” sampuk pelajar lain, seorang pelajar lelaki mendekati mereka berdua.

“Mati kena hambat dengan YB Maarof kalau dia dapat straight F. Dari kena menghadap dinding bilik kat rumah tu, jadi menghadap kiblat single room 7 kaki ke dalam! Naya pak karim!” seloroh Erma Fatima yang kemudian di sahut dengan ketawa terbahak-bahak oleh pelajar lelaki tadi. Mereka ketawa tanpa selindung bertepuk tampar menyebabkan tawa mereka berpanjangan.

“Ewahhh… seronok kau mengata aku eh?! Mana result kau aku nak tengok! Entah-entah kau yang check in single room 7 kaki ke dalam tu!” bidas Wafa Irdina sambil merampas kertas keputusan Erma Fatima.

“Kemon laaa… bestfriend aku straight A’s tak kan aku straight ke liang lahad! Mesti la ada A dengan B kona-kona sikit!” jawab Erma Fatima dengan bangga meskipun keputusannya tidak secemerlang Wafa Irdina. Yang penting dia tahu selama ini dia telah mencuba yang terbaik, sama-sama berhempas pulas mengulangkaji pelajaran bersama Wafa Irdina.

“Syabas betey! Tahniah korang berdua!” ucap pelajar lelaki tadi.

“Hah, Farid. Kau pulak dapat berapa A?” soal Erma Fatima. Kedua-dua mereka berpaling pada anak muda itu.

“Result aku tak gempak macam korang pun…” sayu saja jawapan Farid sambil tunduk menekur lantai. Malu dengan keputusannya. Bukannya dia tidak mengulangkaji pelajaran, bahkan Wafa Irdina dan Erma Fatima yang banyak membantunya selama ini namun mungkin otaknya yang tidak berfungsi secerdik mereka berdua.

“Farid, aku doakan kau jadi jutawan! Jadi businessman ke tak pun tokey balak ke. Tapi aku doakan la supaya kau berjaya walaupun result kau tak macam kami. Kau jangan lupa, SPM ni bukan segala-galanya. Kau tak ambik SPM pun kau tetap kena hidup bernafas kat muka bumi ni. Mana tahu lagi 5 ke 10 tahun kau lagi berjaya dari aku? Don’t give up!” Wafa Irdina menepuk-nepuk bahu Farid sambil memberikan kata-kata semangat, Erma Fatima juga ikut sama memujuk anak muda itu.

“Terima kasih, Wafa. Kalau family aku macam korang berdua, kan bagus. Daripada mencaci, doakanlah yang baik-baik. Tu la, macam yang kau cakap hidup kena diteruskan. Susah macam mana pun tetap kena bernafas jugak melainkan nyawa dah dicabut dari badan.” tutur Farid sedikit kecewa mengenangkan penerimaan keluarganya nanti.

Wafa Irdina, Erma Fatima dan Farid sedang berjalan keluar dari kawasan maktab secara beriringan apabila Amran muncul di hadapan mereka bertiga. Masing-masing menunjukkan riak tidak senang dengan kehadiran pemuda itu di situ sambil menayangkan barisan giginya yang senget. Penampilan lelaki itu cukup kemas pada hari ini tetapi sedikit canggung pada mata Wafa Irdina yang merasakan pemuda itu sangat berlebihan dalam berfesyen kerana pemuda itu lengkap bersut kemeja siap bertali leher. Rambutnya disikat rapi dan berkilat.

“Wafa dapat berapa A? Straight A’s?” tanya Amran berterus-terang sambil membetulkan tali lehernya.

Wafa Irdina mengangguk saja dengan dahi yang berkerut. Mamat ni tak panas ke pakai sut tengah matahari panas terik macam ni? Buang tabiat ke? Datang sekolah ni buat apa? Nak menunjuk diri konon bergaya macho ke apa? Eee… gelilah aku dengan mamat ni! Kutuk hati Wafa Irdina dengan mulut herotnya.

“Jom balik dengan abang, tu abang drive kereta abang balik sini dari KL. Jomlah semua sekali, abang hantarkan balik rumah.” pelawa Amran sambil menunjukkan kereta Honda Civic berwarna merah miliknya.

Mereka bertiga menjenguk ke arah yang ditunjukkan oleh Amran, masing-masing saling berpandangan. Farid dan Erma Fatima kelihatan kagum namun tidak pada Wafa Irdina. Dia tahu pembelian kereta itu dari sumber mana. Sudah tentulah dari pemberian ayahnya, Haji Maarof. Siapa lagi jika bukan lelaki itu. Wafa Irdina mencebik, meluat.

Walaupun puas menolak, Amran tetap berkeras hingga mengugut mahu melibatkan Haji Maarof menyebabkan Wafa Irdina terpaksa akur dan turut sama memaksa kedua rakannya mengikutinya. Dia tidak selesa berdua-duaan dengan pemuda itu. Dia tidak pernah menganggap Amran sebagai abangnya sama seperti dia dan Wafiy kerana Wafiy adalah abang kandungnya. Amran meskipun disuruh dianggap seperti abang, tetap juga bukan muhrim pada Wafa Irdina. Lebih-lebih lagi bila dia teringatkan perbuatan pemuda itu ketika ayahnya dan Mama Dina tiada selama hampir sebulan kerana mengerjakan ibadah haji tahun lalu. Disebabkan itu Wafa Irdina meletakkan garis batas jika berada berdekatan dengan lelaki itu.

“Wafa buat apa tu?” tegur Amran ketika hanya mereka berdua berada di dapur. Mama Dina ada menghubunginya meminta tolong untuk datang sesekali menjenguk adik beradiknya di rumah itu sepanjang kedua-dua ibubapanya berada di Mekkah menunaikan haji. Dan atas rasa kasihan dan tanggungjawab, Wafa Irdina akan datang untuk memasak tengah hari di situ. Dia datang dengan menunggang motosikal tua milik Pho Khan dari Kampung Naka ke Jitra.

“Nak masak untuk makan tengah hari kejap lagi. Abang Wafiy dah balik ke? Aisya mana?” tanya Wafa Irdina tanpa melihat Amran. Tangannya sedang lincah mengacau lauk masakan di kuali.

“Tak balik lagi kot. Aisya ada kat atas tengah tidur rasanya. Wafa lepas masak nak balik terus ka?” tanya pemuda itu. Kali ini dia sedang berdiri bersandar di tepi dapur. Wafa berpaling dengan kerutan di dahi.

“Awat? Balik teruslah, nak pi mana lagi? Petang satgi Erma nak datang rumah pho, kami nak study sama-sama.” jawab Wafa Irdina masih lincah bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Sekejap bergerak ke dapur masak mengacau kuali, sekejap bergerak ke sinki membasuh periuk.

“Abang Am nak ajak Wafa keluaq jalan-jalan. Kita pi Tanjung Dawai ka, mau dak?” pelawa Amran berhati-hati.

“Tanjung Dawai na la sana nuh?! Tak maulah! Jauh! Nanti sampai rumah pho dah gelap malam. Jalan balik tu dah la sunyi gelap. Taknaklah!” Wafa Irdina menolak mentah. Lagi pula tentulah pho dan ya tidak benarkan dia keluar waktu malam.

“Tak palah tak mau pi Tanjung Dawai, kita pi jalan tempat lain.” Amran masih cuba berusaha memujuk Wafa Irdina. Gadis itu sudah tidak sedap hati apabila Amran terlalu beriya mengajaknya. Dia juga sebenarnya tidak suka dipaksa desak berkali-kali. Jika dia sudah enggan atau menolak untuk pertama kali maka tidak akan ada kedua atau ketiga kali kerana jawapan pertamanya sudah nekad.

“Abang Am jangan paksa boleh tak? Wafa dah kata tak mau tu, tak mau la! Tak paham bahasa ka?!” jerkah Wafa Irdina bengis wajahnya apabila Amran cuba mencapai tangannya. Dia menepis dan menjarakkan diri.

“Awat? Wafa tak suka kat abang ka?” persoal Amran masih cuba mendekati Wafa Irdina. Gadis itu mula dipagut resah. Tangannya yang masih memegang senduk mengejapkan pegangnya, menunggu tindakan Amran yang seterusnya. Dia sudah bersedia.

“Suka apa? Abang Am kan abang Aisya!” 

“Selain dari tu?” nada suara Amran berubah perlahan dan sedikit menyeramkan pada cuping telinga Wafa Irdina. Dia tidak pernah menyangka Amran bakal bersikap pelik dengannya pada saat ketiadaan ibubapa mereka.

“Abang Am! Bila abang sampai?” jerit Aisya sambil lari menerpa pada Amran menyebabkan langkah pemuda itu terhenti. Dia kemudian tunduk membongkok menyambut Aisya yang mahu memeluknya. Wafa Irdina menarik nafas lega.

Dan sejak pada hari itu Wafa Irdina akan mengajak sepupu saudaranya yang tinggal bersama pho dan ya agar menemaninya ke rumah itu. Wafa Irdina tidak akan sesekali menjejak kaki ke rumah ayahnya sekiranya dia mengetahui pemuda itu turut berada di situ selepas itu. Jika dia terpaksa atau dipanggil ayahnya barulah dia kembali, itupun cuma sebentar atau memaksa Wafiy menemaninya. Wafiy meskipun ada ketika berasa rimas dengan gangguan Wafa Irdina, tetap saja menurut permintaan adiknya.

Kini setelah menghantar Farid dan Erma Fatima ke rumah mereka, tinggallah Wafa Irdina berdua di dalam kereta itu dengan Amran. Suasana sunyi dan hening saja tanpa bicara, radio juga tidak dihidupkan. Wafa Irdina mula rasa janggal, telefon bimbitnya dikeluarkan. Lincah jarinya menekan-nekan butang di telefon itu. Amran sesekali mengerling, dia cuma senyum sinis. Pemanduan Amran yang laju menuju ke Bandar Alor Setar membuatkan Wafa Irdina jadi tidak senang duduk, matanya meliar memerhati ke luar tingkap. Sedang mencari kesempatan untuk melepaskan diri.

“Kita nak pi mana ni, Abang Am? Sat gi pho cari kalau Wafa balik lambat.” Wafa mencari alasan. Rambutnya yang panjang ikal diseka ke belakang untuk diikat.

“Kita pi Alor Setar Mall. Abang nak belanja Wafa sebab dapat straight A. Boleh, kan?” sengih Amran. Wafa Irdina menggigit hujung bibir.

“Awat tak ajak Erma dengan Farid ja sekali tadi? Bawak Wafa sorang ja. Kalau depa tau mesti depa kecik hati. Ka Abang Am duit tak banyak nak belanja kami ramai-ramai?” sengaja Wafa Irdina berkata begitu. Dia tahu pemuda itu belum mempunyai pekerjaan tetap, segala kemewahan yang dinikmati saat ini adalah ihsan pemberian dari ayahnya iaitu Haji Maarof yang kini menyandang jawatan sebagai Menteri Besar.

“Sorry la, nanti abang dah dapat kerja bagus baru abang belanja semua orang. Lagipun result dorang dua tak gempak macam Wafa, so memang layak la abang belanja Wafa sorang je.” Amran bermulut manis. Wafa Irdina mencebik. Alasan! Ingat aku tak tau!

Sebaik memarkir keretanya, Amran berlagak pantas berlari membukakan pintu kereta untuk Wafa Irdina. Gadis itu menjulingkan matanya keatas. Saat mereka berjalan menuju ke pintu masuk pusat beli-belah, terdapat cubaan Amran mahu memaut jari-jemari Wafa Irdina namun gadis itu lebih pantas bertindak menyilang tangan memeluk tubuhnya. Apabila Amran cuba jalan secara rapat dengannya, dia mengelak menjarakkan diri pula. Begitulah keadaan mereka sepanjang perjalanan berpusing melewati setiap tingkat pusat beli belah antara yang terkenal di daerah itu. Amran berusaha mengajak Wafa menonton wayang namun ditolak mentah oleh gadis itu.

“Jom la, Wafa. Abang Am dah lama tak tengok wayang . Wafa pun mesti lama tak tengok juga, kan?” pujuk Amran sewaktu mereka berdua sedang menikmati makanan segera dari restoran rangkaian KFC.

“Ishhh… Kan Wafa dah kata tak mau! Abang Am tak payahlah paksa!” bentak Wafa Irdina. Geram dan meluat didesak berulang kali. Amran tidak pernah ambil maklum dengan sikapnya yang tidak suka dipaksa. Habis saja makanannya, Wafa Irdina tidak berlengah. Dia terus saja bangun keluar dari restoran itu dan secara tidak sengaja telah melanggar seseorang menyebabkan Wafa Irdina melantun kembali dan hampir terjelepuk ke lantai.

Mujur tubuhnya pantas disambut oleh orang yang dilanggarnya tadi. Namun menyedari tindakan itu agak keterlaluan kerana posisi mereka yang terlalu rapat malah erat memeluk pinggang Wafa Irdina yang ramping, pautan segera dilepaskan.

“Sorry!” ucap satu suara garau. Wafa Irdina memanggung sedikit wajahnya melihat gerangan siapakah yang dia langgar dan juga menyelamatkannya. Oh, Zahin Fakri bin Datuk Iskandar!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience