BAB 4 : 2012 - Rimas

Romance Completed 41706

“EH, WAFA IRDINA? Kan?” tegur Zahin Fakri sedikit teragak-agak kerana kali terakhir dia bersua muka dengan gadis itu ialah pada tiga tahun lalu sewaktu gadis itu menyertai pertandingan pidato peringkat negeri dan dia adalah antara penonton yang berada pada acara hebat itu. Semasa anak gadis itu membacakan pidatonya, ramai yang kagum dengan lontaran suaranya dan setiap bait kata gadis itu yang kedengaran yakin dan jelas. Kepetahan gadis itu akhirnya membuahkan hasil setelah meraih johan pada acara tersebut.

“Abang Zahin! Lama tak jumpa! Balik cuti ka?” wajah Wafa Irdina yang kelat pada awalnya bertukar ceria, senyumannya juga mekar lebar.

“Cuti kejap je ni. Wafa sorang je ke ni?” Zahin Fakri bagaimanapun sedikit kaget kerana dia berasakan gadis itu terlalu ramah padanya. Seingat dia seorang Wafa Irdina sangat sombong dan sukar untuk melihat senyumannya.

“Zahin!” Amran datang mencelah menghulur salam yang kemudiannya disambut kaget oleh Zahin Fakri. Cuba mengingati siapa pemuda itu.

“Amran, abang tiri Wafa.” Amran memperkenalkan dirinya. Tautan tangan mereka kejap.

“Oh, anak aunty Dina?” teka Zahin Fakri agak was-was.

Amran mengangguk mengiyakan. Selepas meleraikan jabat tangan, Amran kelihatan sedikit kekok. Zahin Fakri bertubuh sedikit besar darinya yang kurus, fizikal Zahin Fakri juga terlihat lebih kekar. Jika dikira umur mereka berdua, Zahin Fakri tua dua tahun daripada Amran. 

“Abang Zahin nak pergi mana ni?” tanya Wafa Irdina berminat ingin tahu. Otaknya sedang ligat memikir strategi.

“Oh, nak jumpa kawan kejap. Sambil tu dia ajak tengok wayang sekali. Ni abang dari bawah kat parking tu katanya tunggu kat situ, cari dia tak jumpa pulak. Tu yang naik ke atas ni. Eh, Wafa pulak nak kemana?” ringan pula mulut Zahin Fakri bercerita. Mungkin disebabkan mahu menghilangkan rasa gugupnya pada gadis itu yang tampak ceria.

“Tengok wayang? Cerita apa? Wafa nak join sekali boleh? Kawan Abang Zahin lelaki ke perempuan?” becok mulut Wafa Irdina menyoal, matanya bersinar-sinar mengandungi harapan. Zahin Fakri jadi penasaran sebaik melihat reaksi Wafa Irdina yang berbeza dari ingatan sebelumnya. Dia jadi ingin tahu.

“Kawan lelaki. Abang pun tak tau ada cerita best apa sebab abang ikut kawan abang je, Wafa nak tengok wayang jugak ke?” duga Zahin Fakri. Matanya sempat melirik pada Amran yang diam dari tadi tetapi nampak sedikit cemas. Entah kenapa.

“Oh, Wafa sebenarnya dah lama tak tengok wayang. Abang Zahin belanja boleh?” berkedip-kedip mata Wafa Irdina cuba menarik hati Zahin Fakri agar membawanya menonton wayang bersama. Dalam hatinya Tuhan saja tahu betapa dia ingin jauh dari Amran.

“Nak belanja tu tak ada masalah. Am ikut sekali?” Zahin Fakri memandang Amran mempelawa pemuda itu sekali. Amran tidak menyahut hanya mengangguk bersama senyuman kekok. Wafa Irdina yang melihat mencebik namun secara tunduk, enggan dilihat oleh Zahin Fakri reaksi kurang senangnya.

“Abang call kawan abang dulu tanya dia kat mana. Kejap ye?”

Sebaik Zahin Fakri menjauhkan diri mahu menghubungi rakannya, Wafa Irdina membelakangi dirinya dan berhadapan dengan Amran. Wajahnya kembali kelat menunjukkan rasa tidak puas hatinya kerana pemuda itu tetap mahu mengekorinya.

“Abang Am balik jelah!” gumam Wafa Irdina perlahan namun wajahnya masam kelat.

“Tak, Abang Am dah janji nak bawak Wafa tengok wayang lepas tu hantar balik.” Amran tetap dengan pendiriannya biarpun mereka terpaksa bertemankan orang lain.

“Bila masa Wafa setuju tengok wayang? Tak ada kan? Balik jelah!” sekali lagi Wafa berusaha menghalau Amran dengan wajah yang herot-berotnya namun Amran berdegil.

“Okay, jom! Dia tengah tunggu kat pawagam dah. Wafa tak sekolah ke harini? Eh, kejap. Wafa tingkatan berapa dah sekarang?” Zahin Fakri kini kembali. Matanya sempat menangkap situasi kekok yang sedang berlaku di antara kedua beradik tiri itu namun diusir segala prasangkanya.

“Habis SPM dah. Ni baru balik ambik result kat maktab tadi.” Wafa Irdina memanjangkan langkahnya beralih ke sisi kiri Zahin Fakri, sengaja menjauhkan diri dari Amran. Dan Amran pula mengikuti di belakang.

“Oh, betul jugak ye? So, result macam mana? Okay tak?” sambil berbual sempat juga Zahin berpusing mencari Amran yang jalan di belakang mereka, pelik dengan tingkah laku Wafa Irdina yang seperti sengaja merapatkan diri padanya.

“Of course la straight A’s!” jawab Wafa Irdina dengan muka yang bangga. Dalam pelajaran dia memang sering kali mendapat keputusan cemerlang dan semuanya hasil dari titik peluhnya sendiri yang gigih berusaha untuk belajar dan tidak culas mengulangkaji pelajaran.

“Wow! I’m proud of you! Memang hebat anak-anak YB Haji Maarof ni. Seingat abang dulu, Wafiy pun straight A’s jugak. Betul tak?” puji Zahin Fakri. Dia kagum. Wafa Irdina benar-benar mempamerkan namanya yang sedap, rupanya yang cantik dan otak yang bijak.

“Good results require hard work. No pain, no gain. You achieve nothing if you do nothing! That’s my motto!” petah bicara Wafa Irdina membalas pujian Zahin Fakri tadi membuatkan pemuda itu bertambah kagum. Gadis itu punya pendirian yang tegas dan pandangan masa depan yang jelas. Dia suka perempuan yang mempunyai pandangan matang sebegitu namun dia masih belum temui sesiapa setakat ini kecuali gadis sunti itu.

Mereka tiba di hadapan kaunter Big Cinemas di tingkat satu dan bersatu dengan rakan yang dikatakan oleh Zahin Fakri tadi. Selepas berkenalan Zahin Fakri dan rakannya berpecah, seorang membeli tiket dan seorang lagi membeli makanan ringan. Wafa Irdina mengambil kesempatan itu mengekori Zahin Fakri yang beratur untuk membeli tiket, tidak mahu ditinggal bersendirian berdua dengan Amran.

Ketika mereka menuju ke dewan tayangan juga Wafa Irdina kekal mengekori Zahin Fakri rapat di sisi malah turut sama ramah berbual dengan rakan pemuda itu. Meskipun usia Wafa Irdina yang dianggap muda dan mentah namun tutur bicara gadis itu tidak melambangkan usianya. Tidak mereka sangka gadis itu mampu berdebat dengan mereka hal-hal berkaitan dunia politik, mungkin juga kerana ayah gadis itu seorang ahli politik. Tetapi hal berkenaan isu semasa juga gadis itu tidak ketinggalan untuk ambil tahu dan huraikan. Menambahkan lagi pesona gadis itu di mata Zahin Fakri.

Tiba di dalam dewan tayangan, pada mulanya Zahin Fakri mahu masuk mengambil tempat di tengah-tengah urutan kerusi mereka tetapi Wafa Irdina pantas menyelit mendahului dan Zahin Fakri membiarkan saja. Dia sudah ambil maklum, Wafa Irdina sedang menjauhkan diri dari abang tirinya. Dan kini Amran duduk di hujung sekali pada laluan tangga terpisah jauh dia dengan Wafa Irdina antara Zahin Fakri dan rakannya. Wafa Irdina melepaskan nafas lega sebaik mereka duduk. Zahin Fakri menoleh, memerhati dan menilik wajah gadis itu.

“Wafa, okay? Letih ke?” tanya Zahin Fakri mengambil berat.

“Haa… letih jugak. Ikutkan lepas ambik result tadi terus balik tapi Abang Am datang jemput pulak bawak mai sini.” secara tidak langsung Wafa Irdina telah menyampaikan situasinya yang sebenar, mungkin dia betul-betul sudah letih emosi. Tak pasal-pasal kena keluarkan tenaga berkomunikasi lebih hari ini. Keluh hatinya.

“Habis tengok wayang ni nak pergi mana?” sekali lagi Zahin Fakri bertanya, sekadar mahu tahu apa tindakan gadis itu yang seterusnya.

“Entahlah, Abang Am kata ayah nak jumpa. Tapi Wafa malas nak jumpa ayah dah, letih otak dah ni.” keluh Wafa sedikit kesal.

“Tapi sebelum datang sini tadi uncle ada kat rumah abang tengah borak dengan papa pasal projek baru. Betul ke Am kata ayah nak jumpa?” Zahin Fakri mulai mengerutkan dahinya, agak was-was dengan cerita yang baru disampaikan Wafa Irdina tadi. Gadis itu apalagi, bulat matanya. Sempat dia memanjangkan leher menjenguk Amran yang juga seperti tahu dirinya sedang dilihat, ikut sama berpaling. Mata mereka bertembung, Amran menghadiahkan senyuman tetapi dicebik Wafa Irdina yang terus kembali bersandar dengan kasar. Nampaknya Amran punya rancangan lain di belakangnya. Wafa Irdina mendengus geram.

“Nak abang hantar balik?” Zahin Fakri yang seakan sudah jelas dengan situasi sebenar menawarkan pertolongannya. Wafa Irdina apalagi, bulat bersinar matanya. Pucuk dicita, ulam mendatang, bagai orang mengantuk disorongkan bantal! Bahkan kehadiran Zahin Fakri di pusat beli-belah itu juga seperti bulan jatuh ke riba! Laju Wafa Irdina mengangguk setuju. Zahin Fakri senyum segaris.

*

*

*

AMRAN menunjukkan riak tidak berpuas hati sebaik melihat Wafa Irdina masuk ke dalam perut kereta BMW putih milik Zahin Fakri yang di parkir tidak jauh dari keretanya. Gadis itu memberi alasan mahu berjumpa dengan keluarga Datuk Iskandar yang juga sahabat baik Haji Maarof dan disebabkan itulah dia memilih untuk pergi bersama Zahin Fakri yang juga merupakan anak kepada sahabat ayah mereka.

Di dalam kereta, Wafa Irdina melepaskan keluhan panjang. Lega seleganya, terus lapang dadanya yang terasa sesak dan sempit sejak berada dekat dengan Amran. Pemuda itu betul-betul membuatkan dirinya serik untuk berjumpa dengannya lagi. Kali ini dia tidak akan memberi peluang lagi bila mana pemuda itu mahu berbuat baik dengannya, tidak akan sesekali dia terpedaya lagi. Wafa Irdina nekad!

"So, ni Wafa betul-betul nak pergi rumah abang atau nak balik Jitra? Mama Dina ada kat rumah, kan?" suara Zahin Fakri setelah beberapa minit jauh meninggalkan bandar Alor Setar. Keretanya dipandu lurus melalui Jalan Anak Bukit.

"Eh, Wafa tak duk situ! Wafa duk kat rumah pho dengan ya kat Naka. Abang Zahin hantar ke sana boleh? Jauh sikitlah…" tegak badan Wafa Irdina menunjukkan jalan, risau Zahin Fakri benar-benar membawanya pulang ke rumah ayahnya.

"Kenapa duduk situ tak duk sekali dengan ayah?" soal Zahin Fakri hairan. Wafa Irdina mula tidak senang duduk. Lemah rasanya mahu menjawab soalan sensitif begitu.

"Wafa lagi selesa duduk dengan pho dan ya. Kalau duduk dengan ayah, Wafa rimas! Dah, Abang Zahin jangan tanya apa-apa lagi pasal keluarga kami. Wafa tak suka cerita hal macam ni." Wafa Irdina memberi peringatan. Lebih baik dia berterus-terang saja lebih mudah dari memikirkan beribu alasan yang hanya akan memeningkan otaknya saja.

Nada Wafa Irdina sekelip mata bertukar sombong, memperlihatkan dirinya yang sebenar. Zahin Fakri berpaling, menilik gadis itu. Lama dia menatap Wafa Irdina yang sedang memejamkan matanya. Terasa lama kereta itu berhenti pada lampu isyarat merah.

Personaliti gadis itu terasa misteri, mudah berubah mengikut situasi. Jika dia tidak begitu mengenali siapa Wafa Irdina tentunya dia akan berasa terkejut dengan respon gadis itu tadi yang memberinya amaran. Zahin Fakri menebak, mungkin disebabkan konflik keluarga mereka yang membentuk personaliti Wafa Irdina sebagai seorang yang perengus. Sentiasa bersikap dingin dan berwajah kelat. Tidak padan dengan raut wajah manis gadis itu.

Mengenali Wafa Irdina sejak usianya 9 tahun membuat Zahin Fakri dapat menjangka personaliti gadis itu setiap kali bertemu. Kali pertama dia mengenali pemilik nama Wafa Irdina, tidak dia nafikan yang dia agak jengkel kerana sifat anak kedua Haji Maarof pada waktu itu sangat manja dan mengada-ngada. Mungkin disebabkan dia adalah anak perempuan dan bongsu maka setiap waktu asyik merengek mahu diapit oleh ibu atau ayahnya.

Pada usia anak itu menginjak angka 12 tahun, Zahin Fakri mengetahui Haji Maarof mempunyai keluarga kedua. Dan saat itu la dia mempelajari sikap tantrum atau sifat memberontak yang ditunjukkan oleh Wafa Irdina. Masih dia ingat lagi betapa sedihnya hati mamanya apabila Wafa Irdina secara sengaja memecahkan satu set pinggan mangkuk kesayangan mamanya. Set itu sebenarnya berada di almari perhiasan tetapi Wafa Irdina secara diam-diam membuka almari itu dan bertindak memecahkan perhiasan berkenaan.

Kali pertama juga dia lihat Haji Maarof naik hantu. Tidak dihiraukan orang dan tetamu yang ada, anaknya diherdik saat itu juga. Wafa Irdina meskipun airmatanya laju membasahi pipi tidak berganjak dan tetap keras menahan diri diherdik Haji Maarof. Hanya Puan Wardina yang berusaha menenteramkan kedua beranak itu. Perkara itu juga membuatkan Haji Maarof sekeluarga pamit awal, malu kerana telah membuat onar di rumah orang.

Kali ketiga dia menemui Wafa Irdina ialah pada acara pidato yang dianjurkan oleh universiti tempat dia belajar. Dia sebagai pelajar dan juga penonton melihat kewibawaan Wafa Irdina menyampaikan teks pidato dengan penuh keyakinan dan kepetahan. Satu sisi lain yang dipamerkan gadis itu dan lebih mengujakan apabila dia memenangi tempat pertama dari acara tersebut.

Tahun berganti tahun, banyak cerita yang dia dengari melalui Haji Maarof yang sekali-sekala datang bertandang ke rumahnya untuk berjumpa dengan papanya. Wafa Irdina begini, Wafa Irdina begitu. Dari sekecil-kecil hal hingga ke besar perkara yang mencabar kesabaran ayahnya. Dan kini gadis itu ditemui lagi, sedang bergelut dengan diri sendiri yang terpaksa menyelamatkan dirinya dari perkara yang tidak diingini.

Nampaknya Wafa Irdina sedang berjuang menempuh liku kehidupannya yang panjang sendirian. Membina benteng setinggi-tingginya dan sekuat-kuatnya demi menjaga hati dan perasaannya sendiri. Dari raut wajah yang kelat dan berkerut itu, Wafa Irdina ingin menjaga dirinya dari terus menanggung kekecewaan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience