BAB 3

Crime Series 514

(Rumah keluarga Hatake)

Seorang lelaki bersut berjalan laju dari muka pintu rumah lama itu hingga berhenti melangkah di hadapan satu pintu. Dia terus duduk dan tunduk hormat.

"Sumimasen Hatake-Sama..."

"Ya?"

"Hatake-Sama, ada laporan mengatakan kumpulan dari selatan yang dikenali sebagai Jiroumaru telah bergerak dengan drastik dan melakukan beberapa jenayah di kawasan kita termasuklah pergaduhan dan penculikan. Apa yang perlu kita lakukan?"

Anak buah Hatake-Sama menunggu arahan dari ketuanya. Kesunyian memenuhi ruang.

"Bergerak. Cari jalan penyelesaian. Biar Asami ambil alih sebagai Kyodai kumpulan kita." Arah Hatake-Sama sebagai Oyabun kumpulan Hatake.

"Baik! Dan salah seorang anak buah kita melihat Hiroshi Kaneki di Balai polis Kanagawa."

Kedengaran kaki berlari meninggalkan ruang bilik. Hatake-sama yang hanya terbaring di atas katil mengenangkan kembali kegemilangan kumpulan yakuza miliknya. Namun, selepas kejadian dua bulan lepas, kumpulan Hatake disisihkan. Mereka dikatakan anjing polis. Dipandang rendah dan diremehkan. Kekesalan menguasai diri. Hati yang penuh kekecewaan tidak dapat mengembalikan zaman kegemilangan mereka. Air mata menitis.

"Hiroshi Kaneki... Rupa-rupanya kau masih hidup. Kerana tindakan kau dua bulan lepas, kami terpaksa tebalkan muka menahan malu dan hinaan dari orang ramai dan kumpulan lain. Aku akan tunggu apa yang akan aku lakukan seterusnya. Adakah kau mampu hapuskan jenayah penculikan ini dengan cara kau sendiri." Hatake-Sama bermonolog sendirian. Tangannya memegang kemas pedang samurai yang di baringkan di tepi tilam.

(Di daerah Aiko)

Kaneki dan James sampai di sebuah rumah lama di hujung bandar. Rumah yang usang diperiksa oleh mereka untuk seketika. Mereka memasuki kawasan rumah dan memeriksa sebarang petunjuk asing yang dapat membantu kes ini.

"Apa yang kamu berdua buat di sini?"

Seorang wanita yang berusia lewat 40-an menyapa James dan Kaneki dengan suara tegas.

"Sumimasen... Kami nak cari penghuni rumah ni. Namanya Takashi Nagai. Dia ada di rumah?" Jawab James mesra.

"Rumah ni dah lama tak berpenghuni. Tuan rumah dah lama pindah. Lebih kurang tiga bulan lepas. Encik berdua ni siapa?" Tanya wanita itu lagi.

Mereka memandang antara satu sama lain.

"Saya kawan-kawan Takashi-san. Apa yang saya tahu dia tinggal di sini. Kami dah lama tak berhubung dengan dia. Boleh saya tahu di mana dia tinggal sekarang?" balas Kaneki pula.

Wanita itu meneliti dari bawah hingga ke atas Kaneki dan James. Tergambar keraguan di wajahnya ketika melihat James sedang memegang fail di tangan.

"Kami tak berapa kenal penghuni ni. Dia orang baru di sini. Lebih kurang dua tahun lepas, dia pindah ke daerah ini. Lagipun Takashi-san jenis yang suka bersendiri. Lebih suka duduk di rumah tanpa bergaul dengan jiran-jiran di kawasan ni. Dia berpindah pun kami tak tahu. Tiba-tiba hilang macam tu je. Maaf tak dapat bantu dengan lebih lanjut. Saya harap kamu berdua dapat jumpa kawan kamu tu."

Wanita berkenaan berlalu dari situ tanpa menoleh ke belakang. Ditangannya ada beberapa plastik beg berisi makanan kering untuk memasak. Kaneki sedikit curiga.

"So, macammana Kaneki? Nak cari lagi 'clue' lain? Kita ada banyak masa lagi sebelum malam."

"Kita siasat lagi sekitar sini. Dan cuba tanya penduduk yang ada. Aku rasa ada sesuatu yang ganjil berlaku."

Kaneki dan James menyambung penyiasatan mereka selama setengah jam. Apabila dipastikan tiada apa-apa, mereka cuba menyiasat keadaan sekeliling. Selepas beberapa jam, situasi masih tidak berubah. Ketika mereka bergerak keluar, Kaneki menyedari sesuatu. Wanita yang menegur mereka sebentar tadi sedang berbual dengan seseorang yang memakai hoodie. Wajah tidak dapat dicam. Curiga menguasai diri.

(Di kedai runcit)

James memasuki konbini/kedai serbaneka kecil yang ada disitu. Sementara Kaneki berdiri di tepi kereta di bahagian pemandu.

"Onii-chan!"

Aish muncul di tingkap kereta. Dia tersenyum manis. Ingin memegang Kaneki, tetapi hampa. Tangannya yang lutsinar menembusi badam Kaneki. Perubahan di wajah Aish menyedihkan hati Kaneki.

"Kenapa Aish ke sini? Bosan ke di rumah? Bukan ke Leo ada temankan Aish di sana?" Kaneki cuba memujuk. Leo sedang mengeliat di kerusi belakang.

"Leo tak boleh bercakap. Aish bosan. Kalau dulu, Aish selalu berbual dengan Onii-chan di dalam bilik. Tetapi selepas Onii-chan dah sedar, Aish tak ada sesiapa di sisi. Aish rindukan keluarga Aish. Adakah mereka juga rindukan Aish di sana?"

Kaneki tiada jawapan untuk itu. Bahkan dirinya juga buntu apabila memikirkan kes Aish yang seakan-akan disembunyikan oleh orang atasan.

'Sudah biasa penculikan kanak-kanak berlaku di negara ini. Tidak perlu ambil serius. Nanti kes ini akan selesai juga.'

Apabila mengenangkan ayat yang datang dari mulut ketua polis sebelum kecelakaan berlaku membuatkan Kaneki bertambah curiga.

Aish cuba mencucuk pinggang Kaneki dan gelak. Kaneki juga ingin membelai rambut Aish tetapi dia tahu perbuatannya hanya sia-sia. James keluar dari konbini dengan dua tin air ditangan.

"Aku dah jumpa beberapa orang penduduk. Tapi, mereka macam takutkan sesuatu. Semuanya mengelak untuk menjawab dimana Takashi berada. Seolah-olah mereka takutkan seseorang. Apa pendapat kau?" James memberi air berkarbonat sejuk kepada Kaneki. Kaneki masih meneliti fail milik Aish mencari sebarang petunjuk berguna.

"Esok kita ke sini semula. Apapun yang terjadi, kes ni perlu diselesaikan secepatnya. Jom balik balai." Ajak Kaneki selepas selesai menghisap sebatang rokok.

Ketika mereka membuka pintu kereta, sebuah kereta hitam bergerak dengan laju dari arah belakang.

"Hati-hati!" Suara Aish menjerit di telinga Kaneki.

"Bam!"

Satu tembakan mengejutkan James dan Kaneki. Mereka melompat ke sebelah kiri kereta dan berlindung dari terkena peluru sesat. 5 das tembakan dilepaskan kearah mereka dan mengenai setiap sudut kereta termasuklah dua tayar kereta milik Kaneki.

Sebaik sahaja tembakan berhenti, Kaneki keluar dari tempat persembunyian dan cuba meneliti keadaan sekeliling. Digenggam kemas pistol di tangan. Dapat dilihat kereta hitam yang menyerang mereka telah jauh melarikan diri.

"S**l! Mereka terlepas lagi!"

Kaneki berang. Ditendang tayar kereta yang pecah. James panik untuk seketika.

"Mereka memang perhatikan kita dari tadi. Patutlah aku rasa pelik sejak kita keluar dari balai. Aku rasa tak sedap hati. Rupa-rupanya mereka mengekori kita dari belakang. Nasib baik tak jadi apa-apa." James memasukkan semula pistolnya di dalam sarung.

"Kita balik balai. Mereka takkan dapat lari lagi. Aku akan pastikan mereka mati di tangan aku!"

"Itu aku tahu. Tapi nak balik dengan apa? Kereta dah pecah macam ni. Terpaksalah panggil 'backup'."

James menelefon kawan sepasukan untuk bantuan. Kaneki menahan marah yang membuak di dalam diri.

*****************

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience