(Dua bulan lepas)
"James, aku dalam perjalanan ke Yokohama. Kau selesaikan masalah dekat sana. Aku tahu maklumat lokasi mereka dan kanak-kanak yang diculik. Aku pergi sendiri." Kata Kaneki sambil memandu laju keluar dari Kanagawa.
"Jangan bertindak melulu, Kaneki! Tunggu pasukan lain! Maklumat yang aku bagitahu tadi belum tentu betul! Kau tak boleh buat benda ni sendiri! Situasi sekarang sangat berbahaya! Kau dengar tak, Kaneki!"
Talian terputus. James yang baru sahaja selesai membelasah salah seorang suspek menggari kedua tangan penculik yang berjaya ditahan.
"Kalau maklumat yang kau bagi pada aku maklumat tipu, aku sendiri akan tembak kau!"
James memberi 'hadiah' tumbukan terakhir kepada tahanannya sebelum masuk kedalam kereta peronda. Dicuba menelefon Kaneki beberapa kali tetapi gagal. Perasaannya berkecamuk. Diharapkan semuanya berjalan lancar dan kelima-lima kanak-kanak yang diculik dapat diselamatkan.
(Di Yokohama)
Kaneki melihat jam di telefonnya. Tiba-tiba, bateri kosong. Telefon bimbitnya padam. Kaneki mencari sebuah kereta merah yang bernombor sama seperti maklumat yang diberitahu oleh James sebentar tadi.
Pistol yang masih berbaki 2 peluru dipegang kemas. Kaki memijak jalan tar dengan berhati-hati. Perlu 100% fokus kerana penjenayah yang melarikan kanak-kanak yang diculik sangat berbahaya. Salah seorang dari mereka adalah ahli kongsi gelap yang terkenal di Yokohama. Yakuza!
"Apa yang diberitahu oleh James, mereka membawa 5 kanak-kanak di dalam kereta merah ke Yokohama. Alamat dah ada. Rumah dah dijumpai. Tingkat 4. Baik!"
Kaneki menaiki tangga. Dari tingkat atas, dapat dilihat kereta berwarna merah dengan kesan tembakan disembunyikan di satu lorong kecil jauh dari rumah flat yang disyaki. Kaneki bergerak perlahan-lahan. Dari tangga di tingkat 4, Kaneki melihat penjenayah yang disyaki sedang menelefon seseorang.
"Asami-San! Apa yang perlu kita lakukan sekarang? Rahsia kita dah terbongkar. Pihak polis dah jumpa tempat persembunyian kita di Kanagawa. Mungkin sekarang mereka dalam perjalanan ke Yokohama. Dimana kita nak sembunyikan budak-budak tu?" Suara gementar dapat didengar.
"Bawa ke tempat lain. Nanti aku bagi alamat baru. Sekarang juga! Kita tak boleh biarkan benda ni diketahui oleh Oyaji! Kalau ada gangguan, hapuskan!"
"Baik Asami-San!"
Sebaik sahaja telefon dimatikan, pintu rumah dibuka. Serta-merta Kaneki berlari secepatnya dan menendang penculik itu. Belum sempat bangun, Kaneki memulas tangan kiri penculik dan memasang gari dengan cekap. Satu tumbukan hinggap di wajah penculik. Pengsan! Kaneki memeriksa penculik itu keseluruhan. Tiada senjata. Kedengaran suara kanak-kanak di dalam rumah.
Kaneki segera masuk. Berdasarkan info dari James, penculik hanya seorang. Kaneki berasa lega tetapi ternyata telahannya salah. Satu hayunan dari parang panjang tidak sempat dielak. Satu hirisan dari atas dahi kanan hingga ke bawah mata kiri terbentuk. Darah memancut keluar.
Kaneki menahan hayunan seterusnya dengan pistol di tangan. Bunyi dari kedua besi bergesel antara satu sama lain membingitkan telinga. Api terpercik sedikit. Pistol terpelanting.
Tendangan dari kaki kanan Kaneki menyinggah di perut penculik berkenaan. Kedua-duanya terduduk di atas lantai. Pedih dari luka hirisan menganggu kelincahan Kaneki. Dia cuba menahan darah dari mengalir keluar dengan tangannya.
Ketika penculik cuba menerkam Kaneki yang masih mamai, satu meja kecil yang terletak di tepi pintu bilik terbang ke arah mereka dan tepat mengenai belakang kepala penculik itu.
"LARI! SELAMATKAN DIRI!"
Dengan pandangan samar, Kaneki mengambil pistolnya yang terjatuh dan menembak. Satu das tembakan tepat mengenai kepala penculik. Dia terus tumbang hilang nyawa.
Hanya satu peluru yang masih tinggal. Kaneki merangkak keluar dari rumah. Penculik yang tumbang di luar tidak kelihatan.
"Sempat dia lari! Tak guna!" Kaneki menumbuk dinding.
Kanak-kanak perempuan yang bertocang mengikut Kaneki dari belakang. Diberikan satu kain kepada Kaneki.
"Kenapa kau seorang sahaja disini? Mana budak-budak yang lain?" Soal Kaneki menahan kesakitan yang semakin dirasai.
Diambil kain yang dihulurkan dan ditekap di wajah. Hanya sebelah mata yang masih berfungsi untuk melihat. Dia menahan badan dari tumbang dengan memegang dinding. Kaki Agak lemah untuk menahan berat. Kaneki tersandar ke bawah lantai.
Tiba-tiba, satu peluru tepat mengenai dinding di atas kepala Kaneki. Kaneki tergamam. Sebaik dia melihat kanak-kanak itu masih berdiri melihatnya, Kaneki seraya memeluk kanak-kanak itu dan melompat masuk semula ke dalam rumah.
"Penembak tepat? Nampaknya mereka masih ada di sini! Kita kena selamatkan diri, budak!"
Kaneki pelik. Kanak-kanak itu tiada di dalam pelukannya. Dimana dia? Tembakan meletus di luar. Senapang yang dipakai mungkin diletakkan pengedap bunyi supaya tiada sesiapa mendengar letupan dari sebarang senapang.
"Hoi budak! Kau kat mana?" Panggil Kaneki namun tiada jawapan.
Kaneki terlihat satu anak patung beruang di dalam bilik yang terbuka. Kaneki menggulingkan diri dengan pantas dan menyambar anak patung beruang. Sebaik memegang mainan itu, dia terkejut.
"Onii-chan! Tolong selamatkan kawan-kawan saya!"
Satu jeritan dari kanak-kanak tadi kedengaran nyaring di dalam bilik. Kaneki beralih ke kiri. Muncul satu tubuh telus pandang di hadapannya.
"Tolonglah... Selamatkan kawan-kawan saya..." Rayunya lagi.
Kaneki tidak memberi reaksi kerana matanya sedang mempermainkan fikirannya. Kaneki menoleh ke kanan. Sekujur tubuh terbaring di lantai.
Dengan wajah yang pucat, Kaneki memeriksa kanak-kanak itu. Jarinya ditekan di pergelangan tangan untuk mengesan nadi. Tiada! Tiada denyutan. Haba panas juga tiada.
"Macammana kau boleh berada di sana sedangkan jasad kau disini? Seishin..." Ujar Kaneki keliru.
"Tangkap dia!"
Tapak kaki seseorang berlari kedengaran di luar rumah. Kaneki bertindak pantas. Pintu bilik dikunci. Diangkat jasad kanak-kanak itu dan diletakkan di bahu. Dia memecahkan tingkap dengan kekuatan kaki. Dia cuba keluar dari dalam rumah.
Walaupun penglihatan tidak berapa jelas, Kaneki menggunakan 'instinct'nya untuk mencari jalan keluar. Kaneki menyedari sebuah kereta diletakkan di tingkat bawah. Dia nekad. Dengan menjatuhkan badannya, Kaneki menahan diri dari impak graviti sambil memeluk kanak-kanak yang tidak bernyawa itu.
Satu hentaman kedengaran disaat jatuh. Kaneki menolak dirinya untuk turun dari atas kereta yang kemek. Diabaikan rasa sakit di keseluruhan badan asalkan dirinya berjaya selamatkan diri. Tembakan dari atas dilepaskan. Nasibnya sangat baik apabila sebuah van berhenti di belakang Kaneki. Menghalang tembakan dari mengenai Kaneki. Kaneki hanya sempat mengerling untuk melihat pemandu. Bibirnya tersenyum.
Kaneki berlari ke kereta Nissan hitamnya. Diletakkan kanak-kanak itu di bahagian belakang pemandu dan terus memecut laju meninggalkan kawasan tragedi. Sesekali Kaneki mengelap darah yang mengalir dengan kain di tangan. Kain putih yang bertukar warna ke warna merah. Di ambil telefon bimbit di poket kiri. Ditekan nombor 1, dail cepat bersambung ke telefon James.
"Kecemasan! Lokasi kanak-kanak yang diculik telah bertukar. Aku sedang menjejaki mereka. Salah seorang dari mangsa culik terkorban. Ada dengan aku sekarang! Hantar pasukan penyelamat di lokasi gps aku sekarang! Sekarang!"
"Hati-hati, Kaneki! Aku datang sekarang! Jangan lalai! Mereka dari kumpulan Kongsi gelap Hayate! Mereka sangat berbahaya! Jangan buat perkara bodoh!"
Talian terputus disaat Kaneki keluar dari Yokohama. Kaneki menyedari sebuah kereta mengikutinya dari belakang. Kelihatan muncung senapang di hulurkan kearahnya. Kaneki menekan pedal minyak. Jalan yang berselekoh memeningkan Kaneki. Tiba-tiba, pandangannya gelap.
"Hati-hati!"
Kereta terbabas ke bawah bukit.
*******************
Share this novel