BAB 3

Romance Completed 11075

“Woit! Apahal tersengih-sengih sorang diri ni?”

Daniel tersentak! Habis terbang melayang lamunannya. Dia mendongak melihat manusia yang sangat ‘berbudi bahasa’ menyergahnya itu. Kus semangat…

Dania tersengih-sengih menayang muka tidak bersalah seperti orang kentut tak mengaku.

Daniel menggosok-gosok dadanya. “Kau ni kenapa? Suka sangat nak tengok aku jalan?” marah Daniel. Rasa terkejutnya masih belum hilang.

Dania duduk di sebelah Daniel. Tanpa rasa bersalah, dia membalas, “alah, sorrylah Niel. Kau bukan tak kenal aku. Aku memang tak boleh tengok orang berangan ni. Secara automatiknya aku akan sergah orang tu. Tambah-tambah lagi bila tengok kau tersengih-sengih tadi. Kau apahal? Layan blue, ek?”

Tidak semena-mena kepala Dania disekeh Daniel.

“Aduh, sakitlah wei!” Dania mengaduh sambil menggosok-gosok kepalanya yang disekeh oleh Daniel.

“Padan muka! Otak kuning!” ejek Daniel lalu berdiri. Namun, belum sempat dia hendak melangkah, bajunya ditarik dari belakang.

“Kenapa?” tanya Daniel tanpa memandang Dania.

“Kenapa sejak akhir-akhir ni, kau asyik nak melarikan diri dari aku? Aku ada buat salah ke? Atau… kau masih marahkan aku?” tanya Dania. Pegangan tangannya pada baju Daniel dilepaskan.

“Tak ada apa-apalah. Mana ada aku larikan diri. Perasaan kau aje kut,” jawab Daniel cuba menafikan. Sebetulnya, memang dia cuba melarikan diri dari Dania. Kalau boleh dia mahu pergi sejauh yang mungkin. Dia tidak kuat untuk menahan rasa di hatinya. Hatinya terlampau sakit melihat kemesraan Dania dan Badrul.

“Habis tu, sekarang ni bukan kau sedang melarikan diri dari aku ke?” Dania bertanya lagi. Geram kerana Daniel tidak mahu mengakuinya dan kecewa kerana terasa dia bakal kehilangan seorang sahabat.

Daniel hanya mendiamkan diri.

“Kenapa kau diam? Kenapa tak jawab soalan aku?”

“Apa perlunya aku lagi kalau kau sudah ada orang yang lebih penting daripada aku? Aku bukan sesiapa, Dan. Kau tak perlukan aku lagi…”

“Aku perlu!” Dania memotong ayat Daniel. Belakang badan Daniel dipandang.

Daniel mengepal jari-jemarinya. Kata-kata Dania benar-benar menaikkan kemarahannya. Pantas dia berpaling menghadap Dania dengan mata yang penuh amarah. Giginya diketap.

“Perlu sebagai apa, Dan?! Siapa aku pada kau, Dan?! Kau lupa ke macam mana kau layan aku waktu kau couple dengan si celaka Badrul tu dulu?! Waktu tu, ada kau ingat aku?! Kau campak aku macam tu aje, Dan! Kau langsung tak hiraukan aku! Dan kau lupa ke macam mana si setan tu buang kau dulu? Waktu tu, siapa yang kau cari kalau bukan aku? Waktu senang, kau campak aku! Bila susah, mulalah terhegeh-hegeh cari aku! Kau lupa ke macam mana rupa kau waktu kau putus dengan jantan tu? Dengan air mata meleleh-leleh, kau datang cari aku! Tapi waktu tu aku bodoh, Dan! Aku bodoh! Aku bodoh sebab pertahankan kau! Rela bertumbuk sampai pecah muka dengan jantan tak guna tu semata-mata kerana kau, Dan! Aku buat semua tu demi kau, Dan! Sebab aku sayangkan kau! Tapi apa yang aku dapat? Ini balasan kau pada aku? Melukakan hati aku dengan kembali semula pada jantan tu? Dulu, waktu hati kau sakit, akulah yang jadi ubat penyembuh luka untuk kau. Macam-macam yang aku buat untuk ceriakan hati kau. Tapi bila hati kau dah sembuh, kenapa senang-senang aje kau kembali pada ‘virus’ kau dulu? Sekarang, puas hati kau? Puas ke hati kau bila dapat melukakan hati aku, Dan?” hambur Daniel cukup-cukup. Matanya sudah berkaca-kaca. Melukakan hati orang yang dicintai memang menyakitkan tetapi sabar ada tahapnya.

Segala isi hatinya selama ini telah dimuntah keluar. Dia hanya membiarkan saja Dania yang menangis tanpa berniat ingin memujuk. Biarkan. Biarkan Dania tahu betapa perit hatinya menanggung semua itu. Selepas ini, dia sudah nekad untuk meninggalkan Dania. Dia tidak mahu mencampuri urusan hidup gadis itu lagi. Biarlah dia mengubat hatinya sendiri dan biarlah Dania bahagia dengan hidupnya walau sesiapapun pendamping Dania selepas ini. Lagipun, ini tahun akhir mereka di kolej ini. Selepas ini, dia ingin pergi jauh dari hidup Dania dan terus melupakan gadis itu.

Daniel berpaling untuk berlalu dari situ. Sebelum berlalu, sempat lagi dia berkata-kata. “Dan, aku minta maaf kerana dah melukakan kau dan terima kasih atas segala-galanya. Aku harap selepas ni kau tak cari aku lagi sebab aku tak nak ada apa-apa hubungan lagi dengan kau. Semoga kau bahagia dengan hidup kau. Sayounara.” Sebaik sahaja habis berkata-kata, Daniel terus berlalu tanpa berpaling lagi dan meninggalkan Dania yang sudah terduduk melutut bersama deraian air mata yang mengaburi pandangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience