BAB 6

Romance Completed 11075

“Boo!”

Daniel tersentak! Novel di tangannya jatuh ke atas rumput.

Dania ketawa terkekek-kekek sambil menekan-nekan perutnya. Lawak gila tengok muka terkejut Daniel!

Daniel mengurut-urut dadanya bagi menghilangkan rasa terperanjat. Dania yang sedang galak mentertawakannya itu dipandang geram.

“Kau ni tak boleh ke tegur aku elok-elok! Luruh jantung aku!” marah Daniel. Sebenarnya tak adalah marah sangat pun. Lebih kepada rasa malu kerana menjadi bahan ketawa.

Dania berhenti ketawa secara mendadak. Wajah Daniel dipandang tepat. Wajahnya pula diriakkan terkejut. “Apa? Jantung kau luruh? Wei, kutip balik! Kutip balik!” Ketawa Dania bersambung kembali.

Akhirnya, Daniel tersenyum sedikit. Kepalanya digeleng-geleng. Hatinya sedikit terhibur dengan kerenah Dania yang gila-gila. Dahi Dania ditunjalnya. “Bongok!”

“Niel, kau buat apa tu?” tanya Dania apabila ketawanya sudah reda. “Hmm… novel lagi,” sendiri dia tanya, sendiri dia jawab apabila Daniel sudah kembali menghadap novel.

“Kau tak bosan ke baca novel, Niel?” tanya Dania.

“Tak,” jawab Daniel sepatah. Matanya dipaku pada dada novel.

“Kenapa?”

Daniel menutup novelnya. “Entahlah, tapi setiap kali aku baca novel, aku rasa jiwa aku hidup tau. Aku rasa terhibur. Lagipun, kalau aku baca novel, aku tak rasa macam berada dalam dunia ni. Aku rasa macam berada dalam dunia lain, dunia novel. Tambah pulak kalau baca novel thriller macam ni. Bukan saja dapat menerokai alam fantasi penulis, tetapi kau juga dapat tahu tentang alam ghaib, alam yang tak pernah kau terfikir pun sebelum ni,” bersungguh-sungguh Daniel menerangkan kepada Dania mengenai novel-novel yang dibacanya.

“Alam ghaib? Eee… tak seram ke?” tanya Dania polos.

“Dah namanya novel thriller. Mestilah seram. Apa punya soalanlah kau tanya,” jawab Daniel selamba mengenakan Dania. Dania memuncung.

“Oh, kiranya novel ni teman setia kaulah, ya?” Dania menyoal lagi.

“Ya.”

“Hmm… tapi kan, aku kan sahabat kau. Apa bezanya aku dengan novel tu?” Dania menyoal lagi.

Dahi Daniel berkerut. “Apa kau bodoh sangat ni?” selamba Daniel mem’bahan’ Dania.

Pukk!

“Aduh, sakitlah! Apa main pukul-pukul kepala pulak ni?” marah Daniel sambil menggosok-gosok kepalanya yang dipukul Dania.

“Padan muka! Suka hati dia aje kata orang bodoh,” Dania menjelirkan lidahnya kepada Daniel.

“Lain kali kalau nak pukul pun, jangan pukul kepala. Pukul tempat lain tak apa, tapi jangan kepala aje. Nanti aku jadi bodoh macam kau!” bahan Daniel lalu tergelak.

Sekali lagi kepala Daniel menjadi sasaran pukulan Dania. Daniel menggosok-gosok kepalanya sambil tersengih.

“Memang patut pun aku kata macam tu. Kau tanya soalan punyalah tak cerdik. Ada ke patut tanya apa beza kau dengan novel. Dah terang lagikan bersuluh kut. Kau tu manusia, novel ni pulak benda, barang. Itu pun tak boleh fikir ke?” bidas Daniel kaw-kaw. Hatinya bagai digeletek dengan reaksi Dania. Pasti Dania geram tahap beruk melatah terhadapnya.

“Eee… geramnya aku dengan kau ni! Itu aku tahulah! Tapi apa yang aku maksudkan, apa beza teman setia kau tu dengan sahabat baik kau ni!” terang Dania dengan geramnya.

“Yalah, teman setia aku novel. Sahabat baik aku manusia,” jawab Daniel selamba. Dia ketawa lagi.

“Eee… malaslah aku layan kau! Loyar buruk!” Dania memalingkan wajah, merajuk.

Daniel tersengih lebar. “Kau ni ‘sensitip’ betullah sejak akhir-akhir ni. Nak bergurau sikit pun tak boleh.”

Dania tetap sama seperti tadi. Langsung tidak memandang Daniel.

“Yalah, yalah. Beza kau dengan novel ni ialah kau lebih istimewa daripada novel ni. Kau seorang sahabat yang tak boleh dicari ganti tapi novel ni boleh aje aku beli di kedai. Kau sangat istimewa sehingga tak ternilai tapi novel ni ada nilainya. Tengok, harganya RM21. Itulah nilalnya. Novel ni menjadi teman aku bila aku sunyi, bosan… Tapi kau, sentiasa ada dalam hati aku tak kiralah di mana-mana pun aku berada, bila-bila masa pun. Mana boleh aku nak bandingkan kau dengan novel ni. Sangat jauh bezanya,” ucap Daniel tulus dari hatinya. Matanya hanya dipaku ke hadapan.

Dania memandang Daniel. Dia begitu terharu dengan penghargaan Daniel terhadapnya. “Betul ke ni? Atau hanya ingin memujuk aku?”

Daniel menentang mata Dania. “Ikhlas dari hati aku.”

“Tak sangka aku begitu bernilai pada kau,” Dania tersenyum.

“Ya, sangat bernilai. Kalau aku jual kau, mesti kaya, kan?” usik Daniel. Dia tersenyum nakal.

“Niel!” jeritan Dania bersama pukulan di bahu Daniel.

Daniel ketawa. Dania tersenyum. Seketika, suasana sunyi di antara mereka.

“Oh ya, Dan! Aku lupa nak beritahu kau yang…” kata-kata Daniel terhenti apabila dia berpaling, dia melihat Dania yang tersengih-sengih seorang diri sambil jari-jemari gadis itu laju menekan keypad telefon bimbit. Senyuman Daniel luntur.

“Mesej daripada siapa? Badrul ke?” tanya Daniel dingin.

Dania mengangkat muka memandang Daniel sekilas, kemudian kembali menunduk menatap handphone di tangan. “Haah.”

“Oh…” Daniel menghalakan pandangan ke hadapan. “Mummy aku jemput kau datang rumah minggu depan. Ada makan-makan sikit.”

“Kau dengar tak ni?” tanya Daniel apabila tiada respons daripada Dania. Dia berpaling melihat Dania yang masih galak dengan telefon bimbit di tangan, langsung tidak menghiraukan kata-katanya.

“Dan, kau dengar tak ni?” tanya Daniel lagi. Suara dikuatkan sedikit.

“Hmm…” balas Dania.

Daniel menunduk. Tangan digenggam sesama sendiri. Lalu dia berdiri dan berlalu meninggalkan Dania yang masih asyik sambil tersengih-sengih dan kadang-kadang tergelak seorang diri. Daniel mencengkam dada sebelah kirinya. Dia tersenyum. Sakit. Pilu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience