"Defibrilator! 200 joules!" arah doktor kepada mereka yang berada di sekeliling katil sewaktu dia sibuk menekan dada pesakit yang tidak sedarkan diri itu. Tiub berada di dalam mulut, wajahnya pucat tidak berdarah. Alat pembaca detak jantung tidak bergerak.
"Caj!" beritahu jururawat kepada doktornya selepas selesai menyediakan mesin defibrilator di situ.
Doktor itu mencapai dua pengecas yang berada pada mesin lalu menekapkannya ke dada pesakitnya. Renjatan elektrik tersebut membuatkan tubuh pesakit itu terangkat sedikit. Tetapi ianya tidak memberikan sebarang reaksi.
"Jururawat... caj!" arah doktor lagi sambil menggosok kedua-dua alat itu dengan pantas sebelum menekapkannya semula ke dada pesakit.
Sebaik sahaja tubuh itu tersentak, semua yang ada di situ terdiam. Beberapa saat berlalu, bunyi bip pun kedengaran dari mesin pembaca detak jantung. Dada pesakit itu mula naik turun dengan perlahan tetapi matanya masih terpejam rapat.
"Dia kembali sedar, doktor!" beritahu jururawat yang berada di sebelah mesin tersebut.
Doktor yang sejak tadi berada di atas katil itu melepaskan hela nafas lega lantas bergerak turun dari situ. Dadanya naik turun cuba mendapatkan nafas kerana bertungkus-lumus sejak tadi menyelamatkan pesakit komanya yang tiba-tiba diserang cardiac arrest. Mujurlah sempat! Kalau tidak, kasihanlah gadis ini.
"Bagaimana dengan ibu bapa mangsa? Adakah mereka berdua terselamat?"
"Tidak, doktor... kedua-duanya meninggal dunia beberapa jam kemudian selepas dibawa masuk ke dalam bilik bedah kerana pendarahan dalaman pada organ dan otak."
"Kesiannya..." Wajah remaja perempuan yang bertampal dengan pembalut dan lebam akibat luka kemalangan ditatap oleh doktor. Berasa simpati kerana di usia muda lagi sudah menjadi yatim piatu.
"Bagaimana dengan penjaga atau saudaranya pula? Adakah kamu sudah dapat menghubungi mereka untuk memaklumkan kejadian ini?" tanya doktor lagi.
"Sudah, doktor. Mereka dalam perjalanan sekarang ini..."
Staf perubatan yang lain membantu untuk meletakkan topeng oksigen dan menguruskan pesakit tersebut.
Wayar berjela-jela mula dilekatkan pada dada dan tepi tulang rusuk tubuh pesakit yang hampir saja menemui ajalnya beberapa minit yang lepas. Wajah pucat tidak berdarah itu perlahan-lahan mula menjadi merah, hidup semula.
"Kalau begitu, tempatkan pesakit ke wad ICU. Selain doktor dan jururawat, penjaga dan orang lain tidak dibenarkan melawat."
"Baik, doktor."
Hampir sepuluh minit di dalam wad kecemasan, pesakit yang siap dipasang dengan alat bantuan pernafasan itu pun ditolak keluar dari situ.
Pada masa yang sama ketika katil itu ditolak, seorang remaja lelaki berjalan melewati katil tersebut. Dengan muka dingin tanpa perasaan, dia yang berjalan di samping ibu bapanya hanya memandang ke depan dengan tangan di dalam poket. Renungan dinginnya terarah pada hujung koridor. Seakan-akan mahu memberitahu yang dia dipaksa untuk berada di situ.
"Nanti kalau kamu bertemu doktor, jangan merepek yang bukan-bukan... Kamu ingat itu?" pesan si ibu kepada anaknya di sisi.
Remaja lelaki itu hanya melepaskan rengusan kasar. Dia malas hendak memberikan komen apa-apa. Sebab dia tahu, kalau dia mengatakan sesuatu, ibu bapanya tidak akan mempercayainya. Entah berapa kali dia perlu mengulang yang dia tidak sakit. Tetapi orang tuanya tidak pernah mahu mendengar.
Tidak lama mereka berjalan, akhirnya langkah mereka berhenti di depan sebuah pintu di mana kanan dan kiri koridor itu terdapat kerusi untuk duduk menunggu. Dan setiap kerusi itu dipenuhi dengan orang berwajah pucat dan mata hitam tidak bernyawa.
Melihatkan kelibat orang itu, remaja lelaki itu tersentak. Dia menahan nafas ketakutan apabila menyedari orang yang dia nampak bukanlah manusia tetapi adalah roh!
Sekali lagi! Ianya bukan mimpi tetapi realiti.
"Duduk dulu..." arah si ayah setelah mereka tiba di situ. Menunggu giliran untuk dipanggil.
Remaja lelaki itu melihat ibu bapanya dengan selamba duduk di kerusi yang sama di mana hantu-hantu itu berada. Dengan mata terbeliak kaku, dia hanya berdiri di situ. Bulu roma mula meremang. Seriau darahnya selepas melihat. Tidak mahu duduk kerana berasa takut melihat hantu di situ sedang diam memandang ibu bapanya dengan mata hitam mereka.
"Ayah... Ibu..." panggil remaja lelaki itu.
Pasangan suami isteri itu pun memandang anak lelaki mereka dengan kening terangkat, ingin tahu.
"Kenapa?" tanya si ibu.
"Mungkin ayah dengan ibu patut pindah tempat duduk..." beritahu remaja lelaki itu dengan gemuruh.
"Ada apa dengan tempat duduk ini?" tanya si ayah pula.
Remaja lelaki itu menelan air liur kerana takut.
"Sudahlah... Jangan bising... Kamu nak duduk atau tidak, terpulang. Jangan nak mula merepek," tegah si ibu yang mula memahami akan maksud permintaan anak lelakinya itu. Dia yang sudah tahu apakah kondisi sebenar yang dialami anak lelakinya mula takut sendiri. Takkanlah anak lelakinya nampak sesuatu di sini?
Remaja lelaki itu membuat muka lalu mahu memalingkan kepalanya ke arah lain. Enggan menghadap pemandangan menggerunkan itu. Serius! Dia sedikit pun tiada rasa suka ataupun bangga dengan keistimewaan yang dimilikinya ini. Malah yang menakutkan dia lagi adalah rasa mahu menjadi buta pun ada!
Namun sebaik sahaja dia berpaling ke kanan koridor itu, satu hantu berdiri betul-betul di hadapannya. Seorang gadis berambut panjang.
"Boo!" sergah hantu perempuan yang kelihatan berbeza daripada hantu yang lain. Biasanya hantu akan mempunyai figura yang kelihatan kebiruan dan pucat serta mempunyai sepasang mata hitam atau merah. Kelihatan menakutkan dan pelik. Namun tidak hantu ini.
Hantu perempuan ini kelihatan bersinar-sinar dan tiada cela menakutkan pun di wajah itu.
Agak terkejut dengan sergahan itu, remaja lelaki tersebut dengan susah payah menelan air liur dan memandang wajah hantu perempuan di depannya tanpa berkelip. Hantu ke yang dia nampak ini?
"Awak boleh nampak saya ya?" tanya hantu perempuan itu sambil melambai tangan ke depan muka remaja lelaki tersebut.
Mulanya remaja lelaki itu enggan memandang hantu tersebut, tetapi entah kenapa hatinya tergerak untuk terus memandang. Remaja lelaki itu pun menilik dari atas ke bawah akan hantu di depannya kerana ingin tahu. Dia cuba memastikan yang dia nampak adalah betul-betul hantu, bukan manusia. Jadi dia mengangkat tangan mahu menyentuh pipi hantu perempuan di depannya itu.
"Kau betul-betul hantu ke?" tanya remaja lelaki itu semasa hujung jarinya menyentuh pipi putih itu. Dingin tidak bernyawa. Memang sah ini hantu!
Tersenyum senang, hantu perempuan yang mengenakan hoodie merah dipadankan dengan skinny jean dan bertocang itu menggeleng kepala.
"Woah! Akhirnya ada yang nampak saya. Tahu tak hampir hendak terkeluar anak tekak saya menegur setiap seorang yang ada di sini. Tapi tiada satu pun yang dekat, sekalipun saya menjerit di depan muka mereka itu," bebelnya dengan teruja.
"Aku tanya kau ini hantu ke!" desis remaja lelaki itu dengan jengkel.
"Well.... Untuk soalan awak itu. Saya tak tahu..."
"Siapa nama kau?" tanya remaja lelaki itu lagi.
"Entah. Saya sendiri tak tahu siapa nama saya atau bagaimana saya boleh ada di sini. Dan apa yang telah terjadi. Saya tak ingat. Apa yang saya tahu sudah dua hari saya berlegar-legar dekat kawasan hospital ini tanpa disedari oleh sesiapa.... Kecuali awak," beritahu hantu perempuan itu dengan minat.
"Greyson! Kamu bercakap dengan siapa itu?" tegur si ayah apabila perasan yang anak lelakinya mula bercakap sendirian di depan mereka ketika itu.
Remaja lelaki itu memalingkan kepala ke arah ayahnya serta-merta. Dia mengerdipkan mata laju-laju. Terkejut apabila ditanya begitu. Seriuslah! Takkan tak nampak?
"Sakit kamu datang lagi?" tanya si ibu sambil bangun dari situ dan mendapatkan anaknya.
Remaja lelaki itu berkerut kening. Dia cuba menafikannya, tetapi hantu di sebelahnya ketawa.
"Ahaha... sakit? Nampak hantu itu dikira penyakit juga ke?"
"Diamlah!" marah remaja itu kepada hantu perempuan di depannya apabila mendengar suara lembut ketawa milik hantu perempuan di depannya. Boleh pula ketawa. Tahu tak dia sudah macam orang gila di sini sebab bercakap sendirian?
"Apa kamu kata? Diam!?" soal si ibu dengan terkejut.
"Eh... Tak, bukan ibu... Tapi dia ini hah!" geleng remaja lelaki itu sambil menunding jari ke udara.
Si ayah menjadi semakin risau apabila melihat tiada sesiapa yang berdiri di koridor tersebut kecuali mereka anak beranak sahaja.
"Okay, enough... kita kena ke hospital psikiatri, bukan pakar otak," gumam si ibu dengan muka takutnya.
Remaja lelaki itu menepuk dahi sendiri kerana berasa tidak percaya dengan situasi yang dihadapinya. Dia tertanya-tanya sendiri bagaimana nasibnya boleh begini?
Ibu bapa remaja lelaki itu mula berbalah antara satu sama lain. Seorang cuba menafikan anaknya tidak gila. Seorang lagi membidas penafian itu.
Satu ketukan hinggap di bilah bahu tidak lama kemudian.
"Hei... memandangkan awak boleh nampak saya... boleh tak awak tolong saya? Cari tahu siapa saya?" pinta hantu perempuan itu.
Remaja lelaki itu mengangkat kepala lalu memandang bosan ke arah hantu perempuan di depannya. "Kalau aku tolong kau, kau takkan ganggu aku?"
Hantu perempuan itu tersenyum lalu mengangguk kepala. "Saya janji."
drama dh, action dah, romance dh...now hantu pulak
Share this novel