Bab : 3

Thriller Completed 6396

"Okay kelas... dengar sini!" laung Madam Sophie tiba-tiba. "Berikan perhatian kamu sebentar."

Greyson menguap seluasnya sebelum menyandarkan badan ke kerusi dengan tangan diseluk ke dalam poket hoodie-nya. Dia mengalihkan pandangannya ke depan kelas sebelum melihat gadis di sebelah podium selepas mendengar makluman itu.

"Wow... siapa itu?" seru Chester perlahan tetapi kedengaran teruja.

"Comel..."

"Pelajar baru agaknya? Tak pernah nampak pun..."

Berbeza daripada mereka semua di situ yang kelihatan ingin tahu dan teruja, sebaik sahaja Greyson bersandar, dia terus duduk tegak apabila mengecam wajah gadis yang berada di sebelah Madam Sophie. Nafasnya tertahan di dalam kerongkong dan dadanya mula berdebar. Dia tergamam dengan apa yang dilihat.

"Mustahil..." gumam Greyson perlahan.

"Hari ini kamu akan menerima sahabat baru yang akan menyertai kelas kita. Jadi, kenalkan... ini adalah Norah Grace... rakan baru kamu," ujar Madam Sophie kepada mereka semua di situ.

Mulut Greyson terbuka sedikit semasa melihat gadis yang wajahnya saling tidak ubah seperti hantu perempuan yang pernah dia temui empat tahun yang lalu.

Bezanya, rambut gadis itu tidak lagi panjang. Namun dari mata, hidung, bibir dan segalanya, semuanya tetap sama. Malah kelihatan lebih dewasa daripada kali terakhir dia pernah nampak.

"Single ke?" tanya seorang daripada pelajar di situ tiba-tiba.

Norah dengan senang hati menjawab. "Single, tapi awak bukan taste saya..." selorohnya.

"Woah!" sorak mereka sambil memukul permukaan meja.

"Sudah... cukup, jangan nak melebih," tegur Madam Sophie apabila keadaan kelas mula riuh. "Norah, ambil tempat kamu... kita akan mulakan kelas," arahnya yang kembali memegang buku teksnya dan bergerak ke skrin projektor di depan papan hitam.

Norah pun patuh. Dia mendekati lorong barisan meja yang ada di situ lantas mengambil tempat di kerusi yang kosong sebelum selesakan diri. Dia kini berada dekat barisan depan lorong meja di mana Greyson dan Chester turut berada.

Dan sepanjang masa itu juga mata Greyson terarah pada Norah. Bukan sebab dia terpaku pada kecantikan rupa paras Norah, tetapi sebaliknya.

Perhatian Greyson terarah pada dua susuk tubuh lelaki dan perempuan yang sedang berdampingan di kanan dan kiri gadis itu. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Kedua-duanya kelihatan biru dan pandangan mata mereka hitam.

Semua orang dalam kelas termasuklah Norah tidak nampak akan hantu tersebut. Mereka semua kelihatan bersahaja.

Mungkin perasan ada yang sedang memerhati, dua hantu itu memalingkan kepala serentak. Lantas mereka bertentang mata dengan Greyson.

Berdesup laju darah Greyson selepas nampak akan kelibat hantu itu. Bulu romanya tegak meremang hingga memulas perutnya, mahu terkucil. Jadi seram tiba-tiba. Boleh pula mereka perasan! Hebat hantu ini!

Greyson menelan air liur dengan senyap. Dia tidak mengalihkan mata dari Norah. Semua itu tidak dapat membuatkan dia lupa akan kenangannya bersama hantu perempuan yang pernah meluangkan masa bersamanya selama tiga tahun. Melihat wajah Norah membuatkan dia teringat kembali semua memori itu. Adakah roh sesat itu adalah Norah?

"Hei! Kau okay?" sergah Chester sambil menyiku tepi lengan Greyson. Kepalanya muncul di tepi bahu sepupunya. "Kenapa? Kau minat dekat budak baru itu ke?" tanyanya dengan sengih meleret nakalnya. Jarang dia melihat sepupunya ini memandang mana-mana perempuan dengan lama.

Greyson tersentak, dia memalingkan kepala ke arah sepupunya. Hampir mahu mencarut di situ kerana terkejut. Tahu tak dia sedang ketakutan sekarang ini! Boleh pula menyergahnya begitu. Naik juga sikunya sekejap lagi ini kang dekat muka itu!

"Boleh tahan juga budak baru itu..." sengih Chester dengan minat sewaktu melirik ke tepi muka Norah yang sedang tunduk mencatat dan memandang ke depan silih berganti.

Mengesan sesuatu tidak kena dari sepupunya, Greyson menolak muka itu jauh daripadanya dan duduk tegak memandang ke depan, hendak memberikan tumpuan. Sedaya upaya cuba untuk mengalihkan perhatian daripada terus memandang dua hantu yang berdiri berdekatan dengan Norah.

"Jahanamlah kau ini... Pandang depan itu sahaja," gerutu Greyson dengan kening berkerut.

"Haish! Kau tak nak bagi aku..." Chester menopang rahang dengan tapak tangan kanan di atas meja itu dan kembali memandang Norah. Fanboying gadis itu.

Greyson menelan air liur gemuruhnya. Tidak kira sekuat mana hatinya menjerit supaya jangan memandang, tapi otaknya memberikan arahan sebaliknya.

Tidak sampai beberapa saat Greyson memandang ke depan, matanya bergerak mengerling ke kanan semula. Dia tertarik hendak memandang Norah, tapi dua kelibat hantu di situ membuatkan dia kecut perut!

Mungkin perasan dirinya sedang diperhatikan, Norah akhirnya berpaling. Lantas dia ternampak akan Greyson dan Chester sedang memandang ke arahnya.

Apabila Chester nampak Norah memandang ke arah mereka berdua, dia memberikan sengihan goofy kepada Norah dan melambai kecil dengan jari-jemarinya.

Tetapi perhatian Norah lebih terarah pada Greyson. Dia bertentang mata sekejap dengan mata dingin milik Greyson. Terperangkap sendiri melalui renungan tersebut. Entah kenapa dia rasa tertarik!?

Greyson mengerdipkan mata beberapa kali dengan perlahan apabila dia perlahan-lahan yakin yang Norah adalah hantu perempuan sama yang pernah dia temui beberapa tahun yang lalu.

Dia yakin sebab dia kenal dengan renungan mata itu. Mentah-mentah dia percaya hantu perempuan yang digelar sebagai Si Senget ini, yang dia sangka telah mati, rupanya masih hidup.

Teragak-agak, Greyson memandang ke depan semula. Jari-jemarinya dikepal erat. Rahangnya terketap kuat. Sedaya upaya hendak mengawal emosi dan dirinya daripada berkelakuan seperti orang gila di situ.

Sambil membuat muka pelik, Norah memalingkan kepala dan memandang semula ke depan apabila Greyson tidak memandangnya lagi.

Chester ni lelaki tau...serius Tinta tak ingat kenapa I choose this name at the first place. But put your mind later masa baca, Chester Grey adalah boy!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience