Suasana di kafeteria sibuk seperti biasa. Para pelajar mula beratur di depan booth untuk mengisi makanan ke dalam dulang makanan masing-masing. Di meja pula kelihatan para pelajar sama ada menjamu selera atau berborak tentang sesuatu sambil mengerjakan sesuatu.
Di antara banyak-banyak meja di situ, hanya satu meja sahaja yang kosong, tiada penghuninya. Seakan-akan ia dibiarkan kosong, tidak diduduki oleh sesiapa sedangkan meja di sekeliling sudah pun penuh dengan pelajar.
Dan di meja berdekatan dengan tiang, duduknya Norah dan rakan-rakan barunya di situ. Masing-masing menikmati makan tengah hari mereka. Naylie yang suka berborak tidak berhenti bercakap sejak tadi. Tentang itu dan ini dengan bersemangat.
"Jadi... mind to share apa sebab kau masuk lambat ke kolej? Kau pindah dari kolej lain atau apa?" tanya Sana semasa mencapai garpu dan mula makan spagetinya.
Norah tunduk memandang sandwic yang separuh dimakannya. Teragak-agak hendak memberitahu sebab khuatir mereka akan bersimpati kepadanya.
"Sebenarnya banyak perkara telah terjadi... aku tak tahu nak mula dari mana..."
Naylie berkerut kening. Dia memandang tidak mengerti apabila mendengar kenyataan itu. "It's okay... take your time...." selorohnya.
Sana mengangguk kepala sewaktu mengunyah makanan. Bersetuju dengan idea Naylie. Lalu dia menyuap lagi spageti ke dalam mulut.
Hela nafas panjang lepas dari Norah. Dia duduk tegak dan meletakkan kedua-dua tangannya di atas meja. Bersedia mahu bercerita.
"Awalnya semua bermula masa aku masuk umur 17 tahun... aku dan ibu bapa aku dalam perjalanan ke rumah datuk dan nenek aku... Tapi kemalangan kerana kereta yang dipandu terbabas akibat jalan licin pada musim sejuk 4 tahun yang lalu.
Kemalangan itu meragut nyawa ibu bapa aku dan membuatkan aku koma selama beberapa tahun. Dan tahun lepas aku baru selesai rehab pemulihan. Doktor sarankan aku untuk menjalani gaya hidup baru... jadi sebab itu aku dekat sini... cuba belajar dan bergaul..." ceritanya sambil memandang dua wajah di depannya.
Naylie dan Sana terdiam buat seketika kerana berasa begitu terkejut mendengarnya. Mereka tidak menyangka yang Norah akan menghadapi situasi sulit seperti ini. Mereka sama sekali tidak mengagaknya.
Rasa serba salah menghentak kesedaran mereka. Tidak sepatutnya mereka bertanya soalan itu.
"Kau tahu, kau adalah seorang gadis yang hebat dan kuat..." ujar Naylie. "Yalah... buktinya kau sedang berdiri di sini... dengan kita orang... dan beritahu semua ini dengan yakin."
Norah memberikan senyuman lega kerana mereka tidak menunjukkan sebarang reaksi simpati atau kasihan kepadanya. Yang mana dia benar-benar menghargainya.
"Terima kasih."
Sana memberikan senyuman serba salahnya. "Betul kata Naylie... apa pun aku berbesar hati sebab dapat berkawan dengan kau... Norah."
Norah mengangguk kepala.
"Aku pun... terima kasih sebab sudi hendak berkawan dengan aku... serius. Aku baru dengan semua ini. Jadi rasa kekok itu teramat sangat... tapi sikap easy going kau orang berdua buat aku lupa dengan perasaan itu..." beritahunya.
Naylie mencapai tin minumannya. Mahu diminumnya. Namun baru sahaja dia mendongak hendak meneguk minuman itu, matanya terarah pada meja yang tidak jauh dari tempat mereka berada.
Meja di mana geng Greyson selalu duduk di kafeteria itu. Naylie perasan yang Greyson sedang memandang ke arah meja mereka.
"Hei... kau orang... tengok sana itu..." beritahu Naylie yang terus tidak jadi hendak minum.
"Kenapa?" Sana memalingkan kepala ke arah yang sama.
"Greyson pandang sini la..." sengih Naylie sebelum kembali menyambung niatnya hendak minum.
Apabila Sana memandang ke arah Greyson, dia perasan yang perhatian lelaki itu bukan terhadap mereka bertiga, tetapi sebaliknya Norah. Keningnya berkerut sedikit. Hatinya terdetik.
Takkanlah Greyson ada hati pada Norah pula?
Janganlah! Tiga tahun dia ada crush terhadap Greyson tetapi lelaki itu sedikit pun tidak menunjukkan sebarang minat terhadap dia. Nak dating boleh, nak keluar boleh, tetapi Greyson tak pernah stick pada gadis yang sama untuk tempoh yang lama.
"Well... nampaknya Mr. Mysterious kita ada dib pada pelajar baru kita yang seorang ini la..." Naylie menjeling manja ke arah Norah.
Norah tersentak. Dia yang sedang ternganga hendak menggigit sandwic terhenti. Dia memandang ke arah Naylie. "Siapa?" tanyanya.
"Itu... siapa lagi kalau bukan Greyson..." juih Sana ke belakang Norah.
Norah memalingkan kepalanya ke belakang bahu. Lantas dia nampak apa yang dimaksudkan oleh Naylie tadi. Ya, memang betul yang Greyson sedang memandang ke arah mereka. Tapi tidak semestinya lelaki itu memandang dirinya.
"Mana ada... kebetulan sahaja agaknya... dia mungkin tengah termenung ke apa, kebetulan terarah pada tempat ini..." beritahu Norah semasa memalingkan kepala ke arah Naylie semula.
"Mana ada... dia obviously pandang kau..." tekan Sana lagi yang begitu yakin bahawa renungan yang diberikan Greyson bukan renungan biasa yang pernah lelaki itu berikan kepada sesiapa.
Norah berdengus. Masih tidak mempercayai kata-kata mereka berdua. Yalah, dua orang ini mungkin begitu taksub dengan keinginan untuk menjadi perhatian lelaki pelik itu. Tapi tidak dia. Apa pun isu lelaki itu, dia tidak akan masuk campur atau melibatkan diri.
"Oh my god! Dia bangun! Dia bangun..." desis Naylie dengan tidak sabar hingga menyepak kaki Norah di bawah meja.
Sana yang sedang minum jus oren hampir mahu tersembur keluar air itu dari mulutnya.
"Auw!" aduh Norah kerana kesakitan hingga membuatkan tangannya secara refleks hendak mendapatkan kakinya. Tetapi semasa proses itu berlaku, dengan tidak sengaja siku dia melanggar cawan kertas berisi ice lemon tea-nya. Maka ianya pun terbalik dan tumpah mengenai pakaiannya.
"Oops... sorry... aku tak sengaja," Naylie berdiri mahu mendapatkan cawan yang tumbang itu.
"Oh my gosh! Korang!" panggil Sana sebab terkejut. Dia cepat-cepat mengeluarkan tisu dari handbag dan diletakkan pada air yang tumpah itu.
Untuk mengelakkan pakaiannya semakin basah, Norah berdiri dan mengundurkan diri jauh dari meja itu serta-merta.
Share this novel