Completed
1227
Rafaela yang mendengar perbualan dua orang pekerja tadi membuatkan hatinya semakin resah. Baru dia tahu Suzy cuti sakit. Selesai kerja nanti Rafaela akan buat panggilan untuk bertanya keadaan sahabat baiknya.
Rafaela memulakan rutin kerja seperti biasa, cuma ketiadaan Suzy menyebabkan dia lebih suka makan bersendirian di kafeteria. Sebenarnya Rafaela baru sahaja sebulan bekerja disini itupun kerana bantuan Suzy yang mengenali rapat penyelia syarikat pembersihan. Maka dia masih belum mesra dengan pekerja yang lain.
Tiba-tiba dua pengawal keselamatan berlari masuk ke dalam kafeteria memanggil beberapa orang pekerja pembersih.
Di dalam keriuhan itu terdengar beberapa orang pengawal keselamatan menyebut parkir di P3 mengalami banjir kecil akibat kebocoran paip. Rafaela bergegas bangun dan terus mengikuti mereka memasuki lif untuk turun ke P3.
“Hissyy…kenapa sejuk sangat dalam lif ni?” tegur seorang pengawal keselamatan. Rafaela yang turut berada dalam lif itu terpinga-pinga melihat lelaki itu.
“ Mana ada sejuk?” bisik hati Rafaela.
“Memanglah sejuk, baju dengan seluar kita kan basah terkena semburan air masa cuba betulkan paip tadi,” jawab salah seorang dari kawan kepada pengawal keselamatan tadi. Berkerut dahi pengawal keselamatan itu mendengar jawapan dari kawannya. Dia menoleh ke belakang sambil matanya melingas melihat sekeliling lif. Rafaela hanya tersenyum melihat gelagat lelaki itu.
Apabila pintu lif terbuka kelihatan air mula bertakung di sesetengah tempat.
“Kena pam air ni keluar kalau tak banjir P3. Man! kau pergi ambik pam tu keluar dari stor,” salah seorang lelaki itu mula memberi saranan. Lelaki yang bernama Man itu bingkas menuju ke bilik stor yang menyimpan peralatan pembersihan. Nyaris bilik itu tak dimasuki air. Man menarik keluar segala peralatan yang diperlukan dari rak penyimpanan barang.
Share this novel