BAB 1

Family Completed 29523

Terkedek-kedek si cenderawasih,
Terkena jerat di pohon sawa,
Adik-beradik membawa kasih,
Pesona erat apa pun jua.

***

SUARA tangisan bergema dalam ruangan kamar itu. Sesekali hembusan hingus turut kedengaran. Di sebalik pintu yang sedikit terkuak, Sufi Rizqin mengintai ke dalam. Kakaknya si Sufiah rupanya masih sedang ralit dengan drama Koreanya.

Idea nakal tiba-tiba menjengah minda, wajah remaja berusia 15 tahun itu meleret dengan senyuman. Setiap hari, ada sahaja rencana yang terdetik dalam benak fikiran, membikin kepala si kakaknya digayuti keserabutan. Mungkin juga geram dan annoying.

Hihihihihi …

Suara hilaian seram Sufi Rizqin lantunkan dari bibir. Matahari di luar sana sudah melabuhkan tirainya menyambut kehadiran malam. Dia tahu, mesti kakaknya tidak sedar waktu sudah mahgrib sekarang memandangkan bilik itu masih diselubung kegelapan.

Sufiah tersentak. Hilaian itu terus-menerus menyogok pendengarannya dan ia dirasakan semakin kuat dan menghampiri. Kerana dia tidak sedar adik lelakinya sedang merangkak menghampiri katilnya, tanpa dia disedari!

Pap!

Kakinya ditepuk.

“Argh!” Jeritan Sufiah bergema kuat. Cepat-cepat dia bangun terduduk seraya memeluk lulut, rasa takut dan terkejut menerjah secara tiba-tiba. Membuat tubuhnya sedikit menggeletar.

“Jangan apa-apakan aku, jangan apa-apakan aku. Aku janji selepas ni aku takkan leka tengok drama Korea sampai tak sedar waktu dah mahgrib …”

Sejurus rayuan itu terlafaz, derai tawa pula menampar ekor telinga. Pelukan pada kaki sendiri terlerai sebelum dibawa anak matanya menjenguk ke bawah katil, ke arah datangnya bunyi tawa yang dirasakan begitu lazim dengan pendengarannya.

“Ish! Geram betul aku dengan kau ni lah …” Suaranya berdesit geram.

“Alamak, si singa yang comel dan gebu dah mengamuk. Lari!”

Maka, bermulalah adegan kejar-mengejar antara dua beradik berkenaan. Si adik seronok, si kakak pula membara api geramnya. Mahunya dia berjaya tangkap dan cekup adiknya yang super annoying itu, agaknya memang kaw-kaw pulasan yang dihadiahkan.

“Hei! Hei! Astagfirullah al-Azim … anak aku yang berdua ni dah kena sampuk dek syaitan ke apa, hah? Berkejar-kejar waktu mahgrib.” Terkumat-kamit mulut Encik Ahmad Aduka membebel seraya mencekak pinggang.

“Sori ayah. Kita orang sakat-menyakat tadi, kakak ni ha tiba-tiba mengejar orang,” ujar Sufi. Dia sedar akan jelingan tajam yang Sufiah lemparkan pada wajahnya.

“Hmm … suka hati kau oranglah. Jangan dijahanamkan barang dalam rumah ni sudah. Sufi, malam ni kamu jadi imam pula. Ayah nak bentang sejadah ni, pergi ambil wuduk cepat. Mak dengan ayah tunggu.” Arahan dijatuhkan.

“Okey, ayah.” Sufi ikut perintah.

“Ha, kenapa tercegat lagi kat sini? Kamu pun pergilah bersiap juga. Ayah kira ya kamu punya kitaran haid, malam ni jangan bagi alasan datang bulan semata malas nak solat. Pergi bersiap cepat.” Tegas Ahmad Aduka menuturkannya kepada Sufiah.

* * *

“SUFIAH, kau tengok tak drama Korea yang aku cadangkan pada kau hari tu? Yang aku kata best tapi siap dengan pakej air mata tu?” Raudah bertanya. Ketika itu tiada guru dalam kelas, itulah sebab suasana di dalamnya bingit bagai lebah menghurung madu.

“Mestilah tengok … Dahlah masa tu aku nak siapkan kerja sekolah, melambai-lambai aku rasa telefon aku tu bila teringatkan drama Korea yang kau beritahu aku hari tu,” jawab Sufiah.

“Lepas tu, kerja sekolah tak siap.” Meledak tawa Diana.

Menggeleng Sufiah dan Raudah menyaksikan gelagat rakan mereka yang seorang itu. Begitulah perangainya. Kalau gelak, mengalahkan pontianak yang sering menakutkan manusia dengan hilaian tawanya yang menyeramkan. Tetapi apabila cikgu memintanya untuk baca, bukan main ayu dan selembut kain sutera suaranya.

“Itulah sebab bila masuk sekolah menengah, kau tak dapat pegang jawatan pengawas. Kau dah tak disiplin macam dulu. Akak ketua pengawas yang aku kenal masa sekolah rendah dulu, kini dah banyak berubah. Adik dia pula yang mewarisi bila masuk sekolah menengah.”

“Oh, adik dia Sufi Rizqin yang pengawas tingkatan tiga tu, kan?” soal Raudah.

“Haah, ramai orang kata Sufi tu garang. Pernah sekali, budak tingkatan satu rasanya terkencing dalam seluar disebabkan Sufi tu garang sangat. Tapi aku tengok, ramai je budak-budak perempuan duk ushar dia.” Lancar bibir Diana berceloteh.

“Tengoklah adik siapa …” sampuk Sufiah. Meleret-leret perkataan ‘siapa’ disebutnya.

“Eleh …” ucap Diana dan Raudah serentak.
Tertawa mereka bersama.

Kisah malam tadi, Sufiah lupakan sejenak. Nama adik lelakinya sedang disebut-sebut aura kehebatannya, yang diwarisi daripada kakaknya yang cantik dan molek. Bila ke sekolah, sengkuap tudung setajam pedang. Tudung pula digosok selama setengah jam. Penampilan, memang dijaga sungguh!

Tapi bila pulang sekolah, ya Allah ya Rabbi … Selekehnya usah dikata. Muka kemain sememeh, balik ingat nak tidur saja. Sengkuap tudung habis roboh, bau ketiak yang menyerbak pula mampu memengsankan ramai orang dengan sekali hidu.
Kadang-kadang, bukannya setiap hari.

“Bangun!” Semua pelajar kelas berkenaan bangun secara spontan setelah dikejutkan dengan satu perintah yang kedengaran tiba-tiba.

“Assalamualaikum, Cikgu Rohaini!” ucap ketua kelas seterusnya setelah memastikan semua pelajar bangun. Kemudian serentak bunyi suara pelajar-pelajar lain mengikuti ucapan itu.

Senada, seirama serta lantang dan bersemangat, ia sudah menggambarkan rasa keikhlasan yang sungguh-sungguh daripada reaksi pelajar. Aksi mereka juga mempamerkan ketulusan.

“Waalaikumussalam warahmatullah wabarokatuh,” jawab guru berkenaan.

“Jangan duduk lagi, cikgu nak semak kerja semalam. Sila keluarkan buku latihan tatabahasa dan letak atas meja.” Cikgu Rohani memberi arahan. Sejurus itu, kesemua pelajar bertindak membuka beg masing-masing untuk mengeluarkan buku latihan.

“Alamak, kerja sekolah tak siap. Mampuslah aku.” Getus Sufiah sendiri.

Cikgu Rohani bergerak dari meja ke meja untuk menyemak buku latihan para pelajar. Ramai yang dibenarkan duduk tetapi ada segelintirnya yang masih utuh berdiri dan dia adalah salah seorang bakal calonnya yang turut akan kekal berdiri sebentar nanti.

“Sufiah, mana buku latihan kamu?”

Cikgu Rohani sudah tercegat di hadapan meja Sufiah. Wajahnya terconteng keseriusan yang nyata sebagai seorang guru disiplin. Semestinya digeruni oleh kebanyakan pelajar, sementelah apabila guru berkenaan sedang naik darah.

“Ini bukunya, cikgu.” Teragak-agak Sufiah menghulurkannya.

Sufiah hanya mengkelukan lidah daripada menuturkan apa-apa ketika melihat gurunya itu menyelak helaian buku latihannya. Kemudian, mengecup liur apabila wajahnya dipanah tajam oleh dua pasang mata yang berkaca mata itu.

“Soalan yang cikgu bagi semalam kamu salin, tapi kenapa tak ada jawapan? Yang nak menjawabnya kamu ke cikgu sebenarnya ni?” Cikgu Rohaini mempersoal.

“Saya, cikgu …” Kendur suaranya menjawab.
“Habis tu, kenapa tak buat? Teruskan berdiri, siapkan sekarang!”

Terkesima, sememangnya benar terasa. Maut jangan ditempah, nahas jangan dicari. Tetapi, jika perkara mahu terjadi, tetap kena hadap juga! Maka, terbongkok-bongkoklah Sufiah ketika menyiapkan tugasannya.

“Yang lelaki, lepas ni kalau tak siap lagi kerja datang sekolah pakai tudung. Tapi yang perempuan teruskan pakai tudung, jangan datang nanti tak bertudung pula. Kerja cikgu bagi senang kacang lagikan nak mampus kut. Takkan itupun tak boleh nak siap. Boleh ingat tak pesan saya ni?” Bercekak pinggang guru berkenaan menghamburkan leterannya.

“Boleh cikgu …” Pelajar-pelajar yang masih berdiri menjawab dengan suara yang perlahan lagi lemah. Maklumlah, baru kena marah. Hilanglah semangat mahu bersuara.

“Bagus, duduk sekarang. Saya nak mula mengajar.” Cikgu Rohani memberi arahan.

* * *

SUFIAH melangkah masuk ke dalam bilik adiknya. Sufi Rizqin dilihat langsung tidak menyedari akan kehadiran Sufiah kerana fokusnya terkunci 100% terhadap tugasan yang diberikan oleh guru semasa di sekolah.

Pap! Buku latihan ditutup. Sufi melepas sandar pada kerusi belajar, kemudian sebaris nafas melewati rengkungannya.

“Hoi di sana, buat apa tercegat kat situ? Kerja sekolah dah siap ke belum? Kalau belum, di sana boleh pergi blah. Pergi siapkan. Nanti tak siap cikgu marah.” Selamba Sufi menuturkannya tanpa berkalih memandang kakaknya.

Mengheret langkah menghampiri Sufi, kedua-dua belah bahu itu disapanya dengan lemah-gemulai dari belakang, “Mestilah dah siap wahai adik kesayangan akak yang hensem lagikan budiman.”

“Eee … hari ni kau demam ke apa? Tak pernah lagi memuji sampai tahap teruk macam ni. Ini mesti ada apa-apa, kan?” Sufi menduga. Rasa tak terdaya apabila telinganya disimbah dengan aliran kata yang bermelodi begitu. Penuh unsur kegedikan dan kelembutan yang nyata, seakan mahu menggodanya.

“Mana ada apa-apa. Aku sebenarnya nak menghiburkan diri sebab tadi kat sekolah kena leter dengan cikgu sebab tak siap kerja dia bagi.” Segugus keluh dihempas, leteran Cikgu Rohaini seakan terngiang kembali di pendengarannya.

Terburai tawa Sufi, “Ha itulah, leka lagi dengan drama Korea. Cuba tengok aku, lepas siap kerja sekolah baru fikir hal dunia. Fikir nak main, melepak, kenakan kau. Hehehe.”

Sufiah hempas punggungnya di tubir katil Sufi.

“Drama Korea best apa? Lagipun drama Melayu asyik-asyik benda yang sama. Asal ditampar je bersambung. Lepas tu asyik-asyik megah holding, rampas suami orang. Alahai, bosanlah! Cubalah buat kelainan sikit, kan seronok tengok. Barulah tak terasa jemu meskipun aku langsung tak layan.” Dimuntahkan segala, Sufi pula hanya layankan sahaja.

“Habis tu, penampar dia sampai tak?”

“Entah, itulah sebab ia menjadi perbualan hangat di sekolah. Ramai pakat-pakat duk tanya, kau rasa penampar dia sampai tak? Itulah masalahnya.”

Tersengih-sengih sahaja Sufi. Bercelotehlah sampai puas, habiskanlah kesemua kouta kata-katamu itu sehingga tiada sisa sekelumit pun yang tinggal. Asalkan berbunga bahagia, adikmu si Sufi akan gembira.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience