BAB 3

Family Completed 29523

Pokok semalu rasanya pedih,
Sikitnya duri berbanding kaktus;
Adik-beradik membara kasih,
Air dicincang takkan putus.
* * *

SUFI menghayun langkah menuju ke meja makan. Seraya itu, dia menyauk baju sukannya ke dalam seluar untuk memperkemas penampilan. Perut yang kekosongan, terasa semakin kuat menggerodak apabila hidungnya tercium bau hidangan yang menggiurkan.

“Wah, bukan main spesial sarapan pagi ni.” Terpaku pandangannya pada lauk-pauk ringkas yang telah siap terhidang. Kerusi ditarik sebelum dilabuhkan duduk di atasnya.

“Orang tua nilah … Tiba-tiba minta sarapan mewah untuk pagi ni. Mak pun, masak sajalah.”

Terburai tawa Sufi tatkala butir ayat ibunya itu meresap ke pendengarannya. Puan Nurlisa pula bukan main selamba menggelarkan suaminya sebagai ‘orang tua’, depan-depan pula tu Mujurlah Encik Ahmad Aduka seorang yang tinggi tahap keimanannya, jika tidak pasti sudah ditengking isterinya itu habis-habisan.

“Yalah … abang dah tua, awak tu pula perasan muda. Tak sedar diri tu pun makin tua, cakap orang je lebih.” Meleret-leret ujaran itu diungkapkan. Surat khabar yang sedang dibaca, diselak ke halaman seterusnya. Tak tercakar langsung hatinya dengan sindiran sang isteri.

Seketika kemudian, kelibat Sufiah pula kelihatan.
Apabila anak mata Sufi tertancap ke arah kakaknya yang berseragam putih dan biru muda, dia berkerut pelik. “Bukan hari ni kau PJ juga ke? Kan dalam jadual baru kelas kau dengan kelas aku PJ pada hari dan waktu yang sama.”

“Eh, yalah! Aduh … sia-sia aje aku gosok baju sekolah pagi ni. Sudahlah tudung saja paling lama aku gosok.” Sufiah menghambur keluh. Masa yang diluangkan hampir sejam untuk menggosok sahaja ternyata sia-sia belaka.

Langkah kembali diatur ke tingkat atas.

“Sarapan jangan habiskan pula, karang menggelupur Sufiah kat sekolah sekejap lagi!” Membahasakan diri menggunakan nama, kata-kata yang diterbitkan itu tidak hanya ditujukan kepada adiknya seorang sahaja. Tetapi termasuk ibu dan ayahnya sekali.

Menggeleng Sufi, kakaknya itu sudah serupa orang tua tengok. Asyik lupa saja!

* * *

SUASANA di dalam kelas Sufiah meriah seperti sediakala, tra usah diceritakan lagi. Sebentar nanti mereka akan turun ke padang untuk subjek Pendidikan Jasmani, subjek yang paling digemari oleh majoriti pelajar sekolah. Bukan sahaja di Malaysia malahan seluruh dunia.

“Hei Sufiah, kau nak tahu satu benda tak?”

“Tahu apa?” Dahi Sufiah berlapis kerut. Sedari tadi tekaknya mendambakan minuman, tetapi belum sempat aliran air menuruni celah rengkungan, tiba-tiba Nasrul muncul di hadapan mejanya serentak menuturkan pertanyaan.
Seketika perlakuannya terbejat , kemudian ia disambung semula.

“Dekat negara Jepun susah gila nak jumpa orang gemuk. Tapi kalau kat Malaysia, depan biji mata aku je dah jumpa sorang.” Itulah baris ungkapan yang terlantun dari bibir Nasrul.

Uhuk! Uhuk! Tersedak Sufiah dibuatnya.

“Kau nak kata aku gemuk la kiranya ni? Hei, sekurang-kurangnya masa ujian segak BMI aku normal, bukannya macam kau. Tinggi je lebih tapi badan kurus macam batang lidi,” ujar Sufiah lantas bangkit.

Terpempan Nasrul, tetapi pada hakikatnya memang benar. Dirinya tinggi lampai bak sebatang galah tetapi tubuh pula hanya seolah-olah diselaputi kulit, tiada lemak. Namun apakan daya, apabila sudah meningkat remaja yang lelaki akan semakin meninggi dan meninggi dengan begitu cepat.

Apa buktinya?

Ketika di pusat beli-belah, cuba perhatikan susuk-susuk tubuh yang berada di sekitar terutama yang berpasangan. Sudah tentu kita akan melihat situasi ini. Yang lelaki melampai tinggi, perempuan pula rendah-rendah kebanyakannya.

Sufiah sekilas melirik ke arah Nasrul. Bukankah perempuan selalu menang? Hahaha! Ya, sekarang ini dia sedang menjulang kemenangan. Mulut yang tadi selamba mengatanya gemuk akhirnya terpaku kelu.

Tetapi sebenarnya dia sudah lali, kerana hampir kesemua budak lelaki dalam kelasnya itu memang suka mengusik pelajar perempuan. Tak tahulah mengapa dalam dunia ni yang teruk dibuli adalah kaum wanita. Kasihan tau!

Tetapi masa Pendidikan Jasmani budak-budak lelaki kelasnya memang sporting gila sebab main sama-sama. Seronok tak terkata, melambung-lambung hingga ke angkasa raya.

Kebetulan pula kelas Sufi turut PJ pada waktu yang sama, maka mereka adik-beradik lawan badminton sama-sama. Bila masing-masing tunjuk handal, memang seronoklah jadinya.

Sufi dan Sufiah merebahkan badan di bawah sepohon pokok yang rendang. Bahang mentari pada pagi itu sudah mula terasa bahangnya, seakan-akan membakar kulit tubuh.

“Sufi … boleh tolong belikan air, tak? Aku kehausan ni,” pinta Sufiah seraya menyeka wajah berkeringat dengan tudungnya yang berwarna hitam itu.

“Belilah sendiri. Kaki dua pasang elok boleh berjalan, sibuk mengarah orang pula.” Terlantun kata-kata penuh keselambaan itu dari mulut Sufi.

“Ala, tolonglah wahai adikku yang comel dan hensem lagikan budiman ni.” Menggedik-gedik si kakak memujuk rayu, cuba ‘menumpaskan’ adik lelakinya. “Balik nanti aku bagi kau gula-gula.”

“Bagi gula-gula buat apa. Kau ingat aku budak tadika? Kalau betul kau nak aku tolong, boleh. Tapi belanja aku deodoran yang selalu aku pakai tu. Okey?” Kata-kata yang sudah diduga oleh Sufiah, adiknya mesti akan meminta upah!
Dasar pisau cukur versi lelaki.

“Yalah, yalah. Nah, ini duitnya. Pergi beli cepat.”

Melangkah pergi, dalam hati kegembiraan melonjak-lonjak. Seronok pula dapat kebas duit kakaknya kali ini, sekurang-kurangnya dia dapat menjimatkan duit ibu dan ayah meskipun tercetus situasi ‘parasitisme’ dalam hal ini. Biarkan, yang penting Sufi bahagia. Muwahahaha!

“Haih, itulah perangai adik aku. Kena sediakan upah baru nak buat kerja. Dasar tak ikhlas tolong orang,” ujar Sufiah kepada Raudah yang duduk di sebelahnya.

Sengihan, itu sahaja yang terlakar pada wajah Raudah.

* * *

PANAS terik sedang membasahi bumi. Seraya berpegang pada birai jendela, Puan Nurlisa menjemur dirinya seketika untuk menghangatkan tubuh. Elok sangat kalau cuci baju pada waktu panas terik begini, baju pun cepat kering. Fikirnya.

“Sufi, lepas ni kamu tolong cucikan baju ya. Mak penat sikitlah hari ni, tak larat rasa.”

“Yalah mak.” Sufi mengulum senyum. Kelibat Puan Nurlisa di ambang pintu, diperhatikan sahaja sehingga ibunya itu melangkah pergi meninggalkan biliknya.

Usai menyusun buku-buku mengikut jadual, Sufi pun memulakan ekspedisi pengembaraan ke serata pelusuk rumah, mencari pakaian yang mahu dibasuh. Jelas kerajinannya, kemudian disidai apabila siap dibasuh.

Menjelang petang, pakaian di ampaian semua dikutip dan dicampak dalam bakul baju sebelum ia diangkat masuk ke dalam bilik kakaknya.

“Aku dah tolong basuh dan sidai. Sekarang kau tolong lipatkan. Aku dapat pahala tolong mak, kau pula dapat pahala sebab tolong aku. Jadi dalam situasi ni tak adalah istilah berat sebelah. Bye …”

Sufiah ketika itu sedang leka membaca satu novel berjudul Seindah Pelangi Selepas Hujan Panas karya Iqmal Izzat & SheMa. Dan apabila suara Sufi menyapa, maka membeliaklah si dia tatkala ekor mata berlabuh pada bakul-bakul baju yang menghiasi pintu biliknya.

“Mak aih … selamba je dia. Angin tak ada, ribut tak ada, tiba-tiba berbakul baju sampai dalam bilik aku. Bertuah punya adik,” rungutnya.

Penanda buku lantas digapai, diselitkan pada helaian terakhir pembacannya tika itu. Sudahlah pembacaannya sedang masuk babak saspens – pergaduhan antara Sofea dan Haris, boleh pula ada yang potong stim. Argh!

Sedang Sufiah lipat baju tiba-tiba suara mak mereka kedengaran. Berlari Sufi dan Sufiah turun tangga bersama cemas yang melanda. Remot TV hilang, bising satu keluarga jadinya. Mereka pun bersepakat untuk sama-sama mencari dan rupa-rupanya, berada atas laci yang menempatkan radio saja.

Remot warna hitam, laci pun hitam. Bila tak nampak dek penglihatan yang tidak terasah tajam dan pemikiran lapuk cepat lupa, memang kecohlah jadinya.

* * *

MALAM sudah menyelimuti langit. Bintang-gemintang kelihatan bergemerlapan di dada langit, menjadi penghias indah terhadap zulmat malam nan pekat.

Sufiah tercari-cari uniform sekolahnya, tetapi langsung tidak ditemui. Baru sahaja petang tadi dia lipat, dan malam ini uniformnya itu menghilangkan diri pula. Bagaimana dia mahu tidur lena sebentar nanti kalau begini jadinya? Dia tidak mahu kelam-kabut di pagi hari nanti.

Terlerai segugus keluhan dari bibirnya.

Melintasi bilik Sufi, dia melihat adiknya itu sedang menggosok uniform birunya. Dan di atas katil, terhampar satu uniform yang lain. Pakaian sekolah Sufiah!

Bak kata orang Melayu, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang gosok uniform sendiri, uniform kakaknya pun digosoklah sekali. Entah mengapa, tiba-tiba pula Sufi terjentik rasa untuk melakukan demikian.

“Patutlah aku mencari tak jumpa,” ujar Sufiah bersendirian. Perlahan-lahan wajahnya melukiskan lekuk senyum, rasa terharu seakan berpuput dalam relung sukma.

Sengaja dia tak kembali ke bilik lagi. Sufiah bersembunyi di sebalik pintu bilik sebelah. Dan ketika Sufi memasuki biliknya, cepat-cepat dia meluru dan memeluk adiknya dari belakang.
“Terima kasih, Sufi.”

* * *

HUBUNGAN Sufi dan Sufiah semakin terjalin kemesraaannya. Dan kalaulah hubungan mereka itu makanan, pasti sudah menghidap kencing manis orang yang menikmatinya. Baik sungguh, belum pernah lagi hubungan mereka semesra itu.

Pagi itu mereka bersarapan bersama. Dan masakan yang terhidang kali ini begitu istimewa kerana ianya adalah air tangan Sufiah yang membantu ibunya menyediakan sarapan pada pagi ini.

“Kau yang masak ke ni? Seriuslah?” Bernada teruja pertanyaan Sufi. Dari bau yang menerjah rongga hidungnya itu sahaja dia sudah dapat mengagak masakan kakaknya ini sedap dan menyelerakan.

“Serius … Nak rasa?”

“Eh, mestilah nak!”

Sufiah melabuh duduk di kerusi sebelah adiknya sebelum menggapai sudu. Sufi sangkakan kakaknya itu mahu menghidangkan masakan berkenaan untuknya, tetapi ini tidak. Dia disuap!

Encik Ahmad Aduka dan Puan Nurlisa terpempan ketika menyaksikannya. Sejenak, anak mata mereka saling bersabung pandang. Benarkah apa yang sedang berlaku ini? Mata digosok-gosok untuk pastikan ini adalah realiti dan bukannya mimpi.

Dua beradik berkenaan sekadar melukis senyum memandang ibu bapa mereka. Sesi suap-menyuap kembali disambung.

Sebelum menyarung kasut, sempat Sufiah ajak berswafoto untuk dimuatnaik ke IG story. Setelah itu, Sufiah dengan manja memeluk lengan adiknya ketika beriringan ke kereta. Encik Ahmad Aduka dan Puan Nurlisa yang menyaksikannya, benar-benar disergap hairan.

“Bang, kenapa dengan anak-anak kita tu. Bukan kemain rapat dan berkepit aje sekarang ni. Sarapan tadi pun suap-suap.” Akhirnya terluah juga setelah beberapa seketika lidahnya bagai mati kata untuk mengarang pertanyaan itu.

“Biarlah Lisa … dia orang tu kan adik-beradik, tak ada salahnya berkepit-kepit macam tu.” Tenang Encik Ahmad Aduka menutur bicara. Baginya, situasi itu perkara biasa di matanya malahan mata manusia lain.

Spontan Nurlisa memeluk lengan suaminya.

“Eh, apahal ni?” soalnya laju, terkejut dengan tindakan sang isteri. Pelukan pada lengannya terungkai terus.

“Ish abang ni, tak romantik betul. Orang nak sweet-sweet macam anak kita pun tak boleh.” Memuncung Nurlisa.

Termuntah segulung keluhan dari bibir Encik Ahmad Aduka. Lengan yang dipeluk sebentar tadi, disua kepada isterinya, “Nah, peluklah.”

“Taknaklah! Tadi orang nak peluk, dia tepis.” Puan Nurlisa terus tarik muka. Mod mengambek serta-merta terpasang.

“Lah … merajuklah pula,” rungut lelaki itu.

Mengingatkan kedua-dua anaknya yang telah menanti, segara dia melangkahkan kaki ke kereta. Sempat kepalanya berpaling ke arah belakang untuk melihat isterinya. Wajah itu masih memuncung.

* * *

GLOSARI

1) Menggerodak - Perut berbunyi kerana kelaparan

2) Terbejat - Terhenti

3) Zulmat - Kegelapan, gelap

4) Berpuput - Bertiup, berhembus

5) Sukma - Jiwa, nyawa

6) Disergap - Diserang (diserbu, diterpa dll) secara tiba-tiba

7) Mengambek - merajuk

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience