BAB 2

Family Completed 29522

Sebilah pedang tajam meruncing,
Sakit tikamannya tak semua tahu,
Salinglah kita bimbing-membimbing,
Supaya kita sama-sama berilmu.

***

SUFIAH dilanda keserabutan. Puas dia mencari baju yang sesuai dengan tudung yang baru sahaja dibelinya di platform Shopee, tetapi tiada satupun yang dirasakan sesuai. Sampai berperantakan bilik itu dibuatnya.

“Astagfirullah al-Azim, bilik kau ni dilanda ribut taufan ke tadi? Bersepah-sepah bajunya. Atas katil, dalam almari, bawah katil pun ada!” Bernada terkejut ujaran Sufi.

“Tudung yang aku beli kat Shopee dah sampai, tapi masalahnya tak ada baju yang sesuai dengan tudung ni …” Sufiah seakan merengek ketika meluahkannya.

“Tak ada? Hei cik akak sayang, aku ni spender dah berlubang pun masih setia pakai tau. Baju kau punya berlambak-lambak macam butir pasir kat pantai, boleh kata tak ada? Inilah perempuan, cerewet nak mampus. Tak bertempat pula tu.” Berdas-das butir peluru kata dilepaskan dari picu mulut.

Sufiah tarik langkah menghampiri adiknya.

“Hei, meh sini aku betulkan penafsiran kau. Perempuan, dia tak cerewet tapi dia teliti,” kata Sufiah sambil menekan dada Sufi dengan jari telunjuknya.

“Ada aku kisah?” Sufi tayang wajah selamba.

Sufiah terus melarikan langkah ke kamar adiknya, Sufi mengejar dari belakang. Almari baju dalam bilik itu terus diselongkar, mencari sesuatu. Diserbu cemas Sufi dibuatnya dengan tindakan kakaknya yang tiba-tiba itu.

“Hei kak, buat apa selongkar almari baju orang!”
Sufiah terus-menerus menyelongkar almari baju Sufi. Bibirnya automatik melengkung senyum apabila sudah menemui baju yang sepadan dengan tudungnya itu. Sehelai baju lengan panjang dikeluarkan.

“Dah jumpa!” Melompat keriangan gadis itu, tergeleng-geleng Sufi dibuatnya. Manakan tidak, kakaknya sudah besar gajah tetapi masih bersikap kebudak-budakan.

“Sanggup ke kau pakai baju aku tu?” Sufi menjungkit kening merenung Sufiah yang senang hati memeluk baju miliknya.

“Kat baju tu ada kesan jantan, aku risau kau jadi tomboi je sekejap lagi kalau pakai baju aku tu sebab terkena radiasi.” Meledak tawa Sufi seusai menoktahkan ayatnya. Menabur lelucon ibarat menabur garam dalam masakan, menambah rasa dalam kata yang dituturkan.

“Banyaklah kau. Aku tak kira, aku tetap nak pinjam baju ni. Nanti aku bagi baju lain sebagai ganti, tapi warna pinklah. Nak?” Sengaja Sufiah menyakat.

“Pinggan tak retak, nasi tak dingin. Ah, tak ingin!”
Sufiah hanya menyeringai , masih tercegat di hadapan almari baju Sufi.

“Pergilah bersiap cepat, kata nak pergi Eon Big sama-sama beli barang dapur yang mak pesan. Aku dah lama siap, menunggu kau lama sangat.” Ibarat menjerkah, bergema suara Sufi memenuhi ruang bilik.

“Ala, suara tu janganlah kasar sangat. Tahulah kat sekolah kau pengawas yang garang sampai kakak sendiri pun kau denda.” Memuncung Sufiah, ekspresi wajahnya dibuat-buat menagih simpati.

Berlalu keluar dari bilik adiknya, Sufiah pun pergi bersiap untuk keluar. Mereka akan menaiki Grab untuk ke sana. Senarai barang-barang yang perlu dibeli, telah ibu mereka berikan dari semalam lagi. Lagipun sebelum ini mereka telah diajar, jadi tiada masalah bagi dua beradik itu.

* * *

SUFIAH menyemak isi kandungan senarai, kebanyakannya telah bertanda. Barang-barang kering kesemuanya sudah selesai dan sekarang tiba masa untuk mencari barang basah pula seperti ikan, ayam, sayur dan seumpama.

“Mak suruh beli ikan, tapi masalahnya aku manalah pandai pilih. Aduh, macam mana ni. Selalunya setiap kali beli ikan mak mesti ada kat sebelah.” Sufiah menggaru belakang tengkuk, masalah datang membadai lagi.

“Itulah … Masa mak ada, tak nak belajar. Sekarang bila dah jadi macam ni barulah duk terkial-kial. Tapi dah terlambat, mak pun tak boleh datang tolong sebab dia balik tengah malam nanti. Pandai-pandailah kau.”

“Ala, tolonglah. Please …”

Terkemut-kemut bibir Sufiah memujuk rayu, berusaha untuk memperoleh simpati adiknya. Sufi menghembuskan nafas berat, tewas kerana tidak terdaya lagi untuk menyaksikan wajah sebegitu lama-lama.

“Yalah, yalah. Meh orang tolong ajar macam mana cara nak pilih ikan yang terbaik. Memilih ikan ni ada cara yang teliti, gerenti tak salah pilih dan tak menyesal sampai menangis kat tepi bucu katil.”

Bersinar-sinar mata Sufiah. Yeah akhirnya!

“Kalau kita nak tahu ikan tu segar ke tidak, kita boleh tengok pada warna kulit ikan. Ikan yang segar kulit dia berkilat dan warnanya pun cerah. Kalau dari segi bau, dia ada bau hanyir dan berbau laut. Macam ni.” Diangkat seekor ikan lalu dihulurkan kepada kakaknya.

“Cuba kau pegang, lepas tu picit-picit sikit.”

“Macam mana?” Sufi bertanya mahu tahu.

“Keras dan pejal,” jawab Sufiah memberi respons.

“Ha, itu bermakna ikan masih segar. Kalau kau picit-picit dan rasa lembik, itu maknanya ikan dah tak segar. Jangan beli ikan yang macam tu.” Demikian penerangan Sufi. Kakaknya pula macam burung belatuk mengangguk-angguk tanda memahami.

“Sebenarnya ada lapan cara yang aku tahu, tapi buat masa sekarang aku beritahu tiga saja dulu. Nanti kouta kata aku habis, macam mana aku nak kerjakan kau kat rumah nanti.”

Ditamparnya bahu Sufi, “Sengaja kau kan?”

“Ala, relaks-relaks sudah. Orang bergurau je,” ujar Sufi seraya menggosok bahunya yang ditampar sebentar tadi. Penampar kakaknya itu boleh tahan juga, mujur tidak hinggap ke muka. Jika tidak pasti wajahnya akan bertepek dengan kesan kemerahan.

“Sudah, kalau kita mula bergaduh sampai bila pun ikan takkan terambil. Dalam senarai mak suruh ambil ikan keli dengan ikan siakap. Kau ambil ikan keli, aku ambil ikan siakap. Sekarang tau!” Seakan mendesak cara Sufiah bercakap.

“Yalah, yalah. Asal benda yang berlendir je mesti suruh aku,” rungut Sufi sambil tangannya mencapai plastik. Bersabarlah, memang itu dugaan kaum lelaki …

Selesai urusan bersama ikan, mereka beriringan menuju ke kaunter. Dalam perjalanan, terserempak meraka dengan kawan-kawan satu sekolah yang kebetulan turut membeli-belah. Adik-beradik itu tiga orang. Yang lelaki dua orang kembar seiras, berumur 17 tahun. Sementara yang perempuan sebaya dengan Sufiah yakni berusia 16 tahun.

“Wah, tak sangka betul kita akan terserempak kat sini. Kau orang memang dah rancang nak berjumpa dengan kita orang kat sini ke macam mana ni?”

Tersenyum Sufi, kemudian dia melagukan pantun:

“Jalan-jalan terjumpa anjing,
Kemudian lari sampai merangkak,
Kita orang datang beli barang,
Bukan datang nak jumpa awak.”

Bersorak anak-anak muda itu kecuali Sufiah, tanpa menghiraukan mata-mata masyarakat di sekitar yang memerhatikan mereka dengan pandangan kurang senang.

“Fuhlamak, kali pertama aku dengar orang ber-awak-awak dengan adik perempuan aku,” kata Aqram sambil tersengih.

“Itulah fasal. Kita orang sebagi abang dia pun, tak ada pula berawak-awak macam kau tadi,” ujar Iqram pula, kembar kepada Aqram.

Meledak tawa mereka, membiaskan riak tidak puas hati pada rona wajah Sufiah. Adakah cara Sufi dengan Izzani sebentar tadi membibitkan rasa cemburunya? Hanya empunya tubuh yang tahu.

“Hei Sufi, kau nak tahu satu benda tak? Kajian menunjukkan lelaki yang memiliki kakak lebih cenderung untuk menggatal dengan perempuan lain. Macam kau dengan Izzani sekarang ni.” Kerling Sufiah tayang wajah serius.

Giliran Sufi pula merenungnya tajam.

“Hei, bila masa pula aku menggatal dengan perempuan ni? Kita orang bergurau-senda macam kawan kat sekolah ajelah. Lagipun, perempuan ni kan kawan kau. Bukannya aku berkenan pun.” Tangan bersilang kemas di dada, selamba menghambur bicara.

“Engkau ni suka buat aku bengang. Nasib baik kita adik-beradik, seibu, sebapak dan serahim. Kalau tidak, dah lama aku minta cerai selepas tu kahwin dengan lelaki lain.” Sufiah meledakkan tawa yang dibuat-buat.

“Sudah … benda boleh bincang, buat apa bergaduh.”

Tiba-tiba ada suara mencelah. Suara itu milik Cik Maiza, ibu kepada tiga beradik berkenaan. Orangnya begitu mesra dan diva bersama Sufi dan Sufiah. Maklumlah, Cik Maiza adalah BFF kepada Puan Nurlisa sejak zaman suami mereka belum ‘dicucikan’.

“Kamu datang berdua saja ke? Mana mak kamu?” soal Cik Maiza.

“Dia pergi kenduri kahwin, ditinggalkan kita orang berdua sebab nak suruh beli barang dapur. Lagipun kendurinya jauh, tengah malam baru sampai rumah katanya,” jawab Sufiah.

“Oh …” Melopong mulut wanita itu.

“Okeylah, selepas ni Cik Mai nak pergi makan dengan dia orang bertiga ni. Perut dah lapar sangat, menyanyi-nyanyi dari tadi. Maklumlah, pagi tadi terbangun lambat. Makan pun biskut cicah milo aje, sekadar alas perut.”

“Kesian Cik Mai … Ha, pergilah. Kata nak makan.”
“Amboi Sufi, ayat macam menghalau aje ni.” Terjungkit kening Cik Maiza.

“Tak adalah, saja menyakat. Macamlah Cik Mai tak kenal Sufi macam mana orangnya kan?” Meleret senyuman pada wajah Sufi ketika dia mengujar kata.

* * *

SANG matahari pada petang itu tidak terik memancar, menghadirkan keredupan suasana yang mendamaikan. Pepohonan hijau di halaman rumah dan sekitarnya melambai-lambai ditiup angin. Pada waktu beginilah ramai masyarakat keluar beriadah, meluangkan masa hujung minggu bersama keluarga tersayang.

Sufiah menebarkan pandangan ke luar jendela. Pada waktu petang hujung minggu begini kebiasannya dia akan minum petang bersama ahli keluarganya, tetapi hari ini situasi agak berbeza daripada biasa.

Mahu pesan makanan melalui dalam talian? Hurm … mahu pesan apa?

Tiba-tiba pula fikirannya buntu, jika tidak pasti ada sahaja yang menderu masuk lalu mengasak minda. Dan automatik ia meluncur keluar apabila sang ibu bertanya tentang apa yang mahu dijadikan menu minum petang. Dan pap! Terus terhidang di hadapan mata.

Menggodek isi dompet, hanya tiga keping not berwarna biru yang menjadi jengahan mata. Duit tengah kering, duit basah macam mana pula? Hahaha! Tiba-tiba pula ceramah Ustaz Shamsul Debat itu berputar dalam wayang fikirannya.

Bercakap fasal basah, teringat dia akan tepung yang ada dibeli sebentar tadi. Beberapa minggu lalu dia telah membantu ibunya membuat kuih onde-onde dan cara pembuatannya pula begitu mudah sekali. Kebetulan saki-baki kepala parut masih ada, jadi bolehlah dia membuatnya untuk dijadikan menu minum petang pada hari ini.

Meninggalkan kamar, Sufiah menghayun langkah menuju ke dapur. Tepung, gula Melaka dan kelapa parut diletakkan atas meja. Tepung yang sudah diletakkan dalam satu pinggan dicurahkan sedikit air sebelum pewarna makanan dituang. Diuli menjadi doh.

Dicampak ‘bola-bola hijau’ berkenaan ke dalam air yang telah panas menggelegak di dalam periuk. Gadis itu tersenyum puas hati. Sekarang dia hanya perlu menunggu kuih itu timbul sebelum digolekkan atas kelapa parut.

Sufiah terus menanti. Sehingga 30 minit masa tercantas, kuih onde-onde yang direbusnya itu masih tak timbul-timbul. Sampai kering air rebusan kerana hampir keseluruhannya sudah tersejat ke udara.

Berkerut pelik kening Sufiah, “Bukan sekejap saja dah masak ke?”

Sudah penat dia menanti, lelah termangu dek penantian yang masih belum berkunjung tiba. Sufi yang kebetulan turun lepas solat asar, menjenguk ke dapur.

“Kak, buat apa tu?” Sufi menegur, dia menjuju menghampiri kakaknya yang sedang duduk termegun di meja makan.

“Aku buat kuih onde-onde, tapi masalahnya aku rebus dari tadi tak timbul-timbul sampai sekarang. Penat aku tunggu.”

Berkerut-merut kening Sufi mendengarkan butir bicara kakaknya. Pek tepung yang telah dibuka, diteliti untuk mengetahui jenis tepung yang digunakan oleh Sufiah.

“Buat kuih onde-onde, kalau tersalah tepung rebuslah sampai kiamat pun dia tak akan timbul. Buat kuih ni pakai tepung pulut cik akak oi, kau dah tersilap! Haiya … ko cincau ma …” Meleret ia diungkapkan meskipun dia sendiri tidak mengetahui maksudnya. Terpengaruh rakan sebayalah tu.

“Alang-alang kau dah tersasar ni, nak aku tolong-”
“Boleh juga, aku pun dah penat ni. Nanti dah siap panggil ya. Terima kasih!” Sufiah mencantas di tengah-tengah kalam yang sedang dituturkan oleh adiknya. Kemudian dalam sekelip mata kelibatnya menghilang. Lesap tanpa meninggalkan bayang.

“Hei dia ni, aku belum habis cakap dia dah lari. Err … macam mana aku nak buat ni. Kuih onde-onde aku bukannya reti buat, reti makan adalah.” Sufi berkeluh-kesah sendiri sambil menggaru belakang tengkuk yang tidak gatal.

Share this novel

DHIA AMIRA
2022-11-01 14:11:08 

kikikik

DHIA AMIRA
2022-11-01 14:11:03 

laaa .. dahtu tepung apa ??? adui


NovelPlus Premium

The best ads free experience