BAB 4

Family Completed 29522

Nasi dimakan rasa sekam,
Dek kesedihan tidak terperi,
Sekiranya ada perselisihan faham,
Berunding dengan aman damai.

* * *

ENCIK Ahmad Aduka memilih untuk banyak bekerja dari rumah berbanding bekerja di pejabat. Dia mahu meluangkan banyak masa bersama keluarga, disamping menemani isteri tercinta yang kesunyian dikala anak-anak sedang berada di gedung ilmu.

Tetapi situasi kali ini sedikit berbeza.

Ahmad Aduka sering bergayut dengan smartfonnya. Adakalanya hingga dipalu kerunsingan si isteri dan anak-anak. Manakan tidak, sedang makan tengok fon, sedang berak tengok fon, malah sedang menyetir kereta pun masih dengan telefon.

Laptop dan fail kerja ditinggalkan seketika untuk membasahkan tekak di dapur. Kebetulan Puan Nurlisa yang baru sahaja selesai mencuci pinggan mangkuk, melangkah masuk ke dalam bilik.

Telefon suaminya berdenting, menarik perhatian Nurlisa. Dilihatnya ada banyak notifikasi mesej dari orang yang sama, yakni ‘Zahirah (anak buah bos)’. Jari-jemari wanita itu kemudian lincah bermain atas skrin telefon berkenaan. Ikon ‘telefon’ diklik, sejarah panggilan menjadi pemerhatian.

Suami aku bekerja dari rumah tapi selalu sangat bergayut dengan telefon sampai kurang perhatian untuk aku. Dan ini rupanya dia punya sebab, anak buah bos asyik telefon siang malam. Wanita itu bersenandika , menahan satu gumpalan rasa.

“Buat apa tu?” Ahmad Aduka menghampiri isterinya.

“Tak ada apa, saja nak tahu kenapa abang selalu bergayut dengan telefon siang malam sampai kurang perhatian dengan keluarga walaupun bekerja dari rumah. Rupanya anak buah bos abang duk sentiasa mesej abang siang malam,” jawab Nurlisa.

“Habis tu, kenapa? Risau abang ada skandal dengan perempuan lain, huh?” Menjungkit kening Ahmad Aduka ketika bertanyakan soalan itu.

“Yep, skandal yang perlahan-lahan merampas fokus abang terhadap keluarga. Dulu masa abang kerja kat ofis, tak ada pula abang selalu melekat dengan telefon sampai Lisa dengan anak-anak rasa terabai. Mungkin sebab berjauhan agaknya kut, itulah sebab bila nak hakis rasa rindu kena mesej dan telefon sepanjang masa. Tengok gambar profil dia pun bukan kemain lawa orangnya. Risau juga kalau suami Lisa ni sebenar-benarnya mata keranjang . Nak mula jadi buaya darat pula.”

Ahmad Aduka terpanar seketika. Bebelan isterinya itu cukup menyengat di telinga, seakan cuba menembusi relung jiwa. Beginikah keadaannya apabila kecemburuan terbibit dan menguasai sang wanita?

Telefon itu berdenting lagi, kali ini bertalu-talu. Memandangkan smartfon itu masih erat dalam genggaman Nurlisa, maka wanita itu membaca mesej yang baru masuk berkenaan.

“Apa benda ni, hah?” Suara Nurlisa berubah rentak, paparan skrin dipertontonkan kepada suaminya. Melihatkan spam emoji hati dari wassap Zahirah (anak buah bos) itu membuatkan hati wanitanya benar-benar tercabar.

Ahmad Aduka terkesima, membelalak matanya dalam pada masa sama. Seketika dia kehilangan kata, kerana apa yang sedang terjadi sekarang ini berlaku secara mengejut.

“Padanlah abang kurang endahkan Lisa sekarang, rupanya dalam diam abang curang dengan perempuan lain!” bentak Nurlisa.

“Tak, masalahnya abang tak ada hubungan apa-apa pun dengan dia. Kita orang kawan sekerja je, tak lebih dari tu. Abang sendiri pun terkejut bila dia tiba-tiba spam emoji love tu dalam wassap.” Tegas Ahmad Aduka mempertahankan diri.

“Mak, ayah, cukup!” jerkah Sufiah yang muncul secara tiba-tiba.

* * *

DUDUK di tubir katil, kedua-dua pasangan suami isteri itu tidak lagi bertelagah. Tiada lagi pelbagai hamburan kata, tiada lagi cabar-mencabar apabila Sufi dan Sufiah muncul mematikan segala pertikaman lidah.

Maka, disoal bicaralah kedua orang tua mereka itu seakan di mahkamah. Sufiah jadi hakim sementara Sufi jadi wali. Eh bukan, bukan. Jadi saksi. Wali untuk nikah. Soal nikah mana ada kena mengena dalam soal ni. Apalah, itupun tak tahu.

Mujurlah Sufiah yang sedang menonton televisyen bersama adiknya di ruang tamu tika itu terdengar sayup-sayup suara pertelingkahan dari tingkat atas cepat-cepat bertindak. Jika tidak, pergaduhan pastinya akan berlarutan dan situasi menjadi semakin cabuh dan sukar dileraikan.

“Mari sini telefon ayah, Sufi nak telefon anak buah bos ayah yang digaduhkan tadi tu,” pinta Sufi. Mendatar sahaja suaranya.

Sebelah bersambut, dua telefon kini berada dalam tangannya. Dia mendail nombor berkenaan dalam telefonnya sebelum dikembalikan smartfon tadi kepada ayahnya. Mungkin untuk mengelak risiko lain, Sufi bertindak menghubungi nombor berkenaan menggunakan telefonnya.

Pembesar suara dihidupkan, supaya ibu dan ayahnya dapat mendengar.

“Ya Allah … akak minta maaf sangat-sangat. Tak sangka pula sampai mak ayah kamu bergaduh disebabkan spam emoji tu. Sebenarnya akak ada anak kecil, sajalah akak bagi dia main telefon. Akak pun tak tengok, ingatkan dia main game rupanya duk main wassap. Pandai pula tu dia main emoji. Minta maaf ya, Sufi.

Lagipun sebenarnya akak baru naik pangkat. Biasalah nak kena banyak bertanyakan itu ini pada ayah kamu yang banyak pengalaman. Bila dia kerja dari rumah, kenalah akak sentiasa hubungi. Susah jadinya bila tanya orang lain ramai tak tahu banyak perkara. Kena hubungi ayah kamu juga.” Demikian penerangan Zahirah ketika dihubungi.

Talian dimatikan. Pandangan mata dihunus tepat ke wajah ibu dan ayahnya.

“Okey, masalah dah setel. Mak dengan ayah jangan bergaduh lagi. Kalau gaduh juga, Sufi lari dari rumah dengan kak Sufiah. Kita orang tempah Grab untuk balik kampung, lepas tu mengadu pada Tok Wan fasal mak ayah dengan ayah.” Seakan mengugut cara Sufi bercakap.

Kemudian kedua beradik itu saling laga penumpuk, tetapi pandangan mata tetap melekat pada ibu bapa mereka. Misi untuk menghentikan pertelingkahan, berjaya!

* * *

SUFI leka dengan novel Legasi Tombiruo karya Ramlee Awang Murshid yang dibacanya. Sebenarnya, dia sudah lama mengikut rentak Sufiah yakni membaca novel, cuma dia tidaklah seaktif kakaknya yang rajin menulis ulasan di Instagram dan terlalu obses mengumpul sehingga penuh rak buku di dalam bilik.

“Malam ni ayah nak tidur dengan kamu.”

Kus semangat! Nasib baik tak luluh jantung Sufi dek kemunculan ayahnya yang tiba-tiba, menghempas tubuh di atas katil sehingga menggegarkan sedikit tilam di atasnya. Tambah pula tika itu Sufi benar-benar tidak sedar dek tenggelam dalam dunia pembacaannya.

Novel dengan kulit luarnya yang bertemakan warna biru ditelangkupkan atas perut. Dada diurut-urut untuk melegakan kesan renjatan akibat ‘disergah’. Berkalih pandang, dia melihat ayahnya sudah membenamkan diri ke alam lena. Disambung semula bacaan.

Beberapa minit berselang, novel itu dikatup kemas sebelum dikembalikan ke rak buku, bersama tiga lagi novel siri ‘Tombiruo’. Kemudian, menggapai telefon pintar apabila bunyi notifikasi menyapa deria pendengaran.

- Tadi mak melepas geram dalam bilik aku.

Tersenyum sahaja Sufi. Tiada langsung rasa terkejut kerana sepanjang dia membaca novel sebentar tadi, kesunyian yang berirama indah bersilih ganti dengan sayup-sayup ritma sumbang ‘hempasan bom’ yang datangnya dari bilik lain. Tetapi dia buat tidak endah, kerana hal itu langsung tidak mengganggu mod pembacaannya.

- Apa lagi yang mak tak puas hatikan tu … Kan masalah dah setel.

Persoalan yang terdetik diluahkan. Sememangnya kehairanan hadir menjengah apabila ibunya masih meletuskan itu ini sedangkan sudah terang lagikan bersuluh suaminya itu tidak curang dengan perempuan lain.

- Entahlah.

Sufiah turut meluahkan perkara sama. Dia juga diasak keliru sebenarnya. Mungkin ibu lepaskan sisa-sisa kemarahan kut, fikirnya sendiri.
Lincah jari-jemarinya menaip, dia pula ingin menanyakan soalan.

- Ayah pula, tengah buat apa sekarang?

Ting! Tak perlu menunggu lama-lama, laju sahaja dia menerima balas daripada adiknya. Respons yang serba sedikit menghiburkan, seketika dia tersengih-sengih lagaknya kerang busuk tak mandi sebulan.

- Tidur. Nasib baik dah membuta, sebab mak punya bebel sampai sini tau dengar. Mahunya ayah terdengar, memang betul-betul kita balik kampung malam ni.

- Kan, nasib baik.

* * *

ALUNAN azan subuh yang berkumandang menyedarkan Sufi dari lenanya. Remaja lelaki itu bingkas bangkit, menyusur langkah menuju ke kamar mandi. Dan setelah selesai mengangkat wuduk, barulah dia sedar susuk tubuh ayahnya sudah lama lesap.

“Ayah tidur dengan aku kan? Cepatnya menghilang. Pukul berapa ayah bangun agaknya. Mungkin dalam bilik kut, ada buat solat tahajud tadi.”

Tidak terus berfikir panjang, sejadah terus dibentang dan takbiratul ihram diangkat selepas menyarungkan kopiah ke kepala. Usai solat, Sufi terus melakukan tekan tubi sebanyak sepuluh kali – rutin hariannya setiap kali selesai mengerjakan kewajipan pada waktu subuh.

Daun pintu bilik ayahnya ditolak perlahan, namun bilik itu kosong. Menjengah ke luar pekarangan rumah, dilihatnya kereta langsung tiada.

“Ke mana pula ayah pergi? Solat berjemaah kat masjid kut. Tapi ayah mesti akan ajak aku sekali.” Sufi berteka-teki sendiri.

Dia terus melangkah ke bilik air untuk mandi membersihkan diri. Masa tidak akan pernah berhenti untuk menunggunya melangsaikan teka-teki yang menjalar di fikiran. Tunggu sahaja ayah pulang, maka persoalan akan terus terjawab.

“Mana ayah kau orang berdua ni, langsung tak muncul-muncul dari tadi. Sekarang jam pukul enam setengah, macam mana nak pergi sekolah anak-anak dia ni.” Nurlisa menyuarakannya setelah mengerling dada jam di dinding.

“Kalau ayah tak muncul-muncul juga, kita orang pergi sekolah jalan kaki sajalah. Lagipun pagi ni Sufi bertugas, mana boleh datang lambat.” Perlahan Sufi mencicipi Nescafe susu air tangan ibunya.

Kehangatan terasa menuruni celah rengkung. Itulah yang dinikmatinya hampir setiap hari, ketika bersara-pan sebelum ke sekolah. Tak mahunya dia hirup Milo, melainkan pada waktu itu dia memakai baju sukan. Manakan tidak, pakai punya segak sudahnya terpaksa dileraikan bila terpaksa berkurung seketika dalam jamban.
Membuang katanya.

“Kalau gitu, kita gerak sekaranglah. Kalau naik kereta memanglah cepat, tapi jalan kaki makan masa 15 minit juga,” kata Sufiah segera mencapai dan mencium tangan Nurlisa diikuti oleh Sufi. “Pergi dulu ya, mak. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam,” jawabnya perlahan.

Dua beradik itu segera menggalas beg sekolah dan menyarung kasut yang sudah tersedia di depan pintu. Pergi sekolah berjalan kaki? Hal itu bukan satu masalah besar buat mereka.

“Manalah orang tua ni pergi. Kut iyapun bergaduh dengan aku, tanggungjawab kau pada anak-anak janganlah lupa. Kesian dia orang kena berjalan kaki pergi sekolah.” Nurlisa mengeluh sendiri sambil bersandar di juring pintu.

* * *

Di sekolah,

“DAN bila bercakap fasal adik-beradik, ustazah teringat dulu mak ustazah ada pesan supaya jaga hubungan dengan adik-beradik. Sebab bila adanya pergaduhan, maka hilanglah rahmat Allah dalam keluarga. Itu sebab bila adanya salah faham, bincang elok-elok sebab bergaduh belum tentu dapat selesaikan masalah.”

Ucapan yang terasa hingga ke hulu hati, semestinya akan menghadirkan rasa takut terhadap seseorang yang benar-benar pekat keimanannya tatkala memikirkan tentang kehilangan rahmat daripada Ilahi.

Kesemua pelajar kekal bungkam melihat guru mereka mahu menyambung bicara.

“Pesanan ni khas untuk kamu semua. Satu masa nanti, masing-masing akan ada kehidupan sendiri. Semua akan berjaya membina kerjaya dan sebagainya tetapi bila sentuh fasal adik-beradik, tetaplah berhubungan. Seandainya ada konflik yang berlaku, pergilah minta maaf walaupun bukan kita yang salah.

Darjat kita Allah akan tinggikan, tak hina pun orang yang meminta maaf ni. Sebab salah satu punca hidup kita sempit dan susah adalah sebab terputusnya silaturrahim dengan ahli keluarga. Takutkan dengar? Ustazah yang menceritakan ni pun terasa takut walaupun dah beribu kali ucapkan fasal ni pada anak-anak murid.”

Berjela-jela, meskipun begitu nasihat yang Ustazah Rohainora curahkan itu benar-benar sarat dan membusung kerana ia adalah realiti kehidupan.

***

DARI langit yang menyayup tinggi, sang rawi terlihat gagah menyimbahkan cahayanya, membasahi bumi. Tamat waktu persekolahan, dua beradik itu tidak terus pulang, sebaliknya melencong ke pusat beli-belah berhampiran. Mahu singgah POPULAR kata si Sufiah.

Memandangkan seragam sekolah masih membaluti tubuh, maka Sufiah meronda-ronda dahulu di bahagian buku-buku rujukan mata pelajaran. Mungkin untuk menyejukkan mata masyarakat di sekitar gamaknya. Entahlah. Mungkin dia terlalu overthinking kut. Selepas itu barulah dia singgah ke bahagian fiksyen.

Sufi tidak terkecuali. Satu per satu tajuk novel yang ada diteliti dengan riak wajah yang tak boleh bawa bincang. ‘Kat dunia ni genre punya banyak, genre cinta aje asyik melambak kat kedai buku. Macam mana nak maju kalau macam ni?’ Dia bermonolog dalam hati.

“Sufi, kau tak ambil apa-apa novel ke?” Teguran kakaknya merenjatkan kelekaan Sufi. Automatik kepalanya terpanggung ke arah Sufiah yang sudah tercegat di sisinya.

“Tak ada. Lagipun aku nak habiskan mana yang ada dulu, baru beli yang lain. Tak pun aku pinjam kau punya yang berlambak kat rumah tu. Jimat sikit duit poket,” ucap Sufi.

“Hmm ... yalah,” gumam Sufiah.

Mereka pun beriringan menuju ke kaunter.

“Sekejap lagi aku nak singgah ke tandas sekejap, nak betulkan tudung.” Sufiah memaklumkannya setelah melangsaikan urusan pembayaran di kaunter.

“Astagfirullah al-Azim … takkanlah dah habis sekolah pun sibuk nak membetulkan tudung lagi cik akak sayang oii!” Merungut Sufi, kakaknya ini terlalu obses menjaga penampilan!

“Ala, macamlah kau tak kenal sifat aku macam mana.”

“Yalah, yalah. Sambil-sambil kau betulkan tudung sekejap lagi, aku singgah ke surau untuk solat zuhur dulu. Sementara tunggu aku nanti, kau bacalah novel yang kau beli tadi tu.”

***

AHMAD ADUKA mundar-mandir di ruang tamu. Jam sudah menunjukkan tepat pukul 2.30 petang, tetapi anak-anaknya masih belum pulang. Selagi kelibat mereka masih belum kelihatan, selagi itulah perasaan risau akan kencang bertemali dalam lubuk rasa.

Dia menjengah lagi ke luar pintu untuk kali yang entah keberapa. Kali ini, kedengaran sayup-sayup suara perbualan dan ianya semakin kuat dan menghampiri. Dia kenal suara-suara itu, suara anak-anaknya!

“Pergi mana kamu berdua? Ayah tersampai lambat tadi, tengok-tengok kamu berdua dah tak ada. Membebel tau mak datin tu tengok ayah balik tanpa kamu berdua, berdesing telinga ayah dibuatnya,” soalnya sambil mencekak pinggang.

“Yang ayah pula, pergi mana pagi-pagi dah menghilang? Kita orang pergi sekolah pagi tadi jalan kaki, balik pun jalan kakilah jugalah.” Soalan berbalas soalan. Agaknya soalan manakah yang akan terjawab dahulu?

Sepi seketika.

“Pagi tadi ayah berjemaah kat masjid. Ingat nak balik terus, sekali terjumpa pula dengan kawan lama ayah. Dia pun ajak sarapan, sudahnya ayah terlupakan kau orang berdua. Minta maaf, ya. Biasalah orang tua ni kan cepat lupa,” jelas Encik Ahmad Aduka.

Saling beradu mata Sufi dan Sufiah. Itulah alasan yang seringkali ayah mereka ungkapkan apabila situasi sebegini terjadi. Sudah diagak jawapannya sedari awal, tetapi saja ditanya. Manalah tahu ada alasan lain pula yang akan diberi.

* * *

GLOSARI

(1) Menyetir - Memandu

(2) Bersenandika - Monolog, percakapan batin

(3) Mata keranjang - Seseorang yang mudah suka kepada seseorang perempuan

(4) Buaya darat - Lelaki yang suka bertukar perempuan atau teman wanita

(5) Terpanar - Tercengang (kerana kehairanan), termangu-mangu

(6) Membelalak - Terbeliak

(7) Cabuh - Huru-hara, heboh, rusuh

(8) Bungkam - Tidak bersuara, diam, membisu

(9) Rawi - Matahari

Share this novel

DHIA AMIRA
2022-11-06 20:21:28 

tudung nak2 awning kena mood on dik hihihi

DHIA AMIRA
2022-11-06 20:10:20 

sang rawi tu mentari kn


NovelPlus Premium

The best ads free experience